TERKINI :

Monday, January 30, 2012

Azhar Idrus - Fenomena Baru Merubah Anak Muda


Satu malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus. Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai agama. Dialek atau slang Terengganu yang diguna pakai dalam berceramah menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.

Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?

Tumpuan saya terpaku kepada you tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tube syarahan ustaz-ustaz yang lain.

Duration video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya. Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi. Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.

Malam besok sesudah selesai membuat posting akhir - susupan tengah malam - saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula. Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan ada keunikan tersendiri.

Satu tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu. Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan ustaz berjanggut hitam lebat itu.

Ah rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.

Maklumat diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?


Seorang anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah saya.

Mulanya saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik. Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.

Pengetahuan dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar belakang dan matlamatnya.

Justeru bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya. Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi lisan ceramah-ceramahnya.

Ustaz Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak seperti kurang sopan.

Boleh dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.

Cara dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dan direct to the point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.

Dalam kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul di dalam sanubari pendengar.

Kecenderongan siasah

Mengenai latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?

Ternyata sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se Malaysia. Seperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang cukup melucu dan cukup signifiken.

Satu hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.

Jadi bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat seperti hari ini.

Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.

Dan malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.

Sebelum ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati. Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya. Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.

Masya-Allah.. masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia, termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter. Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.

Nah... begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia - dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang. Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke masjid.

Selalu ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan mengharukan jiwa yang insaf.

Semasa mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.

Untuk awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi kehebatan kepada negara ini juga.

Jadi biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.

Ada baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.

Dalam tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik. [wm.kl.1:55 t/hari 30/01/12]

Mohd Sayuti Omar

Subsidi Gula - Jika Tak Menipu jangan panggil BN "BOHONG NEGARA"

Subsidi gula: Rakyat diperbodohkan, kata Pua

DAP membidas kerajaan pimpinan BN kerana cuba memperbodohkan orang ramai dengan membuat dakwaan bahawa subsidi gula dinaikkan kerana harga dunia yang meningkat sedangkan hakikatnya harga gula di seluruh dunia turun sejak enam bulan yang lalu.

dap scholarship fund pc 130607 tony pua"Oleh yang demikian, dengan mengekalkan harga gula pada RM2.30, kerajaan sebenarnya telah memberi subsidi yang kurang, dan bukannya subsidi tambahan, seperti yang dengan bangganya didakwa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob.

"Apakah lsmail Sabri cuba untuk menipu rakyat dengan mendakwa kononnya Malaysia telah meningkat lagi subsidi gula kerana harga bahan itu di seluruh dunia telah meningkat walaupun hakikatnya adalah sebaliknya?" kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kiri) dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan akhbar Jumaat lalu, di mana menteri berkenaan mendakwa bahawa kerajaan menanggung subsidi yang kian meningkat iaitu daripada 20 sen kepada 54 sen sekilogram gula bagi mengekalkan harga pada RM2.30.

Dalam laporan akhbar The Star itu, Ismail Sabri memuji kerajaan kerana mampu mengekalkan harga gula walaupun pada hakikatnya bahawa "harga gula global terus melambung".

Dalam menyangkal dakwaan itu, Pua berkata apa yang sangat menarik ialah harga gula global dalam tempoh enam bulan yang lalu sejak kenaikan harga terakhir pada bulan Mei 2011 sebenarnya telah turun dengan ketara dan tidak melambung.

Dasar sekular kerajaan punca gejala murtad

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Pusat Mengenai Murtad seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Kami mendapati bahawa gejala murtad yang tidak boleh dinafikan berlaku di kalangan umat Islam perlu segera dibendung terutama ancaman sekularisme yang mendasari dasar-dasar kerajaan telah menjadi punca utama gejala ini semakin parah,” kata presidennnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu memberi perhatian serius kepada punca murtad berlaku.

Menurutnya, murtad tidak boleh hanya dilihat dari sudut undang-undang semata-mata tetapi juga harus ditangani dari pelbagai faktor lain iaitu sosio-budaya, pendidikan dan ekonomi masyarakat.

Katanya, kebiasaannya mereka yang menjadi mangsa murtad ialah apabila mereka didekati oleh pihak lain yang sememangnya mempunyai hasrat untuk mempengaruhi agar mangsa dimurtadkan.

