Sarina Ismail.

ALOR SETAR - Dewan Muslimat Pas Kedah bertekad mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu tanpa memberi laluan mudah kepada Wanita Barisan Nasional (BN) merampasnya.

Ketua Penerangannya, Sarina Ismail berkata, pelbagai strategi dan persiapan sedang diatur bersama jentera Halwa Kedah untuk memastikan Kerajaan Negeri tetap milik PR selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),
Menurutnya, tidak ada sebarang alasan untuk bertukar kepimpinan negeri kerana Kerajaan PR Kedah menjalankan tanggungjawab lebih baik daripada pemerintahan BN sebelumnya.

“Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri kini tidak pernah tersasar atau memungkiri janji seperti yang termaktub dalam manifesto PRU-12 tetapi turut melaksanakan kebajikan rakyat walaupun tiada dalam manifesto seperti penurunan cukai tanah hingga 50 peratus bagi rakyat negeri ini.

“Adalah tidak wajar, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Kedah di bawah pentadbiran PR tiada pembangunan ekonomi serta tiada perancangan untuk masa depan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sarina berkata, sepanjang tempoh pemerintahan PR kebajikan rakyat terbela dan golongan yang kurang berkemampuan tidak mengira bangsa, agama serta fahaman poltik mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

“Pemberian RM500 untuk Skim Kafalah apabila berlaku kematian tidak dilaksanakan ketika pemerintahan BN. Begitu juga kenaikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari RM75 ke RM150 sebulan.

“Jentera muslimat Pas Kedah tidak akan membiarkan BN menawan negeri ini dengan mudah kerana rakyat sudah mendapat perhatian sewajarnya dari kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri dengan baik termasuk mengatur pelbagai projek mega antara pembinaan Kompleks Aman Central yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Rakyat boleh menilai sendiri mana yang lebih baik. Kalau beliau sendiri (Shahrizat) dikaitkan dengan isu National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan RM250 juta wang rakyat diseleweng, mampukan mereka membina kerajaan telus, adil dan berjiwa rakyat?.

“Kita tidak takut untuk bangun mempertahankan kerajaan sekarang walaupun mendapat pelbagai cabaran, berjuang tetap terus berjuang dan kita tidak akan berundur walau setapak,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pada 12 Februari 2012 melaporkan, Shahrizat dalam lawatannya ke Kedah menaruh keyakinan tinggi terhadap kekuatan Wanita BN untuk menawan semula negeri itu daripada PR.