TERKINI :

Sunday, December 16, 2012

Menolak politik fitnah dan persepsi

Oleh Mohd Riduan Khairi

Perkataan fitnah selalu ditafsirkan oleh masyarakat Melayu sebagai ‘menuduh secara dusta’. Ini sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan sebagai, “Tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.”

Namun perkataan fitnah di dalam al-Quran dan Sunnah membawa maksud yang lebih luas mencakupi maksud syirik, maksiat, ujian atau bala, melakukan kerosakan, pembunuhan, kesakitan, peperangan dan lain-lain.

Menuduh secara dusta tanpa bukti dan menyebarkan persepsi serong untuk menimbulkan huru-hara juga termasuk dalam skop luas fitnah yang dimaksudkan oleh agama Islam.

Ini kerana hujung-hujungnya tuduhan dusta dan persepsi serong akan membawa kepada yang bencana dan bala lebih besar.

Lihat kepada tuduhan dusta yang disemarakkan oleh kaum munafik kepada Ummul Mukminin Aisyah bt Abu Bakar dalam peristiwa yang disebut sebagai ‘hadis Ifk’. Begitu juga tuduhan bahawa kononnya bahawa Abu Hurairah banyak memalsukan hadis Nabi.


Tidak lepas juga Muawiyah b Abu Suffyan ra, antara susuk sahabat Nabi yang paling banyak dicerca, dicela dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan palsu. Walhal Syaikhul Islam Ibn Taimiyah menyebutkan beliau sebagai raja yang paling mulia dalam Islam. Bahkan ada yang memasukkan beliau sebagai salah seorang khulafa’ ar-Rasyidin.

Awalnya ia merupakan sebuah tuduhan dusta atau fitnah. Sekilas pandang ia hanya bersifat peribadi, yang dituduh dan ditohmah itu hanyalah keperibadian mereka. Namun lihat ke mana arus fitnah ini bermuara. Apa yang dikendong di sebalik watak mulia seperti Aisyah, Abu Hurairah dan Muawiyah b Abu Suffyan?
Muawiyah bin Abu Suffyan merupakan penulis wahyu. Ibn Qayyim menuliskan dalam Zaadul Maad bahawa beliau merupakan penulis wahyu yang paling setia dan istimewa. Justeru memfitnah dan memburuk-burukkan Muawiyah b Abu Suffyan merupakan satu usaha untuk meragui keabsahan satu dari riwayat al-Quran yang dicatat oleh Muawiyah.
Abu Hurairah dan Aisyah bt Abu Bakar ra pula termasuk sahabat Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis. Imam al-Hakim di dalam kitab Mustadraknya menyebutkan bahawa ¼ daripada pada ajaran Islam yang diterima itu disampaikan melalui riwayat Aisyah bt Abu Bakar ra. (Rujuk: Aisyah Mengoreksi Para Sahabat, Imam Badruddin az-Zarkasyi)
Tercalarnya peribadi mereka berdua, pada akhirnya akan meruntuhkan sumber-sumber utama periwayatan ajaran Islam. Setelah memahami hal ini barulah kita dapat faham apa motif dan maksud terselindung di sebalik tuduhan dusta yang dilemparkan ke atas seseorang tokoh.

Dan inilah yang dicanang oleh musuh-musuh Islam baik di dalam mahupun dari luar. Paling sering mencanang fitnah terhadap peribadi dan tokoh utama Islam ini ialah puak Syiah Rafidah. Sehingga hari ini kita dapat menemui banyak rakaman video, rencana dan buku dari kelompok sesat ini untuk memburuk-burukkan tokoh-tokoh Islam.

Apa yang lebih membimbangkan anasir durjana ini mula menyerap masuk ke dalam sebilangan organisasi, pertubuhan termasuk juga parti politik, khususnya yang kononnya berwajahkan Islam.

Hal yang sama juga berlaku sejarah panjang negara kita. Kota Melaka itu tidak dibina dalam sehari. Ia juga tidak diruntuhkan dalam satu malam. Ia melalui sejarah yang panjang; dari kembara Parameswara di Temasek melewati Biawak Busuk, Sening Ujung sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Selebihnya sudah menjadi sejarah. Jatuh-bangunnya sebuah kota peradaban melalui proses yang tidak sekejap.

Sepanjang sejarah itu juga fitnah tidak pernah berhenti berhamburan. Laksamana Hang Tuah difitnah berzina dengan gundik raja yang akhirnya mengakibatkan pertempuran saudara di Melaka.