Tambahnya, kini sudah ujud kes murtad golongan remaja hanya kjerana terpengaruh dengan perhubungan dalam facebook

Menurutnya lagi, gejala perhubungan diluar pengetahuan ibubapa dan guru telah mendedahkan remaja kepada penukaran agama tanpa diketahui oleh sesiapapun.

“Kami sangat khuatir terhadap gejala mereka yang murtad tetapi terus berpura-pura masih Islam,”katanya kpada Harakahdaily.

Beliau berkata, kes ibu bapa dikejutkan dengan pengakuan anak-anak yang keluar dari Islam pernah berlaku dan hal ini sangat perlu diberi perhatian serius.

Kami memandang serius gejala murtad yang berkembang dikalangan anak muda akibat masalah keluarga yang tidak dapat dikendali dengan baik.

Justeru, ujarnya, Teras juga berpendapat adalah sangat penting jawatankuasa itu membantu negeri-negeri sama ada negeri yang sudah ada enakmen mengenai larangan menyebar agama lain dari Islam kepada orang Islam atau negeri yang masih belum ada enakmen berkenaan.

Katanya, kerjasama bersepadu dengan semua agensi hendaklah dilakukan jika jawatankuasa ini serius untuk mengatasi gejala murtad

Menrurutnya, isu penguatkuasaan undang-undang perlu diatasi segera kerana ia akan memberi imej kepada wibawa pihak berkuasa agama.

Ujarnya, jika enakmen yang ada tidak dikuatkuasa walaupun sudah terbukti pihak yang terbabitbersalah maka enakmen dan agensi yang wujud akan menjadi momokan masyarakat.

Jawantankuasa tersebut juga, ujarnya perlu memberi perhatian kepada mengkaji dan menyemak semua enakmen mengenai murtad yang ada di negeri-negeri.

Ini, katanya adalah kerana ada negeri yang maseh mempunyai kelonggoran dalam isu murtad sehingga pihak yang mahu memohon menukar nama dan agama dari Islam kepada bukan Islam boleh berbuat demikian di negeri tersebut.

“Kami juga sangat prihatin terhadap pelbagai kes taraf keislaman anak-anak bila salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam,” ujarnya lagi

Katanya lagi, kes suami atau isteri yang memohon untuk membatalkan pengislaman anak di mahkamah sivil akan membawa implikasi besar kepada status undang-undang Islam yang diputuskan di Mahkamah Syariah.

“Teras menggesa supaya Jawatankuasa ini juga memberi perhatian kepada pelbagai persoalan kebajikan mualaf yang masih belum diatasi dengan sempurna terutama dari sudut undang-undang,” ujarnya.

KUIN: ‘Serangan bertalu-talu macam nak jatuhkan Azizan’ dakwa Nasrudin Hassan

January 30, 2012

Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan. — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 30 Jan - Dewan Pemuda PAS pusat hari ini melahirkan kebimbangan terhadap reputasi Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mendakwa serangan yang dilemparkan seolah-olah mahu menjatuhkan Menteri Besar Kedah itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata semua pihak termasuk kepimpinan Pakatan Rakyat perlu menghormati pandangan Azizan dalam isu penggantungan lima mahasiwa KUIN menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Tegas beliau, walaupun sayap pemuda PAS itu tegas untuk memansuhkan AUKU namun perbezaan pandangan perlu ditangani dengan baik.

"Apabila ada dari kalangan kita yang berbeza pandangan seperti menteri besar Kedah...beliau berbeza pandangan dengan kita mengenai AUKU maka tangani perbezaan pandangan ini dengan positif sebab perkara ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh diselesaikan.

"Jadi apabila menteri besar Kedah mempunyai pandangan berbeza, kita perlu dengan dan hadapi isu ini dengan baik...bukan serang bertubi-tubi, mengancam mahu jatuhkan kerajaan dan keluarkan kenyataan agar keluar PAS dan masuk Barisan Nasional (BN)," katanya menambah Pemuda PAS pusat konsisten berjuangan bersama Pakatan Rakyat, kumpulan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mansuhkan undang-undang itu.

Nasrudin berkata pihaknya kesal dan kecewa dengan pihak tertentu yang bertindak menyerang Azizan yang sebelum ini menegaskan tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran KUIN.

