TERKINI :

Saturday, March 3, 2012

Pemerintahan siapa lebih Islamik: Ustaz Azizan atau Lim Guan Eng?

Oleh DINSMAN

Mahu tak mahu, suka tak suka, orang hari ini sedang membandingkan imej PAS dengan imej DAP. Memang, soal imej ini bukanlah sesuatu yang mukthttp://2.bp.blogspot.com/-BRbmWPWzytc/Tgu9GJS4kqI/AAAAAAAABVE/XCvm7HkbDP8/s1600/HHalem-Dinsman.jpgamad dan tepat. Kadang-kadang memang tak tepat pun.

Ada orang mengambil keperibadian dan ketokohan Tok Guru Nik Aziz sebagai imej PAS. Maka terbinalah gambaran PAS itu sebagai sebuah agama yang bertoleransi, baik sesama manusia, lembut, tidak ganas dan sebagainya.

Ada pula orang yang melihat ketokohan dan keperibadian Ustaz Azizan Ab Razak, Menteri Besar Kedah itu sebagai lambang atau imej PAS. Maka lainlah pula gambaran yang terbina hasil daripada itu.

Demikianlah juga ada orang mengambil Lim Kit Siang dan Karpal Singh sebagai melambangkan imej DAP. Maka gambaran yang terbina adalah berbeza dengan mereka yang mengambil ketokohan dan keperibadian Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang itu, sebagai mewakili imej DAP.

Walaupun imej bukanlah sesuatu yang pasti dan muktamad tetapi ia sangat penting, terutamanya dalam politik, kerana imej adalah sesuatu yang terlekat dalam kepala kita dan gambaran yang akan segera muncul apabila disebut mengenai sesuatu, walaupun ia bukan sesuatu yang tepat dan muktamad.

Ada orang akan tergambarkan Nik Aziz apabila disebut PAS. Ada orang akan tergambarkan Haji Hadi. Ada orang akan tergambarkan Ustaz Azizan. Ini reaksi spontan, yang kita tak boleh nak buat apa-apa. Ia sangat personal. Walaupun mengenai hal yang umum, tetapi ia lahir dalam diri seseorang secara yang sangat personal.

Sepertilah juga di peringkat antarabangsa, ada orang akan tergambarkan menara WTC yang terbakar diserang kapalterbang itu, apabila disebut Islam. Kita kata, apa kena mengenanya? Tetapi itu gambaran di dalam otak orang itu, hasil daripada asakan pelbagai media dan sekitarannya. Kita tak boleh nak buat apa-ap. Memang kita boleh mengubahnya, tetapi akan memakan masa yang panjang.

Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan itu? Bukan kita yang bertanggungjawab. Itu kerja Amerika. Dan Amerika sangat pandai dalam hal-hal seperti ini. Kita perlu bercakap soal muzik, soal filem, soal pengiklanan, kalau kita hendak bercakap soal kerja Amerika mempengeruhi otak manusia di dunia.

Tapi sekarang kita nak bercakap soal imej PAS dan imej DAP. Sebab apa? Sebab perkara ini sudah menjadi perbualan orang ramai. Sesuatu yang tak pernah terduga dan tak pernah terfikirkan pun lima tahun yang lalu. Siapa pernah terfikirkan lima tahun yang lalu orang boleh bertanya: Antara Lim Guan Eng dengan Azizan Razak siapa lebih Islamik pentadbirannya?

Itu ‘kan soalan gila tu! Ya, memang itu soalan gila, tapi kita tak boleh halang kebebasan otak manusia untuk berfikir hal-hal yang walaupun segila itu, dan kemudian mereka bercakap hal itu di mana-mana. Itu adalah hasil daripada imej-imej yang terlekat dalam otak mereka, akibat daripada apa yang berlaku di sekitar.

Hari ini orang sedang membandingkan imej PAS dengan imej DAP, mana lebih baik dan sesuai kalau kita hendak menjadi ahli parti politik dan aktif berpolitik. Hata Wahari bekas Presiden NUJ itu sudahpun memilih parti DAP. Dan khabarnya ramai lagi yang lain, generasi muda Melayu, memilih parti DAP.

Kenapa mereka tidak memilih PAS? Nah, ini soalan sensitif, yang boleh membawa kepada jawapan yang lebih sensitif.

PAS dan DAP sama-sama dalam Pakatan Rakyat. Masuk PAS pun tak mengapa, masuk DAP pun tak mengapa. Akhirnya akan mengundi Pakatan Rakyat juga. Tetapi apabila orang ramai mula membandingkan antara kedua parti itu mana yang lebih Islamik, itu sudah lain implikasinya. Pelik sangat!

PAS itu parti Islam. DAP bukan parti Islam. Hanya Lim Guan Eng saja yang sering menyebut dia ingin mentadbir negeri sepertimana Umar Abdul Aziz mentadbir, dengan dasar ‘Amar makruf nahyi mungkar’nya. Dan bukan itu saja. Dia juga telah menunjukkan banyak ciri-ciri pentadbiran yang bersifat Islamik.

Maka akibat daripada itu dia telah membentuk satu imej DAP yang agak mesra kepada rakyat dan kepada orang Melayu. DAP tidak lagi menjadi parti Cina yang anti Melayu dan anti Islam. Orang sudah lupakan kata-kata Karpal Singh yang anti Negara Islam dulu.

Inilah peranan besar ‘imej’. Boleh menyebabkan orang sukakan sesuatu dan boleh menyebabkan orang bencikan sesuatu. Dan inilah yang menyebabkan saya sangat bimbang dan risau sekarang. Apabila orang mula membandingkan antara imej PAS dengan imej DAP, dan imej PAS itu pula bukan yang terbina oleh kerja baik Nik Aziz di Kelantan, tetapi oleh faktor lain.

Ada pimpinan di kalangan pimpinan PAS yang dikatakan pantang ditegur. Memang dia berjaya menakut-nakutkan orang-orang di sekitarnya hingga tidak ada yang berani membantah dia, apatah lagi menegur dia. Tetapi di luar daripada lingkungan itu orang bercakap. Dan cakap-cakap yang seperti ini mudah dan cepat merebaknya. Ia sudah menjadi bualan orang ramai di mana-mana.

Memang kita boleh berkata apa hak orang lain untuk masuk campur dalam urusan pemimpin yang seorang itu. Memang! Kita boleh berkata apa pun. Berat mata memandang berat lagilah bahu yang memikul. Memang! Tetapi kita pun tak boleh menghalang orang daripada bercakap negatif hal kita, atau menulis hal-hal yang negatif mengenai kita di dalam blog, FB dan sebagainya.

Dan apabila orang mula membuat bandingan antara imej PAS dengan imej DAP begitu, itu bukan lagi urusan sesiapa. Itu sudah menjadi urusan semua orang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...