TERKINI :

Monday, January 16, 2012

Gempar..!!! Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir akan joint BERSIH 3.0..!!

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash4/s720x720/406845_346368962059938_100000605126741_1368576_673251012_n.jpg

Sokong kerajaan bersih - Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir tidak menyatakan pendirian menyokong Pakatan Rakyat (PR), tetapi yang jelas beliau menyokong sesebuah kerajaan yang bersih, adil dan berusaha menghapuskan amalan rasuah.

“Saya tidak mahu komen kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai sokongan saya dan beberapa sahabat lain kepada PR untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bekas Menteri Penerangan ini berkata, beliau menyokong mana-mana kerajaan yang mengamalkan pilihan raya bebas, telus dan berkecuali, sebagaimana dengan pendirian pemimpin dan dasar Amanah.

Menurutnya, sudah tiba masa kerajaan menghormati hak rakyat dengan mengadakan pilihan raya adil sebagaimana dilakukan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Sekiranya ada perhimpunan Bersih 3.0, saya akan kerahkan semua ahli Amanah menyertainya dan saya akan berada di barisan hadapan. Saya bukan berniat hendak mengugut kerajaan, tetapi saya tidak mahu peme-rintah menipu rakyat".

“Amanah juga berjumpa dengan beberapa Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pilihan raya. Kami sarankan media masa diberi kebebasan dan tidak menyiarkan berita berat sebelah, serta berharap pilihan raya diadakan selepas melaksanakan penambahbaikan,” katanya.

Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu berubah supaya mereka tidak mengalami nasib seperti berlaku di Mesir, Syria dan Libya, apabila rakyat memberontak dan menuntut hak asasi serta mahu kerajaan yang adil.

Sementara itu, Umno menyifatkan kenyataan Mohamad mengenai ‘sokongan orang BN kepada Pakatan Rakyat tidak benar. - Sinar Harian

Nak Kutuk DAP punya pasal... Berita Hairan Liwat Sasterawan Negara..!!

Untuk burukkan DAP, Berita Harian putar belit kenyataan Sasterawan Negara?

Semakin terdesak nampaknya UMNO/BN, selain dari Utusan yang menjadi Lidah Rasmi UMNO, Berita Harian juga diperkudakan untuk memburukkan parti dalam Pakatan Rakyat.


Untuk memburukkan DAP, Berita Harian edisi 14 Januari 2012 menyiarkan satu artikel yang bertajuk ‘DAP binasakan identiti Melayu, Sasterawan desak selamatkan warisan sejarah' yang tidak tepat dan tidak betul menurut sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh.

'Jangan heret saya dalam perkelahian politik'

Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh menyatakan kekecewaannya terhadap laporan sebuah harian berbahasa Melayu berhubung laporan yang mendakwa DAP "membinasakan" identiti Melayu.

Katanya, laporan Berita Harian bertarikh 14 Januari -- bertajuk "DAP binasakan identiti Melayu: Sasterawan desak selamatkan warisan sejarah"-- tidak betul dan tidak menggambarkan apa yang diucapkannya.

"Saya tidak menyebut kerajaan BN atau DAP dan mengharap orang yang berfikir dapat meneka - tetapi selama 50 tahun lebih orang Melayu sedikit demi sedikit lari ke Seberang, terperosok di rumah pangsa yang sempit dan kehadiran mereka di negeri ini, terutama di pulau, semakin menipis.

"Ramai daripada mereka miskin dan terdesak. Masalah yang dihadapi orang Melayu berusia lebih 50 tahun. Kerajaan sekarang baru saja beberapa tahun memerintah, dan baru saja cuba menangani masalah ini," katanya.

Dr Muhammad berkata, beliau tidak berminat menyokong kerajaan mana pun, sebaliknya hanya bertindak sebagai "pemerhati dan pengkaji orang Melayu dan orang Malaysia di Pulau Pinang" dan ingin mengetengahkan masalah mereka.

"Apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun ini ialah tragedi orang Melayu dan orang miskin," kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Dalam kenyatannya semalam, Dr Muhammad menegaskan, masih terdapat orang Malaysia yang "tidak berfikir dari sudut dan untuk parti" dan sebagai penulis, beliau ingin melihat dan berfikir dengan saksama.