"Kalau dengan kerajaan Umno-BN pun kita berunding mengenai AUKU, menteri pengajian tinggi dan timbalannya juga kita jumpa untuk bincang tapi mengapa dengan menteri besar Kedah kita pelakukan lebih teruk daripada BN?

"Sehingga ugut beliau keluar PAS, saya tidak nampak rasional melainkan saya bimbang ia adalah usaha untuk menjatuhkan reputasi dan kedudukan menteri besar Kedah...saya bimbang begitu tapi saya harap ia tidak berlaku," katanya.

Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.

Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.

Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.

Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.

PAS akan meminta Azizan memberikan penjelasan berhubung penggantungan lima mahasiswa KUIN pada 12 Februari ini semasa mesyuarat bulanan parti itu.

Khamis lalu, pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mengesyorkan agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan atas alasan bertindak bertentangan dengan prinsip Buku Jingga.

Namun Azizan menegaskan bersedia berdepan dengan apa jua tindakan oleh Pakatan Rakyat termasuk dipecat sekiranya bersalah.

Nasrudin turut membangkit persoalan mengenai serangan terhadap Azizan namun tidak menyerang Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh yang menjadi peguam bagi KUIN.

"Ia bukan sahaja libatkan Azizan, Karpal Singh juga peguam yang bela KUIN...adakah Karpal Singh sokong AUKU? Adakah Karpal Singh bertentang arus dengan Pakatan Rakyat? Kerapa Karpal Singh tidak diserang sebaliknya hanya serang menteri besar Kedah.

"Persoalan begini menimbulkan tanda tanya...kepada semua saya sarankan tangani keadaan ini dengan baik dan jangan keluarkan kenyataan berbaur jahat," katanya.

Akai kalih Isu nie orang dah dapat baca dah wahai UMNO oi... dok sembang bab Roboh Surau last mai plak bab Video Porno...

Trick lama UMNO (alih isu)... orang kampung semua dah tahu


Oleh: Saiburi Sudin

Jangan alih fokus anda, bila puak-puak UMNO Kedah akan menjadikan bangunan pejabat insuran (Madrasah Salihiah) sebagai alat meraih sokongan rakyat.Jangan alih fokus anda bila timbul isu kononnya ada video sex terbaru Anwar di Siam.

Semua itu dikategorikan sebagai 'teori alihan' atau mat salleh kata devisionist theory.

Semua ni sekadar-sekadar satu permainan, 'power games' yang diajar oleh Yahudi APCO PADA ANAK BUAHNYA.

Biasalah, BN sekarang banyak problem dan ada isu dasar yang rakyat sedang perhatikan. Oleh itu nak mengelak rakyat dari terlalu tertumpu kepada isu utama yang sedang dihadapi BN sekarang ini maka terpaksa diwujudkan isu sampingan lain.

BN di Kedah kini dibebani dengan masalah kepimpinan yang teruk, nampak lemah tak bermaya apabila Datuk Mat Bashah pemimpin lama dan tiada kelulusan akademik dipaksa memimpin parti yang juga sudah tua dan lemah. Ketua pembangkang Datuk Mahdzir Khalid terbeban dengan pelbagai skandal kewangan semasa mentadbir dulu, sehingga setiap pendedahan yang dibuat oleh PAS tiada satu pun berjaya dijawab sebab semuanya benar belaka. Ketua Penerangan UMNO Datuk Jamil Khir pula terpaksa berhempas pulas menjawab isu penyelewengan duit zakat yang disapu untuk membiayai kes peribadinya di mahkamah. Semua ini memeningkan UMNO Kedah.

Maka isu pejabat insuran yang akan dirobohkan untuk dibina semua surau gergasi bernilai RM4.8 juta, di samping ganti wakaf RM1.48 juta pun digubah untuk menjadi isu besar yang bisa mengabui mata rakyat (pada anganan mereka). Mereka cuba hiasi dengan amalan yang nampak Islamic seperti solat, kenduri, baca Yasin, solat hajat, qiyamullail, perarakan maulidulrasul TETAPI INGAT!!!!...Allah SWT lebih tahu apa yang ada dalam hari perut hangpa. Elemen Islam dijadikan alat demi kepuasan nafsu serakah politik hangpa, politik UMNO yang berbinkan rasuah dan peghebiahan reta meredak rakyat untuk membina kekayaan peribadi.

