
PENYERANG Kedah dari Ghana, Hamidan Mohamed tidak akan berkecil hari sekiranya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menamatkan kontraknya walaupun menyedari dirinya masih berguna buat skuad Hijau Kuning itu.
Hamidan yang beragama Islam berkata, sebagai seorang profesional, dia akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk majikannya dengan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Kedah keluar sebagai pemenang setiap kali turun beraksi.
“Saya tidak merajuk atau membuat perangai hanya kerana takdir saya bersama pasukan ini bagaikan sudah sampai ke penghujung.
Apa saja keputusan mereka, saya akan terima dengan hati terbuka,” katanya yang menamatkan kemarau jaringan selepas satu setengah bulan menyarung jersi Kedah apabila dua kali membolosi gawang T-Team untuk membantu pasukan Kenari mara ke separuh akhir Piala FA.
“Saya rasa puas kerana akhirnya dapat menjaringkan gol bagi menamatkan kemarau jaringan.
Alhamdulillah, saya membuktikan saya sebagai seorang penyerang dan kedatangan ke Kedah bukan sekadar mahu memenuhi kuota pemain import,” katanya yang mengintai melebarkan sentuhan jaringannya apabila bertemu Perak, malam ini.