azizan - buku 13mac

ALOR SETAR - Kebimbangan beberapa pihak terhadap krisis yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) ke-13, dilihat menjadi salah satu faktor wujudnya Jawatankuasa Pemandu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukanlah sesuatu yang baru atau pelik memandangkan beliau sendiri turut dipilih menganggotai jawatankuasa sama yang ditubuhkan pada 1990.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu hanya akan memantau negeri ditadbir Pas kerana manifestonya lebih menonjol berbanding negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang yang masing-masing ditadbir PKR dan DAP.

"Di Kedah, (sebelum ini) mereka ambil mudah dan ingat semua selamat (tidak berlaku krisis), namun kewujudan jawatankuasa ini bukan baru.

"Tatkala kita hampir dengan PRU, tercetus suasana 'ribut dalam cawan', ada beberapa pihak bimbang dan takut dengan apa yang bakal terjadi kepada Kerajaan Pas Kedah, namun penyokong Pas dan rakyat sayang kepada kerajaan dan mahu kerajaan kembali bersatu," katanya.

Azizan berkata, Kerajaan Negeri turut merangka untuk mengadakan satu perhimpunan bagi menunjukkan kekuatan dan sokongan terhadap Pas Kedah.

"Kita dicabar (menerusi krisis ini) jadi kita akan tunjukkan semula kekuatan kita, kita akan bersatu kembali untuk mempertahankan Kedah dan berhadapan dengan tentangan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, sewaktu menganggotai jawatankuasa itu pada 1990, ia hanya mengambil kira polisi Kerajaan Negeri yang dikemudi Pas tanpa menyentuh mengenai urusan pentadbiran mahupun kewangan negeri.

"Pengerusi (ketika itu), Datuk Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden Pas) bersama ahli jawatankuasa akan mengadakan perbincangan sebulan atau dua bulan sekali, mengenai masalah, isu politik, halangan dan tindakan yang sewajarnya diambil.

"Jika ada masalah, Menteri Besar dan barisan exco akan dipanggil untuk berbincang bersama dan saya berharap jawatankuasa ini juga akan melakukan perkara sama," katanya.