Anwar mahu Najib hadir sesi bahas bajet Isnin ini
Muhammad Faizal, 29 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada sesi perbahasan bajet minggu depan dan sekaligus berdebat berkaitan dengan bajet yang beliau bentangkan petang semalam.
Tegasnya lagi, Najib sepatutnya hadir untuk mendengar apa yang ingin dibahaskan nanti bagi untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan apa yang telah dibentangkan.
"Sebagai negara demokrasi, Najib perlu hadir pada sesi saya berbahas bajet 2013, saya tahu Najib mesti berani untuk mengetahui apa yang ingin saya bahaskan nanti," usul beliau.
Anwar ketika mengulas bajet 2013 memberitahu sepatutnya pada bajet kali ini kerajaan menyentuh senario antarabangsa kerana sebagai sebuah negara dagang sepatutnya Najib tahu perancangan ekonomi terikat dengan perkara sedemikian.
Namun perkara tersebut tidak disentuh langsung oleh kerajaan pada bajet 2013 kali ini.
"Saya melihat apa yang diberitahu pada bajet tersebut hanyalah gimik politik semata-mata dan untuk memenangi hati rakyat," jelas beliau.
Anwar memberitahu, mungkin Najib beranggapan rakyat itu tidak mengetahui bahawa keuntungan berbilion ringgit diambil oleh kroni mahupun keluarga pemimpin menyebabkan Najib tidak menyentuh langsung soal tersebut.