TERKINI :

Saturday, October 22, 2011

Beri kebebasan ahli akademik berakademik- Nik Aziz

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Polemik liwat: Peguam PAS cabar MP Zul kritik ‘hukum hudud Umno’

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin mencabar jika Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baru Zulkifli Noordin, yang menimbulkan aspek berkaitan dengan peruntukan liwat dalam hukum hudud yang digubal kerajaan negeri Terengganu pada 2002, jika jujur sepatutnya mengkritik “hudud Umno” di Wilayah Persekutuan.

Menurut Hanipa, dalam undang-undang yang digubal kerajaan pusat — yang dilabelnya sebagai “undang-undang Umno” — di Wilayah Persekutuan, liwat hanya “salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.”

“Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya tidak dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum.

“Renungan kepada Zulkifli Nordin - undang-undang mana yang lebih melindungi wanita?” kata beliau dalam entri blognya.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata dakwaan Zulkifli berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum yang berkaitan syarak.

Harun berkata, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.

Menurut Harun, liwat di antara suami isteri tidak termasuk dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.

Jelas beliau, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

Hanipa menulis ekoran isu yang dibangkitkan oleh Zulkifli di Dewan Rakyat kelmarin, antara lain menurutnya, wakil rakyat itu menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Katanya, tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan pula menggubal enakmen yang sama pada 1993.

Polemik baru ini muncul ketika timbul semula kontroversi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus melahirkan hasrat mahu melaksanakan undang-undang itu di Kelantan.

“Menurut beliau (Zulkifli) berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat,” tulis Hanipa.

Beliau seterusnya berkata adalah sesuatu yang malang bagi profesion guaman negara ini mempunyai seorang peguam yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.

Kata Hanipa, daripada kenyataan Zulkifli nampaknya beliau terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan.

Katanya, hujah beliau yang mengatakan bahawa Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan beberapa alasan.

Kata Hanipa, Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “liwat ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.

“Jika dilihat kepada Seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.

“Seksyen 15 enakmen yang sama memperuntukkan ‘sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina,” katanya lagi.

Menurut Hanipa, hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan dan rejam sehingga mati bagi yang muhsan.

“Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa ‘selain daripada isterinya’ suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd,” kata beliau sambil menambah, hujah itu memperlihatkan bahawa beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir.

“Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?” katanya lagi.

“Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah dalam bukunya yang terkenal ‘Tasyri’ Janaie’ terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia ‘mengguna pakai hartanya’ mengikut kehendaknya. Dan, prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd.

“Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir,” kata Hanipa lagi.

Jelas beliau, jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh-gapah membaca keseluruhan enakmen tersebut beliau akan pasti dapat melihat Seksyen 3 enakmen yang sama, yang menyatakan secara jelas, “dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”

“Seksyen 3 enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ia hanya satu kesalahan takzir. Dan, Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud,” katanya lagi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polemik-liwat-peguam-pas-cabar-mp-zul-kritik-hukum-hudud-umno/

Timb. Menteri nasihat suruh tarik balik pergantungan Aziz Bari

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

NONEMalaysiakini ternampak mesej teks beliau kepada Datuk Zaleha Kamaruddin pagi ini, di mana beliau berkata penggantungan itu adalah "memudaratkan".

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

Saifuddin Nasution - 3 Amanat Untuk Rakyat Tahu Huduhnya kelaku BN/UMNO



ceramah YB Saifuddin Nasution di peogram 60thn Pas di Kedah

Sampai bila 'Hang Nadim' mahu terus dibunuh

PETALING JAYA, 22 Okt: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menilai tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terhadap Prof. Dr. Abdul Aziz Bari beberapa hari lalu – meminta surat tunjuk sebab dan menggantung tugas beliau - sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini.

“Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya, kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Katanya, sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIAM sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat.

Beliau berkata, UIAM sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya.

Seharusnya, kata beliau kenyataan Dr Aziz itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama.