"Harap jangan diheret saya ke kancah perkelahian politik. Pengarang ialah kata hati masyarakat dan kami ingin menjalankan tugas kami dengan jujur," katanya lagi.

Sehubungan itu, ekoran salah lapor itu, beliau berkata, Berita Harian bertanggungjawab secara etikal dan moral untuk menyiarkan penafiannya - Malaysiakini


*******************************************

Kenyataan akhbar
Berita Harian Salah Lapor

15 Januari 2012

Saya membaca dengan rasa sangat kecewa laporan saudara Faridzwan dalam Berita Harian edisi 14 Januari 2012 yang bertajuk ‘DAP binasakan identiti Melayu’ Sasterawan desak selamatkan warisan sejarah kerana tidak tepat dan tidak betul tentang apa yang saya sebut pada hari Khamis (12/1/2012) yang lalu.

Ada juga orang Malaysia tidak berfikir dari sudut dan untuk parti. Dan saya penulis, ingin melihat dan berfikir dengan saksama. Harap jangan diheret saya ke kancah perkelahian politik. Pengarang ialah kata hati masyarakat dan kami ingin menjalankan tugas kami dengan jujur.

Saya tidak menyebut kerajaan BN atau DAP dan mengharap orang yang berfikir dapat meneka – tetapi selama 50 tahun lebih orang Melayu sedikit demi sedikit lari ke Seberang, terperosok di rumah pangsa yang sempit dan kehadiran mereka di negeri ini, terutama di pulau, semakin menipis. Ramai daripada mereka miskin dan terdesak. Masalah yang dihadapi orang Melayu berusia lebih 50 tahun. Kerajaan sekarang baru saja beberapa tahun memerintah, dan baru saja cuba menangani masalah ini.

Saya tidak berminat menyokong kerajaan mana pun; saya pemerhati dan pengkaji orang Melayu dan orang Malaysia di Pulau Pinang, dan ingin membantu mengetengahkan masalah mereka yang malang dan tersepit. Apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun ini ialah tragedi orang Melayu dan orang miskin.

Oleh sebab Berita Harian telah salah lapor maka saya kira Berita Harian bertanggungjawab secara etikal dan moral untuk menyiarkan penafian saya ini.

Prof. Muhammad Haji Salleh

Isu Sewa PKNS naik 100% - Najib berlagak jadi hero tamil..!!!


SHAH ALAM, 16 JAN : Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat bandaraya Shah Alam baharu-baharu ini tidak ubah seperti hero filem Tamil tahun 60an masuk kampung menyelamatkan gadis dalam kesusahan.

Faekah berkata, gelagat lucu dipamerkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu apabila bertemu penyewa-penyewa tapak perniagaan di Kompleks PKNS, Shah Alam yang keresahan susulan keputusan tindakan PKNS menaikkan kadar sewa.

Jumaat lalu, Najib semasa program bertemu peniaga dan penyewa Kompleks PKNS mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mengambil alih kompleks itu bagi mengelakkan kenaikan kadar sewa antara 70 hingga 100 peratus.

Laporan media sebelum ini mengatakan Najib berkata beliau mahu menitis air mata mendengar keluhan peniaga-peniaga di kompleks itu.



"Tidakkah Najib tahu bahawa 70 peratus penyewa terbabit setuju dengan kenaikan ini? Tidakkah beliau tahu bahawa penyewa-penyewa ini telah menikmati kadar sewa 70 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa di Shah Alam?," kata Faekah dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

"Saya tidak fikir hanya saya yang beranggapan tindakan lagak hero Najib ini sebagai pelik. Tambah pula, lakonan beliau sehingga kononnya akan mengeluarkan airmata telah memualkan banyak pihak.

"Kerajaan BN telah merompak kekayaan Selangor sejak 50 tahun dan perbuataan ini terhenti apabila hero sebenar iaitu Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor," kata Faekah.

Mengulas lanjut, Faekah mempersoalkan kewajaran tindakan Najib "menitiskan air mata" yang sepatutnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Umno Selangor sebelum ini yang mengkhianati janji dan kebajikan kaum Melayu.

