TERKINI :

Thursday, June 21, 2012

Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan?

 
10 persoalan di sebalik Laporan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai projek loji pemprosesan nadir bumi Lynas. (Sila rujuk sini untuk laporan penuh PSC.)

1. Surat jaminan hanya terhad kepada dua tahun

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan rakyat, bahawa syarikat Lynas telah menandatangani surat "UNDERTAKING" untuk bersetuju mengeluarkan residu dari Malaysia, dan dipulangkan ke Australia - seandainya projek pengkitaran semula residu gagal, dan lokasi fasiliti pelupusan kekal tidak dapat dikenalpasti di Malaysia.


Namun, dua surat yang dilampirkan (Lampiran IV) dalam Laporan Jawatankuasa, masing-masing bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012, tercatat, "Lynas Malaysia Sdn Bhd dengan ini bertanggungjawab terhadap pengurusan residu yang terhasil semasa tempoh Lesen Operasi Sementara (Temporary Operating License - TOL) termasuk jika perlu, pemulangan kepada sumber asal."

Surat "UNDERTAKING" ini tidak menjamin bahawa Lynas perlu mengeluarkan residu dari Malaysia setelah memperolehi lesen rasmi (untuk operasi 20 tahun).  TOL hanya membenarkan operasi untuk tempoh dua tahun.  Melainkan Lynas membuat permohonan TOL berulang-kali, dan AELB membenarkan Lynas beroperasi dengan TOL* - jika tidak, Lynas hanya akan mengeluarkan residu dari Malaysia dalam dua tahun pertama selepas beroperasi.

2. Syarat yang ketat untuk membina kilang di Australia

Pada muka surat ke-37 Lampiran 1 - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM, AELB respon kepada persoalan yang diajukan beberapa orang penduduk Kuantan - mengapa Lynas tidak membina kilangnya di Australia, sebaliknya di Malaysia.  AELB memaklumkan bahawa satu lagi syarikat pemprosesan nadir bumi Arafura Resources akan membina loji pemprosesan nadir buminya di Australia Selatan.

Jawapan ini seolah-olah menyampaikan satu mesej, bahawa loji pemprosesan nadir bumi padahalnya boleh dibina di Australia, cuma Lynas tidak memilih untuk membina lojinya di Australia.  Namun, seandainya prosedur permohonan Arafura Resources untuk membina loji nadir bumi di Australia diteliti, maka kita akan mendapati ia bagai langit dengan bumi - untuk bandingkan Arafura Resources dengan Lynas.

Arafura Resources mendukung ketelusan dalam operasi sebermulanya.  Dalam prosedur permohonan lesennya, Arafura Resources dengan jelas menyenaraikan langkah-langkahnya, dialog bersama penduduk tempatan, menunjukkan Laporan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) kepada penduduk tempatan.

Mungkin AELB lupa bahawa ketika Lynas memohon lesennya di Malaysia, penduduk tempatan langsung tidak mengetahui apa-apa.  Malah, laporan EIA dan RIA (Penilaian Kesan Radiologi) oleh Lynas hanya diumumkan apabila berdepan dengan tekanan masyarakat.  Itupun pembinaanya telah siap untuk lebih 50%.

3. Ada bezanya pembinaan kilang asal di Australia

PSC telah menghantar satu rombongan, yang terdiri daripada wakil AELB dan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) untuk mengadakan lawatan saintifik rasmi ke agensi-agensi penguatkuasa Western Australia bagi menentusahkan semua dokumen, permit dan lesen yang dikemukakan oleh Lynas (M) Sdn Bhd bagi permohonan mendapatkan Lesen Kendalian Sementara (TOL) dan dokumen-dokumen berkenaan telah mendapat kelulusan daripada agensi yang berkaitan di Western Australia.

Setelah bertemu dengan kerajaan Western Australia, wakil Malaysia memetik maklumat yang dibekalkan pegawai Western Australia untuk menyanggah dakwaan badan anti-Lynas, bahawa Lynas datang ke Malaysia kerana tidak dibenarkan membina loji di Australia.  Dalam Lampiran VI, LAPORAN LAWATAN TEKNIKAL RASMI KE AGENSI PENGUATKUASA DI WESTERN AUSTRALIA, menunjukkan bahawa EPA (Environmental Protection Authority) Australia pada Mac 1988 telah melanjutkan lesen sebuah syarikat, Ashton Rare Earth Pty Ltd, yang melombong di Mt Weld dan membina loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar, kawasan perindustrian Australia.

