TERKINI :

Friday, August 10, 2012

Petani mengeluh.. bila harga subsidi padi untuk depa hendak dinaikkan...???

 Pusat perlu pertimbang cadangan kenaikan subsidi padi 

ALOR SETAR -  Cadangan para petani supaya Kerajaan Pusat menaikkan harga subsidi padi sebanyak 50 peratus amat wajar dipertimbangkan semula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah, cadangan itu memang wajar dikaji semula kerana tiada kenaikan sebelum ini.

“Tiada kenaikan harga subsidi padi sejak berpuluh-puluh tahun dan cadangan untuk menaikkan harga subsidi padi wajar dipertimbangkan kerana kos dan kesan kewangan (kenaikan 50 peratus) tidak setara mana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini bagi meninjau perkembangan proses kacukan benih padi variati baru yang dihasilkan oleh seorang petani, Ishak Mahmud, 52 tahun.


Usaha Ishak Mahmud melakukan proses kacukan benih padi MR276 dengan Radin Emas atau benih Jarum Emas berjaya menghasilkan benih baru yang berbeza dengan benih padi lain.

Usaha yang dilakukan kira-kira dua tahun lalu dengan hanya mencuba empat bekas berjaya menghasilkan benih yang diberi nama KS299.

Ishak yang menjadi petani hampir 30 tahun lalu memberitahu, benih padi yang dihasilkan itu mempunyai tangkai yang lebih panjang dan isinya lebih padat serta warnanya seakan-akan berwarna perang.

Beliau memberi nama benih padi itu KS299 sempena nama tempat tinggal beliau iaitu Kubang Siam atau Kota Setar sebagai penghargaan kerana beliau berjaya menghasilkan benih padi yang berkualiti.

Mengenai variati benih padi baru yang berjaya dihasilkan oleh Ishak Mahmud itu, YB. Amiruddin memberitahu, ciri-ciri yang terdapat pada benih padi itu amat baik sekali.

“Kita mendapati tiada padi angin di sawah berkenaan dan padi itu dijangka masak pada 25 Ogos ini,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pertanian Negeri Kedah akan mengambil data mengenai padi berkenaan.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Muhamad Hilmi Mahidin dan Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Abu Hassan Mat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...