TERKINI :

Wednesday, June 20, 2012

Pemandu teksi lebih perlukan permit dari tayar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN gagal memahami keperluan pemandu teksi apabila memberi empat tayar percuma berbanding permit.

Menurutnya, pemberian berupa one-off tidak mampu merubah apa-apa nasib yang sedang membelengu pemandu teksi yang sejak dahulu menagih permit.

"Kerajaan tak tahu keutamaan dan keperluan yang dikehendaki rakyat. Mereka bukan minta tayar, mereka minta permit.

"Bagi tayar tak selesai masalah, permit masih kena bayar kepada syarikat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M).

Melalui bantuan itu pemandu teksi diberi voucher bernilai RM520 untuk menukar tayar teksi di kedai terpilih.

Jika harga tayar lebih mahal, mereka perlu membayarnya dengan duit poket sendiri.

"Kalau kereta waja, RM500 tak cukup untuk ganti empat tayar," kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.


Tayar jadi gula-gula politik

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kanan) mendakwa pemberian tayar itu tidak lebih dari gula-gula pilihan raya.

Beliau juga memberi jaminan, permit teksi akan diberikan kepada pemandu jika Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara.

“Ada ketua Umno cawangan pegang 250 permit teksi. Bekas menteri ada 30 permit teksi. Ketua Pemuda Umno (bahagian) ada 15 permit teksi. Buat apa ini?

“Tapi Umno jawab apa? Dia bagi empat tayar. Saya hendak tanya pemandu teksi, kamu nak permit teksi atau empat tayar?” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...