Syarikat Lynas telah mengambil alih Ashton Rare Earth Pty Ltd pada tahun 2003, dan mengalihkan hartanya ke bawah syarikat Lynas, termasuk lesen loji pemprosesan nadir bumi di Meenaar.  Syarikat Lynas di Malaysia juga menunjukkan kepada media pada 19 April 2012, bahawa syarikatnya dilanjutkan permitnya oleh kerajaan Australia, sebagai bukti bahawa syarikatnya dibenarkan membina loji di Australia.  EPA juga mengesahkan bahawa operasi loji berkenaan tidak memerlukan laporan EIA selanjutnya.  Laporan EIA yang baru hanya diperlukan apabila loji yang baru membawa impak yang besar terhadap alam sekitar.

Secara luarannya, maklumat feedback yang dikemukakan oleh delegasi AELB kepada PSC ini menunjukkan bahawa kerajaan Australia telah memberi lampu hijau kepada Lynas untuk membina loji di Australia.  Namun PSC seolah-olah tidak faham bahawa pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, adalah berbeza dengan projek pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Australia oleh Ashton Rare Earth Pty Ltd pada ketika itu.  Loji Ashton Rare Earth Pty Ltd menggunakan cara pengurusan residu strategi kawalan penuh, iaitu air buangan loji akan disejatkan sepenuhnya, dan kemudian sisa yang tinggal akan dikebumikan di Mt Weld.  Tetapi, loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Malaysia bakal menghasilkan 500 tan air buangan setiap jam untuk disalurkan ke Laut China Selatan.

Anggota Stop Lynas Coalition, Soo Jin Hou telah menganalisa secara mendalam perbezaan antara operasi Lynas dengan Ashton Rare Earth Pty Ltd di Australia.  Artikel yang ditulisnya pada tahun 2011 telah disiarkan di Free Malaysia Today.

4. Pembohongan

Laporan mendakwa bahawa Lynas adalah sebuah kilang kimia yang selamat.  Maklumat yang diserahkan oleh Lynas kepada PSC mendakwa lojinya adalah Atmospheric pressure, Ambient temperature, Not easily flammable. (Lampiran II "Salient Points on Lynas Advance Material Plant")  Namun Lynas tidak menyatakan peringkat paling penting dalam operasi lojinya, iaitu cracking - menggunakan Rotary Kiln untuk membakar batu nadir bumi selama 2.5 jam di bawah suhu 650 darjah celsius.  Dalam bidang kimia, 650 darjah celsius dianggap sebagai extreme temperature.  Pembohongan Lynas bahawa lojinya beroperasi dalam "ambient temperature", sekali lagi menunjukkan masalah integritinya.

5. Lesen diberikan sebelum EIA diluluskan

PSC tidak menyiasat sama ada pembinaan loji Lynas di Malaysia telah melanggar undang-undang yang ditetapkan negara kita.  Dalam Laporan PSC (mukasurat 7), "Lynas kemudiannya telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang MITI untuk menghasilkan nadir bumi oksida dan karbonat di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan berkuat kuasa pada 22 Januari 2008 yang tertakluk kepada Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 di bawah kawalan AELB dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah kawalan JAS.  Jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa projek LAMP telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) daripada JAS Negeri Pahang pada 15 Februari 2008."

Dengan kata lain, PSC sudah maklum bahawa lesen pengilang Lynas telah diluluskan tiga minggu sebelum laporan EIA diluluskan.  Mengapa PSC tidak mempertikaikan sama ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mematuhi prosedur yang ditetapkan?  Dalam keadaan di mana kesan terhadap alam sekitar belum dikenalpasti, apakah alasan untuk MITI membenarkan pembinaan loji Lynas di Malaysia? (Bahagian pertama, bersambung)

*Ketua Pengarah AELB Abdul Aziz Raja Adnan pernah mendakwa bahawa Lynas boleh memohon TOL berulang-kali, untuk melanjutkan tempoh operasinya.  Namun, proses permohonan agak menelan masa dan kosnya amat tinggi. Rujuk: http://www.merdekareview.com/news_v2.php?n=23968

**Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...