“Ia perlulah dihormati, dihargai dan dinilai sebagai pandangan profesional semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau menambah, andainya ada pandangan yang berbeza, sewajarnya ia dikemukakan juga mengikut adab akademik sepertimana lazimnya demi perkembangan dan penyuburan budaya ilmu secara sihat dan utuh.

Katanya, adalah jelas bahawa kenyataan yang beliau kemukakan itu tiada langsung berunsur penghinaan mahupun cubaan mempersoal, apatah lagi mencabar kedudukan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Apa yang nyata berlaku, ujarnya adalah reaksi beliau mengenainya itu telah diputar-belit dan disensasikan oleh kelompok media yang bersekongkol dengan Umno dan gerombolannya.

Hakikatnya, tambahnya sebagai warganegara Dr Aziz mempunyai hak asasi menyuarakan pandangan dan dilindungi perlembagaan.

“Ketegasan beliau telah menjadikan UIAM lebih dihormati dan dipandang tinggi,” katanya.

Justeru, katanya lagi tidak harus timbul prejudis melulu seolah-olah jenayah akademik besar telah dilakukan sehingga ‘menjejaskan kepentingan universiti’.

Apatah lagi, ujarnya Dr Aziz telahpun secara profesional memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak yang menjalankan siasatan dalam isu ini - polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM).

Malah, katanya Dr Aziz bersedia memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan manipulasi mana-mana pihak yang tidak berniat murni.

Justeru, tegasnya PKR dengan ini menggesa agar UIAM perlu lebih profesional dan berkeyakinan diri dalam menangi persoalan seperti ini di masa hadapan.

Katanya, keputusan menggantung tugas adalah amat menyedihkan.

“Merit beliau selaku pensyarah paling kanan, telah berkhidmat selama 22 tahun dan sekaligus berjaya melahirkan ramai graduan yang menjadi kebanggaan negara dalam bidang ini telah dipertikaikan dan dipandang rendah.

“Lebih membimbangkan, pembelajaran lebih 100 siswa-siswi peringkat ijazah sarjana muda hinggalah doktor falsafah yang sedang mengikuti pengajian bersama beliau pasti akan terjejas,” ujarnya lagi.

Oleh itu, katanya PKR menuntut agar pihak penguasa politik segera menghentikan campurtangan mereka terhadap UIAM di dalam isu ini.

Tambahnya, tindakan penggantungan tugas terhadap beliau hendaklah ditarik balik dan segera memohon maaf maaf tanpa syarat kepadanya.

“Sehingga bilakah amalan ‘membunuh Hang Nadim kerana kecerdikannya’ ini mahu diteruskan dalam arena politik negara ini?” soalnya.

Puak tuu jika nak lawan bab FAKTA dah lama dah terkangkang punya..!!

Fakta lawan fakta, bukan hujah lawan gantung tugas

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Negara kita sekali lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap, kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Terbaru, katanya pelanggaran ‘demokrasi ilmu’ yang sungguh sadis, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hanya kerana pengaruh kontroversi yang dicetus oleh media.

Menurutnya, Dr Abdul Aziz bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau.

“Sungguhpun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataan beliau masih dalam disiplin ilmu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding ‘disiplin ampu’.

Katanya, ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut masih terbuka kepada perbahasan cendikiawan.

“Kaedah umum ‘persilatan ilmu’ di mana-mana universiti dalam dunia ini ialah ‘hujah lawan hujah’ atau ‘fakta lawan fakta’ bukan ‘hujah lawan maki hamun’ dan ‘fakta lawan gantung tugas’.

Menurutnya, malang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan menggantung tugas Prof Dr. Aziz Bari.

Katanya, patutlah universiti Malaysia belum ada yang tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia.

“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti Auku, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya Pemuda PAS mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini.

“Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti di peringkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan,” ujarnya.

