wan salleh-pkr

ALOR SETAR - Dakwaan wujudnya konspirasi dalam kalangan ahli dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah suatu pem­bohongan besar yang diadakan untuk menjejaskan hubungan baik antara PKR, Pas dan DAP.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai ke­wujudan konspirasi yang kononnya sedang giat digerakkan beberapa bulan lalu, malah percaya ianya tidak pernah wujud.

“PKR tiada masalah untuk bekerja­sama dengan Pas dan DAP selama ini. Hubungan yang terjalin sejak sekian lama tidak pernah digugatkan dengan isu-isu semasa, malah wujud per­sefahaman yang baik di Kedah,” kata­nya, ketika dihubungi, semalam.

Wan Salleh mengulas laporan se­buah akhbar kelmarin, yang men­dakwa pemimpin dan ahli PKR Kedah dipercayai terbabit dalam usaha me­nyingkirkan Azizan dengan mem­bang­kitkan pelbagai isu untuk menjejaskan imej Menteri Besar itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Laporan itu me­nyebut, sumber dalaman Pas yang mendedahkan per­kara itu memaklumkan konspirasi itu telah wujud sejak beberapa bulan lalu.

Wan Salleh berkata, PKR sentiasa menyokong apa juga dasar yang di­bawa oleh Azizan dalam pentadbiran, malah sentiasa berdiri teguh di be­lakangnya terutama mempertahan tindakan Azizan dalam menyelesaikan banyak isu berbangkit.

“Apakah bukti PKR sentiasa cari pasal mahu jatuhkan Azizan? Setahu saya, ahli dan pemimpin PKR yang se­ring bangkit mem­pertahan keputu­san yang dibuat. Kami sokong atas dasar Pakatan Rakyat (PR), dan tidak pernah ragui kepimpinan­nya,” katanya.

Wan Salleh turut meragui ke­nyataan sumber dalaman Pas itu, yang tidak di­ketahui kesahihannya.

“Kita tidak tahu siapa yang mem­buat kenyataan itu. Sum­ber daripada mana? Mungkin sumber itu mahu me­lihat hu­bungan Pas-PKR-DAP retak, dengan mengada-adakan cerita tidak betul seperti ini,” katanya.

Mengulas me­ngenai laporan ter­babit yang turut menekankan ko­nonnya pemimpin pertengahan Pas nekad menuntut semula semua kerusi PKR yang bermasalah atau lompat parti agar diserahkan kepada Pas, Wan Salleh berkata, isu pengagihan kerusi bertanding pada PRU13 sudah selesai dan kini di peringkat Pusat.

“PKR tiada masalah dalam isu agihan kerusi bersama Pas kerana tidak berlaku pertindihan tuntutan kerusi antara kami. Hanya kerusi babitkan DAP dalam rundingan. Jadi soal kerusi ini tidak timbul,” katanya.

Mengulas me­ngenai kepimpinan Azizan sepanjang hampir empat tahun lalu, Wan Salleh ber­kata, Azizan sudah menjalankan tugas­nya dengan baik, dan diperakui oleh Laporan Ketua Audit Negara.

“Saya yakin ada pihak lain yang cuba melaga-lagakan PKR dengan rakan pakatan lain supaya hubungan kami terjejas, tidak mustahil ianya dilakukan oleh ahli Pas yang fanatik. Mungkin mereka mahu bolot semua kerusi untuk Pas sedangkan hakikatnya, kita dalam PR,” katanya.

Wan Salleh turut mengingatkan pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan PR supaya menghentikan segera perbuatan sia-sia itu, kerana PR Kedah dilihat semakin kukuh dan jalinan kerjasama antara rakan pakatan tidak pernah tergugat.