Lubang-tempat-mangsa-tertimbus-tanah

ALOR SETAR - Dua lelaki cedera apabila hampir tertimbus di dalam lubang sedalam satu meter ketika sedang mengimpal paip besi di tapak pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, kelmarin.

Pekerja paip, Badrulhisham Wahab, 27, dan seorang juru kimpal dikenali sebagai Omar, 30-an bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh pekerja kontrak yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 7.30 petang kelmarin menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus sehingga paras pinggang dan cedera ringan di bahagian kaki.

Badrulhisham berkata, ketika kejadian beliau bersama juru kimpal masuk ke dalam lubang berkenaan untuk melakukan kerja menyambung dan mengimpal paip besi.

“Kami memulakan kerja berkenaan selepas hujan berhenti dan ketika itu Omar sedang melakukan proses mengimpal paip besi. Tanah tiba-tiba runtuh serta menimbus kami sehingga paras pinggang.

“Dalam keadaan terkejut dan kelam-kabut, kami menjerit sekuat hati dan mujurlah beberapa pekerja kontrak berhampiran dengar serta terus menarik kami keluar,” katanya.

Beliau yang berasal dari Pendang, selalunya pergi ke tapak pembinaan berkenaan jika ada kerja pemasangan paip yang perlu dilakukan.

“Saya bersyukur kerana selamat, hanya mengalami kecederaan ringan di kaki.

"Namun kejadian ini adalah satu pengalaman yang mengerikan dan terpaksa mengambil sedikit masa untuk memulihkan trauma akibat kejadian ini.

“Selepas ini saya akan lebih berwaspada dengan melihat struktur tanah kuat atau sebaliknya sebelum turun ke dalam lubang,” katanya. [Sinar Harian]