TERKINI :

Monday, October 29, 2012

Awasi lakonan Umno dalam hudud dan perpaduan Melayu

Iskandar Kamarul Amin,

Dalam tempoh teka-teki tarikh pilihan raya umum ini, kelihatan Barisan Nasional (BN) cuba menyerang Pakatan Rakyat (PR) dengan isu air Selangor, isu tajaan Soros, dan lain-lain. Namun, kelihatan isu-isu ini kurang berjaya menggugat PR dan kadang-kadang dilihat menjadi senjata makan tuan.

Saya melihat ada dua isu yang menjadi senjata ampuh bagi Umno/BN yang dilihat mampu mengugat PR; iaitu isu hudud dan isu perpaduan. Mengapa dua isu ini? Hal ini kerana, sejak selepas tsunami politik 2008, dua isu ini yang sentiasa diulang tayang silih berganti dan dilihat berjaya menggugat kesepakatan parti-parti dalam PR. Apabila bercerainya parti-parti dalam PR, mimpi Umno-BN untuk terus berkuasa semakin cerah.

Taktik permainan media BN dalam memainkan isu hudud bermula dengan memetik kenyataan mana-mana pemimpin PAS berkaitan hudud. Walaupun kenyataan itu hanya dibuat dengan ayat pendek tetapi dibesarkan di muka hadapan akhbar. Kemudian wartawan upahannya akan minta respon daripada pemimpin DAP yang tidak setuju dengan hudud. Perbezaan pendapat pemimpin PAS dan DAP ini lantas digembar-gemburkan seolah-olah perbalahan besar sedang berlaku.

Pendapat daripada pemimpin Umno dan ulama mudanya akan disiar untuk melaga-lagakan lagi isu ini. Pemimpin Umno biasanya cuba menjadi hero menbela pendirian PAS menyokong hudud walaupun masa umum mengetahui pendirian sebenar Presiden Umno.

Taktik yang sama juga pernah dibuat melalui isu Perpaduan Melayu. Bermula dengan ucapan beberapa kerat pemimpin Umno yang tiba-tiba mengalunkan ayat-ayat indahnya tentang perpaduan Melayu. Isu perkauman dimainkan. Dalil-dalil al-Quran dan hadis dibekalkan oleh ulama mereka untuk dilaungkan. Selepas beberapa hari isu ini dimainkan di media mereka, mereka timbulkan respon bahawa ada beberapa pemimpin PAS yang dilihat menyokong “perpaduan” itu.

Lalu digambarkan seolah PAS-Umno akan bersatu. Kemudian, mereka akan minta respon daripada pemimpin PKR atau DAP. Apabila ada daripada mereka yang dilihat mengkritik PAS, tiba-tiba fokus isu telah berubah. Alunan indahnya perpaduan Melayu tidak lagi dilagukan, yang ada hanyalah berita-berita persepsi seperti “Pakatan Rakyat retak”, “ DAP ugut keluar Pakatan Rakyat” dan sebagainya.

Taktik ini bukan sahaja dapat menggambarkan Pakatan Rakyat tidak kuat, taktik ini juga berjaya mengkambinghitamkan beberapa pemimpin PAS yang dilihat pro-perpaduan dan memburukkan pemimpin ini di mata ahli-ahlinya.

Maka, saya amat berharap kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP, jangan cepat melatah dengan taktik ini khususnya isu hudud dan perpaduan Melayu. Suburkan diskusi antara agama untuk menerangkan perbezaan ini. Jangan mudah terpengaruh dengan lakonan Umno-BN kerana kita semua tahu Melayu mana yang mengkhianati Melayu. Berdasarkan situasi sekarang, menjatuhkan kezaliman Umno-BN adalah langkah terbaik berbanding bersatu dengan Umno/BN, maafkan kesalahan lama, dan mulakan kesepakatan baru.

Iskandar Kamarul Amin
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...