Tangisan itu juga kata Faekah, seharusnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Pakatan Selangor hari ini memberi baucer RM100 kepada warga emas Umno menerusi program "Jom Shopping".

"Sebaliknya, Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila bekas Menteri Besar, Dr Mohamaed Khir Toyo menggunakan hampir RM2 juta duit rakyat untuk lawatan ke Disneyland.

"Najib juga sepatutnya menangis apabila seorang wakil rakyat Melayu menjual tanah rezab Melayu kepada tauke Cina dan tanah yang diwartakan untuk pembinaan surau dijual bagi memberi laluan kepada projek pembangunan,"katanya.

Rapat Rakyat Alor Setar : Ucapan Anwar Ibrahim - 'Bersihkan Malaysia'



Jangan takut momokan UMNO

Oleh Mazir Ibrahim

PAS telah berevolusi dengan persekitarannya. Kini, PAS kita lihat bukan lagi sebagai parti yang memperjuangkan slogan seperti UMNO semata-mata, sebaliknya ia sudah menjadi sebuahttp://pinkturtle2.files.wordpress.com/2009/03/pas23.jpgh parti yang mahu melaksanakan isi kandungan dari slogan-slogannya.

Dengan agenda Negara Berkebajikan, maka matlamat perjuangan PAS dengan PKR dan DAP semakin bertemu di satu titik yang sama di mana dasar berkebajikan ini cukup ideal dan boleh disadap oleh pelbagai pihak, baik Islam mahu pun bukan Islam.


Ini merupakan satu sejarah besar dalam politik Malaysia. Malah Negara Berkebajikan telah berjaya meroboh mitos ciptaan UMNO yang memomokkan bahawa PAS dan DAP tidak boleh berjuang atas satu landasan yang sama. Inilah politik pintar PAS.

Salah contoh

Membaca ungkapan Subky Latif dalam rencana “Politik pintar DAP tak letak calon Melayu” dalam Harakahdaily bertarikh 8 Januari 2012, (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7460-politik-pintar-dap-tak-letak-calon-melayu) beliau telah mengulas gaya dan agenda politik DAP. Menarik kerana bernas dan kuat pula hujahnya.

Namun demikian, Subky sebagai wartawan veteran dan mantan pemimpin PAS telah mengambil contoh pengalaman Lee Kuan Yew, mantan Perdana Menteri Singapura, sebagai satu perbandingan yang kita anggap tidak begitu sesuai.

Subky menulis: “Mungkin pengalaman semasa Lee Kuan Yew menjadi rakyat Malaysia dulu boleh dipelajari. Lee Kuan Yew terlalu cepat menyatakan politiknya untuk menggantikan Perdana Menteri Melayu 20 tahun selepas pembentukan Malaysia.”

Mungkin Subky yang kini sudah melepasi usia 70 tahun bertuah kerana menjadi saksi pergolakan politik tanah air pada 1960-an dahulu tetapi dalam konteks hari ini, Lee Kuan Yew dan PAP itu lebih banyak persamaannya dengan UMNO dari segi politik dominasi kuasa dan kekangan kebebasan serta hak asasi. Lee Kuan Yew dan PAP tidak boleh disamakan dengan DAP hari ini.

Dengan mengukur politik kaum tahun 1960-an, andaian itu perlu diubah sekarang. Seharusnya mana-mana parti politik yang berhasrat untuk mengamalkan politik rentas kaum, yakni parti pelbagai kaum, ia merupakan suatu cita-cita yang murni.

Ia seharusnya didukung dan digalakkan agar fahaman assabiyah dapat dilebur perlahan-lahan. Usaha ini perlu dilakukan bersama-sama, yakni secara jamaah, bukan hanya dari sebelah pihak sahaja.

Malah bukan sahaja fahaman assabiyah ini akan hilang, sebaliknya semangat persaudaraan itu akan lebih cepat muncul, dibentuk dan disuburkan.

Perihal UMNO memomokkan rakyat bukanlah isu besar yang harus dirisaukan. Sudah lebih setengah abad UMNO memainkan lagu yang sama. Sejak 2008 tohmahan dan fitnah UMNO semakin tidak laku.