Begitu juga fitnah ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang dituduh berzina dengan seorang pemuda di Temasek akhirnya menyebabkan pergelutan antara dua kuasa dan menyebabkan penjajahan Majapahit ke atas Singapura.

Demikian tercatat dalam Sejarah Melayu yang mengikut cerita; ditulis oleh Tun Seri Lanang, bendahara diraja kerajaan Johor pada 1612 atas perintah Sultan Alaudin Riayat Shah.

Demikian sejarah bergulir, dan sejarah itu akan terus berulang dan dengan watak yang berbeza. Namun hakikatnya, skrip dan rencananya masih sama.
Bahaya fitnah menurut Islam

Fitnah memberi mudarat kepada hati dan peribadi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara bersulaman satu sama lain. Hati yang dihinggapi fitnah, bintik-bintik hitam akan melekat padanya, sehingga akhirnya hati tersebut terbahagi menjadi dua.

Sebahagian menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Dan sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak melarang kemungkaran, dia hanya mengikuti keinginan hawa nafsunya.” (Riwayat Muslim dari Huzaifah)

Penyebar fitnah juga akan diazab oleh ALLAH di dalam kubur. Rasulullah SAW melalui dua kubur kemudian bersabda maksudnya, ”Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab, dan mereka tidak diazab kerana hal yang besar,… salah seorang daripadanya kerana dia jalan menyebarkan fitnah (namimah atau adu domba).” (Riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas)

Fitnah juga memberi kesan yang buruk kepada umat dan masyarakat secara keseluruhan. Firman ALLAH yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)

Berapa banyak tamadun manusia yang besar-besar diranapkan ALLAH kerana ujian fitnah yang mereka lakukan. Dua anak Adam pernah berbunuhan lantaran merebutkan seorang wanita.

Dikatakan dua kerajaan besar Greek dan Sparta pernah berperang selama sembilan tahun berpunca seorang wanita. ALLAH juga pernah menimpakan azab yang sangat berat kepada kaum Sadum yang melakukan homoseksual.

Demikian juga berita-berita palsu dan persepsi yang diseleweng pernah mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan kesejahteraan umat. Tuduhan palsu terhadap Aisyah bt Abu Bakar telah mengakibatkan Nabi berdukacita dan umat Islam gundah-gulana.

Begitu juga tuduhan dan provokasi terhadap pemerintahan Khalifah Uthman b Affan membawa kepada demonstrasi pertama dalam sejarah Islam.

Akhirnya dalam peristiwa itu Uthman bin Affan terbunuh dan kerajaan umat Islam bergolak.

Hari ini, terlebih lagi menjelang PRU13, hampir setiap hari akan muncul sebuah tuduhan baharu untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan kredibiliti pihak lawan. Walhal benar atau tidak sesuatu berita itu masih belum dapat dipastikan. Demikian juga manipulasi berita dan kejadian untuk mempengaruhi pandangan dan persepsi umum.

Sabda Nabi, “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu seorang pembohong akan dianggap benar, dan orang jujur tidak dipercayai.

Ketika itu seorang pengkhianat akan diberikan amanah, dan orang yang amanah dianggap pengkhianat, lalu Ruwaibidhah pun berbicara”. Para sahabat bertanya: “Siapakah Ruwaibidhah ya Rasulullah?”, “Dialah orang lekeh (tidak ada ilmu) yang berbicara tentang urusan umat.” (Musnad Imam Ahmad)

Justeru, solusi ampuh bagi menangani fitnah dan tersebarnya persepsi serong ialah kembali berpegang kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam agama Islam. Setiap berita yang diterima itu harus disemak terlebih dahulu adakah ia benar atau palsu.

Setelah dipastikan kebenarannya, harus pula ditimbang adakah perlu disebarkan atau tidak. Memang semua perkara layak untuk diberikan pendapat dan komentar, namun tidak semua pendapat dan komentar itu layak dilontar kepada tatapan umum.

Kempen 1Malaysia Tolak Fitnah telah dicadangkan oleh perwakilan Arau pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu. Sewajarnya ia disambut baik dan digembleng ke seluruh negara.

Ketua Biro Penerbitan, Ilmuan Malaysia(iLMU)

* Boleh juga layari Ilmuanmalaysia.com / Ilmu-islam.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...