TERKINI :

Saturday, January 7, 2012

Bagaimana keputusan kes Anwar akan gugat Najib

Oleh SiasahDaily

http://1.bp.blogspot.com/-1GMuGLdvIb0/TaI3KD9v88I/AAAAAAAAAhY/24k8rq4O6-Q/s1600/najib+pening.jpgNegara kini sedang menunggu tarikh 9 Januari, 2012, hari yang dijangka mencetus satu lagi berita besar dalam sejarah politik negara.Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dituduh mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan, iaitu seks luar tabie secara sukarela.

Undang-undang ini melibatkan perlakuan homoseksual secara konsensual, sesuatu yang di banyak negara diterima sebagai sebahagian hak asasi manusia.

Kempen media pihak pro-Anwar dan pembangkang telah menimbulkan isu kredibiliti sistem kehakiman dalam usaha membela Anwar di mahkamah pendapat awam.

Gerakan dinamakan 901 dengan tujuan "membebaskan Anwar" juga digerakkan dengan dakwaan ketidakadilan sistem kehakiman negara, dengan sejak awal telah meletakkan Anwar sebagai tidak bersalah dan menjadi mangsa tindakan bermotif politik.

Hakikat bahawa Anwar didakwa menurut seksyen tersebut juga menjadi hujah oleh penyokong Anwar untuk mendakwa kesalahan di pihak mahkamah, dan juga pemerintah.

Tarikh 9 Januari nanti bakal menjadi penentu kepada politik Anwar tetapi mungkin lebih menjadi faktor penting kepada pemerintah di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Sama ada disabitkan atau tidak - atau sebarang keputusan lain - kempen kepada rakyat yang telah lama digerakkan bakal membawa kesan besar kepada pemerintah.

Anwar yang bebas berkempen sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal diangkat sebagai wira yang terlepas daripada usaha memfitnah dirinya buat kali kedua oleh musuh politik yang jahat.

Anwar yang terpenjara juga akan diangkat, sebagai mangsa satu tindakan bermotif politik oleh kerajaan Najib.

Anwar yang terpenjara bakal menjadi modal kempen parti-parti pembangkang, walaupun sokongan sebenar dan kepercayaan terhadap Anwar telah banyak terhakis.

Pada masa sama, iklim politik yang liberal kebelakangan ini yang melanda seluruh dunia menjadikan keputusan memenjarakan Anwar sebagai sesuatu yang tidak popular di peringkat global, medan yang masih menyebelahi Anwar dan kelompok liberal.

Sekiranya Anwar disabitkan kesalahan, Najib memerlukan usaha berganda untuk bersaing di mahkamah pendapat awam sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Disember lalu, pemerintah Amerika Syarikat sendiri menyatakan satu pendirian tegas menyokong hak gay sebagai hak asasi manusia yang turut perlu dihormati dan diperjuangkan.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, implikasi politiknya ialah Malaysia bakal menjadi perhatian sebagai negara yang menghukum pelaku homoseksual, dan dilakukan tidak lama selepas pentadbiran Obama - yang turut ingin dirapati oleh Najib - menyatakan sokongan kepada hak tersebut.

Tidak lama selepas kenyataan sokongan AS itu, badan hak asasi Human Rights Watch pula menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual secara suka sama suka.

Anwar turut menyatakan pendirian serupa dengan pertubuhan hak asasi itu dalam satu kenyataan kepada sebuah agensi berita Barat baru-baru ini.

Hal ini menjadi satu tekanan antarabangsa yang kuat terhadap pentadbiran Najib. Selain AS, negara-negara Eropah turut dijangka bersuara dalam hal ini.

Perhatian yang boleh menjejaskan imej Najib ini, dan menyukarkan hubungan dengan negara Barat, sesuatu yang menambah masalah menjelang pilihan raya umum.

Selain faktor politik dalam negara, Malaysia turut akan menjadi topik hangat di peringkat global ekoran keputusan kes liwat Anwar nanti.
http://siasahdaily.blogspot.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...