Lee Chong Wei mara ke separuh akhir
PEMAIN nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei layak ke separuh akhir
badminton Sukan Olimpik 2012 selepas mengalahkan pemain India Kashyap
Parupali dalam saingan suku akhir di Arena Wembley di sini, lewat malam
tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).
Chong Wei mengambil masa 44 minit untuk melakarkan kemenangan 21-19,
21-11 ke atas lawannya itu dan akan menentang pemain nomboor tiga dunia
Chen Long dari China pada perlawanan separuh akhir.
Pada set pembukaan, Chong Wei, mula melakukan gerakan perlahan untuk
mencari rentak selepas tidak beraksi secara kompetitif akibat kecederaan
buku lali sejak Mei lalu, dan terpaksa ketinggalan 3-6, 5-9, 6-10,
10-14.
Bagaimanapun, Chong Wei, yang menang pingat perak pada Sukan Olimpik
2008 di Beijing, berjaya memburu mata demi mata untuk menyamakan
kedudukan 15-15 sebelum mengutip set pertama 21-19 dalam masa 27 minit.
Pada set kedua, Chong Wei mula memantapkan pukulan set-piece dan
Kashyap tidak dapat menandingi ketangkasan pemain pilihan utama itu
sebelum akur dengan keputusan 21-11 dalam masa 17 minit.
Selepas mengharungi dua perlawanan dalam kumpulan A menentang Ville
Lang dari Finland dan pemain Indonesia, Simon Santoso, Chong Wei
berkata, walaupun nampak mudah, namum Kasyhap memang memberi tekanan
kepadanya.
"Dia bagus dan cuba mengganggu rentak sehingga memaksa saya melakukan
beberapa kesilapan. Sekiranya saya ikut rentaknya, dia akan kalahkan
saya," kata
Chong Wei selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, dalam satu lagi pertemuan suku akhir, Chen Long tidak
menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain berpengalaman dari Denmark,
Peter
Gade dengan keputusan 21-16, 21-13.
Mengenai pertemuan dengan Chen Long esok, Chong Wei berkata, lawannya
itu dikenali dengan corak agresif dengan melakukan pukulan rali.
"Saya perlu bersedia untuk mengubah rentak," katanya.
Berpandukan statistik lepas, Chong Wei mempunyai kelebihan 6:4 dan kali
terakhir mengalahkan pemain China itu pada Terbuka Malaysia 2012
Januari lepas dalam rubber-set 21-18, 17-21, 21-13.
Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata Chen Long dijangka
menampilkan permainan rali dan Chong Wei perlu menggunakan ketangkasan
untuk
mematahkan rentak lawan.
"Chen Long telah mengubah gerakan taktikal dari pantas dan serang
kepada pukulan jauh dan di situ Chong Wei perlu berjaga-jaga kerana
lawannya itu hanya
menunggu masa untuk mematikan pukulan," katanya. - Bernama






No comments:
Post a Comment