TERKINI :

Thursday, October 11, 2012

Imam Hoslan anggap penjara sebagai "madrasah tarbiyah"

Imam Hoslan pertahan 'ijtihad ke atas perundangan'
 
Imam Hoslan Hussin yang dibebaskan daripada hukuman penjara hari ini mengakui kesal dengan perbuatan melemparkan selipar ke arah panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu.

Namun beliau tetap mempertahankan bahawa tindakannya itu, yang menjadi kesalahan menghina mahkamah, merupakan satu "ijtihad" terhadap sistem perundangan yang disifatkannya "tidak betul".

Ditanya sama ada beliau mengesali perbuatan berkenaan, Hoslan menganggukkan kepala dan seterusnya menyatakan bahawa tindakan tersebut hanya satu "pendekatan ringan".

"Perlakuan saya yang lepas merupakan ijtihad dan pendekatan ringan terhadap sistem yang tak betul. Sistem ini yangg perlu kita perbetulkan.

"Tindakan saya ialah sebagai orang yang nak keadilan dan patuh pada pencipta," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di pejabat Parol Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Hoslan turut menyifatkan penjara yang dihuninya selama tujuh bulan tiga hari itu sebagai satu "madrasah tarbiyah" baginya.

Tak nak masuk penjara lagi
Namun, bapa kepada tujuh orang anak itu berikrar untuk tidak melaluinya sekali lagi.

"Syukur saya dapat parol. Terima kasih semua. Saya dapat ambil pelajaran dari kejadian ini. Penjara merupakan madrasah tarbiyah. Banduan lain turut sedih saya nak keluar.

"Saya akui, saya tak nak masuk penjara lagi. Saya masuk kerana Allah Ta'ala," katanya.

Walaupun dibebaskan, Hoslan berkata beliau kini masih dipantau dalam tempoh parol selama sebulan.

Beliau tidak dibenarkan keluar daripada Kuala Lumpur sepanjang tempoh itu dan hanya akan dibebaskan sepenuhnya pada 8 November ini, katanya.

"Saya tak boleh gerak ke sana ke mari melainkan rujuk pada parol. Tak boleh keluar dari Kuala Lumpur dan hanya boleh ke kawasan yang ditentukan. Kalau nak keluar (Kuala Lumpur) kana beritahu," katanya lagi.

Hoslan dibawa oleh kakitangan penjara Kajang tiba di pejabat parol Bandar Tun Razak kira-kira jam 11 pagi tadi dan dipertemukan semula dengan isterinya Noorliza Mat Isa.

Difahamkan, satu majlis kenduri kesyukuran akan diadakan malam ini sempena pembebasannya di markas PAS Kampung Pandan.

Mahkamah Persekutuan pada April lalu menolak permohonan Hoslan untuk meringkankan hukuman penjara setahun yang dijalaninya sejak Mac, atas kesalahan menghina mahkamah berkenaan.

Hoslan pada 22 Februari lalu bertindak membaling alas kakinya ke arah panel tiga hakim mahkamah tersebut, selepas permohonannya supaya diberi kebenaran untuk membuat rayuan ditolak.

Dalam kejadian itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dilaporkan cuba menenangkan Hoslan namun beliau dikatakan enggan mendengar alasan mahkamah untuk membenarkan bantahan ke atas permohonannnya.

Hoslan seterusnya mencampakkan kasutnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripda mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama  adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...