Kesimpulannya itu TRICK LAMA UMNO/BN.. Rakyat dah cerdik.. Kami faham apa yang sebenarnya anda sedang lakukan.. Jangan sepanjang masa mahu membodohkan rakyat. Orang kampung semuanya dah tahu!!!

Anda tidak perlu jadi Professor Zainal Keling, Prof Mustafa Ishak atau berjawatan penasihat BBSMS seperti Prof. Dr. Sobri Sudin untuk memahami strategi 'bingai' sebegini.. Cukuplah Allah s.w.t dengan izin dan kekuasaanNya menunjukkan kebesaranNya dan cukuplah dengan akal kita untuk menilai baik dan buruknya..

Ku Li buat-buat tanya 'pasai apa negeri pengeluar minya rakyat dia miskin?'




nie ada satu cerita sedih pasia rakyat Terengganu... hangpa baca dan paham-pahamkanlah nooo : KLIK SINI - TranungKite Pemimpin Kaya Rakyat Merana

ALOR SETAR - "Bacul kalau saya tinggalkan pasukan Kedah sekarang."



Demikian kata-kata pengurus pasukan Kenari, Datuk Khazali Din, yang bertegas tidak akan meninggalkan skuad Hijau Kuning itu selagi prestasi mereka gagal mencapai tahap terbaik.

Walaupun dicemuh kira-kira 1,000 penyokong yang berhimpun di luar Stadium Darul Aman kelmarin selepas Kedah tewas 1-3 kepada Johor FC dalam aksi Liga Super, namun Khazali tidak sesekali berniat untuk berundur.

"Saya tak rasa apa-apa bila dikutuk oleh penyokong dan ini langsung tidak melemahkan semangat saya.
"Bacul kalau saya tinggalkan Kedah ketika pasukan lemah, kalau Kedah sudah kembali ke prestasi terbaik saya tak kisah kalau nak tinggalkan skuad," ujarnya di Stadium Darul Aman kelmarin.

Kedah langsung gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan di tempat sendiri, musim ini.
Dalam aksi perlawanan, bekas gergasi bola sepak tempatan itu sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, sebelum tumpas 0-3 kepada Kelantan dan terbaru, diaibkan 1-3 oleh Johor FC.

Pada perlawanan kelmarin, tiga gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Azi Shahril Azmi, Riduwan Ma'on serta Muhd. Khaironizam Shahbudin.

Gol saguhati tuan rumah, yang juga gol sulung mereka musim ini dijaringkan oleh Mohd. Khyril Muhymeen Zamri.
Menurut Khazali, Kedah perlu melakukan satu reformasi untuk mengembalikan kehebatan mereka dan meningkatkan prestasi pasukan.

"Kita kena buat reformasi secepat mungkin dan tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi.
"Dulu kita salahkan penjaga gol bila kalah, tetapi malam ini semua pemain salah," ujarnya.
Tambahnya lagi, kekalahan kelmarin juga amat menyedihkan kerana pemain langsung tidak mempamerkan permainan bermaya.

"Langsung tidak ada serangan berbahaya daripada pasukan kedah dalam perlawanan hari ini.
"Moral pemain juga dalam keadaan yang tidak stabil kerana mereka sedang tertekan mengejar kemenangan," jelasnya.

Sementara itu, disebabkan kegagalan Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas skuad Kenari mengalami kekalahan ketiga musim ini.
Nidzam yang kecewa dengan prestasi anak buahnya sepanjang lima saingan itu menyifatkan aksi semalam sebagai persembahan terburuk.

''Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din)," katanya.

sumber: Utusan online

Bazar Sinar malam di Pekan Rabu mula 5 Februari

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri di bawah pembangunan usahawan dengan kerjasama Pekan Rabu akan mengadakan Bazar Sinar Malam di Pekan Rabu bermula 5 Februari 2012.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad, bazar tersebut akan didirikan di sekeliling Pekan Rabu bermula dari Sungai Raja hingga bangunan Arked Empayar yang dianggarkan kira-kira 200 meter.

