TERKINI :

Monday, January 9, 2012

Anwar punca saya di pecat - Hassan

Pemecatan Saya Oleh PAS Berpunca Dari Anwar Ibrahim - Hassan Ali

alt

KUALA LUMPUR 9 Jan. - “Saya dipecat kerana Anwar Ibrahim,” kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali malam ini.

Mengulas pemecatannya sebagai anggota PAS hari ini, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor berkata segala komen yang diutarakannya adalah membabitkan isu peribadi Ketua Pembangkang itu kerana tidak mahu rakyat terjebak dalam pemainan politik Anwar.

“Saya tidak mahu beliau (Anwar) mengheret rakyat menjunjung perjuangannya yang saya rasa amat kotor, ini yang saya perjuangkan.

“Saya tidak sanggup hadir menyokong Anwar esok, saya antara orang PAS yang tidak sanggup membuat justifikasi mengapa Anwar harus jadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Damansara.

Turut hadir bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali.

Dr Hasan berkata beliau akan membuat sidang media minggu ini bagi menjelaskan secara terperinci mengenai perjuangannya itu.

Hasan berkata Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai latar belakang ‘meragukan’ dan berpendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Murshidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat lebih layak memegang jawatan itu.

“Saya paling tidak seronok bila ada desakan daripada Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) untuk pecat saya. Macam mana orang PAS boleh ditunjuk sedemikian rupa.

“Apa hak Azmin mahu campuri rumahtangga PAS. Apapun terjadi, saya dipecat, digugur atau apa sekalipun, saya akan berjuang demi Islam, institusi Raja dan demi bangsa Melayu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata perjuangan itulah yang cuba dibawanya dalam PAS, namun usaha tersebut tidak dihargai, tidak ditunjuk jalan dan disekat PAS sendiri.

Sementara itu, Nasharudin berkata kehadirannya malam ini sebagai menyatakan sokongan peribadi kepada Hasan, yang sentiasa komited memperjuangkan syiar Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Tindakan pimpinan PAS Pusat memecat Dr Hasan merupakan satu tindakan drastik tanpa memberi peluang kepada beliau untuk memberi penjelasan.

“Saya sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS ingin menyatakan ruang masih ada untuk beliau berkhidmat kepada parti dengan mengemukakan rayuan pemecatan beliau dalam tempoh 30 hari kepada majlis ini,” katanya.

Nasharudin juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media proUmno ingin menjadi anggota UMNO.

“Saya harap politik kita lebih matang daripada itu, mesej perjuangan kita harus dikukuhkan agar Islam sentiasa berada di hati kita,” katanya.

Ibrahim pula berkata beliau hadir atas dasar ingin menyatakan sokongan terhadap perjuangan Hasan menegakkan Islam di negara ini.

“Tindakan memecat Hasan sepatutnya tidak terjadi dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam, parti Islam perlu ada perbincangan dan rundingannya. Ini bukan isu kecil, ini melibatkan prinsip,” katanya.

http://www.klpos.com/politik/2179-pemecatan-saya-oleh-pas-berpunca-dari-anwar-ibrahim-hassan-ali

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...