TERKINI :

Saturday, March 31, 2012

KUALA KETIL - Kuari pasir tidak ikut prosedur

Kawasan yang dulunya tanah lapang kini membentuk pulau berikutan aktiviti terbabit.
KUALA KETIL - Penduduk sekitar terutama di kawasan Kuala Ketil kecewa berikutan aktiviti kuari pasir yang dilakukan tanpa mengikut prosedur mengakibatkan ancaman kepada mereka dan juga persekitaran.

Walaupun kebanyakan kuari itumempunyai permit, pengusaha terlibat langsung tidak melihat kesan kepada persekitaran kampung yang ternyata terbeban dengan aktiviti itu.

Sejak sekian lama, penduduk terpaksa berhadapan dengan masalah pencemaran air, hakisan tanah, jalan rosak, termasuk kerosakan ekosistem.

Lebih parah, hakisan tanah akibat pengorekan tanah tanpa had itu mengakibatkan struktur jambatan di beberapa kampung rosak dan runtuh.

Tidak ikut syarat

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil, Md Zuki Yusof berkata, terdapat beberapa kuari di kawasan ini yang dikenal pasti tidak mengikut syarat untuk menjalankan aktiviti pengorekan pasir.

“Sebuah kuari di Kampung Tanjung Puteri menjalankan aktiviti ini berdekatan dengan jambatan yang menghubungkan penduduk di Kuala Ketil dengan Bukit Selambau, Sungai Petani.

“Syarat untuk menjalankan aktiviti terbabit adalah tidak berdekatan dengan jambatan iaitu sekurang-sekurangnya 500 meter dari tapak pengorekan pasir, namun ia tetap dilakukan walaupun secara terang-terangan melanggar syarat yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, ia boleh memberikan kesan serius kepada struktur jambatan iaitu kemungkinan berlakunya runtuhan.

“Terdapat kira-kira 30 kuari di daerah ini yang kebanyakan tidak mengikut syarat yang ditetapkan” katanya.
Perlu peka dengan masalah penduduk

Md Zuki berkata, pengusaha kuari perlu lebih peka dan mengambil serius mengenai setiap masalah penduduk yang diutarakan kepada mereka.

“Walaupun terdapat banyak aduan yang diberikan, pengusaha seolah-olah memandang remeh mengenai perkaraa itu sedangkan ia melibatkan keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, penduduk terpaksa hidup dalam kebimbangan setiap kali memikirkan mengenai aktiviti kuari yang bakal meruntuhkan perkampungan mereka tidak lama lagi.

“Tidak mustahil sebuah kampung akan menjadi pulau sekiranya aktiviti ini dilakukan tanpa memikirkan keselamatan.

“Contohnya kuari di Kampung Kuala Sedim, aktiviti itu dijalankan di kawasan tebing walaupun syarat pengorekan pasir adalah di tengah sungai.

“Justeru, keadaan ini mengakibatkan tebing sungai terhakis seterusnya akan membentuk sebuah pulau,” katanya ketika meninjau kawasan kuari di Kuala Ketil baru-baru ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat pengusaha kuari menggunakan tonto untuk mengelak aktiviti mereka diserbu oleh pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila sebuah kuari di Kampung Kuala Sedim terus menghentikan aktiviti mereka pada jam 6.30 petang walaupun dimaklumakan aktiviti itu dilakukan sehingga lewat malam.

Kehadiran penduduk setempat ke kawasan itu mengakibatkan beberapa pekerja melarikan diri untuk mengelak daripada ditahan.


Tindakan tegas perlu diambil

Katanya, pengusaha kuari yang tidak mengikut syarat yang ditetapkan seharusnya diambil tindakan tegas demi memastikan keselamatan dan ekosistem kampung terjamin.

“Masalah ini telah pun dipanjangkan di dalam Dewan Negeri pada tahun 2009, namun sehingga sekarang, masalah ini tetap berlaku.

“Saya sememangnya kecewa apabila masalah ini seolah-olah dipandang remeh walaupun kesannya diketahui amat besar,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...