TERKINI :

Friday, July 20, 2012

tahun nie sambutan merdeka hanya untuk penyokong BN sahaja..!!!


Tema merdeka jelas kempen BN
 Abdul Kadir Sheikh Fadzir
 
ULASAN Saya terbaca kenyataan yang berbagai oleh Datuk Seri Rais Yatim selaku pengerusi perayaan kemerdekaan peringkat nasional yang merayu supaya semua rakyat Malaysia ketepikan fahaman politik masing-masing dan merayakan bersama perayaan kemerdekaan tahun ini.

Saya mengalu-alukan rayuan beliau itu kerana "kemerdekaan" adalah kepunyaan kesemua rakyat Malaysia dan harus dirayakan bersama sebagai bangsa Malaysia.

Saya sendiri pernah menjadi pengerusi perayaan kemerdekaan selama 7 tahun (1999-2006). Pada waktu itulah pihak kerajaan telah menukar konsep perayaan dari perayaan Hari Kebangsaan (perayaan rasmi sehari) kepada perayaan bulan kemerdekaan - perayaan selama sebulan.

Tarikh yang ditetapkan juga merangkumi 16 September, iaitu untuk menghormati rakyat kita di Sabah dan Sarawak yang mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 16 September.

NONEOleh sebab perayaan kemerdekaan adalah suatu peluang yang sebaik-baiknya untuk kita merapatkan hubungan di kalangan seluruh rakyat Malaysia dan juga peluang untuk mengenepikan segala persoalan yang mengasingkan kita maka kerajaan begitu berhati-hati mengenai segala perkara yang berkaitan dengan perayaan tersebut - supaya ia tidak menimbulkan sebarang kecurigaan.

Sebaliknya pula perayaan tersebut dapat diterima dan disokong oleh semua pihak.

'Keranamu Malaysia' selama 8 tahun
Antaranya kerajaan memastikan tema perayaan tersebut hendaklah sesuatu yang "neutral" dan boleh diterima oleh semua. Antara tahun 1999 hingga 2006, tema yang dipilih adalah "Keranamu Malaysia".

Oleh sebab tema ini begitu disenangi oleh seluruh rakyat Malaysia maka ia diteruskan selama 6 tahun berturut-turut. Setahu saya tema perayaan pada tahun-tahun sebelumnya pun adalah yang "neutral" dan dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia sungguhpun ditukar ganti setiap tahun.

Begitu juga dalam semua perayaan selama sebulan itu, pihak pemimpin-pemimpin pembangkang semuanya dijemput untuk menghadiri. Adakalanya mereka dijemput juga ke atas pentas untuk bersama pemimpin-pemimpin kerajaan.

NONESaya sendiri setiap tahun sebelum perayaan bermula akan pergi berjumpa menteri besar Kelantan dan juga menteri besar Terengganu (pada masa itu dipimpin oleh PAS) serta ketua pembangkangpada masa itu Lim Kit Siang supaya memberi kerjasama dan merayakan perayaan tersebut sebagai suatu perayaan yang dipunyai oleh seluruh bangsa Malaysia.

Begitu juga bantuan-bantuan yang berbagai termasuk bantuan bendera yang termampu disalurkan juga kepada kerajaan-kerajaan pembangkang termasuk memberi ruang kepada mereka dalam media massa.

Alhamdulillah, parti-parti pembangkang pada waktu itu telah memberi kerjasama 100 peratus kepada kerajaan dalam menjayakan program-program perayaan Kemerdekaan.

Separuh penduduk Semenanjung tak undi BN

Alhamdulillah, perayaan-perayaan kemerdekaan secara bersama ini dan cara ikhlas telah dapat memajukan hasrat semua pihak memupuk semangat bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu padu dan bahagia.

Oleh yang demikian, saya dapat memahami kenyataan kekecewaan yang diluahkan merata-rata mengenai tema perayaan kemerdekaan pada tahun ini iaitu "Janji Ditepati".

NONETema ini begitu jelas kepada semua suatu slogan kempen BN bagi pilihan raya yang hampir datang ini. Ia begitu terang dan terbuka tanpa sorok-sorok.

Ini jelas membuktikan sikap kerajaan yang begitu ego dan begitu yakin tentang kedudukannya. Ia tidak peduli sama sekali dengan perasaan pihak rakyat keseluruhannya. Ia seakan-akan perayaan kemerdekaan juga telah menjadi hak BN.

Saya juga diingatkan bahawa pada pilihan raya 2008, hampir separuh dari pengundi seluruh Malaysia tidak mengundi BN.

Oleh itu sudah wajarlah kerajaan perlu mengambil kira bagaimana untuk menarik sokongan hampir separuh dari jumlah rakyat ini supaya sama-sama dapat merayakan kemerdekaan tersebut.

Perayaan kemerdekaan adalah peluang keemasan untuk merapatkan hubungan muhibah dan kasih sayang di kalangan seluruh rakyat Malaysia. Peluang ini telah pun terbuang begitu saja kerana sikap kerajaan yang telah menjadi begitu ego, sombong dan mementingkan diri.


Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir presiden penaja Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan bekas menteri penerangan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...