TERKINI :

Saturday, December 17, 2011

'Durian runtuh' hanya sekali, rugi RM2b setahun

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Jaminan Perdana Menteri untuk memberikan "durian runtuh" kepada para peneroka dari usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding ke bursa saham ternyata hanyalah sebagai "gula-gula" kerana pemberian itu hanyalah dalam bentuk "one off", berbanding kerugian yang akan dialami Felda sebanyak RM1.5 hingga RM2 bilion setahun.

Sehubungan itu, Felda pasti akan mengalami masa depan yang cukup gelap selepas itu kerana pasti gagal melaksanakan pelbagai kebajikannya kepada para peneroka ekoran kerugian seteruk itu setiap tahun.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali berkata, sebaliknya janji tersebut hanyalah dibuat sebagai langkah bagi memudahkan rancangan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holding Bhd di bursa saham pada separuh pertama tahun 2012.

Menurutnya, dalam masa yang sama, jaminan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad bahawa Felda bakal dibayar RM1 bilion setahun selama 99 tahun bagi meneruskan aktiviti pertanian dan pembangunan sosio-ekonomi peneroka amat disangsikan.

Katanya, kesangsian itu mempunyai asas yang cukup kuat kerana tidak ada jaminan bertulis mengenai perkara tersebut dalam Perjanjian Pajakan tanah antara Felda dan Felda Global Ventures.

"Rekod buruk Felda Global Ventures itu sendiri pun sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai. Felda Global Ventures bukanlah sebuah syarikat yang diurus dengan baik.

"Syarikat itu telah mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit dalam pelaburan luar negara seperti pelaburan dalam Twin Rivers Technologies dan pembelian apartment di Mekah," katanya ketika dihubungi.

Ketua Eksekutif syarikat itu pula, menurut beliau, pernah disyaki terlibat dalam salah laku yang mengakibatkan kerugian RM120 juta di Syarikat Golden Hope Plantation Bhd.

"Setelah disiasat oleh KPMG Forensics, Ketua Eksekutif syarikat itu akhirnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Penasihat Intergrasi Kumpulan Sime Darby, seperti dilaporkan dalam Straits Times bertarikh 11 Jun 2008 lalu," jelasnya.

Sehingga kini, tambahnya, Felda Global Ventures hanya memiliki 42,000 hektar tanah di Kalimantan yang masih dalam peringkat penanaman dan semaian.

"Jadi, untuk tujuan penyenaraian ini, Felda berhasrat untuk memajakkan 350,000 hektar tanahnya kepada Global Ventures. Memajakkan tanah Felda dengan tujuan penyenaraian ini adalah bertentangan dengan semangat Akta Kemajuan Tanah yang dihasratkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Razak," ujarnya.

Di peringkat ini, tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi perlu meneruskan segala perancangan yang telah dibuat ke arah penyenaraian itu, sebaliknya perlu dengan telus memberikan penjelasan yang lengkap kenapa Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Wahab diarahkan untuk mengambil cuti belajar selama lapan bulan?

"Sebelum ini, semasa Datuk Dzulkifli sedang melakukan umrah, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad merampas kuasa Pengerusi Permodalan Felda dengan melanggar Akta Koperasi melalui Agenda Khas Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda. Mengikut maklumat, perubahan struktur ini dirancang oleh Ketua Eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad," katanya.

Beliau difahamkan tujuan perubahan itu dilakukan adalah untuk memungkinkan Isa mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings dan merombak pengurusan dan ahli lembaga pengarah, mengetuai jawatankuasa pelaburan dan merubah polisi sedia ada yang menjaga kepentingan ahli koperasi.

Ia juga, tambahnya, untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda dari mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings Bhd.

"Struktur selepas penyenaraian akan menyaksikan penguasaan saham Koperasi Permodalan Felda dalam Anak-anak Syarikat Felda susut kepada 30 peratus sahaja dan baki 70 peratus lagi ditawarkan kepada pelabur luar," jelasnya.

Kalau kita ada James Bond 007...

Oleh : ABDUL JALIL ALI

Kalaulah kita ada seorang seperti James Bond, pasti banyak masalah dan skanhttp://jokesprank.com/blog/wp-content/uploads/2011/02/James-Bond-Cartoon.jpgdal besar dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Upah sahaja agen 007 itu, dan kita tidak perlu membuang banyak masa, tenaga dan RM untuk menyelesaikan satu-satu kes.

Sejak dulu kita memang suka menubuhkan Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Penyiasat, Suruhanjaya Bebas, Suruhanjaya Diraja dan lain-lain seumpamanya. Kita juga sudah banyak menubuhkan tribunal itu dan tribunal ini.

Pantang berlaku sesuatu yang luar biasa sikit, cepat-cepat kita menubuhkan jawatankuasa untuk bertindak. Tanah runtuh, tubuh jawatankuasa khas. Kapal bocor, tubuh jawatankuasa menyiasat. Stadium rebah, jambatan runtuh, bangunan terbenam, semua kena tubuh jawatankuasa khas.

Kalau ada kes yang lebih berat, seperti isu pengundi hantu, kita mendesak ditubuhkan suruhanjaya bebas atau suruhanjaya diraja. Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM bilion-bilion, kita desak tubuhkan suruhanjaya menyiasat. Skandal mega, songlap saham, tipu duit rakyat, isu tol, isu lembu, semua minta tubuh suruhanjaya khas.

