TERKINI :

Tuesday, May 29, 2012

Team BN belum bersedia, team PR dah bersedia lama

Oleh Aspan Alias

Telahan tentang bila pilihanraya akan berlaku sudah beralih dan beranjak. Dari telahan pilihanraya akan diadakan pada penghujung tahun lepas telah beralih kepada bulan Mac 2012, telah beralih kepada bulan Jun dan terusnya telah dikatakan ia akan berlaku pada bulan Julai.

Spekulasi beralih lagi dan sekarang bulan September pula, iaitu selepas Hari Raya Puasa dan sebelum musim haji tiba. Apabila bulan Ogos sampai mungkin tarikh PRU itu akan dialihkan lagi; mungkin penghujung tahun atau awal tahun hadapan 

Pilihanraya di negara ini ditentukan oleh ilham Perdana Menteri dan ilham Perdana Menteri itu datangnya dari mana, kita pun kurang pasti. Setengah berpendapat nasihat daripada isterinya belum boleh mengadakan pilihanraya lagi. Ada yang berpendapat yang pilihanraya mesti diadakan selepas Hari Raya Puasa nanti. Pendapat yang ini datangnya daripada Dr Mahathir, bekas PM kita.
Jika pilihanraya masih belum ditentukan, ianya bermakna Najiblah satu-satunya Perdana Menteri yang tidak mengadakan pilihanraya  walaupun telah empat tahun mengambil alih dari PM sebelumnya. Najib masih lagi boleh mendapatkan sokongan ‘legitimate’ dari rakyat dan kabinet pimpinan beliau sekarang ini masih lagi kabinet Abdullah Badawi.
 
Rupa-rupanya, selemah-lemah Abdullah Badawi beliau berani dan sanggup mengadakan pilihanraya. Sebaliknya sehandal-handal Najib seperti yang cuba beliau tonjolkan dirinya sehingga hari ini masih belum mempunyai keberanian untuk mengadakan pilihanraya umum walaupun sudah empat tahun menjadi Perdana Menteri. Najib masih mundar-mandir ke hulu dan ke hilir, untuk mendapatkan ‘feel’ yang sebenarnya tentang sokongan rakyat sekarang ini.
Najib masih lagi mengalih-ngalihkan tiang-tiang gol untuk mendapatkan posisi yang terbaik agar pembangkang tidak dapat menyumbat gol-gol tersebut. Najib masih belum mendapatkan posisi gol yang hendak beliau letakkan kerana setiap posisi gol yang beliau letakkan semuanya berada di posisi pembangkang untuk mudah menendang dan mendapatkan gol yang banyak.
Bagi pihak pembangkang, mereka tidak mengalihkan gol-gol malahan di mana sekali pun gol-gol tersebut diletakkan mereka bersedia untuk bermain pada bila-bila masa sahaja. Pemain-pemain dari pihak pembangkang sudah bersedia untuk menghadapi permainan dengan BN walaupun BN telah dipersepsikan sebagai ‘team’ yang suka bermain kotor.
Team BN mempunyai kekuatan tenaga dan ditambah pula oleh ‘referee’ yang berat sebelah. Referee pula dalam senyap-senyap menambah pemain di sebelah BN dengan memasukkan permain-pemin luar dari Myanmar, India dan Indonesia. Tetapi masih lagi BN tidak berkeyakinan untuk bermain.
Penonton-penonton serta penyokong-penyokong dari kedua-dua belah pihak sudah berperang mulut dan ramai penyokong-penyokong dari team BN sekarang amat celupar mulut mereka dan ada yang berkasar dengan budaya samseng yang kian hari kian bertambah. Penyokong-penyokong BN sudah beberapa kali bertukar kemeja T dan topi mereka tetapi permainan belum juga bermula.
Sementara menunggu permainan bermula penyokong-penyokongnya sibuk melakukan pesta-pesta dan kegiatan. Ada yang menari dan bersenam punggung. Ada yang membaling telor dan ada yang membaling batu kepada penyokong-penyokong team lawan.
Penyokong team BN telah membuat kek berbentuk tahi dan akhirnya mereka memakannya sendiri. Mereka kata sedap rasanya kek itu. Bermacam-macam cara penyokong team BN melakukan perang psychology untuk menarik perhatian penonton-penonton. Tetapi penyokong team PR hanya berdiam diri sahaja sambil memerhatikan gelagat lucu penyokong team BN itu.
Team PR tahu apa pun psychology yang dilakukan oleh penyokong-penyong team BN, mereka tahu yang mereka akan memenangi perlawanan ini dengan rembatan-rembatan gol padang dengan banyaknya. Team BN pula hanya hendak mengharapkan sepakan penalti sahaja, itu pun belum tahu bola akan masuk.
Lagi lambat perlawanan itu diadakan lagi banyak masa untuk team PR berlatih dengan memerhatikan kelemahan yang nyata yang ditunjukkan oleh team BN sejak kebelakangan ini.
Akhirnya terpulanglah kepada team BN untuk menentukan waktu perlawanan itu diadakan. Sesungguhnya keputusan sudah berada di tangan kita semua. Team PR tahu yang team BN akan menghadapi relegasinya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...