TERKINI :

Monday, October 29, 2012

Petua nak Kenal pasti penagih dadah

Kenal pasti penagih dadah
Siti Zubaidah Zakaraya
27 Oktober 2012
Kenal pasti penagih dadah
Shahrul memberi penerangan tentang sifat penagih kepada peserta.
 
YAN – Sekiranya ibu bapa terjumpa pil ada tanda ‘P’ menyerupai panadol, menjumpai botol mineral yang berlubang dan sudu di dalam bilik anak lelaki mahupun perempuan, pastikan anak anda diawasi.

Demikian pesanan Ketua Pencegah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan, Shahrul Zaman Ab Murad ketika menyampaikan ceramah ‘Menjana Masyarakat Sejahtera Tanpa Dadah’ ketika Seminar Keselamatan Kejiranan peringkat daerah dekat D’Yan Chalet, Titi Hayun.

Menurutnya, peralatan berkenaan berhubung kait dengan penyalahgunaan dadah yang sering digunakan penagih untuk memasukkan najis dadah ke dalam badan.

"Penagih mempunyai tanda-tanda seperti turun berat badan, tekanan darah tidak stabil, hilang keyakinan diri dan bertindak agresif.

“Sekiranya ada tanda-tanda seperti berikut terhadap anak anda, jiran atau saudara, saya mohon beri kerjasama kepada AADK untuk menyampaikan maklumat dengan harapan boleh membantu golongan sedemikian,” katanya.


Masyarakat banteras dadah

MENURUTNYA, sesetengah ibu bapa juga adalah halangan dalam usaha membanteras penagihan dadah terutama semasa operasi dijalankan apabila sebilangan kecil ibu bapa menghalang supaya anak mereka diambil.

“Kita harap masyarakat faham dan jelas kerana tugas AADK hanyalah untuk membanteras dadah yang merosakkan masa depan generasi muda sekiranya tidak dibanteras,” katanya.

Selain Shahrul, dua lagi penceramah turut hadir termasuk Inspektor Perkhidmatan Dalam Perjawatan Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, Inspektor Syed Othman Kanchong yang membincangkan tentang 'Strategi Membanteras Jenayah dan Inisiatif PDRM Ke Arah Kesejahteraan Rakyat'.

Manakala Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia, Rohana Abd Rahman pula membincangkan 'Hak Jiran dan Hak Masyarakat mengikut Undang-Undang'.


Tujuan mantap kepimpinan

PEGAWAI Perpaduan Kuala Muda/Yan, Caroline Jim berkata, 100 peserta terdiri daripada pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Majlis Ketua Kampung (MKK) serta wakil agensi kerajaan menghadiri seminar yang diadakan.

“Seminar Keselamatan Kejiranan ini bertujuan memantapkan pengetahuan serta pengalaman pemimpin masyarakat supaya mereka tahu saluran mana yang harus dirujuk sekiranya berhadapan masalah.

“Kita mahukan setiap antara mereka tahu peranan masing-masing dalam menjaga keamanan serta keharmonian selain mempertingkatkan kemahiran, pengetahuan dan kebolehan berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurutnya, peserta juga adalah pemangkin dan ejen penghubung antara masyarakat dan kerajaan, oleh itu, mereka harus diberi persediaan dari segi mental dan pengetahuan demi keselamatan rakyat Malaysia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...