TERKINI :

Thursday, March 8, 2012

Isu Lembu - Pelaburan Peribadi laa pulak..!!!

Hartanah KL Eco City adalah ‘pelaburan peribadi’, kata NFCorp

March 08, 2012
Rafizi bertanya bagaimana Mohamad Salleh mampu memperolehi pinjaman berjuta
ringgit daripada sebuah bank apabila simpanannya hanya sebanyak RM427. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) menafikan syarikat itu menggunakan dana RM250 juta daripada kerajaan sebagai insentif kepada bank agar memberi pinjaman untuk pelaburan hartanah komersial di KL Eco City di sini sebagaimana dakwaan pembangkang.

Sebaliknya, mereka menjelaskan pembelian berkenaan adalah “pelaburan peribadi” pengarahnya, yang kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan membeli hartanah mewah berbanding memberikan keutamaan kepada projek penternakan lembu bagi mengurangkan kadar pergantungan import daging negara.

“NFCorp menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan hartanah berkenaan bukan dibeli oleh syarikat,” jelas NFCorp dalam kenyataannya lewat malam tadi.

Suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Mohamad Salleh dan tiga anaknya merupakan pengarah kepada NFCorp, yang telah dianugerahkan prijek Pusat Fidlot Nasional (NFC) pada 2006 untuk penternakan lembu.

Ketika sidang media semalam, PKR turut mendakwa keluarga Shahrizat telah menggunakan dana NFC untuk pembelian hartanah mewah termasuk lapan unit komersial di KL Eco City, pembangunan urban di Bangsar.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa, pengarah NFCorp telah menyerahkan sejumlah jutaan ringgit daripada NFC ke dalam dua bank sebagai deposit tetap.

Ini jelasnya, adalah demi untuk mendapatkan “kemudahan kredit” daripada bank berkenaan bagi membeli hartanah mewah.

Selain itu, Rafizi turut mengesahkan pembelian unit kondominium berharga RM10 juta di Orchard Scotts Residence di Singapura, dan pendedahan terbaru hari ini lapan unit ofis mewah di KL Eco City di Bangsar.

Lapan unit berkenaan jelasnya dianggarkan berharga sekitar RM12 juta.

Rafizi turut mendakwa bahawa pada 2009, Shahrizat dan keluarganya telah membuat pembelian yang sama untuk pembelian peribadi menggunakan dana NFC.

“Mereka mendapatkan khidmat perunding dan dinasihatkan untuk menggunakan wang berkenaan untuk pembelian-pembelian ini,” katanya.

Menurut dokumen daripada salah satu bank, yang menurutnya diperolehi daripada pemberi maklumat, pengarah NFCorp telah membuat deposit bernilai RM71,486,589 (RM71,395,617 dan RM90,972) di bawah nama syarikat dan satu lagi deposit bernilai RM1,872,254 di bawah National Meat and

Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), syarikat yang turut dimiliki keluarga Shahrizat.

Dua dokumen lain menunjukkan keluarganya turut memperoleh kemudahan kredit bernilai 197,338 di bawah satu lagi syarikat mereka, Agroscience Industries Sdn Bhd, RM4,391,240 pinjaman bagi pembelian aset hartanah, dan Mohamad merupakan penjamin bagi pinjaman lain bernilai RM663,743.

Ini, jelas Rafizi memetik dokumen berkenaan, adalah fakta yang Mohamad hanya mempunyai simpanan sebanyak RM421 di dalam akaun manakala Agroscience mempunyai sekitar RM927.

Tambahnya lagi, semakan lebih mendalam dengan bank yang tidak didedahkan kepada media menunjukkan dana berkenaan dipindahkan untuk pembelian lapan unit di KL Eco City, dengan nilai jualan RM9,688,866.

“Tetapi nilai pembelian itu merujuk kepada hartanah semasa bidaan dan ianya lebih rendah daripada harga pasaran. Berdasarkan harga pasaran untuk unit KL Eco City, biasanya berharga antara RM1,000 kepada RM1,100 kaki persegi. PKR menganggarkan jumlah pasaran untuk lapan unit adalah RM12 million,” kata Rafizi.

NFC menjadi topik hangat setelah Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 menunjukkan projek berkenaan menghadapi masalah dan tidak mencapai sasaran.

Bukit Aman sebelum ini telah mencadangkan kepada Pejabat Peguam Negara agar mendakwa kesemua pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, malah turut dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Namun Peguam Negara menyerahkan kembali dokumen berkenaan dan mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih terperinci.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...