TERKINI :

Thursday, April 12, 2012

Obsesi parti pemerintah

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahmad Maslan, terdapat hanya 101 buah syarikat atau 10.7% daripada 941 syarikat senaraian awam (SSA) atau "public listed companies" (PLCs) di Bursa Malaysia adalah milik Bumiputera sehingga 31 Disember 2011.  Daripada 101 PLCs berkenaan, hanya 75 syarikat yang mencatatkan keuntungan.

Sebelum membuat sebarang ulasan lanjut, ada baiknya jika pihak JPM diminta memberi penjelasan dan kepastian mengenai takrifan yang digunapakai bagi menentukan status Bumiputera sesebuah SSA sama ada dari segi:

• pegangan ekuiti oleh pemegang saham individu atau institusi yang disifatkan sebagai Bumiputera, pada paras 30% sejajar dengan sasaran pegangan ekuiti korporat Bumiputera dalam dasar afirmatif negara ataupun 51%, lazimnya paras minimum yang diperlukan untuk menguasai sesebuah syarikat; atau
• barisan pengurusan kanan didominasi oleh kaum Bumiputera; atau
• sebarang kriteria lain yang memenuhi syarat untuk layak digelar sebagai SSA Bumiputera?

Sudah pasti banyak pihak yang akan mengaitkan statistik SSA Bumiputera ini dengan sasaran pegangan ekuiti korporat Bumiputera minimum sebanyak 30% di bawah dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan sejak 1971 dalam pelbagai nama dan bentuk bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), diikuti oleh Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Visi Nasional (2001-2010).  Berdasarkan data tahun 2008 yakni statistik terkini bagi pencapaian dasar afirmatif ini, pada paras 21.9%, kaum Bumiputera ternyata masih gagal mencapai sasaran tersebut.
Tanpa perlu menuding jari, kegagalan ini jelas salah satu bukti ketidakupayaan UMNO-Barisan Nasional mengotakan janji meningkatkan penglibatan rakyat terbanyak di kalangan Bumiputera dalam ekonomi negara meskipun sudah lebih 40 tahun dasar afirmatif ini dilaksanakan.

Kita semua sedia maklum bahawasanya daripada RM54 billion nilai saham di Bursa Malaysia yang diagihkan kepada kaum Bumiputera melalui peruntukkan khas, hari ini hanya tinggal saham bernilai lebih kurang RM2 billion yang masih kekal dalam pegangan Bumiputera disebabkan oleh bukan sahaja kerapuhan "holding power" Bumiputera malah akibat pelbagai kepincangan dan kelemahan lain dalam pelaksanaan dasar afirmatif ini.  Berkemungkinan besar, jumlah RM2 billion ini mencerminkan nilai pegangan ekuiti Bumiputera secara keseluruhan dalam SSA di Bursa Malaysia dari segi "market capitalisation" atau pasaran modal.

Amatlah tidak adil, mengelirukan dan tidak bertanggungjawab jika bukan Bumiputera dipersalahkan bagi kegagalan dasar UMNO-Barisan Nasional ini kerana sekiranya diteliti dengan lebih dekat, pada tahun 2008, pegangan ekuiti bukan Bumiputera sebenarnya telah turun mendadak kepada 36.7% berbanding 43.9% pada tahun 2006 sementara pegangan ekuiti oleh pelabur asing pula telah melonjak kepada 37.9% daripada 30.1% pada tahun 2006.  Tidak syak lagi, apabila data terkini mengenai agihan pegangan ekuiti berdasarkan kumpulan etnik contohnya bagi tahun 2010 atau 2011 diterbitkan, sudah pasti pegangan ekuiti tempatan sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera akan merosot manakala pegangan ekuiti asing akan menunjukkan peningkatan lebih tinggi natijah pelbagai langkah liberalisasi bagi syarat pegangan ekuiti dan had pelaburan asing yang kerajaan Barisan Nasional laksanakan sejak 2009.