Beliau memberitahu, jika dilihat sekarang Pekan Rabu hanya beroperasi sehingga 7 malam sahaja, jadi ada setengah pelancong tidak berkesempatan membeli barang pada waktu tersebut disebabkan urusan tertentu.

“Dari situlah kita mahu mewujudkan Bazar Sinar Malam untuk memberi peluang kepada pelancong untuk menjalankan aktiviti membeli belah sehingga lewat malam di Pekan Rabu,” ujarnya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 100 tapak perniagaan untuk bazar tersebut.

Beliau menjelaskan, pihaknya menyasarkan 1,000 pengunjung setiap malam datang ke bazar yang turut mengadakan pelbagai aktiviti berjadual itu.

“Selain itu, bazar yang beroperasi pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad itu turut memberi peluang kepada usahawan muda serta usahawan yang belum memiliki lesen perniagaan untuk menjalankan perniagaan dengan konsep santai,” katanya.

Tambahnya, mereka yang berminat hanya perlu ke Koperasi Pekan Rabu mengambil borang dan membayar deposit RM50 dan RM5 untuk kos penyelenggaraan pada hari beroperasi.

“Sekiranya Bazar Sinar Malam itu mendapat sambutan, ia mungkin akan dibuka di beberapa kawasan lain yang dilihat berpotensi untuk mengadakan bazar sama,” ujarnya.

Nidzam Adzha lepas jawatan



KEGAGALAN Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof (gambar) melepaskan jawatannya.

Keputusan itu dibuat selepas Kedah sekali lagi tumbang di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin yang sebelum ini boleh dianggap sebagai gelanggang keramat buat mereka.

Pada pertemuan itu, skuad Hijau Kuning dihukum atas kelemahan mereka sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan berstatus kelab, Johor FC.

Nidzam Adzha yang kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang lima perlawanan setakat ini menyifatkan aksi tersebut sebagai persembahan terburuk barisan kendaliannya.

“Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din),” kata Nidzam Adzha.

Pada pertemuan di laman sendiri, Kedah hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, selain diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan dan terbaharu, tewas 1-3 kepada Johor FC.

Nidzam Adzha yang merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah menggalas tugas selaku pengendali sementara Kedah bagi menggantikan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan.

Wan Jamak didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September lalu.

Turut menerima nasib sama ialah Radzi yang merupakan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail yang digantung empat perlawanan dan mereka kembali memulakan tugas mulai malam kelmarin.

Mengulas lanjur, Nidzam Adzha memberitahu, Kedah memerlukan jurulatih yang lebih baik bagi membawa pasukan ke puncak kejayaan.

Ujarnya, biarpun beliau sudah berusaha yang terbaik, namun masih gagal membantu Kedah meraih kemenangan dan kejayaan.

“Saya akan fokus kepada pasukan Piala Presiden pula selepas ini,” katanya.

Namun dalam keberatan meninggalkan skuad utama, Nidzam Adzha tetap menaruh keyakinan bahawa para pemain Kedah masih mampu bangkit memandangkan saingan musim ini masih di peringkat awal.

“Cuma pesan saya kepada pemain jangan berputus asa dan bersatu padu.

“Jangan menuding jari sesama mereka, sebaliknya semua perlu rasa bertanggungjawab di atas prestasi Kedah,” katanya.

Kepada penyokong setia skuad Hijau Kuning, jurulatih muda itu melahirkan penghargaan di atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pasukan.

“Saya memahami kemarahan mereka (penyokong). Ia menunjukan mereka sayangkan pasukan dan mahu pemain bangkit (meraih kemenangan).

“Saya berharap mereka akan terus menyokong Kedah, walau dalam keadaan apa sekali pun prestasi pasukan,” katanya.

Ketika ini, Kedah terbenam di dasar liga dengan hanya mengutip dua mata hasil seri dua kali dan tewas dalam tiga perlawanan.

Nasib tulisan jawi semakin membimbangkan - Pakar


KYOUNG SEOK melahirkan kebimbangan terhadap nasib tulisan jawi di negara ini.

KUALA LUMPUR - Seorang pakar tulisan jawi berketurunan Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Prof. Dr. Kang Kyoung Seok dari Pusan University of Foreign Studies mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Menurutnya, tulisan jawi sedang 'tenat' dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

"Ramai pakar yang saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi?," katanya yang fasih berbahasa Melayu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...