Satu hari nanti, sekiranya dalam mesyuarat parti ada orang yang terkentut luar biasa kuatnya, pasti ada yang cepat-cepat membuat tohmahan bahawa itu ada letupan bom anggota berani mati al-Qaeda, dan minta tubuh suruhanjaya bebas untuk menyiasat.

Sama ada jawatankuasa khas, suruhanjaya bebas, tribunal dan sebagainya, semuanya melibatkan tenaga kerja dan kepakaran. Ada orang-orang tertentu yang akan menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa. Ada elaun untuk mereka.

Kita suka menubuhkan jawatankuasa dan suruhanjaya itu dan ini, pada hal banyak yang disiasat tidak pun berkesudahan. Mula-mula semua orang sibuk dan bersemangat bercakap untuk masuk TV dan surat khabar. Sebulan dua isu menjadi panas pagi petang siang malam.

Tetapi lama-lama perkara yang panas itu menjadi dingin, beku, dan hilang terus. Tidak ada yang diketahui umum mengenai hasil siasatan. Mesyuarat demi mesyuarat, buka fail, tutup fail, kopi dan teh habis berteko-teko, karipap dan mihun goreng banyak habis, hasil siasatan masih tidak diketahui.

Apabila kes atau tragedi sama berlaku lagi, maka kita pun menjerit semula minta ditubuhkan jawatankuasa dan suruhanjaya untuk menyiasat. Lebih pelik, ada juga siasatan baru sehari dua bermula, sudah keluar kenyataan: “Setakat ini siasatan menunjukkan tidak wujud sebarang penyelewengan.” Belum habis siasat, kes sudah ditutup.

Kalau ada James Bond, mesti siasatan akan dibuat hingga ke akar umbi. Siapa pun – baik orang besar atau orang kenit – tidak akan terlepas, atau sengaja dilepaskan. Sebab agen 007 tidak boleh dipujuk rayu, walaupun oleh gadis manis, juga tidak boleh dirasuah.

Kalau ikut dalam filem, agen 007 tidak takut kepada siapa pun ketika menjalankan siasatan. Malah, dia sedia mempertaruhkan nyawanya untuk menjalankan tugas berbahaya. Sebab ‘Mr Bond’ ada kehebatan sendiri yang orang lain tidak ada.

Dia hebat dalam seni mempertahankan diri, tidak kira tekwando, karate, tomoi, waima silat gayung. Malah, setiap gerakannya lebih pantas dari peluru. Sebab itu dia tidak tertembak walaupun diserang bertubi-tubi dari banyak pistol dan senapang.

Satu lagi kelebihan agen ini ialah dia dilengkapi dengan pelbagai alat dan kelengkapan serba canggih yang orang lain tidak ada. Sebab itu walau dalam apa keadaan cemas sekali pun dia akan menggunakan apa yang ada di tubuhnya untuk menyelamatkan diri.

Ketika nyawanya terancam dia boleh menggunakan jam tangan sebagai senjata. Pen, cermin mata, pemetik api, kasut, tali pinggang, rokok, coklat, semua telah direka khas untuk membolehkannya melepaskan diri dari sebarang ancaman. Begitulah hebatnya.

Kalau ada James Bond di KL, tentu banyak kes rasuah mega, skandal mega, dan penyelewengan RM juta-juta-juta duit rakyat, boleh dibereskan dengan cepat, dan tepat. Malangnya kita tidak ada agen 007.

Setiap kali nonton filem, teringin juga saya menjadi James Bond. Bukan untuk menyiasat, tetapi untuk bermesra dengan gadis-gadis jelita lagi seksi, seperti Jane Seymour (Live and Let Die), Olga Kurylenko (Quantum of Solace), Datuk Michelle Yeoh (Tomorrow Never Dies), dan lain-lain.

Tetapi, saya tidak layak menjadi James Bond, sebab tidak tampan seperti Sean Connery, Roger Moore, Timothy Dalton atau Pierce Brosnan. Mana ada James Bond hidung kemek macam pelepah kelapa

Perghhhh Mat Said Ganu Suruh main Piala AFC di siang hari...!!

Piala AFC: Kerajaan Terengganu tidak baiki lampu limpah
17/12/2011 7:00pm

KUALA TERENGGANU 17 Dis. – Kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk tidak membaiki lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini yang akan menjadi gelanggang pertandingan Piala AFC tahun depan untuk mencapai tahap piawaian antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, lampu limpah di stadium itu baru sahaja dibaiki tahun lepas untuk mencapai standard kebangsaan iaitu 800 lux, manakala tahap antarabangsa pula adalah 3,000 lux.

"Tahap antarabangsa pula ialah 3,000 lux dan ia akan memerlukan perbelanjaan yang besar kerana ia terpaksa memasang tiang baru dan kabel baru,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Wisma Darul Iman di Stadium Tertutup Gong Badak dekat sini hari ini.

Terengganu telah melayakkan diri ke kejohanan kelab-kelab Asia itu buat pertama kali setelah pasukan itu muncul juara Piala FA musim ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak pernah diberitahu sama ada oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tentang standard keperluan lampu limpah peringkat antarabangsa di stadium itu.

"Jadi buat masa ini kita biar dululah lampu limpah stadium itu. Kalau hendak bertanding pun, main sianglah,” katanya. – BERNAMA

'Gagalnya perang melawan rasuah'

Jumlah aliran keluar wang haram yang besar di negara ini secara jelas menunjukkan kegagalan perang melawan rasuah di negara ini, kata anggota parlimen DAP Charles Santiago.

