TERKINI :

Thursday, June 7, 2012

‘Perpaduan PAS-Umno cerita karut!’

Isu muzakarah dan kewarasan Zainudin Maidin
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Isu hudud dan muzakarah PAS-Umno adalah dua buah cerekarama filem Melayu yang sering diulang-ulang. Jalan ceritanya; babak awal, pertengahan dan babak akhir sudah boleh dijangka oleh semua penonton politik di Malaysia, sebab kerap sangat menonton isu yang sama. Dua drama itu seringkali muncul di musim pilihanraya dan akan dilupakan di luar bahang pilihanraya.

Isu hudud akan dicetuskan oleh media-media talibarut parti politik pemerintah dengan cukup mudah. Ajukan soalan berhubung hudud kepada mana-mana pemimpin PAS. Mampu dilaksanakan atau belum bukan persoalannya namun pemimpin PAS sekali-kali tidak akan menyatakan bahawa hudud bukan dari Islam. Dasar keyakinan terhadap undang-undang ciptaan Allah itu ialah, ianya wajib dilaksanakan oleh kerajaan umat Islam yang memerintah. Bila mahu melaksanakan juga bukan persoalannya.


Media talibarut BN itu akan memetik keyakinan pemimpin PAS terhadap hukum Allah itu, lalu mengolahnya menjadi 'batu api' apabila diajukan pula persoalan hudud kepada rakan tahaluf PAS yang tidak memahami Islam atau belum mendapat petunjuk untuk melihat kebenaran Islam. Apabila kenyataan berbalas kenyataan, maka Pakatan Rakyat pun berjaya digambarkan sebagai tidak boleh bersatu kerana perbezaan ideology terlalu besar.

Percayalah isu hudud, sekalipun telah muncul beberapa kali dalam fokus persoalan yang sama tetap akan diulang tayang lagi dengan plot yang sama juga selepas ini.

Muzakarah PAS-Umno begitu juga. Ia muncul dengan serius lebih sepuluh kali sejak kedua-dua parti yang didominasikan orang Melayu itu berseteru. Belum sekalipun ia belum pernah menjadi kenyataan. Plot ceritanya hampir sama pada setiap kali isu muzakarah diutarakan. Iaitu ada pihak akan melahirkan kebimbangan kerana perpecahan yang kononnya parah di kalangan orang Melayu, lalu mereka pun mencadangkan muzakarah antara kedua parti Melayu/Islam yang besar itu.

Pemimpin Umno digambarkan beriya-iya menyahutnya. Apabila persoalan tersebut diajukan pula kepada kepimpinan PAS maka pemimpin PAS juga bersetuju tetapi meminta Umno sebagai peneraju kerajaan membuka beberapa belenggu penindasan terhadap PAS bagi mewujudkan suasana kondusif untuk bermuzakarah. Lantas Umno akan menempelak kerana kononnya mengenakan pelbagai syarat. PAS akan dibelasah habis-habisan kerana ‘menolak’ muzakarah. PAS dituduh anti perpaduan dan terikut dengan agenda musuh orang Melayu. Begitulah jalan ceritanya. Sebenarnya ada satu lagi isu yang sering diguna untuk memecahbelahkan permuafakatan parti-parti pembangkang selain isu hudud iaitu isu Negara Islam. Isu ini dimainkan hampir setiap kali PRU, sekalipun istilah Negara Islam tidak pernah tercatat dalam manifesto PAS. Apabila PAS menonjolkan Negara Berkebajikan dalam muktamar tahunan lalu, isu tersebut tidak boleh digunakan lagi untuk memecahbelah permuafakatan pembangkang.

