TERKINI :

Sunday, January 8, 2012

Antara Madrasah Salihiah dan Al-Islahiyah.. kenapa ada double standard membantahnya...!!!??

Pertahan Madrasah Al-Islahiyah jika betul niat murni
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
January 7, 2012
Pertahan Madrasah Al-Islahiyah jika betul niat murni

SIMPANG EMPAT - Pas Perlis mencabar Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno Malaysia, Fathul Bahri Mat Jahaya membantah perobohan bangunan Madrasah Al-Islahiyah, Behor Mali di sini oleh Kerajaan Negeri sekiranya ulama muda itu benar-benar ikhlas dalam menegakkan agama.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perlis, Rus'sele Eizan berkata, Fathul Bahri tidak seharusnya memilih bulu dalam memperjuangkan hak Islam sebagaimana dilakukannya terhadap Madrasah Salihiah Kanchut, Alor Setar memandangkan kawasan bangunan Madrasah Al-Islahiyah yang dirobohkan minggu lalu oleh Kerajaan Negeri merupakan tapak tanah wakaf.

Menurutnya, tindakan Fathul Bahri menyertai program Munajat Perdana Selamatkan Madrasah Salihiah tempoh hari atas alasan mahu membantu menegakkan jihad Islam, menyerlahkan sikap hipokritnya yang dilihat sekadar mahu mempertahankan politik Umno dan BN.

"Apabila mendengar seorang ulama besar dari Perlis sanggup turun ke Alor Setar semata-mata mahu 'mempertahankan' sebuah madrasah diberi lampu hijau oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah untuk dirobohkan, saya kecewa kerana tindakan sama tidak dilakukan terhadap Madrasah Al-Islahiyah.

"Adakah perjuangan menegakkan Islam turut mengambil kira baju parti? Apabila sesebuah negeri diperintah kerajaan BN, adakah segala tindakannya termasuk merobohkan bangunan wakaf dihalalkan?" katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Rus'sele yang juga Adun Simpang Empat berkata, tindakan merobohkan dua blok bangunan Madrasah Al-Islahiyah yang terletak di atas tanah wakaf dibuat setelah Kerajaan Negeri memutuskan untuk membina bangunan baru bagi menggantikan bangunan yang dirobohkan.

Bagaimanapun, tindakan perobohan bangunan itu yang dilakukan minggu lalu tidak dipersetujui lembaga pengurusan madrasah itu yang menyifatkan pelan pembinaan bangunan baru disiapkan tanpa merujuk mereka.

"Perobohan bangunan dilakukan walaupun terdapat bantahan dikemukakan lembaga pengurusan madrasah. Mereka terpaksa akur disebabkan tidak mendapat sokongan pihak lain.

"Saya minta Fathul Bari lebih peka dengan keadaan semasa di negeri sendiri memandangkan terdapat banyak lagi kes perobohan bangunan di atas tanah wakaf yang berlaku terhadap rakyat Perlis tanpa pembelaan mana-mana pihak," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...