Dakwanya, kebanyakan pelarian modal berlaku melalui "pemindahan harga", antaranya melibatkan pengisytiharan nilai barangan yang salah kepada kastam dalam urusan import-eksport.

"Mereka hasilkan barang bernilai RM19, mereka isytihar RM3, dan mereka bayar cukai yang rendah," katanya sambil mendakwa "pegawai kastam tidak buat kerja".

Ditanya tindakan yang patut diambil Bank Negara, Charles berkata pihak itu tiada kehendak politik sama sekali untuk mengetengahkan isu itu.

"Selagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak berminat menyelesaikannya, Malaysia akan terus gagal dalam perang melawan rasuah," katanya.

Kesian pada POLIS pacak kat bawah nie.. kalau ceramah kompom depa yang akan sampai dulu..!!

Lagi koperal merungut tiada kenaikan gaji [utusan]

KOPERAL DILEMA
Kangar, Perlis

MERUJUK surat Koperal Hentak Kaki di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 9 November 2011 bertajuk 'Lans Koperal naik pangkat nikmati kenaikan gaji, saya tidak'.

Sebagai permulaan saya ingin merakamkan ucapan syabas kepada Koperal Hentak Kaki dan menyokong dengan sepenuhnya beliau kerana berani menyuarakan dilema yang sedang dihadapi oleh koperal-koperal yang senasib dengannya (koperal YA4, P1 T18).

Untuk makluman saya juga seangkatan dengan Koperal Hentak Kaki malah lebih ramai lagi koperal di seluruh negara yang senasib dengannya yang sudah sekian lama dalam dilema, penantian kenaikan gaji pokok sekarang iaitu sebanyak RM2,551.66.

Surat Koperal Hentak Kaki ada asasnya, manakan tidak, gaji pokok kami dimatikan begitu sahaja selepas dinaikkan ke pangkat Koperal secara 'temuduga' pada tahun 2008 dan tidak ada lagi pergerakan gaji selepas itu hingga sekarang.

Sistem SSB (menegak/melintang) dan sistem SSM (kaedah peperiksaan PTK jabatan) untuk kenaikan gaji tidak boleh lagi diguna pakai sekarang dan tidak boleh digunakan sebagai panduan atau rujukan untuk kenaikan gaji kerana kedua-dua sistem tersebut telahpun dimansuhkan oleh pihak kerajaan, maka kaedah baru mesti diwujudkan.

Sepatutnya gaji koperal lama dan koperal baru (time based) mesti disamakan terlebih dahulu iaitu RM2,865.29 sebelum sistem baru dipraktikan.

Manakan pula koperal terdahulu telah menerima gaji pokok sebanyak RM2,865.29 dan ada juga telah menerima gaji pokok secara 'khas untuk penyandang' iaitu sebanyak RM2,966.67 sekarang.

Manakala koperal time based telah dinaikkan pangkat baru-baru ini akan menerima gaji pokok sebanyak RM2,763.91 (mereka juga tidak ada peperiksaan PTK koperal).

Yang amat menyedihkan gaji pokok kami masih lagi RM2,551.66, pada hal tugas dan tanggungjawab dipikul bersama.

Bukannya kami hendak 'melangkah bendul' dalam jabatan kerana menulis surat dalam akhbar, manakan tidak penantian kami sudah bertahun-tahun lamanya tiada pergerakan gaji, mungkin 'terlepas pandang' oleh sesetengah pihak.

Hendak mengharapkan bantuan daripada Persatuan Pangkat Rendah Polis Daerah (PPRPD) semuanya sudah sedia maklum, diam bagaikan 'ular sawa yang sudah kenyang'.

Kami harap agar pihak pengurusan tertinggi PDRM dapat memberi penjelasan dan mewujudkan satu kaedah baru sebagai rujukan kenaikan gaji kami. Harapan adalah perubahan gaji pokok kami selepas ini.

Mengekonomikan rakyat: RM500 diberikan, RM250 juta dilembukan

Oleh Ooi Heng

Legasi gerakan Reformasi yang bermula pada tahun 1998 terserlah apabila bumi Malaysia menyaksikan tiga perhimpunan massa penuh bermakna pada tahun 2007 - perarakan peguam, HINDRAF dan BERSIH - sehingga membawa kepada tsunami politik semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12).

Impak gerakan massa yang bermula ekoran penganiayaan secara melampau terhadap seorang Timbalan Perdana Menteri oleh seorang Perdana Menteri demi kelangsungan hayat diri, keluarga dan UMNO-putra semasa krisis kewangan melanda Asia masih terasa hari ini khususnya apabila perhimpunan BERSIH 2.0 mengambil bentuk gerakan massa sebagai kesinambungan semangat rakyat berhimpun demi sesuatu agenda yang membawa kemajuan kepada masyarakat dan bumi Malaysia.

Dengan kata lain, gerakan Reformasi berkembang menjangkaui penganiayaan seorang insan dan memuncak sebagai gerakan massa yang mahukan perubahan dan pembaharuan secara dasar bumi Malaysia.

Makna lebih penting yang dikongsi bersama oleh gerakan Reformasi dan BERSIH 2.0 ialah perubahan mendalam yang melibatkan agenda merentasi kepentingan kaum dan manifestasi hak asasi manusia khususnya hak berhimpun, berorganisasi dan bersuara sejajar dengan semangat zaman (zeitgeist).

