TERKINI :

Sunday, October 23, 2011

Gaddafi dijulang dan dibuang



KHAMIS lalu, pemimpin Libya yang digeruni selama 40 tahun oleh Barat, Muammar Gaddafi, 69, diheret keluar dari sebuah saluran pembetung di sebatang lebuh raya enam lorong di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi. Dia ditangkap oleh sekumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

Kemudian, dalam video yang dirakam oleh seorang pejuang NTC, Gaddafi kelihatan cedera dan keliru apabila ditarik dari atas sebuah kenderaan dengan beberapa orang merentap rambutnya untuk menjatuhkan tubuhnya ke tanah.

Dalam tempoh sejam selepas diseksa, dia didapati sudah tidak bernyawa lagi.

Kisah kematiannya masih menjadi satu misteri. Bagaimanapun, keperibadian tokoh itu dianggap lebih eksentrik.

Musuh

Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirte pada tahun 1942, Gaddafi seperti kanak-kanak lain mendapat pendidikan di sekolah Islam.

Beliau mempelajari asas-asas ketenteraan apabila memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961. Kekecewaan terhadap kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mula menanam ideologi tersendiri.

Impian pegawai tentera muda itu ketika itu ialah mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan selain menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris I.

Bersemangat bersama sekumpulan pegawai tentera muda, Gaddafi berjaya merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang mendapat rawatan di Turki dan membentuk Republik Arab Libya pada 1 September 1969.

Inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam mendapat pujian ramai apatah lagi ia diadaptasikan melalui buku bertajuk The Green Book yang dihasilkan Gaddafi pada tahun 1975.

Cetusan ideanya dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh ketat selain membentuk Republik Arab Libya cukup memikat.

Malah, ia menjadi satu ideologi unik yang berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak sebelum itu.

Gaddafi juga pernah menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen Penyatuan Afrika.


DI benua Afrika, Gaddafi ibarat seorang raja.

“Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika,” beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.

Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar ‘Raja Segala Raja’ di Afrika.

Salah satu sumbangan terbesar Gaddafi kepada negaranya ialah usahanya membina ‘sungai buatan’ bertujuan menyalurkan air bawah tanah ke seluruh negara Libya yang tandus itu. Malah bagi rakyat Libya, projek yang dikenali sebagai Great Man-Made River Project itu merupakan Keajaiban Kelapan Dunia.

Pembaharuan

Gaddafi menggunakan kepintaran dan kekayaan negara itu untuk mengairi kawasan tandus berkenaan.

Bagi mengatasi masalah mendapatkan air bersih buat seluruh warga Libya, pembinaan paip air gergasi itu dimulakan pada Ogos 1984 di Brega.

Libya tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk membina projek besar itu. Tetapi atas kekayaan hasil minyak, Gaddafi menjemput kepakaran luar untuk membantunya termasuklah dari Korea Selatan, Turki, Jerman, Filipina dan Britain.

Pada September 1993, lengkaplah pembinaan fasa pertama projek itu yang bermula dari timur di Sarir dan Tazerbo hinggalah ke Benghazi. Tiga tahun kemudian usaha menyalurkan air dari Tripoli ke barat iaitu di Jebel Hassouna siap.

Menyingkap sejarah lalu, air bawah tanah Libya itu ditemui secara tidak sengaja ketika usaha mencari telaga minyak baharu pada tahun 1953.

Daripada analisis radio karbon, sumber air fosil itu dianggarkan berusia kira-kira 40,000 tahun.

Kini, usaha itu membuahkan hasil apabila kira-kira 1,300 kilometer persegi tanah disalurkan dengan air untuk perladangan. Sebahagian tanaman itu adalah untuk makanan di dalam negara.

Tetapi bagi ladang-ladang besar yang mendapat bekalan air itu, ia ditanam dengan gandum, oat, jagung dan barli. Semua tanaman itu perlu diimport sebelum ini.


