TERKINI :

Sunday, May 6, 2012

Bersih 3.0 dan BN yang diterajui Gerakan

Menjelang perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 28 April lalu, pelbagai usaha dilakukan pihak-pihak tertentu khususnya BN untuk menggagalkan program rakyat itu.

Antara yang paling menonjol adalah percubaan memainkan sentimen kaum dan agama serta mengaitkan pengerusi Bersih 3.0 dengan LGBT bertujuan mengalihkan fokus dan tumpuan umum terhadap keperluan program duduk bantah itu diadakan.

Bersih 3.0 yang didukung 83 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih.
 
Lapan tuntutan Bersih adalah daftar pengundi yang bersih; mereformasikan undi pos; penggunaan dakwat kekal; masa kempen minimum 21 hari; akses media yang bebas dan adil; mengukuhkan institusi awam; menghentikan rasuah; dan menghentikan politik kotor.

Daripada lapan tuntutan itu, tiada satu pun yang boleh ditakrif sebagai menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Malah lapan tuntutan Bersih 3.0 itu adalah selari dengan semangat Islam yang memerintahkan umatnya supaya berlaku adil, amanah dan bersih. Jadi bagaimanakah ada seruan yang mahu umat Islam menjauhi Bersih 3.0 kerana kononnya ia dipimpin seorang bukan Islam yang menyokong ‘amalan seks songsang’?

Kita mungkin tidak sehaluan dengan pengerusi Bersih 3.0 dalam isu LGBT, tetapi menjadikan LGBT sebagai dalih mengetepikan tuntutan Bersih adalah hujah tidak masuk akal dan kebudak-budakan. Hujah kononnya kumpulan pendesak itu diterajui seorang bukan Islam juga jauh meleset kerana seorang lagi Pengerusi Bersih 3.0 ialah Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said.

Sikap membisu media massa pro-BN terhadap peranan yang dimainkan Pak Samad sebagai Pengerusi Bersama Bersih 3.0 membuktikan wujud perancangan untuk menjauhkan Bersih 3.0 daripada orang Melayu Islam kerana kononnya gerakan itu diterajui seorang bukan Islam.

***

Ketika soal agama dan pendirian peneraju Bersih 3.0 terhadap golongan LGBT dimainkan media massa pro-BN, Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri mengumumkan perlantikan Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi baru BN Pulau Pinang.

Perlantikan itu bagaimanapun tidak menjadikan negeri itu ‘porak peranda’ oleh tunjuk perasaan kumpulan pendesak Melayu dan Umno yang selama ini menggelarkan PAS sebagai ‘kuda tunggangan’ DAP.

Sikap membisu kumpulan ultra-Melayu dan Umno Pulau Pinang terhadap perlantikan Chang Yeow menghairankan walaupun bukan di luar kebiasaan, memandangkan Gerakan tidak memiliki walaupun satu kerusi di negeri itu.

Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) PUlau Pinang, Pakatan Rakyat menguasai 29 kerusi Dun dengan 11 kerusi dikuasai Umno-BN.

Ini menggambarkan betapa lemahnya Umno ketika berhadapan dengan Gerakan di Pulau Pinang sungguhpun kelihatan ‘garang’ menghadapi DAP yang kononnya menindas orang Melayu di negeri itu. Sikap membisu dan akur Umno terhadap perlantikan pengerusi BN negeri ini juga mengesahkan siapakah sebenarnya yang menjadi ‘kuda tunggangan’ sepanjang 50 tahun BN memerintah Pulau Pinang.

Dalam keadaan menjadi kelompok pembangkang yang besar di Dewan Undangan Negeri, Umno tidak berupaya menuntut kerusi Pengerusi BN negeri, apatah lagi jika ia menjadi kuasa minoriti di Dun Pulau Pinang.

Umno sebenarnya menyedari tidak mudah untuk membentuk kerajaan di Pulau Mutiara tanpa sokongan bukan Melayu. Jika ditakdirkan menang di seluruh kerusi yang ditandinginya, Umno tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa sokongan partiparti bukan Melayu.

Inilah realiti yang cuba dinafikan pemimpin Umno di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat. Sedangkan tanpa sokongan rakyat daripada pelbagai latarbelakang agama dan bangsa, hampir mustahil untuk sesebuah parti politik membentuk kerajaan di sebuah negeri dan negara yang berciri majmuk seperti Malaysia. 

Editorial Harakah

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...