Semangat zaman ialah senjata paling kuat yang berada dalam genggaman tangan rakyat jelata apabila berlaku penindasan atau ketidakadilan sosial. Sejarah tamadun manusia banyak memaparkan pemberontakan rakyat jelata yang tertekan. Dunia hari ini juga menyaksikan insiden-insiden seumpama khususnya kerana penindasan pemerintah bersifat kuku besi dan menyeleweng wang rakyat atau kegagalan elit berkepentingan dalam menguruskan ekonomi negara. Daripada gerakan rakyat mengguling pemerintah korup yang bermula di Tunisia dan Mesir kepada gerakan "Occupy Wall Street" yang bermula di Amerika Syarikat dan menular ke merata tempat di bumi ini, hak asasi manusia kini terjelma dalam bentuk gerakan massa yang tidak terhad kepada tuntutan politik.

Sesungguhnya, tuntutan ekonomi melalui gerakan massa sedang berkembang dalam konteks di mana kehidupan rakyat jelata semakin perit dalam banyak negara ketika krisis ekonomi yang bermula di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah memberi kesan negatif kepada negara lain termasuk Malaysia. Dr.Yılmaz Akyüz, bekas Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah, Bahagian Globalisasi dan Strategi Pembangunan di UNCTAD, dalam recana "The Global Economic Crisis and Asian Developing Countries: Impact, Policy Response and Medium-Term Prospects" menunjukkan bahawa, semenjak krisis kewangan Asia 1997/98, ekonomi Malaysia biarpun mengalami pertumbuhan tetapi pertumbuhan sebenar tidak mampu mencecah paras pertumbuhan sebelum krisis tersebut.

Menurut Dr.Yılmaz Akyüz, purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Malaysia sepanjang tahun 1991-2000 ialah 7.1%, lebih tinggi daripada purata dunia iaitu 3.1%, tetapi purata KDNK sepanjang tahun 2002-2007 ialah 5.9%, biarpun lebih tinggi daripada purata dunia iaitu 4.4%, masih jauh lebih rendah berbanding purata KDNK sebelum krisis. Kemudian, Malaysia telah berdepan dengan krisis ekonomi sedunia 2008/09 dan ketidaktentuan yang besar dalam tempoh setengah tahun akan datang, apakah sebuah parti pemerintah yang begitu ghairah dengan kerja melembukan kekayaan negara mampu mengurus ekonomi negara secara berhemat tanpa perlu membebankan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang?

Ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada eksport. Sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia bukan sahaja harus berwaspada kepada perkembangan dasar dan situasi ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah, malahan perkembangan dasar dan situasi ekonomi negara utama dalam rantau ini khususnya China juga mempengaruhi perkembangan ekonomi negara kita. Lebih rumit lagi, apabila eksport sebuah negara melibatkan import produk perantaraan sebuah negara lain yang digunakan oleh negara tersebut untuk aktiviti eksportnya; eksport negara tersebut yang terjejas juga akan memberi kesan negatif kepada negara dari mana produk perantaraan diimport. Kitaran perdagangan dunia dan serantau bakal berubah apabila dasar ekonomi sesebuah negara berubah.

Hakikat hari ini ialah, sedangkan negara besar seperti China yang mempunyai populasi dalam jumlah bilion berhadapan dengan tekanan ketidaktentuan ekonomi yang besar meskipun pasaran domestiknya dianggap besar, ini kan Malaysia, sebuah negara kecil dengan populasi dalam jumlah jutaan. Apabila eksport menjadi terlalu lemah sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan pekerjaan khususnya pengangguran pekerja asing, kalau bukan pinjaman dan defisit yang semakin tinggi risikonya (yakni di luar landasan tatakelola hutang dan defisit berhemat), apakah kerajaan yang melembukan kekayaan negara dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi dalam kadar 5-6% seperti yang diuar-uarkan oleh si Menteri Kewangan bangsawan?

Krisis ekonomi hari ini juga mengambil pelbagai bentuk sama ada melibatkan kerumitan sektor kewangan, tatakelola hutang awam, gelumbung hartanah (property bubble) dan sebagainya. Sebab itu, setiap krisis ekonomi besar lazimnya memperlihatkan tuntutan rakyat ekoran tekanan hidup yang besar dan juga terserlahnya masalah struktur yang dikaburkan pada keadaan biasa.

Malahan, dalam konteks menjelang PRU13, parti pemerintah yang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat mengorak langkah bukan untuk melakukan perubahan secara dasar, meningkatkan produkviti dan memajukan ekonomi negara tetapi memberikan wang kepada golongan tertentu, yang terkini RM500 untuk keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000. Yang tidak berkelayakan mesti tidak gembira, yang berkelayakan jangan pula membiarkan diri berada dalam keadaan gembira yang terlalu lama. Hal ini kerana kita sebagai rakyat negara ini tidak terlepas daripada pembayaran balik pada masa depan, khususnya apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan selepas PRU13. Tanpa pelaksanaan GST untuk mengambil balik wang rakyat yang kini diberikan kepada rakyat selepas PRU13, bagaimana sebuah kerajaan yang berada dalam defisit 14 tahun berturut-turut dan hutang awam mencecah 53% dapat bertahan lama? Lebih malang lagi, demi RM500 yang cukup sedikit berbanding dengan RM250 juta yang dilembukan, kita terpaksa menanggung beban yang lebih besar selepas PRU 13.

Apabila ditinjau dengan lebih lanjut, biarpun negara tidak berhadapan dengan krisis ekonomi, tamadun manusia memperlihatkan tuntutan masyarakat yang mahukan kemajuan. Konsep kebebasan dan keadilan menjadi penting dan cukup fundamental dalam konteks ini. Apabila dibicarakan isu hak asasi manusia, kita tidak memandang ringan keperluan pemeliharaan ketenteraan awam, tetapi konteksnya biar tidak tersimpang hanya kerana kita hendak membezakan diri daripada tamadun masyarakat yang lain.

