TERKINI :

Wednesday, June 13, 2012

Kadar jenayah di Kedah menurun



ALOR SETAR - Statistik indeks jenayah di Kedah menunjukkan penurunan bagi kebanyakan kes yang dilapor dari 2009 hingga lima bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata bagi bulan lepas, kadarnya menurun sebanyak 108 kes iaitu kepada 915 kes berbanding 1,023 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Tetapi saya difahamkan bahawa berlaku peningkatan dalam jumlah laporan yang diterima mengenai kes curi motosikal dan curi motokar. Walaupun tidak begitu tinggi, tetapi pihak Jabatan Siasatan Jenayah perlu memandang serius perkara ini dan memikirkan kaedah baru bagi mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Katanya beliau telah mengarahkan semua pegawai polis daerah supaya memeriksa peniaga barangan lama, kedai potong kereta dan bengkel kenderaan bagi memastikan tiada kereta curi dibawa ke sana.

"Kebanyakan kereta yang dicuri adalah kereta lama, mungkin pencuri hanya ambil komponennya untuk dijual dan saya telah mengarahkan pegawai-pegawai polis membuat pemeriksaan di kedai-kedai tersebut," kata Ahmad.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Ahmad berkata jenayah komersial mencatat 85 kes bulan lepas yang melibat kerugian hampir RM600,000 berbanding 84 kes pada bulan sebelum itu dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.

"Semua pegawai dan anggota perlu memikirkan alternatif bagi menyalurkan maklumat dan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan kes-kes komersial serta menggunakan menggunakan Facebook dan media lain untuk menyebarkan maklumat," katanya.

Ahmad juga berkata statistik tangkapan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam lima bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus iaitu 6,103 orang. 

Katanya rampasan dadah dan bahan-bahan di bawah Akta Racun dianggarkan sebanyak lebih RM620,000 manakala penyitaan terhadap harta pengedar dadah adalah sebanyak RM1.7 juta.- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...