TERKINI :

Tuesday, May 29, 2012

Politik bebas perkauman lawan telur kemurok

Oleh A Kadir Jasin

Baru-Baru ini, saya dan beberapa orang blogger dijemput berbincang dengan Pengerusi Yayasan 1 Malaysia, Dr Chandra Muzaffar.

Saya tertarik dengan pandangan pemblog Syed Akhbar Ali yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menawarkan politik bebas perkauman

Saya antara setuju dan tidak. Setuju yang kepemimpinan PR terdiri daripada pelbagai kaum, mewakili parti yang pada dasarnya pelbagai kaum dan nampaknya memperjuangkan agenda kepelbagaian kaum.

Tidak setuju kerana unsur dan ciri perkauman masih tebal dalam parti-parti terbabit. PAS masih berupa parti Islam-Melayu dan DAP parti majoriti Cina. Benarlah PKR lebih berbilang kaum, tetapi ia parti “cult” yang berlegar di sekitar Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim.

(Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP menterjemahkan “cult” sebagai pendewaan atau kegilaan. Dalam konteks ini, Anwar hanya boleh berharap kepada penyokong yang mirip kepada pendewaan dan kepada generasi muda yang kenal beliau hanya dari jauh).


PAS sudah beberapa kali mengisytiharkan yang ia bersedia menerima seorang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri dengan syarat dia seorang Islam.

Buat masa ini, tidak nampak ada seorang Islam bukan Melayu dalam PR yang boleh mengubah konvensyen di mana Perdana Menteri adalah seorang Melayu.

Penarikan diri oleh Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim daripada DAP baru-baru ini menunjukkan parti itu masih jauh daripada matlamat mengembalikan orang Melayu ke dalam perjuangannya.

Walaupun DAP diasaskan pada tahun 1967 sebagai parti berbilang kaum dan pernah mempunyai beberapa orang Melayu dalam kepemimpinannya, namun sejak peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei, 1969, DAP gagal membawa balik sokongan orang Melayu.

Lagipun, motivasi pokok PR bukanlah politik bebas perkauman tetapi strategi pilihan raya yang berupaya mencabar hegemoni Barisan Nasional (BN) ke atas politik Malaysia.

Sampai hari ini pun PR masih berupa pakatan pilihan raya kerana belum didaftarkan secara rasmi sebagai pakatan sah. Buat masa ini, tidak nampak tanda-tanda DAP, PAS dan PKR akan bertandingan pilihan raya umum akan datang menggunakan simbol bersama (common symbol).

Dilema haiwan purba

Dalam perbincangan Yayasan 1 Malaysia itu, saya perkenalkan diri saya sebagai “haiwan purba” dan makhluk dua alam kerana sayalah yang paling tua di kalangan yang hadir dan menulis dalam media tradisional dan media baru.

Kerana saya haiwan purba yang masih tidak pupus, saya telah melihat banyak peristiwa dan perkembangan yang membuatkan saya berhati-hati menerima tesis seperti yang dikemukakan oleh Syed Akhbar Ali itu.

Malah saya bimbang yang keadaan sebenar tidaklah seideal atau setenang yang digambarkan oleh kelompok demokrat dan aktivis muda yang sedang mewarnai politik negara sekarang dengan perang siber dan protes jalanan mereka.

Pelanggaran perintah, kekerasan dan keganasan ketika tunjuk perasaan Bersih 3.0 28 April lalu serta perkembangan selepas itu memberi gambaran bahawa tindakan dan perlakuan di luar undang-undang dan kesopanan boleh berlaku. Yang diperlukan hanyalah hasutan.

Saya sering dituduh cuba menakut-nakutkan orang ramai setiap kali saya menulis mengenai pergaduhan kaum 13 Mei 1969.

Itu tidak menjadi masalah kepada saya. Saya berasa adalah tanggungjawab saya menolong memaklumkan kepada generasi muda mengenai sejarah kontemporari negara, termasuklah mengenai pergaduhan kaum.

Hari ini, ramai menyangka peristiwa 13 Mei adalah pergaduhan kaum paling buruk di negara kita. Ramai tidak tahu bahawa pergaduhan kuam yang meragut paling banyak nyawa berlaku pada tahun 1942 di Johor apabila tentera Bintang Tiga (pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya) bertempur dengan orang Melayu yang dipimpin oleh Kiai Mohd Salleh. Lebih 800 mati dalam pergaduhan itu.

Perang siber lawan telur busuk

Walaupun kita menguar-uarkan kehebatan alam siber sehingga Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkata majoriti calon BN dalam PRU nanti adalah daripada kalangan yang celik IT dan pengguna Twitter seperti beliau, namun tabiat dan amalan lama susah hendak disekat.

Justeru, masih ada yang berasa lebih mudah dan berkesan menggunakan telur busuk — telur kemurok kata orang Utara — terhadap lawan.

Pada tahun 1960-an, kena baling telur kemurok yang sangat dahsyat baunya adalah perkara biasa bagi yang berkempen pilihan raya. Yang datang mendengar pun silap-silap kena juga.

Dulu, ibu ayam mengeram sendiri telurnya. Itulah cara tradisional membiakkan ayam. Telur yang rosak dan tidak menetas itulah yang dipanggil telur kemurok. Masa pilihan raya, telur kemurok ada harga sebab menjadi bahan pengeboman yang sangat berkesan.

Jadi, dalam kita menguar-uarkan politik bebas perkauman, kecanggihan ruang siber dan kematangan berpolitik, kita janganlah terlalu lega, menyangka bahawa yang telah berlalu tidak akan berulang semula. Kita perlu beringat dan sentiasa berjaga-jaga kerana ramai sudah lupa, pura-pura lupa atau tidak tahu apa-apa. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...