Dalam mana-mana tamadun, pemerintahnya cuba mengaburkan isu hak asasi manusia dan mengaitkannya dengan isu ketenteraman awam, padahal yang dipentingkan oleh pemerintah ialah soal kelangsungan kuasa yang diperolehinya. Meninjau balik Malaysia, ini kan parti yang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat terbesar pasca 8 Mac 2008. Akan dilakukan segala yang kotor dan segala yang masih mampu mengaburkan mata rakyat terbanyak demi kelangsungan hayat, kuasa dan seterusnya mencari kesempatan melembukan wang rakyat untuk kepentingan diri.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Oon Jaafar pernah memimpin gerakan massa untuk menentang Malayan Union. Kini anak seorang Perdana Menteri yang juga seorang bangsawan cuba menutup ruang rakyat jelata berhimpun dan bersuara hanya kerana ketakutan. Takut kepada ulangan gerakan yang kita saksikan di Mesir atau BERSIH 3.0 maka dilembukan hak berhimpun dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 yang kononnya untuk memelihara ketenteraman awam. Takut kerana dituduh bersekongkol dalam kes Fitnah II maka dimatikan kemungkinan gerakan Reformasi II dengan pendekatan preemptory yang tidak demokratik.

Legasi gerakan Reformasi dapat diteliti dalam pelbagai dimensi. Tuntutan politik hanyalah sebahagian daripadanya. Apabila ditinjau kembali sejarah pembangunan Malaysia, pembangunan teknologi maklumat khususnya yang berkaitan dengan perkembangan Internet didorong kuat oleh gerakan Reformasi. Kalau perkembangan Internet di negara lain menyaksikan faktor ekonomi memainkan peranan utama, di bumi Malaysia, anehnya, faktor politik dan sosial yang mengangkat pembangunan masyarakat bermaklumat. Gerakan Reformasi telah menyumbang kepada perkembangan pesat Internet, sehingga hari ini, Malaysia berdiri teguh sebagai salah satu negara yang mempunyai bilangan pengguna Facebook yang paling ramai dengan perkembangan yang dinamik.

Tetapi ketakutan menular dalam hati sanubari elit UMNO yang mendominasi Kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini bukanlah UMNO yang Oon Jaafar kenali apabila beliau memimpin gerakan menentang Malayan Union. Ini UMNO yang mampu mengorbankan hak rakyat berhimpun dan bersuara dengan RUU Perhimpunan Aman dan RUU Lembaga Juru Komputer Profesional 2011 kerana ketakutan. Tidak cukup sekadar melembukan hak rakyat berhimpun, dikorbankan juga kebajikan rakyat terbanyak apabila pembangunan masyarakat bermaklumat dijadikan kepunyaan segelintir konglomerat sekali gus mematikan legasi gerakan Reformasi.

Tidak apa gerakan yang membebaskan rakyat terbanyak daripada kekaburan dan kebutaan maklumat dimatikan. Yang penting kelangsungan hayat, kuasa dan kepentingan elit politik dan UMNO-putra dapat dipertahankan. Namanya juga indah: Kononnya UMNO demi ketenteraman awam! Kononnya UMNO demi maruah Melayu!

Tetapi apa hakikatnya? Digadaikan maruah rakyat terbanyak, khususnya Melayu yang tergolong dalam kategori 60% berpendapatan rendah dan mahukan kemajuan termasuk pembelajaran Internet tanpa dikuasai golongan kepentingan golongan tertentu. Dengan wujudnya RUU Perhimpunan Aman yang menghalang gerakan yang bertentangan dengan kepentingan UMNO dan UMNO-putra, biarpun Melayu dilembukan peluang untuk mempelajari segala ilmu teknologi maklumat selaras dengan konsep merakyatkan ekonomi, jangan berharap untuk berhimpun demi kemajuan Melayu bermaruah! Kerana UMNO-putra mengekonomikan rakyat bukan merakyatkan ekonomi, sementara UMNO mewakili kepentingan UMNO-putra, bukan kepentingan Melayu bermaruah. Bukan juga semangat perjuangan UMNO yang asal.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Saat Saya Mengenali Anwar, Dan Kenapa Dia Perlu Di Sokong – Part II.

Saya Ahmad bin Kasim, kini Ahli Parlimen bagi Kawasan Kuala Kedah mewakili Parti Keadilan Rayat (Keadilan) mula mengenali DSAI sejak zaman menuntut di UPM sekitar tahun 80an. Oleh kerana latar belakang saya yang terlibat secara langsung dengan ABIM, maka nama DSAI telah menjadi sinonim dengan gerakan ini. Seingat saya tidak pernah terlepas kami membincangkan isu yang berkaitan dengan DSAI samada dalam usrah, tamrin atau perbincangan tertutup mahupun terbuka. Membicarakan isu DSAI adalah sebahagian daripada tarbiyah siasah yang menjadi model “political experiment” dalam kerajaan pada ketika itu.