Perlu ditegaskan di sini bahawa obsesi UMNO-Barisan Nasional yang keterlaluan pada 30% pegangan ekuiti Bumiputera sebagai sasaran utama menyebabkan kita lupa bahawa terdapat metriks atau kayu ukur lain yang tidak kurang pentingnya bagi menilai tahap pemilikan dan penyertaan dalam ekonomi, jauh melangkaui aspek pegangan ekuiti, pasaran modal dan kewangan.  Ini termasuklah aset perniagaan dan harta benda lain seperti peruncitan; harta tanah misalnya tanah, kediaman, ruang pejabat dan bangunan komersil; harta intelek, perkhidmatan lain serta perjawatan dalam barisan pengurusan sesebuah syarikat.

Kemelut tawaran awam permulaan/awal atau "initial public offering" (IPO) FELDA Global Venture Holdings (FGVH) bukan sekadar mencerminkan pertembungan konsep dan pendapat mengenai tindakan afirmatif malah satu contoh klasik yang melambangkan jurang nilai, budaya, ideologi dan fokus keutamaan secara umum yang semakin melebar dalam masyarakat Malaysia terutamanya di antara:

• hasrat sebilangan besar peneroka FELDA untuk mendapat hakmilik tanah kekal sejajar dengan matlamat dan semangat asal penubuhan FELDA bagi membasmi kemiskinan luar bandar melalui penempatan semula, membantu rakyat termiskin memiliki tanah dan menjaga kebajikan peneroka sebagai tuan tanah dengan menyediakan perkhidmatan dan bantuan sokongan supaya mereka berdaya saing dan mendapat pulangan terbaik daripada tanah dan hasil tanaman; dan
• sasaran 30% pegangan ekuiti di kalangan penggubal dasar UMNO-Barisan Nasional dan "kegilaan" menyenarai di pasaran saham sebagai mekanisme terbaik untuk merungkai nilai malah dianggap kononnya satu-satunya kaedah yang membolehkan kaum Bumiputera belajar mengenai pasaran modal dan meletakkan mereka setanding dengan kaum lain di Malaysia.

Walaupun tidak dinafikan ada manfaatnya IPO atau penyenaraian FGVH di pasaran saham sebagai salah satu kaedah "fundraising" bagi mendapatkan modal atau dana untuk mengembangkan perniaagannya di samping menyumbang ke arah "mendalamkan" lagi pasaran saham Malaysia dan meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia dengan terbentuknya satu lagi "blue chip" perladangan, FGVH sebagai sebuah SSA akan terpaksa "mengikut telunjuk" para pemodal/pelabur iaitu pemegang sahamnya selepas penyenaraian.  Tertakluk kepada pelbagai undang-undang dan peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, memenuhi kehendak dan aspirasi pelabur dan pemegang saham akan menjadi keutamaan FGVH selepas disenaraikan kerana pemantapan "shareholder value" adalah antara sasaran utama sesebuah SSA, melangkaui aspirasi pihak berkepentingan lain seperti peneroka FELDA.

Memandangkan keteguhan kewangan FELDA, jika ditadbir dengan baik, rasanya FELDA mampu menjadi sebuah konglomerat atau gergasi perladangan berstatus global tanpa perlu disenaraikan.  Meskipun tanpa penyenaraian, FELDA diyakini mampu bersaing di pasaran antarabangsa secara kompetitif, mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu, melaksanakan inisiatif inovasi dan sebagainya.  Malah, dalam dunia korporat di Malaysia dan luar negara, telah banyak dilihat contoh empayar niaga yang dibina tanpa perlu penyenaraian.

Meskipun seramai 112,634 peneroka di 317 tanah rancangan FELDA dijangka mendapat "durian runtuh" besar sebelum atau selepas penyenaraian, sama ada dalam bentuk wang tunai dan/atau pegangan saham, adakah berbaloi keuntungan jangka pendek bersifat "one-off" ini dengan risiko kehilangan hak ke atas tanah yang telah diusahakan sekian lama dan hasrat generasi kedua dan ketiga untuk menjadi peneroka baharu dengan mengusahakan ladang kelapa sawit seluas 360,067 hektar milik FELDA Plantations Sdn Bhd yang telah dipajakkan kepada FGVH selama 99 tahun bagi tujuan penyenaraian?

