TERKINI :

Friday, April 20, 2012

Vedran Gerc senjata Kedah di Kota Bharu

Vedran Gerc menjaringkan gol kedua Kedah ketika menentang Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, Selasa lalu.
ALOR SETAR – Kehilangan khidmat tiga tonggak tidak melunturkan semangat Kedah untuk mencipta peluang dengan sasaran sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV esok.

Selesa dengan status bukan pilihan, skuad Kenari bakal mempertaruhkan beberapa pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd. Khyril Muhymeen Zamri, Mohd. Fauzi Nan, Amar Rohidan, Mohd. Faizal Abu Bakar dan Sabree Abu untuk mengimbangi kekuatan Kelantan yang dilabelkan sebagai pasukan pilihan.

Kehadiran penyerang import dari Crotia, Vedran Gerc yang meledak dua gol pada penampilan sulungnya Selasa lalu, turut memberi keyakinan kepada pasukan Hijau Kuning apabila digandingkan bersama Mohd. Khyril Muhymeen untuk mencari jaringan sebagai bekalan untuk perlawanan separuh akhir kedua di gelanggang sendiri kelak.
Skuad Hijau Kuning bagaimanapun mungkin terpaksa menerima hakikat kehilangan khidmat perancang import, Safi Elfatah dan V. Thirumurugan yang belum pulih daripada kecederaan serta Khairul Helmi Johari yang digantung satu perlawanan.

Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, dalam saingan peringkat tersebut, amat penting untuk memastikan gawang Kedah tidak dibolosi dan pada masa sama perlu mencari jaringan sebagai bekalan sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Darul Aman pada 1 Mei ini.

Katanya, kesebelasan Sang Kenari tidak perlu gentar dengan prestasi memberangsangkan Kelantan dalam saingan Liga Super kerana Piala FA merupakan pertandingan yang berbeza.

“Para pemain diingatkan agar bertahan dengan kental dan mempamerkan corak serangan yang berkesan kerana jaringan gol dapat menaikkan semangat pasukan menjelang perlawanan timbal balik nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Justeru kata Wan Jamak, para pemain Kedah tidak boleh hilang fokus dan perlu memberi komitmen seratus peratus pada pertemuan itu untuk mencerahkan peluang mara ke perlawanan akhir.

Katanya, sedikit kealpaan boleh mengundang dengan kesebelasan Hijau Kuning mesti berjuang sehingga tiupan wisel terakhir perlawanan jika tidak mahu berputih mata

sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm (20/04/2012)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...