Kadang-kadang serangan dari sahabat-sahabat Islam (khususnya PAS) ketika DSAI dalam kerajaan, menjadikan tekanan minda yang sangat sukar untuk dipertahankan segala pendirian atau tindakan beliau semasa dalam kerajaan. Biasanya orang-orang ABIM yang menjadi ‘punching beg’ oleh sahabat PAS. Namum kami cuba mencari jawapan-jawapan yang ‘significant’ atau nas-nas yang ada untuk mempertahankan beliau. Ada kalanya amat memenatkan, namun terus bersangka baik, dengan harapan ijtihad yang beliau buat menyertai kerajaan adalah betul.

Beberapa bulan sebelum peristiwa hitam September 98, ketika belum ada pokok yang bergoyang dari tiupan angin yang belum nampak dari arah mana datangnya. Saya menerima panggilan dari pimpinan kanan ABIM pusat supaya bersiap siaga kerana DSAI akan di tangkap di bawah ISA. Saya binggung, amat binggung, kusut pemikiran, kaku pergerakan, mana mungkin seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri akan di tangkap di bawah ISA. Saya diminta untuk memaklumkan pada Dato’ Ust Fadzil Noor (Presiden PAS) yang berada di Alor Setar dan pimpinan kanan ABIM Kedah. Ini arahan ABIM Pusat, suara itu mengarahkan saya. Demikian watak ABIM dalam isu berkaitan insan yang bernama Anwar bin Ibrahim.

Tanpa melengah masa, saya yang dalam perjalanan satu urusan membuat pusingan U, untuk bertemu dengan Ust Nia’mat Yusof bersama dengan seorang rakan pimpinan ABIM. Hanya air mata sahaja yang membasai pipi Ust Niamat selepas kami menyampaikan maklumat tersebut. Kunjungan ke rumah Ust Fadzil Noor tidak berhasil kerana ia berada di Kuala Lumpur. Plan tindakan seterusnya adalah menunggu ketibaan Ust Fadzil Noor di Lapangan Terbang Kepala Batas. Saya yang menjadi pemandu dan Ust Niamat Yusof dan Ust Fadzil Noor menjadi penumbang mulia saya pada malam itu. Perbincangan hanya dalam kereta, arahan Ust Fadzil Noor saya akur, hampir sejam saya hanya memutar-mutar kereta saya sekitar Bandar Alor Setar, sambil membincangkan maklumat yang di terima siang tadi. Saya nampak Ust Fadzil membisu terlalu lama, saya tidak tahu samada itu ‘stye’ dia, atau dia memikirkan sesuatu untuk memberikan reaksi pada kami berdua. Saya tak berani menyampok walau sepatah, apatah lagi kedua-dua mereka adalah guru yang sering membimbing saya secara langsung.

Akhrnya dia bersuara “ Mat kita kena siap sedia, Dr Mahathir pasti akan menangkap Anwar”, kenyataan itu menyebabkan sendi lutut saya semakin longgar. Saya mengharapkan jawapan yang positif dari Ust Fadzil supaya boleh melegakan perasaan saya namun beliau memberikan jawapan sejujurnya. Perbincangan kami sekitar watak Dr Mahathir dan watak Anwar. Pesan Ust Fadzil pada kami berdua, kita mesti pertahankan Anwar dengan apa cara sekali pun. Selepas itu saya hanya mendengar perbincangan tertutup di buat banyak kali dengan Ust Fadzil dan Anwar dihadiri ramai kenalan ABIM pusat.

Segala-galanya berubah, menjelang 1998, saat gemilang nama beliau yang gah dipersada dunia, menjadi Menteri Kewangan terbaik buat Malaysia diakui seantaro dunia , kemahuan untuk melakukan islah (perubahan) dalam pentadbiran kerajaan, pelbagai dasar-dasar yang pro Islam khususnya dalam sistem perbankkan, dan dasar serta program yang mesra rakyat, selangkah menuju puncak kuasa, namun ketentuan Allah swt mengatasi segalanya. Dia dipecat dari jawatan dan disingkirkan dari tampok kuasa dan parti secara sadis dan amat memilukan.

Kami menjadikan rangkaian ABIM untuk meneruskan perjuangan yang dirintis oleh DSAI. Hajat DSAI untuk mengempur kubu kuat Dr Mahathir di Kedah disampaikan melalui Sdr Saufudin Nasution kepada saya untuk mencari tempat samada di Baling atau Kubang Pasu. Selepas berkubu lama di rumah beliau di Damansara Utama. tidak ada siapa yang berani memberikan tempat pada Anwar pada ketika itu. Namun saya tekad DSAI mesti dibawa ke Kedah. Hanya Pondok Ust Niamat di Derang, Pokok Sena yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan yang berani menawarkan premis buat beliau. Keputusan itu saya buat sendiri tanpa merujuk kepada Ust Niamat, kerana saya tahu Ust Niamat pasti akan setuju. Belum pernah saya mengendalikan majlis yang sebesar itu dalam sejarah umur saya. Kehadiran mencecah puluhan ribu orang dalam tempat yang sangat terhad.

Istiqamah memperjuangkan nasib DSAI oleh Ust Fadzil Noor pada saya amat luar biasa, walaupun pada saat awal beliau di kecam oleh pimpinan PAS di banyak peringkat, namun jawapan politik Ust Fadzil menyebabkan pandangan negatif pada Anwar Ibrahim berjaya di redakan, pada ketika itu. Saya tumpang bersyarah atas kapasiti sebagai Yang Dipertua ABIM Kedah , jawatan rasmi pada masa itu di pentas-pentas parti politik. Sifat ABIM yang ‘non-partisan’ sukar dibezakan bila bersyarah mengenai nasib rakyat dan apa yang menimpa DSAI.