Ironinya pula, untuk merealisasikan pulangan pelaburan saham dalam bentuk "capital Appreciation", para peneroka FELDA perlu menjual saham tersebut di pasaran terbuka yang boleh dibeli kemudiannya oleh sesiapa sahaja, sekaligus mencairkan pegangan saham Bumiputera dalam FGVH.  Ini jelas bercanggah dengan matlamat meningkatkan pegangan ekuiti di kalangan Bumiputera!  Seterusnya, apakah kelas aset yang lebih bermakna bagi peneroka FELDA, sebidang tanah dengan hak milik kekal atau saham yang terlalu bergantung kepada "holding power" pemegangnya?  Jawapan bagi persoalan-persoalan inilah kunci yang mungkin boleh menghuraikan kemelut IPO FGVH.

Penekanan yang berlebihan pada sasaran 30% pegangan ekuiti Bumiputera juga menyebabkan kita alpa sebenarnya penyenaraian lebih banyak syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia tidak akan membawa sebarang erti sekiranya pelbagai isu kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakseimbangan sosio-ekonomi berdasarkan data bagi tahun 2009 seperti yang berikut kekal membelenggu kaum Bumiputera:

• Secara purata, dasar afirmatif kerajaan Barisan Nasional/UMNO terus gagal meningkatkan pendapatan bulanan isirumah Bumiputera agar setanding dengan kaum lain dulu, kini dan selamanya. Pendapatan kasar bulanan purata isirumah di kalangan Bumiputera sebanyak RM3,624 pada tahun 2009 masih jauh lebih rendah berbanding
kaum lain seperti RM5,011 bagi kaum Tionghua, RM3,999 bagi kaum India dan RM3,640 bagi kumpulan etnik lain.

• 73% di kalangan 40% isirumah terbawah (ditakrifkan sebagai mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan secara purata) terdiri daripada kaum Bumiputera dengan pendapatan isirumah kasar bulanan purata pada RM1,300, jauh di belakang kaum Tionghua pada RM1,897 dan kaum India pada RM1,547. Ini menjadikan golongan berpendapatan rendah Bumiputera lebih sensitif kepada tekanan akibat kenaikan kos sara hidup berbanding kaum-kaum lain.

• Antara 3 kumpulan etnik utama di Malaysia, kaum Bumiputera kekal termiskin dengan kadar kemiskinan setinggi 5.3% berbanding 0.6% bagi kaum Tionghua dan 2.5% bagi kaum India serta lebih teruk daripada paras nasional pada 3.8%. Malah, nasib kaum Bumiputera lain (bukan Melayu) seperti mereka di Sabah dan Sarawak adalah lebih malang lagi dengan kadar kemiskinan setinggi 17%!

• Kemiskinan tegar juga masih menghantui kaum Bumiputera lebih daripada kaum lain dengan kadar kemiskinan tegar pada 1.1% berbanding 0.1% bagi kaum Tionghua dan 0.3% bagi kaum India

• Penambahbaikan yang sangat kecil, malah kemerosotan pada kayu ukur ketidaksamaan, suatu petanda agihan kekayaan negara yang tidak adil atau saksama di mana kekayaan bertumpu dalam genggaman segilintir kecil di kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera, simbol "kejayaan" sistem "crony capitalism", "patronage" dan "rent-seeking" tajaan Barisan Nasional/UMNO yang berkembang subur semenjak zaman pentadbiran PM Mahathir:
1.Pekali Gini bagi kaum Bumiputera merosot kepada 0.440 berbanding 0.433 pada tahun 1999.  Malah, pekali Gini pada tahun 2009 bagi kaum Bumiputera juga lebih tinggi daripada 0.425 bagi kaum Tionghua dan 0.424 bagi kaum India.
2. 20% isirumah tertinggi di kalangan Bumiputera menguasai 49.5% daripada pendapatan keseluruhan kaum Bumiputera sedangkan 40% isirumah terbawah hanya mendapat 14.4%.
3. Jurang pendapatan kasar bulanan purata isirumah Bumiputera di antara 20% isirumah tertinggi dan 40% isirumah terbawah melebar 86.6% dalam masa hanya 10 tahun kepada RM7,676 berbanding RM4,113 pada tahun 1999.

Obsesi ini perlu dihentikan pada kadar segera!

*Azrul Azwar ialah anggota Lawyers for Liberty.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...