TERKINI :

Wednesday, June 13, 2012

Tokey dan Driver BAS SYARIKAT nie 'GILA BABI' nak bagi mampus penumpang..!!!

Perjalanan ngeri
Wartawan Sinar Harian
12 Jun 2012
Perjalanan ngeri
Pemandu tak bertanggungjawab ini memegang rokoknya sambil memandu.
 
SUNGAI NIBONG - ‘Aku mengantuk ni, mampus pi la (merujuk kepada penumpang yang terpaksa menunggu sahaja), aku nak lena kat tepi jalan’.

Itu antara ayat yang dapat didengari saya yang juga adalah seorang daripada penumpang di dalam sebuah bas ekspres persiaran perjalanan balik dari Temerloh, Pahang ke Pulau Pinang kelmarin.
Kebetulan pula tempat duduk saya terletak betul-betul di bahagian belakang tempat duduk pemandu, jadi segala perbualan boleh didengari dengan jelas.

Bukan sahaja bersikap acuh tidak acuh, malah secara terang-terangan juga pemandu bas mengakui keletihan kerana sehari sebelumnya dia sudah menghantar penumpang ke Kulim, Terengganu dan juga ke Pulau Pinang.

Katanya, satu perjalanan akan diberikan upah sebanyak RM290, namun sekiranya terdapat dua pemandu maka mereka terpaksa berkongsi.

“Sebab itu aku seorang, kalau tidak aku kena kongsi,” katanya secara terbuka.

Rata-rata penumpang tidak berpuas hati sejak awal lagi kerana bas yang dijanjikan pada jam 10.30 malam tiba lewat dan keadaannya juga bukanlah seperti yang dijanjikan.

Tidak ada seorang penumpang pun yang dimaklumkan bas yang kami naiki adalah bas tambahan namun setelah bas tiba, kerusi dalam bas itu bukanlah seperti kerusi perseorangan dan berkembar yang besar, namun ia seperti kerusi bas sekolah sahaja.

Pemandu mengantuk

Baru satu jam memulakan perjalanan, saya mendengar perbualan telefon yang mengatakan pemandu terpaksa menunggu bas lain kerana pemandu dari syarikat bas sama mahukan tayar simpanan bas.

Bayangkan dari jam 12 tengah malam hingga hampir jam 3 pagi kami masih di Karak Pahang.

Sedangkan sepatutnya pada masa itu perjalanan sudah patut berada di Ipoh, apa yang menimbulkan kemarahan apabila pemandu mahupun pihak pengurusannya yang datang pada ketika itu langsung tidak memaklumkan kepada penumpang mengenai apa yang berlaku.

Pada masa itulah pemandu sudah mengakui dia mengantuk pada rakannya yang datang namun tidak seorang yang peduli.

Kelihatan pada masa itu beberapa penumpang lain tidak senang duduk dan ada yang hampir lima kali turun untuk ke tandas kerana terlalu sejuk menunggu di dalam bas.

Penumpang di sebelah saya pula menyibukkan dirinya bermain iPad namun setelah hampir satu jam menunggu dia bertanya kepada pemandu, ‘Agak-agak masih lama lagi tak kita perlu tunggu?’ tanyanya.

Jam di dalam bas hampir menunjukkan ke angka 3 pagi, pada masa itulah barulah bas bergerak semula menghala masuk ke Kuala Lumpur.

Namun kesemua 30 penumpang secara tidak sedar sebenarnya kami diselamatkan seorang lagi lelaki yang kebetulan menumpang bas yang sama untuk ke Pulau Pinang secara tiba-tiba.

Lelaki yang baru sahaja menumpang bas kami duduk bersebelahan dengan pemandu bas, tetapi dia hairan bagaimana bas ekspres persiaran itu tidak menyediakan dua pemandu.

Ketika bas seperti sudah terhuyung hayang, lelaki yang menemani pemandu tadi menawarkan diri untuk memandu bas walaupun tidak berapa mahir membawanya.

“Nasib baik aku boleh juga bawa bas, ini kalau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahan ini bahaya kau,” lelaki itu memberikan amaran kepada pemandu bas yang sudah pun semakin mengantuk itu.

Brek bas sudah rosak

Namun setibanya di Ipoh pada jam 7 pagi, lelaki penumpang itu bertanyakan pemandu bas yang baru sahaja terjaga mengenai brek bas ada yang tidak kena. Saya secara perlahan-lahan merakamkan perbualan mereka menggunakan telefon bimbit, dan pemandu itu tanpa segan silu mengakui brek sudah ada yang rosak.

Namun menyedihkan apabila lelaki berkenaan menerangkannya dalam keadaan yang bergelak ketawa seolah-olah 30 nyawa di belakang tidak bernilai langsung.

Saya juga tertanya-tanya jika nama bas ekspres sudah pasti ia menghala ke satu destinasi ke satu destinasi sahaja, namun bas yang kami naiki seolah-olah bas henti-henti kerana hampir lapan penumpang turun di Ipoh.

Itu satu lagi ketidakcekapan yang berlaku di dalam pengurusan syarikat bas ekspres masa kini yang dilihat sesuka hati menggunakan kuasa mereka.