Semasa DSAI dalam penjara, pelbagai versi yang kami terima, sumber-sumber dalaman dan luaran menyebabkan perjuangan kini semakin manis. Penjara bukan segala-galanya. DSAI mengajar kita untuk berjuang walau dari dalam tembok besi. Semasa beliau dalam penjara, sempat saya menghadiahkan sebuah buku yang telah saya khatam bacaannya ‘ Mencapai Maqam Siddiqun dan Rabbaniyyun’ oleh Sheikh Said Hawwa. Sebuah buku dari syarah kitab Hikam (Sheikh Ibnu Atil’llah As-Sakandari) yang saya tekuni membaca dan merasai kelazatan ilmunya. Saya hanya mampu menghantar pada DSAI yang berada di dalam penjara Sg. Buluh pada ketika itu dengan sedikit surat kiriman dari seorang adik kepada abangnya yang sedang menghadapi kesulitan di penjara. Hanya tawakal kepada Allah moga buku itu dapat sampai ketangan beliau.

Menghadiahkan buku itu adalah nazar saya, apabila saya habis membaca maka saya akan menghadiahkan kitab tersebut padanya. Alhamdulilllah, walaupun beliau tak mengenali saya dengan dekat, namun hajat dan hasrat saya termakbul juga akhirnya. Beliau membalas surat saya dengan mengungkapkan cacatan perjuangan bersama-sama rakan-rakan ABIM Kedah. Nama-nama Ust Niamat, Sheikh Azmi, Cikgu Ibrahim, Ust Azizan Hamid diungkapkan dengan sorotan perjuangan mesti diteruskan walau dimana kita ditempatkan.

Reformasi politik yang diketengahkan oleh Anwar sebelum beliau terhumban dalam penjara, digenggam kemas. Pilhanraya 1999 adalah cacatan manis apabila Ust Fadzil Noor Berjaya di bawa ke Parlimen sekaligus menjadi Ketua Pembangkang. Ramai pimpinan ABIM yang dihantar untuk bertanding atas tiket PAS termasuk Ust Nia’mat Yusof yang bertanding di DUN Tanjung Seri. Dato Sheikh Azmi Hj Ahmad bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu atas tiket Parti Keadilan Nasional pada masa itu. Saya terlibat secara langsung dalam rundingan , mencadangkan nama-nama ABIM bersama pimpinan ABIM Pusat di rumah Ust Fadzil Noor.

Ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional, oleh kerana Dato’ Sheikh Azmi menjadi pimpinan kanan di pusat dan Pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah , selepas meletakkan jawatan 24 jam dari jawatan Ketua Hakim Syare’ Malaysia, kerana tidak setuju dengan pentadbiran Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim. Saya menjadi ‘budak suruhan’ Sheikh Azmi. Beberapa penubuhan Bahagian Keadilan di Kedah , saya terlibat dengan aktif dan agresifnya. Meminta rakan-rakan ABIM memegang jawatan atau menganggotai Jawatankuasa penaja, atau menjadi ahli parti. Saya sendiri menjadi ahli di Bahagian Langkawi.

Tahun 2008, ketika DSAI akan memimpin pilihanraya yang beliau tidak boleh bertanding, beberapa nama sahabat, dan pimpinan ABIM di ketengahkan. Saya turut di pinang pada ketika itu, Namun jawatan saya dalam pertubuhan menyebabkan keputusan perlu dirujuk pada Majlis Syura Negeri. Walaupun telah ada rundingan yang telah berlaku dengan DSAI untuk bertanding pada ketika itu. Namun keputusan Majlis Syura Negeri menolak cadangan saya. Saya terpaksa membuat rayuan pada Pimpinan Pusat yang lebih atas (Macam mahkamah rayuan pula), Alhamdulillah permohonan saya diterima, Pimpinan pusat merestui hasrat saya dan akan memaklumkan pada pimpinan Kedah untuk membantu saya sedaya mungkin.

Kini setelah bergelar ahli parlimen dan ahli majlis pimpinan pusat parti, saya berkesempatan mendampingi DSAI secara lebih dekat. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada beliau. Jauh pemikiran beliau dalam semua bab termasuk agama, politik, pentadbiran, kewangan, falsafah, siasah syare’yah, hubungan antarabangsa, bahasa, komunikasi, kebudayaan dan lain-lain. Menjadikan saya insan kerdil disisinya. Apa yang saya milik hanyalah kudrat tulang empat kerat bagi membantu beliau sedaya mungkin. Kita masih berhutang pada Anwar Ibrahim, demikian kata-kata Dato’ Dr Siddiq Fadhil pada satu majis anjuran ABIM. Pada saya menjadi ahli parlimen pun belum terbayar hutangnya yang telah mengagaskan perjuangan dan fikrah murni Islam yang sedang kita nikmati ini.

Berhadapan dengan kes fitnah liwat siri I dan II, serta fitnah jahat video sex, sedikitpun tidak menggugat kepercayaan, penghormatan saya pada DSAI. Saya amat yakin berdasarkan tarbiyyah dalam perjuangan ABIM yang di asaskan oleh beliau bersama rakan-rakan pimpinan, bahawa hakikat perjuangan mesti menempuh mehnah, ujian dan cubaan. Kitab Ust Mustaffa Mashyur mengenai ‘Tribulasi Perjuangan’ yang dijadikan teks usrah dahulu masih relevan kini. Allah swt akan menempatkan kita pada posisi yang sesuai dengan tahap keimanan kita kepada Allah swt. Prinsip agama yang saya pegang menolak bulat-bulat fitnah jahat pada beliau.