DI sebalik sisi eksentriknya, kehadiran Gaddafi begitu dirasai pemimpin dunia lain.


Kini, paip sepanjang 5,000 kilometar (km) itu boleh menyalurkan sebanyak 6.5 juta meter padu air sehari ke lebih 1,000 kawasan padang pasir.

Bagaimanapun, kekejaman Gaddafi semasa berkuasa menyebabkan rakyat Libya menentang beliau. Sejak berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.

Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam kemudian. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.

Malah, kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika.

Tetapi, apabila menerima tekanan dunia berikutan insiden pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, nada keras Kolonel Gaddafi tidak sekuat dahulu terhadap dunia Barat.

Gaddafi mula cenderung kepada sekularisme dan tidak lagi pro-Islamik.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.


TEMBAKAN di dada dan kepala menyebabkan kematian pantas Gaddafi.


Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Gaddafi.

Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.

Kemuncak kepada kemarahan rakyat ialah apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan kerana kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion)

Akhirnya, selepas memerintah Libya lebih empat dekad beliau dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

'Plus perlu bayar cukai'


KOTA SARANG SEMUT - Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) perlu menjelaskan hutang cukai tanah yang tertunggak sejak tanah milik Kerajaan Negeri diambil alih untuk dibangunkan sebagai Lebuhraya Utara-Selatan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau difahamkan bahawa sehingga kini tanah yang ditukar milik untuk tujuan pembangunan prasarana di bawah Kanun Tanah Negara, masih belum digazet sedangkan proses pengambilalihan tanah sudah lama diselesaikan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurutnya, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, tanah berkenaan perlulah digazet dan apabila ia digazet pihak pengurusan perlulah menjelaskan cukai tanah kepada Kerajaan Negeri Kedah sama seperti pembayar-pembayar cukai yang lain.

“Laluan itu panjang, bermula dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah sempadan Pulau Pinang (dan sempadan Perak), namun sejak laluan berkenaan digunakan, sekupang (satu sen) pun (cukai) tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri.

“Tanah yang diambil adalah milik Kerajaan Negeri Kedah, dan kalau tanah itu digunakan, hasilnya (cukai) perlulah dibayar,” katanya semasa berucap pada program ceramah sempena Sambutan 60 Tahun Pas peringkat negeri Kedah, yang diadakan di Kompleks Pas Batu 9, malam kelmarin.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata, tidak ada sebab untuk Plus tidak membayar cukai tanah kepada Kerajaan Negeri sedangkan mereka mengaut untung besar setiap tahun.

“Kenapa projek daripada Plus yang mendapat kutipan tol dan mengaut untung lebih 1 bilion setahun, tidak membayar hasil (cukai) sedangkan laluan dibina di atas tanah Kerajaan Negeri dan bukannya di atas angin.

“Jika bayaran cukai ini dibuat, ia akan menjadi satu lagi hasil baru di bawah pendapatan negeri ini dan perkara ini akan saya tanyakan dalam Dewan Rakyat pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri Kelantan juga akan menuntut hutang berjumlah RM35 juta, yang melibatkan pembinaan landasan kereta api serta stesen kereta api di beberapa kawasan termasuklah Pasir Mas, Kuala Krai, Tumpat, Gua Musang dan Tanah Merah.

“Kita akan membuat tuntutan, sudahlah royalti minyak pun diambil, kini Perbadanan Aset Keretapi perlu membayar cukai kerana ia didirikan di atas tanah milik Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

Turut hadir pada program itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Terengganu, N.Sembilan ke final

SUKOR ADAN (kiri) mengesahkan kemaraan Negeri Sembilan ketika mereka menewaskan T-Team 2-1 di Paroi malam tadi.


TERENGGANU dan Negeri Sembilan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua malam tadi.

Negeri Sembilan yang melayan kunjungan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menang 2-1 sekali gus mara dengan agregat 6-3.

Pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, Negeri Sembilan menang 4-2.