Hampir tiga jam lelaki yang menumpang tadi membawa bas, pemandu bas yang asal kembali mengambil alih namun dia masih menyuarakan yang dirinya mengantuk dan tidak cukup tidur.

“Aku langsung tidak tidur lagi ni, kau dah ambil masa satu jam cukuplah tu tidur,” tempelak lelaki berkenaan.

Ketika melalui jalan menghala ke Simpang Pulai yang sememangnya salah satu jalan yang agak berbukit dan tinggi, pemandu bas memandu dalam keadaan laju sehingga hampir terlanggar lori yang membawa ketulan ais.

Akibat terlalu laju dia terpaksa membrek secara mengejut setelah gagal memotong kerana terdapat sebuah lagi kenderaan MPV dalam keadaan memotong di lorong kanan.

Pemandu bas berkenaan yang secara terang-terangan salah memaki hamun pemandu MPV sambil menekan minyak agak laju.

“Ingat hang laju sangat, sat lagi aku datang himpit kereta hang masuk dalam parit, jagalah,” katanya.

Keadaan yang masih pagi menyebabkan kebanyakan penumpang masih tidur dan tidak sedar dengan kejadian, namun sesekali terlihat di cermin imbasan di hadapan saya ada penumpang yang memanjangkan leher melihat kehadapan.

Bas yang kami naiki berada dalam keadaan laju dan agak berbahaya sedangkan pemandu sudah memberitahu brek bas itu tidak elok.

Gagal mengejar kenderaan MPV itu, pemandu bas itu kembali membawa bas seperti biasa namun matanya dilihat beberapa kali terpejam.

Dia kemudiannya tanpa ragu-ragu mengeluarkan rokok sedangkan cermin bas semuanya bertutup dengan memasang penghawa dingin, dan secara jelas juga papan larangan merokok sudah berada di dalam bas.

Keadaan berkenaan mendatangkan rasa kurang senang penumpang di bahagian hadapan yang terpaksa menahan bau asap rokok.

Sepanjang perjalanan itu juga bunyi deringan telefon penumpang lain begitu banyak kali berbunyi berkemungkinan ada ahli keluarga yang bimbangkan keadaan mereka yang masih tidak sampai-sampai.

Setibanya di atas jambatan Pulau Pinang, ketidakcekapan brek bas terbukti apabila pemandu bas secara tiba-tiba tidak dapat memberhentikan bas dan melanggar kereta seorang wanita berusia 40-an yang sedang menunggu giliran membayar tol.

Sekaligus jalanraya yang sudah awalnya sesak menjadi semakin teruk kerana bas berhenti. Wanita itu melepaskan pemandu itu pergi dengan keadaan baik setelah
berbincang, namun di dalam bas pemandu masih lagi ketawa dengan kejadian berkenaan.

“Nasib baik bukan kereta Mercedes, BMW ka atau kereta baru, kalau tidak mampus aku, baru-baru ini aku hentam Myvi baru tapi bukan guna bas ini, guna bas satu lagi. “Itu pun sama brek tak berapa nak kuat,” cerita pemandu berkenaan tanpa rasa bersalah.

Daripada ceritanya itu juga seolah-olah menunjukkan syarikat bas ekspres persiaran yang sama sememangnya mempunyai banyak bas lain yang turut bermasalah dan tidak dibaiki.

Mahu tidak mahu, ia menjadi pilihan kepada pengguna perkhidmatan bas awam seperti saya kerana hanya syarikatnya bersama dengan dua lagi syarikat lain yang menawarkan perjalanan ke tempat yang jarang dilalui bas ekspres lain.

Perjalanan bermula pada jam 11.30 malam itu seharusnya tiba pada jam 5 atau 6 pagi, namun disebabkan kelalaian serta kecuaian pihak pengurusan syarikat, kesemua penumpang tiba pada jam 9.30 pagi.

Dalam diam saya memanjat doa kesyukuran kerana diizinkan ALLAH untuk usia yang panjang bersama penumpang lain setelah berjaya sampai di Terminal Bas Sungai Nibong, ketika menuruni anak tangga beberapa penumpang lain diihat masam mencuka dan tidak bermaya.

Kebiasaannya dalam beberapa kali pengalaman saya menaiki bas, ada juga penumpang yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu, namun kali ini tidak. Bukan tidak sopan, tetapi pemandu perlu lebih prihatin yang kami juga mempunyai insan tersayang dan kerja yang perlu diselesaikan dengan segera.

Sebagai pemandu bas ekspres, tindakan acuh tidak acuh sebegini sememangnya membahayakan nyawa orang ramai yang tidak bersalah.

Tambahan lagi musim perayaan akan tiba tidak lama lagi dan orang ramai sememangnya memilih perkhidmatan bas ekspres untuk ke kampung halaman, tetapi mahukah kita masih melihat di dada akhbar dan kaca televisyen paparan kes kemalangan bas ekspres yang mampu mengorbankan puluhan nyawa insan yang tidak berdosa?

Pihak yang bertanggungjawab perlu memandang berat isu ini dan bukannya mengejar keuntungan semata-mata.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...