Pada Allah juga saya berserah, padaNya juga saya mohon kekuatan, ketabahan, kesabaran untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku pada 9 Januari 2012 nanti. Di hadapan kita ada bahtera negara Malaysia yang perlu dikemudi dengan keperibadian unggul, pemikiran tinggi, akhlaq yang terpuji, kegigihan usaha, keyakinan diri dan memiliki integriti serta sejumlah ciri-ciri kepimpinan yang tiada tolok bandingnya untuk membawa Malaysia kemercu kejayaan. Siapa lagi yang perlu kita sokong dan kita tolong, kalau bukan insan itu bernama Anwar bin Ibrahim.

Catatan sanubari :

Ahmad bin Kasim,
(Ahli Parlimen Kuala Kedah)
.

Bekalan air terputus lapan hari

tiada air

SUNGAI PETANI – Masalah bekalan air di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu bukan perkara baru malah 200 penduduk merangkumi blok A, B, C dan E di Flat Paya Nahu 1 terpaksa berhadapan masalah sama sekali lagi.

R Vasantha, 54, berkata, sejak 15 tahun menetap di kawasan itu, dia dan keluarga kerap berhadapan dengan ketiadaan bekalan air namun kali ini berlaku dalam tempoh paling lama sehingga lapan hari.

Menurutnya, penduduk terpaksa menadah air dari pili bomba sebelum angkut ke atas dengan menggunakan tangga.

“Selalunya bekalan air tak ada hanya dalam tempoh singkat namun kali ini melebihi seminggu menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif lain bagi mendapatkan bekalan,” katanya.

Penduduk, Noraniza Aziz, 35, berkata, dia hanya akan turun mengambil air setelah memastikan dua anaknya, berusia lapan bulan dan 6 tahun tidur.

“Disebabkan terpaksa saya kena angkutt sendiri bekalan air setelah pastikan anak dan bayi tidur sepanjang ketiadaan suami yang keluar bekerja,” katanya.

Penduduk, A Devana, 46, berkata, keadaan pam air yang sudah berusia 15 tahun perlu ditukar bagi memastikan kelancarannya.

Menurutnya, dia yang tinggal bersama cucu terpaksa turun ke bawah setiap kali ingin mandikannya dan perkara sama dilakukan oleh jiran yang terpaksa membawa pinggan mangkuk semata-mata ingin mencuci kesemua perkakasan itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Ketua Komuniti, Rodiah Abdullah berkata, pihaknya telah membuat kutipan sebanyak RM5 sebuah rumah bagi membiayai kos kerja-kerja baik pulih pam air automatik yang rosak.

“Namun perkara ini mengambil masa memandangkan alat ganti dan kerja-kerja membaiki perlu dilakukan secara teliti,” katanya menafikan kenyataan penduduk bahawa tiada sebarang progres dijalankan berhubung masalah itu.

Beliau bagaimanapun berjanji bahawa pam air berkenaan dapat dipasang semula dalam masa terdekat sepertimana dimaklumkan oleh tauke kedai di Pekan Lama Sungai Petani.

Wakil Adun Bukit Selambau, K Suppiah berkata, pihaknya telah menghubungi Sada yang akan menghantar bekalan air bersih kepada penduduk dalam masa terdekat.

Ikan kembung naik 3 kali ganda

Ikan kembung naik 3 kali ganda

ALOR SETAR - Harga ikan kembung di Pasar Besar Alor Setar melambung daripada RM3 kepada RM10 sekilogram, malah ada beberapa kawasan sehingga RM12 sekilogram, sejak sebulan lepas yang didakwa disebabkan bekalan tidak mencukupi.

Peniaga Ali Harun, 43, berkata cuaca yang tidak menentu menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut.

Ali, yang mendapatkan bekalan ikan dari Kuala Kedah, berkata sebelum ini diaboleh mendapat sehingga 500 kilogram sehari tetapi kini hanya memperoleh 60kilogram.

"Harga dari peraih RM8.50 menyebabkan kami terpaksa jual RM10. Keuntunganberkurangan tidak seperti sebelum ini kerana pelanggan enggan membeli banyak," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.

Seorang lagi peniaga Ghazali Abdul Rahman, 72, berkata disebabkan harga ikanmelambung, ada pelanggan tetapnya kejut dan mengeluh kerana ia terlalu mahal walaupun bukan pada hari perayaan.

Katanya ada antara pelanggan yang mengetahui situasi semasa harga ikan tidakmerungut malah hanya membeli pada kuantiti yang sedikit tidak seperti sebelumnyatetapi dia percaya harga ikan itu akan kembali normal setelah bekalan mencukupi.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar di sini mendapati rata-rata pelanggan membeli pada kuantiti yang sedikit tidak seperti sebelum ini yangmembeli tiga hingga lima kilogram.

Mohd Khir Hamid, 48, yang sering membeli ikan kembung di Pasar Besar itu,berkata kenaikan harga yang mendadak itu dirasai trutamanya oleh keluarga miskin atau berpendapatan rendah.

Tinjauan di Pasar Pekan Tokai di Pendang pula mendapati rata-rata peniagaterpaksa menjual ikan kembung pada harga RM12 sekilogram disebabkan harga yangdibeli dari peraih terlalu tinggi iaitu RM9.50 sekilogram.

Mohd Khairul Hisham Senaman, 25, berkata hasil jualannya sejak sebulan lalumenurun memandangkan pelanggan mula beralih kepada makanan lain yang lebih murah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...