TERKINI :

Thursday, March 8, 2012

Tarik balik SBPA: Apa jadi Bajet 2012?

[HARAKAHDAILY] KUALA LUMPUR, 8 Mac: PAS meminta Perdana Menteri menjelaskan, apa berlaku kepada Bajet 2012 yang telah diluluskan tahun lalu ekoran penarikan balik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ini kerana, SBPA adalah salah satu kompenan yang telah dibentangkan dalam Bajet 2012 tahun lalu dan telah diluluskan, kata anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof (gambar).

"Bagi saya, pentadbiran Najib jelas terburu-buru ketika membentangkan SBPA dalam Bajet 2012 untuk menghasilkan feel good factor dan kini dia terpaksa tarik balik skim ini dan terus menggunakan skim SSM.

"Ini sesuatu yang memalukan dan saya yakin bajet 2012 itu telah terganggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau yakin, ketika membentang SBPA dahulu, Najib telah gagal berbincang dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Cuepecs sebelum ia dibentangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Mujahid juga tidak berpuashati dengan jumlah kenaikan gaji ekoran penyelarasan gaji yang diperkenalkan oleh Najib hari ini.

"Kalau dilihat jumlahnya, peratusannya nampak tinggi antara 7 hingga 13 peratus tetapi ia sebenarnya hanya antara RM65 hingga RM1,000 sahaja," katanya.

Bagi Mujahid, jumlah kenaikan itu tidak memadai dengan kenaikan harga barang yang melonjak ekoran pengumuman 'kenaikan' gaji kakitangan awam sebelum ini.

"Harga barang telah naik sejak bajet 2012 dibentangkan dahulu lagi. Namun, kini SBPA tak jadi dan gaji hanya naik sikit je, tetapi harga dah naik," katanya kesal.

1 comment:

Aku Dan Teksi said...

Hanya gula2 nak PRU13 je ni,





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...