Terengganu pula mara dengan agregat 4-1 selepas membenam Selangor 2-1 pada aksi kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu, gergasi Pantai Timur itu melakar kemenangan 2-0 sekali gus memusnahkan ‘Misi 33’ skuad bimbingan P. Maniam itu.

Final Piala Malaysia 2011 akan berlangsung pada 29 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Kaffarah menzihar isteri

SAYA ada sedikit kekeliruan tentang hukum Zihar. Situasi saya begini:-Saya sedang berbual-bual dengan isteri mengenai satu gambar lama yang saya simpan. Dalam gambar itu ada tiga orang sedang tidur terlangkup iaitu isteri saya, anak lelaki saya dan adik perempuan saya.

Lalu saya berkata secara spontan kepada isteri, "Sudah tengok gambar tu? Ada tiga punggung, besar! Sama je tiga-tiga." Kami pun tertawa kerana menganggap ia lucu. Selepas itu saya tersentak kerana secara tidak sengaja telah berkata demikian.

Soalan-soalan saya:

1. Adakah jatuh zihar terhadap isteri walaupun saya tidak sengaja kerana ia adalah anggota yang boleh menimbulkan syahwat.

2. Adakah saya perlu berpuasa dua bulan berturut-turut? Bagaimana jika di pertengahan puasa tersebut terdapat hari yang diharamkan berpuasa seperti hari raya haji?

3. Atau bolehkan saya terus membayar kaffarah memberi makan kepada 60 fakir miskin dengan membayar nilai wang yang sama di pusat zakat?

Jawapan:

Terlebih dahulu elok kita memahami apakah zihar. Mengapa ia diharamkan dan apa syarat-syarat berlakunya zihar, rukun serta bentuk ungkapan zihar. Dalam ruang yang cukup terhad ini saya akan cuba menjelaskan sekadar yang termampu.

Dalam al-Quran, surah Mujadalah atau dinamakan juga dengan Mujadilah membicarakan secara khusus mengenai persoalan zihar.

Di zaman jahiliah zihar adalah jalan untuk menceraikan isteri. Kerana pada zaman jahiliah apabila seorang suami tidak mahu kepada si isterinya, maka jalan untuk menyelesaikannya adalah dengan menzihar isterinya dengan ibunya.

Hal ini maklum di zaman jahiliah. Zihar pada budaya arab adalah menyamakan isteri dengan punggung emak lelaki tersebut dengan tujuan menghinanya dan merendah-rendahkannya dan juga mengimplikasikan zihar. Tetapi gurauan dan sendaan yang tidak keterlaluan dan tidak mempunyai niat tersebut tidak membawa kepada zihar.

Rupanya ada di antara kaum muslimin yang masih terpengaruh dengan adat dan kebiasaan masyarakat jahiliah. Lagipun pada ketika Khaulah binti Tha'labah diziharkan oleh suaminya Aus bin Samit belum ada hukum daripada syariah mengenai zihar.

Sebab itulah apabila dizihar oleh suaminya, Khaulah segera bertemu Rasulullah SAW untuk mendapatkan penjelasan. Kebanyakan kitab tafsir menukilkan riwayat dari Aisyah yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan Yang Maha luas pendengarannya akan segala sesuatu, sesungguhnya aku telah mendengar pengaduan Khaulah binti Tha'labah, aku hanya dapat dengar sebahagiannya sahaja dari pengaduan Khaulah mengenai suaminya kepada Rasulullah saw. Khaulah berkata: "Wahai Rasulullah telah ku habiskan usia mudaku untuknya (Aus bin Samit), perutku telah mengandungkan zuriatnya, namun apabila aku telah menjangkau usia tua diziharnya aku. Sesungguhnya aku mengadu kepadamu wahai Rasulullah. Tidak lama kemudian, mengikut beberapa riwayat turun ayat mengenai hukum zihar sebelum subuh keesokan harinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. Dan orang-orang yang 'ziharkan' isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat jahiliah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Mujadalah: 1-4)

Definisi zihar

Zihar berasal daripada perkataan zahr, yang bererti belakang. Apabila seorang suami mengatakan bahawa isterinya seperti belakang ibunya, maka berlakulah zihar. Dalam konteks zihar, dua aspek utama yang menjadi perhatian.