Yang menjadi cabaran ialah Pakatan Rakyat sendiri yang harus menunjukkan teladan dengan mengamalkan kepelbagaian dalam mencorak politik dan masa depan bangsa.

Subky turut menulis: “Jika DAP meletakkan calon Melayu di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain, maka dijadikan propaganda oleh UMNO bahawa DAP menyedia Menteri Besarnya di situ dan Menteri Besar Melayu DAP itu tetap mereka momokkan sebagai kuda lumba DAP.”

Barangkali ramai yang kurang sedar bahawa DAP pada dasarnya tidak terdesak untuk memastikan pemimpinnya (jika ada Melayu) menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri. DAP menerima hakikat politik negara.

Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP hanya mahu memastikan wujudnya sebuah kerajaan yang adil dan demokratik, cekap, akauntabel dan telus, serta memastikan setiap warga mempunyai peluang saksama. Sama ada sebagai pembangkang dengan dua, tiga kerusi atau sebagai rakan dalam kerajaan Pakatan, hanya itu sahaja yang diperjuangkan oleh DAP sejak 46 tahun lalu.

Momok UMNO dan hakikat DAP

Mungkin ada segelintir Melayu memasang cita-cita besar dalam DAP. Itu lumrah manusia bergelar politikus dalam mana-mana parti termasuk PAS, PKR, UMNO.

Namun, janganlah lupa – ia tidak semudah itu dalam DAP. Ia melibatkan soal wibawa seseorang; layakkah jadi calon, mampukah menang dan sanggupkah menunaikan amanah kepada rakyat.

Sudah menjadi amalan dan budaya DAP, iaitu apa jua kerja politik, ia berasaskan merit. Tidak banyak ruang untuk kronisme atau kabel politik. Jadi, Melayu atau apa kaum sekali pun dalam DAP perlu bekerja untuk rakyat, itu kerja asasi mereka.

Momok UMNO tentang DAP parti rasis, komunis dan cauvinis tidak menghairankan kita kerana, kepimpinan parti yang rasis dan assabiyah seperti UMNO itu, pastinya berperwatakan begitu. Buatlah apa pun, sama ada yang pintar atau tidak, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka akan terus menabur fitnah.

Justeru, terlalu membenci UMNO atau takut kepada momok UMNO, kadang kala menjerat diri kita sendiri.

Tsunami politik 2008 membuktikan bahawa politik cara lama, khususnya dari sudut perkauman, semakin tidak relevan.

Untuk benar-benar ubah, untuk jujur dan ikhlas selamatkan Malaysia, dan untuk perkenalkan politik baru yang bersih, adil dan telus, ia memerlukan anjakan paradigma daripada para pemimpin dan ahli komponen Pakatan Rakyat sendiri.

Untuk mematikan momok UMNO sebenarnya mudah sahaja. Pastikan Pakatan Rakyat tidak menari mengikut paluan gendang UMNO. Bergerak atas landasan bahawa rakyat itu adalah “tuan” tanpa mengira kaum dan agama.

Selepas mandat diberi untuk memerintah Malaysia, maka para pemimpin Pakatan Rakyat harus mengamalkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus. Dan apabila amanah diberikan oleh rakyat, jangan pula mahu bergayut dengan jawatan hingga mati.

DAP dengan pegangan Utamakan Rakyat Malaysia melalui Jalan Tengah Malaysia bersama perjuangan PKR bagi Keadilan Untuk Semua, amat padan dengan Negara Berkebajikan PAS. Negara Berkebajikan PAS bukan sahaja tidak lari dari perjuangan Negara Islam, malah melengkapkan lagi agenda parti Islam itu untuk rakyat semua kaum dan agama.

Rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina, India, Kadazandusun dan Iban, sudah semakin menerima PAS. Tidak ada sebabnya orang Melayu tidak boleh menerima DAP dan PKR. – Roketkini.com

Bersatu Tawan Putrajaya, Bukan Jatuhkan PR

Oleh Idris Ahmad

http://www.malaxi.com/images/putrajaya/putrajaya01.jpgRakyat Selangor bersatu hati untuk menawan Putrajaya supaya melincinkan agenda untuk rakyat di negara ini. Bukan bersatu untuk menaikkan kembali Umno BN di Selangor yang terbukti parti yang mengkhianat amanah rakyat.Banyak ganguan yang dihadapi oleh negeri Pakatan Rakyat selagi BN masih berkuasa di peringkat pusat.

