Piala Emas Raja-Raja

ENTAH mana silapnya, perlawanan separuh akhir pertama Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2011, membabitkan pertemuan Kedah menentang Melaka sepatutnya diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam, terpaksa dibatalkan.

Ia berikutan bantahan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang (PBPP) yang mendakwa pasukan Kedah menurunkan Azrizan Ahmad yang digantung perlawanan semasa mewakili SDM Kepala Batas dalam saingan Piala Presiden, tahun lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah Darul Aman (PBMK), Syed Ahmad Syukri Syed Abdullah berkata, pihaknya agak terkilan dan kecewa keputusan dilakukan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), namun akur dengan ketetapan tersebut.
“Kami menerima keputusan ditetapkan Jawatan­kuasa Pertandingan PERR, walaupun sedikit terkilan kerana segala persiapan dibuat memandangkan kami menjadi tuan rumah dan menanggung segala kos perbelanjaan.
“Malangnya, aksi separuh akhir ini tidak dapat diadakan. Namun begitu, kami terima dengan hati terbuka dan menganggap ia sebagai masalah teknikal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ini bermakna, kemenangan Kedah mengatasi Pulau Pinang 1-0 Disember lalu dibatalkan dan satu perlawanan ulangan melibatkan aksi suku akhir kedua terpaksa dilangsungkan semula Selasa ini di Stadium Bandaraya.
Untuk rekod, Kedah adalah juara edisi sulung PERR pada 1922 yang mana pada waktu itu dikenali sebagai Piala Emas Sultan-Sultan.