Pertama, perkataan belakang hanya sebagai kiasan sahaja, sedangkan secara hakikatnya ia merangkumi semua anggota tubuh badan kecuali mata kerana ia bukan zihar yang jelas.

Oleh itu, jika diniatkan sebagai suatu penghormatan maka tidak menjadi zihar. Sebaliknya jika diniatkan talak maka jadi zihar. Kedua, wanita yang menjadi perbandingan ialah wanita yang haram dikahwini oleh suami.

Jika kita telitikan apa yang dimaksudkan oleh zihar mengikut Imam Syafie: "Lafaz suami menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan mana-mana anggota wanita yang haram ke atasnya sampai bila-bila (haram muabbad) bagi suami.

"Lafaz zihar mestilah jelas mengandungi perkataan yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan mana-mana anggota wanita haram muabbad (kekal haram dikahwini)."

Kaffarah zihar

Selepas si suami menziharkan isterinya dan mahu kembali bersamanya maka hendaklah melangsaikan kaffarah yang dinyatakan dalam al-Quran seperti berikut.

Kaffarah zihar ialah membebaskan hamba, jika tidak mampu hendaklah memberi makan atau pakaian kepada 60 fakir miskin.

Jika itu masih lagi tidak mampu maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Suami yang melakukan zihar mesti membayar kaffarah sebelum melakukan perhubungan kelamin dengan isterinya. Perbuatan zihar mungkin berlaku jika suami jahil tentang hukum-hakam.

Berdasarkan kepada lafaz saudara apabila melihat gambar isteri, anak dan adik perempuan bahawa ketiga-tiga punggung adalah sama, maka zihar itu berlaku. Sebabnya, lafaz yang saudara ungkapkan jelas.

Keduanya, menyamakan salah satu anggota tubuh orang yang haram dikahwini untuk selama-lamanya iaitu adik perempuan.

Sekiranya saudara ingin kembali bersama isteri maka saudara dituntut melangsaikan salah satu jenis kaffarah yang termampu.

Dalam memilih kaffarah zihar saya pulangkan kepada saudara, buat yang mana terdaya dan termampu. Sesungguhnya Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan olehnya.

Sekiranya memilih untuk berpuasa dua bulan berturut-turut maka hari raya tidak memungkinkan saudara berbuka, kerana suruhan berpuasa dua bulan berturut-turut adalah perintah dari al-Quran. Manakala tegahan berpuasa adalah daripada hadis dan hadis Rasulullah adalah bagi keadaan biasa, bukan untuk diaplikasi kepada orang yang menjalani hukuman zihar.

Yang demikian itu juga adalah pandangan al-Marhum Sheikh al-Azhar, Sayyid Muhammad Tantawi.

Namun, ada juga pandangan ulama yang terpilih bahawa dalam tempoh puasa dua bulan berturut-turut sekiranya berlaku hari raya, hari tasyrik, maka tidak berpuasa pada hari-hari tersebut tidak memutuskan puasa dua bulan berturut-turut.

Begitu juga sekiranya ketika sedang berpuasa ditimpa sakit, maka dibenarkan tidak berpuasa sehingga sembuh, setelah sembuh puasa itu disambung kembali.

Jika saudara memilih untuk memberi makan kepada 60 miskin juga pilihan yang terbaik, kerana memberi orang miskin makan ada dua kelebihan. Yang pertama, mengeluarkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.

Keduanya, memberi fakir miskin makan. Saya kurang pasti sama ada terdapat khidmat kaffarah di kaunter-kaunter zakat, mungkin saudara boleh bertanya. Kalau tidak silap saya fikir ada khidmat bayar kaffarah zihar dan ada perkiraannya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...