TERKINI :

Monday, October 29, 2012

PAS-DAP kukuh hubungan kerana ISA, sedar fitnah UMNO-BN

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Penangkapan pemimpin rakyat secara zalim tanpa bicara oleh UMNO-Barisan Nasional di bawah Operasi Lalang pada Oktober 1987 mempunyai hikmah tersendiri apabila ia memberi peluang kepada PAS dan DAP mengenali satu sama lain secara intim buat kali pertama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut menjadi mangsa tahanan tanpa bicara ISA itu berkata, pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali, lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan UMNO.

Katanya, hubungan rapat dalam tahanan di antara pemimpin PAS dan DAP berjaya mematahkan memomokkan UMNO yang mahu masyarakat bukan-Melayu melawan PAS dan masyarakat Melayu menentang DAP.

“Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti pada hari ini.

“Ini membenarkan PR untuk bergabung dan memperkuatkan diri untuk mencabar kuasa BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulangtahun ke-25 penahanan zalim ISA dalam Operasi Lalang.

Mengimbas kembali peristiwa kejam yang dilakukan oleh rejim UMNO-BN, Guan Eng berkata bahawa 25 tahun lalu pada 27 Oktober 1987, beliau menjadi antara mangsa pertama Operasi Lalang yang ditahan di bawah ISA oleh Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingat lagi bagaimana sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka yang baru dipilih, betapa terkejutnya saya apabila diberitahu bahawa saya merupakan ancaman kepada keselamatan negara yang bakal mencetus huru-hara dan rusuhan sekiranya saya tidak ditahan.

“Ekoran daripada itu, saya terpaksa bertahan dan mengatasi hari-hari gelap apabila dikurung sendiri, disoal siasat tanpa henti dan diintimidasi untuk memaksa saya untuk “bertaubat”,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menurut beliau, 106 pemimpin Malaysia telah ditahan pada tahun gelap 1987, termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang – 16 daripada DAP termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri – ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, aktivis alam sekitar, pendidik bahasa Cina dan pekerja agama.

Antara pemimpin-pemimpin yang terkemuka adalah Lim Kit Sang dan Karpal Singh daripada DAP, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar daripada PAS dan pendidik bahasa Cina Lim Fong Seng dan Sim Mow Yu.

Serangan juga berlaku ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan bertubi-tubi ke atas badan kehakiman dan keluhuran undang-undang sehingga Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung telah dilucutkan jawatan.

Guan Eng menjelaskan, semua serangan itu bertujuan untuk membentuk negara diktator yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri.

Katanya, pada masa ini, walaupun rakyat Malaysia telah berjaya memaksa Datuk Seri Najib Razak memansuhan ISA, banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memastikan kerajaan tidak boleh lagi bertindak zalim terhadap rakyat.

Beliau mencadangkan:

* Semua tahanan ISA yang masih lagi ditahan harus dibebaskan dengan segera dan kerajaan Persekutuan haruslah meminta maaf kepada semua tahanan ISA.

* Kem Tahanan Kamunting harus dijadikan sebuah muzium, seperti kem tahanan Robbens Island di Afrika Selatan yang pernah menjadi rumah kediaman pejuang kemerdekaan Nelson Mandela selama 27 tahun, supaya ia menjadi simbol peringatan kepada kebebasan dan hak asasi serta memulihkan negara daripada trauma zalim UMNO-BN.

* Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), iaitu pengganti kepada ISA, harus dikaji semula untuk memansuhkan beberapa seksyen supaya ISA tidak akan kembali menghantui generasi masa kini dan akan datang. – Roketkini.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...