TERKINI :

Tuesday, May 29, 2012

Apa yang diterima diagihkan kepada rakyat

ALOR SETAR – Pentadbiran yang lancar, berhemah, bersih dan aman menyebabkan kerajaan negeri Kedah kini semakin maju dan stabil serta mendapat perhatian pelabur luar untuk melabur dalam pelbagai sektor.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, dengan pentadbiran yang tidak tamak contohnya apa yang kerajaan negeri terima terus diagihkan kepada rakyat menyebabkan rakyat mula melihat cara mentadbir kerajaan negeri kini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Pemimpin Masyarakat bersama Menteri Besar yang diadakan di Seri Mentalon.

“Selain itu, baru-baru ini saya mendapat kunjungan daripada pelabur luar yang ingin membina hotel tujuh bintang yang mempunyai 1,000 bilik di Langkawi. Selepas daripada perbincangan tersebut saya maklumkan kepadanya agar berbincang dengan pihak yang berkaitan di Langkawi.

“Pelabur tersebut mengatakan bahawa keinginannya untuk melabur di Kedah adalah disebabkan tiada kerenah birokrasi,” jelasnya.


Menurutnya lagi, setiap manusia perlu mengharap kepada Allah supaya Allah memurahkan rezeki. Dalam Islam terdapat doa meminta dimurahkan rezeki iaitu dalam solat dhuha.

“Dalam doa tersebut kita menyebut jika rezeki kita ada di langit, turunkan. Jika rezeki ada dibumi, keluarkan. Berkat doa ini maka hari ini Kedah telah mempunyai lombong bijih besi dan melalui tanah ini kerajaan negeri akan memperoleh pendapatan kira-kira RM10 juta setahun.

“Hasil tesebut kita agihkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau bersyukur kerana sejak empat tahun lepas, pihaknya berjaya menghadapi pelabagai halangan daripada banyak pihak dan beliau turut mengucap terima kasih kepada pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi yang banyak membantu kerajaan negeri.

Sementara itu, di akhir majlis kerajaan negeri turut memberikan saguhati kepada 38 pemimpin masyarakat dan ianya disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ir.  Phahrolrazi Zawawi dan YB Dr. Ismail Salleh.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...