TERKINI :

Monday, November 26, 2012

Tema sesuai PAU nanti - "Ingat Umno, Ingat Rasuah! "

Ahmad Tajdid,

 

"Penerima dan pemberi rasuah masuk neraka." (Hadis riwayat At Tirmidzi)

"Allah melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad)

Ketua penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan baru-baru ini dilaporkan tidak senang hati dengan tuduhan bahawa "Umno sahaja yang terlibat dalam rasuah" sebaliknya berpendapat rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan tidak kenal siapa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Dato' Tengku Adnan Mansor beberapa minggu lalu bahawa antara cabaran semasa Umno adalah menangani isu "persepsi rasuah".

"Rasuah tidak boleh dibandingkan antara sesebuah parti, tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu jantina serta tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu bangsa," kata Ahmad.

"Jangan menuduh rasuah hanya berlaku di kalangan orang Umno sahaja. Isu rasuah adalah merentas semua," katanya dalam satu sidang akhbar selepas berkempen di Hentian Jalan Duta, lapor Malaysian Insider.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mendakwa kerajaan BN tegas dalam membanteras rasuah.


Tidak sesiapa pun yang akan menyanggah pandangan Ahmad Maslan bahawa rasuah itu boleh berlaku merentasi manusia, masa dan ruang. Tidak ada sesiapa juga yang boleh mendakwa bahawa parti yang diwakilinya dijamin seratus peratus bersih daripada penyakit rasuah.

Selagi manusia punyai rasa tamak, ketagih pengaruh dan kemaruk kuasa, rasuah menanti masa untuk bertapak dan menjadi budaya yang sukar dibendung.

Persoalannya, setakat manakah komitmen sesebuah parti politik itu untuk menbanteras rasuah? Sehingga mana komitmen parti itu untuk mengenal pasti, menghukum dan menyisih anggota parti yang terlibat dengan jenayah keji itu?

Prinsip utama dalam menyelesaikan masalah adalah mengakui wujudnya masalah. Bagaimanapun Umno sebagai parti teras BN dilihat enggan mengakui wujudnya rasuah dalam parti itu.

Mempopularkan istilah "politik wang" dalam pemilihan parti adalah bukti wujudnya 'sindrom nafi' (denial syndrome) dalam Umno terhadap gejala rasuah. Ia sebenarnya satu usaha kosmetik bagi menggambarkan bahawa "politik wang" tidaklah seberat kesalahan rasuah.

Oleh kerana itulah ada kalangan pemimpin Umno yang terlibat dalam "politik wang" (atau lebih tepatnya rasuah) diberi pangkat kedudukan selepas tamat menjalani hukuman Lembaga Disiplin parti. Contoh paling menonjol ialah bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad yang digantung jawatannya dalam parti dan kerajaan kerana terlibat dalam 'politik wang'. Isa juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas bebas dari hukuman gantung jawatan, Isa diberi laluan untuk bertanding dalam PRK Teluk Kemang dan seterusnya dilantik Pengerusi Felda!

Satu lagi contoh tidak seriusnya kerajaan BN pimpinan Umno dalam membanteras rasuah adalah kes suapan rasuah membabitkan calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Raja pada PRU ke-11 (2004), Sanip Isnin.

Sanip mendakwa cuba disogok oleh wakil BN dengan imbuhan RM100,000 sekiranya beliau bersetuju menarik diri dari bertanding. Dua 'orang tengah' iaitu pemimpin Umno Cawangan dan pemimpin Pemuda Umno Kawasan 'ditangkap basah' oleh petugas PAS di rumah Sanip ketika cuba menyerahkan wang pendahuluan berjumlah RM5000.

Kejadian ini berjaya dirakam oleh petugas PAS dan dua orang tengah itu ditahan sehingga pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tiba. Telefon bimbit yang dimiliki Pemuda Umno terbabit juga mengandungi nombor telefon calon BN, Dato’ Halimah Mohamad Sadique.

Bagaimanapun apa yang berlaku kemudiannya amat mendukacitakan.

Walaupun BPR telah menyiapkan laporan dan fail siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara, namun Peguam Negara enggan membawa kes tersebut ke mahkamah. Keengganan Peguam Negara membawa kes suapan rasuah itu ke mahkamah dicabar bekas calon PAS. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi memutuskan menolak permohonan Sanip kerana hakim berpendapat menjadi hak (prerogatif) kepada Peguam Negara menurut Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Kita juga boleh melihat bagaimana laihnya pihak berkuasa apabila berhadapan dengan salah laku rasuah pemimpin Umno. Di Selangor sebagai contoh, puluhan kes rasuah dan penyelewengan yang didedahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak diambil peduli SPRM dan polis.

Pengerusi Selcat, Dato' Teng Chang Khim kesal kerana SPRM dan polis enggan meneruskan siasatan hasil daripada pendengaran awam Selcat sedangkan wujud bukti penyelewengan dan rasuah dalam kes-kes yang diperdengarkan.

Menurutnya, SPRM dan polis tidak seharusnya menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk melakukan siasatan kerana mereka boleh mengikuti pendengaran awam yang dibuat Selcat secara terbuka dan disiarkan secara langsung melalui laman web khas.

"Setakat ini saya belum nampak ada tindakan susulan daripada mereka walaupun ada beberapa kes termasuk penyelewengan Balkis yang dipengerusikan isteri mantan MB, Datin Zaharah Kechik," tegasnya.

Begitu juga dengan peruntukan RM500,000 bagi setiap Adun BN Selangor bagi tahun 2008 yang dihabiskan sebelum Mac tahun yang sama. Pendengaran awam Selcat mendapati peruntukan itu diselewengkan untuk aktiviti parti dan kempen pilihan raya.

Banyak lagi tindakan rasuah pemimpin Umno yang boleh disenaraikan. Namun cukuplah kita memetik tulisan mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad dalam blognya Che Det bahawa "Umno sudah busuk sampai ke perut".

Walaupun pun Dr Mahathir hanya memetik kenyataan seorang veteran Umno terhadap apa yang berlaku dalam parti itu, jelaslah bahawa Umno tidak boleh dipisahkan dengan rasuah dan penyelewengan.

Pendek kata, "Ingat Umno, ingat rasuah!"

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...