TERKINI :

Wednesday, January 4, 2012

Mengapa Najib elak bertindak ke atas Shahrizat?

Oleh SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

http://mppas.files.wordpress.com/2008/10/saif-di-parlimen.jpgMEMANDANGKAN Umno dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat, KeADILan akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan.

KeADILan boleh mengesahkan kami ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Shahrizat pada 27 Januari 2010 (rujuk dokumen rasmi Singapore Land Authority yang disertakan bersama).

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Harga itu dianggarkan bersamaan dengan RM9.9 juta pada kadar tukaran wang semasa urusniaga berlaku (rujuk dokumen rasmi Singapore Urban Redevelopment Authority rekod no 44 yang disertakan bersama).

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka, berbanding dengan pembelian dua buah kondominium mewah di One Menerung yang didaftarkan di atas nama syarikat National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd.

Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KeADILan sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikatsyarikat peribadi milik keluarga Shahrizat seperti NMLC dan RFC.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikatsyarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KeADILan boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Wan Shahinur Izran dengan Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Shahrizat .

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura. Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Shahrizat dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura. Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikatsyarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura. Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga Shahrizat, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikatsyarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...