Umno mengolah dan mengalih pula isu tersebut untuk menggambarkan PAS sudah tinggalkan prinsip perjuangan tapi ia tidak berjaya menyebabkan penyokong PAS lari meninggalkan PAS

Mereka tidak lari kerana faham ia cuma satu strategi perjuangan, sebagaimana Rasulullah SAW menggugurkan ‘Muhammad Rasulullah’ untuk diganti dengan ‘Muhammad bin Abdullah’ dalam perjanjian Hudaibiyah atas desakan kafir Quraisy. Pihak yang mempertikai kononnya PAS sudah tinggalkan prinsip perjuangan ialah Umno yang selama ini pun tidak pernah menyokong PAS. Atau jika benar wujud golongan atas pagar yang tertipu bahawa PAS sudah tinggalkan prinsip perjuangan dalam isu Negara Islam maka mereka juga tidak akan beralih kepada Umno yang sepanjang sejarah istiqomah menentang penubuhan Negara Islam sebenar. Jadi isu Negara Islam berjaya dilenyapkan dengan ianya tidak menjadi kudis kepada PAS.

Sekarang, keberanian yang serupa juga diperlukan untuk menangani isu muzakarah PAS-Umno sehingga perangkap yang cuba dipasang Umno itu berjaya dimusnahkan sama sekali. Perangkapnya ialah jika PAS menolak atau mengenakan syarat terhadap muzakarah, maka PAS akan digambarkan sebagai anti perpaduan umat Melayu/Islam. Sebaliknya jika PAS menerima pelawaan muzakarah, maka mereka akan manipulasi isu kononnya gerakan ke arah kerajaan perpaduan Melayu sedang bermula. Lantas ia akan memberi ‘nyawa’ kepada Umno yang sedang meniti saat nazaknya di persada kuasa politik sekaligus boleh memusnahkan juga permuafakatan besar rakyat untuk menumbangkan BN dalam PRU13.

Ada pihak yang mencadangkan PAS jangan mengenakan syarat. Jangan terperangkap dalam agenda untuk tonjolkan PAS anti perpaduan, sedangkan mutakhir ini sokongan terhadap PAS di kalangan generasi lama Melayu agak terjejas. Kejayaan bagi Umno ialah apabila PAS menolak muzakarah. Jadi sertai saja muzakarah, buat tuntutan dalam muzakarah dan dedahkan senarai tuntutan biar semua rakyat tahu. Maksudnya, keluar pula dari plot yang menjadi kemahuan Umno dalam keadaan PAS tetap menang sebagaimana PAS berjaya menangani polemik isu Negara Islam dengan jayanya. Bagaimanapun kepimpinan PAS pusat tentu lebih bijak untuk menangani isu perangkap muzakarah PAS-Umno ini. Mereka boleh nampak apa yang orang bawah tidak nampak.

Muzakarah PAS-Umno bukanlah isu yang ikhlas dari cetusan Umno. Sebab itu saya lebih tertarik dengan tulisan Zainudin Maidin yang bertajuk ‘Perpaduan PAS-Umno cerita karut!’ dalam sebuah akhbar harian kerana luahan isi hatinya ikhlas, bukan bermuka-muka.

Katanya, berasaskan kepada semua latarbelakang ini (muzakarah), PAS tidaklah seharusnya menjadi pilihan Umno untuk perpaduan Melayu tetapi sebaliknya perpaduan Melayu hanya akan wujud dengan melumpuhkan PAS. Kesempatan haruslah diambil daripada keruntuhan moral dan kekalutan politik PAS sekarang untuk memusnahkan PAS sama sekali.

Nasihat tokoh Umno itu kepada Umno supaya menolak muzakarah dengan PAS memang tepat sekali kerana itu beliau mewakili wajah Umno yang tulen. Cuma nasihatnya supaya PAS dimusnahkan sama sekali menimbulkan persoalan, masih waraskah pemikiran tokoh wartawan penjilat Umno itu? Umno di waktu gagahnya gagal memusnahkan PAS yang semakin hari semakin bertambah kuat sehingga menjangkau usia 60 tahun, tiba-tiba Umno di saat nazaknya kini dinasihat cuba memusnahkan PAS sama sekali...

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...