BN yang tidak menghormati konsep Fedaralisme yang berjalan di negara ini. Banyak hak negeri dinafikan, sedangkan hak pusat seperti bayaran pasport, stem, cukai kastam, saman kesalahan lalu lintas, hasil minyak semua dibolot oleh kerajaan pusat.

Oleh itu cadangan Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zain Mohamed yang menyeru rakyat Selangor bersatu hati untuk menawan Selangor di dalam pilihanraya akan datang supaya seiring dengan Putrajaya adalah cadangan daripada orang yang kecewa.

Beliau mengatakan kerajaan PR gagal mengatasi masalah sampah, air dan peniaga bumiputera. Sebenarnya rakyat tidak menghadapi masalah, yang sakit dan tidak bernafas sekarang ialah kroni Umno yang tidak dapat projek. Sekarang syarikat kroni Umno telah dihinggapi histeria kerana syarikat pungutan sampah telah diambil alih oleh Kerajaan Tempatan. Sebab itu berbagai sabotaj dilakukan terhadap kerajaan negeri.

Pakatan cabar BN isytihar harta secara terbuka

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
January 14, 2012
Pakatan cabar BN isytihar harta secara terbuka

ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar pemimpin Barisan Nasional (BN)khususnya anggota Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta peribadi mereka seperti dilakukan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang, kelmarin.

Menurutnya, pengisytiharan harta itu membuktikan PR berani dan selaras dengan janji mereka yang mahu membuktikannya kepada rakyat.

"Kita tidak takut istihar harta sebab kita bersih, pemimpin BN berani atau tidak seperti kita?

"Jika pemimpin BN isytiharkan harta pasti lebih firaun dari firaun, itu perbezaannya," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

Perisytiharan harta, yang dibuat kelmarin, membabitkan tempoh 8 Mac 2008 hingga 31 Disember 2011, dikeluarkan oleh syarikat akauntan bertauliah yang dilantik Kerajaan Negeri iaitu KPMG.

Selain itu, Guan Eng turut berjanji tiga perkara iaitu menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan, pemberian RM1,000 setahun kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas dan menurunkan kos sara hidup seluruh negara.
Katanya, janji ini boleh dicapai kerana menurutunya PR berjaya membuktikan pentadbiran yang bersih, sebagaimana dapat disaksikan di Pulau Pinang.

"Kos pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan adalah sebanyak RM6 bilion tetapi sekarang syarikat yang menyelianya sudah mengutip RM24.3 bilion, apa lagi yang mereka mahu kutip?

"Oleh itu, saya berjanji tol lebuh raya ini akan dihapuskan sejurus kita menawan Putrajaya," katanya.

Ceramah ini turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik serta dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Sultan mahu Kerajaan Negeri bantu 17,000 keluarga miskin


Wartawan Sinar Harian
January 15, 2012
Tunku Annuar menganugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK), membawa gelaran Datuk Seri kepad

ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru agar Kerajaan Negeri terus menyalurkan bantuan kepada 17,000 keluarga miskin yang didaftar di Kedah setakat 31 Oktober lalu.

Baginda bertitah, bantuan boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan am dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Zakat atau penglibatan syarikat korporat.

“Golongan miskin dan tidak bernasib baik akan terus dibela oleh kerajaan. Beta harap taraf hidup rakyat akan bertambah baik dan hidup dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera dalam persekitaran yang selamat,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim juga mahu Kerajaan Negeri memantapkan pembangunan modal insan yang berpegang teguh kepada ajaran agama, dan dengan adanya kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, diharap dapat membuka lebih banyak peluang dan cabang ilmu kepada rakyat Kedah.

“Kerajaan beta juga memperuntukkan sejumlah peruntukan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan Maktab Mahmud, antaranya membina asrama putera Maktab Mahmud Pokok Sena dan bangunan akademik Maktab Mahmud Kulim,” titah baginda.

