TERKINI :

Sunday, May 6, 2012

Artis dapat hadiah mewah, sasterawan bagaimana?

Oleh RAYUSA

KEPUTUSAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 pada 8 April lalu mencetuskan kontroversi apabila Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dalam mengatakan dia lebih berbangga kalau artis Malaysia yang menang.

Sebenarnya, tulisan Zed dalam twitternya bersifat umum kerana dia tidak menyebut nama artis negara luar yang mengungguli ABPBH 2011. Kategori pun tidak disebutkannya

Tetapi, disebabkan yang memenangi Bintang Paling Popular ABPBH 2011 adalah Aaron Aziz (juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular), peminat faham bahawa Zed tidak menyetujui kemenangan pelakon kelahiran Singapura itu. Biarpun pelakon itu berhujah memberi penjelasan, peminat tetap menuduh dia menolak kejayaan Aaron.

Sebenarnya, sia-sia sahaja para peminat dan wartawan hiburan berdebat soal ini, apatah lagi berminggu-minggu. Namun, ada seperkara yang wajar direnung. Zed dan Aaron tidak bersalah. Yang bersalah adalah Berita Harian.


Mengapa Berita Harian menganjurkan anugerah bintang popular dan bukan anugerah bintang terbaik? Lebih wajar ia mencari bintang terbaik.

Mengapa pula ia membenarkan penyertaan artis negara luar? Sepatutnya ABPBH untuk artis dari Malaysia sahaja.

Tetapi, sebagai akhbar arus perdana yang telah wujud puluhan tahun, malanglah jika hanya anugerah ‘bodoh’ sedemikian yang dianjurkannya dan menerima artis luar negara bertanding. Jika mendakwa ia akhbar berwibawa, sepatutnya sesuatu yang lebih berisi yang dilakukan. Mengapa anugerah Zamalah Sastera yang pernah diwujudkannya pada era 80-an dahulu (itu pun seketika sahaja) tidak diwujudkan semula?

Sama ada popular tidak semestinya terbaik, atau yang terbaik itu dengan sendirinya popular (cuma, belum pasti menjadi sebagai paling popular), telah suku abad Berita Harian melakukan kesia-siaan, dan akan diteruskan hingga akhir dunia, selagi ada penaja serta pembaca atau peminat.

Secara strategik, ABPBH diadakan untuk melariskan jualan. Pembaca, terutama peminat dunia hiburan akan membeli Berita Harian setiap hari sepanjang tempoh pengundian anugerah itu.

Dengan laris dalam tempoh beberapa bulan, Berita Harian yang turut dikuasai kerajaan Umno-BN dapat ‘menyelam sambil minum air’. Sambil mengundi artis diminati, secara tidak langsung pembaca akan terbaca juga fitnah serta kecaman terhadap Pakatan Rakyat dan para pemimpinnya di muka depan atau muka dalam Berita Harian. Jadi, penganjuran ABPBH juga ada ‘agenda tersembunyi’.

Selain itu, ABPBH turut menggalakkan ketidakjujuran. Selain peminat dunia hiburan membeli, artis yang bertanding serta keluarga dan sanak saudara mereka turut membeli Berita Harian setiap hari dalam jumlah yang banyak. Jika artis yang bertanding mengundi diri sendiri, bukankah ia satu penipuan? Perkara tersebut diakui keluarga artis terbabit.

Kontroversi ABPBH 2011 dan artis bertanding mengundi diri sendiri ini boleh dielakkan jika Berita Harian menganjurkan Anugerah Bintang Terbaik dan mengehadkan penyertaan kepada artis Malaysia sahaja.

Namun, malang sekali, pemimpin Berita Harian yang mendakwa diri mereka matang dan bijak turut terperangkap dalam glamor, dan mementingkan keuntungan.

Dengan bergantung pada pilihan peminat dan artis bertanding mengundi diri sendiri, ia pertandingan tidak sihat berbanding anugerah bintang terbaik yang dipilih para juri profesional yang memilih berdasarkan mutu. Tetapi, itu tidak sedia dilakukan kerana mementingkan kelarisan akhbar.

Tetapi, walaupun betul dan menunjukkan patriotisme, Zed tanpa sedar turut merestui anugerah tersebut. Sepatutnya sebagai orang nombor dua Seniman, dia mencadangkan agar Anugerah Bintang Terbaik yang dianjurkan. Itu lebih bermakna dan berisi.

Lebih wajar jika Anugerah Bintang Terbaik yang dianjurkan. Namun begitu, saya fikir elok juga ia tidak diadakan lagi kerana sudah terlalu banyak anugerah untuk artis dengan hadiah yang mewah-mewah.

Atas kemenangannya, Aaron menerima kenderaan Nissan Teana 250 XV V6 berharga RM175,000 dan barang kemas bernilai RM250,000 tajaan Rafflesia-Mandalay, berserta trofi.

Tetapi, bagaimana dengan sasterawan dan budayawan tanah air yang lebih bermanfaat dan berjasa? Mereka hanya layak menerima hadiah RM1,000 atau RM300 sahaja? Ironinya!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...