TERKINI :

Sunday, May 6, 2012

Detik kemuncak regim dijatuhkan, apabila media kroni turut protes..

Oleh Lim Hong Siang 

Apabila media arus perdana yang dikuasai kroni pemerintah turut menyatakan protes mereka terhadap pemerintah, maka itu detik-detik kemuncak di mana sesebuah regim bakal dijatuhkan.  Melihat kepada reaksi wartawan media arus perdana selepas 28 April 2012, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengungkapkan kata-kata yang meraih tepukan gemuruh satu dewan, dalam forum semalam.

Gambar disumbangkan Abah Anas.
Mengisahkan bagaimana akhbar bahasa Cina utama menghitam-putihkan muka surat depannya sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, semalam, Fathi terus berkata, "Saya nak katakan, turning point, bagaimana dalam sejarah pergolakan revolusi dan kejatuhan regim-regim dunia ini akan berlaku saatnya perubahan seperti Sin Chew Jit Poh (Daily)."

Fathi menjelaskan, sewaktu Suharto (bekas Presiden Indonesia) mahu digulingkan, protes diadakan selama enam bulan, oleh mahasiswa dan orang ramai.  Media arus perdana tempatan mengkritik penguasa, dan korporat besar menggantung banner di bangunannya yang tinggi.  Kesemua ini "elit mobilisation", di mana elit merekah untuk menyokong parti politik berlainan, menjurus kepada kejatuhan regim Suharto pada akhirnya.
Aktivis media ini menjelaskan, Sin Chew Daily sebagai akhbar yang berpengaruh dalam masyarakat Cina, dan kadang-kala juga dilihat sebagai pro-Barisan Nasional, kini telah berani tampil ke depan untuk menuntut polis agar memohon maaf.  Fathi (gambar kiri) menyifatkan bahawa ia satu langkah ke depan apabila "golongan yang paling konservatif" ini memakai baju hitam untuk memprotes.

Beliau mempunyai pengalaman dari BERSIH pertama hinggalah BERSIH 3.0.  Ketika perhimpunan BERSIH pertama diadakan pada 10 November 2007, Fathi berkhidmat dengan M-Star, edisi bahasa Malaysia The Star.  Beliau dimarah kerana meletakkan gambar Hadi Awang, Presiden PAS.

Bagaimanapun, wartawan The Star semalam juga memakai baju hitam sebagai tanda solidariti kepada wartawan yang dibelasah polis ketika membuat liputan dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Fathi menganggap insiden 428 merupakan "keganasan yang paling sistematik" terhadap wartawan sejak belasan tahun kebelakangan ini, meskipun ia bukanlah perkara baru, dan pernah berlaku ketika zaman Reformasi.  Namun, kekasaran terhadap wartawan pada 28 April meliputi semua orang termasuk wartawan dan peguam.

Hishamuddin Rais: Gembira
Dengan nada sinis, seorang lagi panelis, Hishamuddin Rais berkata, "Saya cukup gembira apabila wartawan kena pukul.  I am soooooo happy I cannot hide my smile.  Begitu lama demonstran-demonstran dipukul dah, dia (wartawan) buat tak nampak.  Sekarang padan muka!"

Bekas aktivis mahasiswa ketika zaman 1970-an ini mengisahkan bagaimana wartawan buat tidak tahu apa-apa apabila polis membelasah peserta demonstrasi.  Malah, menurut Hishamuddin Rais (gambar kanan), pada tahun 1960-an, seorang peserta demonstrasi Parti Buruh ditembak mati, dan apabila dimaklumkan kepada wartawan, wartawan tersebut sekadar bertanya, "Betulkah?"

Aktivis Parti Keadilan Rakyat, Latheefa Koya, juga seorang peguam, turut berkongsi pandangannya dalam hal ini.  Meskipun ia bukan sesuatu yang lunak didengar, namun Latheefa Koya berkata, "apabila media kena (dipukul), baru dia orang sedar."

Latheefa Koya terlibat dalam banyak perhimpunan sejak zaman Reformasi, dan soalan yang sering diajukan oleh wartawan ketika polis mengganas adalah, adakah peserta memprovokasi polis?  Mengapa pihak penganjur perhimpunan tidak lakukan ini dan itu?

"Sekarang, anda tanyalah diri andalah!" katanya, gagal menahan ketidakpuasan yang terpendam dalam hati selama ini.  Latheefa Koya (gambar kiri) menjelaskan bahawa dirinya berkata demikian bukan kerana berdendam dengan wartawan, tetapi inilah realiti yang berlaku.

Panelis-panelis berkata sedemikian dalam satu forum "Pasca BERSIH 3.0: Keganasan Polis dan Media 'Blackout'", anjuran Akademi Pak Sako dan laman JalanTelawi.com,  di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.  Panelis yang lain termasuk Aziz Bari (Pakar Perlembagaan), Haziq Abdul Aziz (Aktivis mahasiswa, KAMI) dan Haijan Omar, peguam yang dibelasah sewaktu himpunan BERSIH 3.0.  Forum tersebut menarik kira-kira 200 orang, sehingga dewan tersebut penuh dan sesak.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...