Baginda juga menyeru kepada pengurusan masjid dan surau supaya berfungsi dengan lebih baik untuk membimbing ummah ke arah masa depan cemerlang.

“Beta juga berharap semua pihak memandang ke hadapan dan optimis demi mencapai kejayaan dan kemajuan. Semua pihak hendaklah berusaha mencipta lebih banyak kejayaan supaya dapat memajukan negeri Kedah,” titah baginda.

Kedah sasar pertumbuhan ekonomi 5 peratus

ROSLINDA HASHIM
January 15, 2012

ANAK BUKIT - Kerajaan Negeri menyasarkan pertumbuhan ekonomi negeri tahun ini mencecah kadar lima peratus walaupun kelembapan ekonomi dunia terus melanda beberapa negara maju selain krisis kewangan di Eropah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, biar pun keadaan itu turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan asing ke Kedah, Kerajaan Negeri tetap berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Senario ekonomi dunia masih tidak menentu, namun Kerajaan Negeri tetap berusaha menggembleng tenaga jabatan negeri, anak syarikat dan swasta untuk melaksana perancangan sedia ada.

"Beberapa projek utama dijalankan secara berperingkat,” katanya ketika berucap pada majlis istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran, sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Azizan berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah tanaman nenas secara komersil, ternakan ikan dalam sangkar, pembinaan kawasan industri fasa empat Kulim Hi-tech Park, pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, menaiktaraf jalan raya negeri serta projek bekalan air.

“Kerajaan Negeri juga membantu anak syarikat dan swasta melaksanakan projek berimpak tinggi seperti Aman Central dan projek perumahan mampu milik, yang diyakini memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan insan apabila mewujudkan Sekolah Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi tahun ini.

“Maahad Tahfiz Sains Darulaman sudah siap di Kulim dan 50 pelajar memulakan sesi persekolahan tingkatan satu bulan ini. Kursus bina insan kepada golongan belia dan remaja terus diperkukuh termasuk program khas untuk wanita,” katanya.

Azizan berkata, projek perumahan mampu milik yang dibina oleh anak-anak syarikat Kerajaan Negeri akan mula dibina mulai tahun ini, antaranya di Alor Setar, Jitra, Kuala Ketil dan Yan.

“Memandangkan harga rumah meningkat di pasaran, selain mendapati bilangan keluarga yang tidak mampu membeli rumah meningkat, kita memulakan kerja awalan untuk bina rumah mampu milik,” katanya.

Menurutnya, kajian perumahan turut dijalankan bagi menentukan kategori rumah yang perlu dibina di sesebuah daerah berdasarkan kemampuan penduduk. Dasar itu akan membantu Kerajaan Negeri dan pemaju menyediakan jenis perumahan kepada rakyat.

“Kita turut prihatin dengan peningkatan kos sara hidup dan untuk mengurangkan beban, kerajaan wujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kecil dalam bandar. Aktiviti pertanian terus diberi tumpuan termasuk membangun semula tanah terbiar, pemulihan kolam ikan dan dusun serta kempen satu rumah sepuluh pokok,” katanya.

Azizan berkata, pada tahun ini, kerajaan memberi bantuan persekolahan RM100 kepada dua pelajar bagi setiap keluarga miskin yang berdaftar bawah e-Sinar, yang akan memanfaatkan lebih 5,100 keluarga.

Sultan Kedah puji Azizan laksana pembaharuan di Kedah

ROSLINDA HASHIM
January 15, 2012
istana

ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji pentadbiran negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan kemajuan pembangunan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.

“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam".

Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tuanku Abdul Halim bertitah, kerancakan aktiviti ekonomi ini menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat selain berharap taraf hidup rakyat dapat terus dipertingkat menerusi kemudahan prasarana yang menjadi asas kepada perkembangan aktiviti komersil seperti perumahan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.

“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.

“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan Menteri Besar supaya memastikan keadilan dapat terus dilaksana sebaik mungkin, selain setiap rakyat hendaklah diberi hak masing-masing tanpa mengira perbezaan anutan agama, bangsa mahupun fahaman politik.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...