Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

SHAH ALAM - Tiga pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyahut cabaran debat satu-lawan-satu dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berhubung isu skim pembiayaan khas menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Cabaran itu diterima oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selaku Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Dr. Dzulkefly Ahmad iaitu ahli jawatankausa kerja Pas Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Mereka berkata, debat itu boleh dilangsungkan bila-bila dan diadakan dengan adil dan telus.

Ketiga-tiga mereka merujuk kepada laporan media semalam, yang menyiarkan cabaran Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kepada salah seorang daripada wakil rakyat terbabit agar berdebat tentang penggunaan dana KWSP bagi membiayai pinjaman pemilikan unit-unit perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Raja Nong Chik antara lain berkata, golongan miskin ini tidak mungkin mendapat perumahan tanpa bantuan dan sama ada ahli-ahli Parlimen PR terbabit merasakan golongan terbabit tidak layak mendapat perumahan.

"Beliau juga menambah cabaran kepada kami untuk berdebat dalam sesi debat satu-lawan-satu di hadapan semua penduduk PPR terbabit," kata ketiga-tiga wakil rakyat tersebut dalam satu kenyataan bersama.

Mereka juga berkata, "pertama sekali, kami sudah berkali-kali menyatakan pendirian Pakatan Rakyat yang mendukung sepenuhnya objektif mulia bagi menyediakan perumahan mampu milik untuk warga miskin bandar seluruh negara."

Akhir minggu lalu, Nurul Izzah berkatam PR menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan dana KWSP bernilai RM1.5 bilion bagi membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan PPR.

Menurut Nurul Izzah, tindakan itu bukan cara yang tepat bagi membantu penduduk PPR membuat pinjaman bagi memiliki kediaman mereka.

“Kita bersetuju untuk bantu rakyat tetapi bukan dengan cara menggunakan wang pekerja rakyat bagi tujuan ini.

“Kami Pakatan Rakyat sebulat suara menolak penggunaan wang KWSP kerana bank-bank yang wujud di negara ini seperti Bank Rakyat juga tidak bersedia memberi pinjaman. Ini bermakna pembiayaan itu tiada jaminan dan tidak selamat,” katanya.

Skim Pembiayaan Khas ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sekitar 25,000 bakal pembeli telah diberikan surat tawaran oleh DBKL dan pembiayaan sepenuhnya kepada rumah, yang dianggarkan bernilai antara RM21,500 dan RM35,000, akan diberikan kepada mereka oleh KWSP.

Dalam kenyataan hari ini, ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan menambah, matlamat skim biaya khas itu iaitu memastikan warga miskin bandar memiliki perumahan adalah tanggungjawab kerajaan sedia ada, dan bukannya dipertanggungjawabkan kepada tenaga pekerja Malaysia.

"Justeru, kami amat mengalu-alukan debat dengan menteri demi kebajikan dan maslahat rakyat bagi menjawab semua isu berkait dalam suasana yang terbuka dan telus.

"Dan, dalam memastikan masyarakat umum mengetahui isu sebenar kontroversi penggunaan dana KWSP ini, debat bersama menteri haruslah terlaksana dalam suasana adil, terbuka dan sama rata," katanya lagi.

Sehubungan itu kata mereka, debat yang bakal berlangsung tidak boleh terhad kepada penduduk rumah PPR di Kuala Lumpur, tetapi perlu dibuka kepada semua warga Malaysia, khususnya pencarum-pencarum KWSP.

"Sebaik mungkin, debat yang akan diadakan kelak juga seharusnya tersiar dalam televisyen untuk memastikan semua rakyat Malaysia, yang mungkin tidak dapat turut serta termasuk pencarum KWSP Sabah dan Sarawak, diberi peluang menilai keberkesanan skim pinjaman khas ini.

"Tambahan lagi, demi keterbukaan dan akauntabiliti, kami percaya Raja Nong Chik, yang bersedia berdebat dengan salah seorang daripada kami, akan bersedia melampirkan keseluruhan perjanjian antara agensi-agensi pilihan kerajaan dan KWSP.

"Hanya lampiran perjanjian penuh yang diberi kepada ahli-ahli Parlimen dan rakyat secara umum dapat menjamin debat yang telus dan bermakna," kata mereka lagi.