Tidak pernah terima bantuan

BUKIT RAYA – Hari-hari berlalu terpaksa ditempuhi dengan penuh kesabaran oleh sepasang suami isteri di Kampung Alor Ali dekat sini yang hidup dalam kesempitan sehinggakan pernah tidak makan disebabkan ketiadaan wang.

Mustafa Salleh, 46, dan isterinya Sharifah Omar, 52, tidak pernah menerima apa-apa bantuan mahupun kunjungan daripada mana-mana pihak termasuk wakil rakyat kawasan terbabit.

Sinar Harian difahamkan suami isteri itu sudah menetap di kampung berkenaan lebih lapan tahun.

Lebih menyedihkan rumah yang diduduki mereka semakin usang dan menunggu bila-bila masa sahaja untuk runtuh.

Mustafa berkata, dia hanya melakukan kerja-kerja kampung seperti menjala ikan memandangkan dia tidak mampu untuk melakukan kerja berat kerana menghidap sakit buah pinggang.

Menurutnya, isterinya tidak dapat membantu kerana menghidap darah tinggi dan kencing manis yang serius sehingga sukar untuknya bergerak serta berjalan.

“Hasil tangkapan tak tentu masa. Ada hari boleh dapat ikan sampai dua kilo, kadang-kadang langsung tak dapat apa. Keadaan rumah pula dah teruk, kalau hujan lebat atau angin kuat bergoyanglah rumah ini,” katanya.

Sharifah pula berkata, dia dan suami mengalami kesukaran untuk keluar memandangkan rumah mereka berada di tengah-tengah sawah.

“Saya terpaksa juga redah kerana setiap bulan saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setiap kali itu juga saya perlu dipapah oleh suami sambil membawa tongkat buluh. Sehinggakan kami berdua pernah terjatuh ke dalam sawah. Saya harap ada pihak yang prihatin dapat membina laluan yang lebih baik untuk kami,” katanya.

Katanya, baru-baru ini mereka berjaya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang sebanyak RM100 sebulan.

Sementara itu, kesempitan hidup suami isteri berkenaan mendapat perhatian Persatuan Kontraktor Negeri Kedah dan Pendang melalui Program Prihatin anjuran persatuan itu yang sedang giat membantu penduduk yang memerlukan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Kedah, Ahmad Fatahi Omar berkata, persatuan itu memberi bantuan barang keperluan makanan dan bakal membaiki rumah pasangan itu dengan kos pembaikian dianggarkan mencecah RM3,000 selain turut menyediakan laluan jalan seperti yang diminta pasangan berkenaan.

Fatahi berkata, pihaknya akan membaiki rumah terbabit sementara menunggu pembinaan rumah baru kerana rumah yang diduduki pasangan itu sudah tidak selamat lagi.