Kaji istilah Thailand/Siam


SUNGAI PETANI - Kementerian Pengajian Tinggi diminta untuk mengkaji semula penggunaan istilah Thailand/Siam dalam borang urusan rasmi di bawah kementerian bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan.

Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, penggunaan istilah Thailand/Siam yang merujuk kepada keturunan masyarakat Siam di negara ini dalam setiap borang urusan rasmi kementerian terbabit adalah dianggap tidak tepat.

Menurutnya, penggunaan istilah terbabit dianggap tidak tepat kerana ia menggambarkan masyarakat Siam di negara ini bukan warganegara dan dikhuatiri menjejaskan peluang anak-anak masyarakat Siam untuk mendapat tempat dan bantuan sewajarnya dari agensi berkaitan.

“Ramai masyarakat Siam di negara ini tidak setuju dengan penggunaan istilah keturunan Thailand/Siam pada borang-borang rasmi seperti permohonan Unit Pusat Universiti (UPU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan borang institut pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah kementerian.

“Saya menyarankan kementerian mendapatkan rujukan dan kepastian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai penggunaan istilah Thailand/Siam kerana kami berpendapat penggunaan istilah keturunan Thailand/Siam tidak begitu tepat memandangkan ia boleh membawa erti anak-anak Siam di negara ini adalah rakyat Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Boon Som berkata, pihaknya telah mengemukakan soalan bertulis kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien berkaitan masalah ini dalam persidangan Dewan Negara pada 7 Julai lalu.

Menurutnya, Hishamuddin menjelaskan (nombor rujukan dewan 3977) bahawa pada Jun 2009 melalui arahan JPN Bilangan 4/2009, istilah keturunan Siam digunakan bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa warganegara berketurunan Siam dan dilahirkan di negara ini.

Katanya, istilah keturunan Thai pula digunakan bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa warganegara Thailand.

“Kami berharap kementerian lebih peka terhadap isu terbabit dan sensitiviti masyarakat Siam yang dianggarkan berjumlah 80,000 orang di negara ini kerana istilah Thailand/Siam memberikan maksud berbeza,” katanya. [Sinar Harian]

Kuliah Dhuha Untuk Zulkifli Nordin bab Isu Liwat Isteri..!!

Dr. Khairuddin Razali
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat

*Artikel ilmiah ini adalah respon kepada kejahilan sesetengah pihak tertentu terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas)

Menurut al-Imam al-Syarbini iaitu seorang tokoh Mazhab Syafie:

“Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” (Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.)

Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani iaitu salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’i al- Sana’i :

“Dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” (Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, hlm 24). Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.

Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.

Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. (www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)

Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“ (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)

Seksyen 14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. (Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/ )

Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.

Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal? Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud. Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.

Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negatif kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir. Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir? Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al- Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.

Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof iaitu salah seorang tokoh mazhab Hanafi. Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.

Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

Ust Dr Khairuddin Razali
Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

Bab dok Sekat Guna Dewan Nie Sah kelaku Puak Otak Biru

Penduduk dihalang guna dewan

KODIANG - Tindakan pengurusan dewan orang ramai Kodiang menghalang penganjur Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu menggunakan kemudahan persekitaran dan dewan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat.

Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Basir Ismail berkata, tidak diketahui alasan pengurusan dewan berkenaan enggan menyerahkan kunci pagar serta dewan kepada mereka untuk menganjurkan program yang dijadualkan bakal berlangsung 26 Oktober ini.

Menurutnya, mengikut perancangan program sehari itu akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dewan manakala bahagian dalam dewan digunakan untuk menempatkan gerai pameran pelbagai agensi seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mengambil bahagian.

“Sepatutnya perkara ini tidak timbul kerana tapak yang dicadangkan itu milik MDKP walaupun pembinaan dewan berkenaan menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Tambahan pula program yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah program Kerajaan Negeri dengan melibatkan penduduk sekitar bukannya program berunsurkan politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Basir berkata, disebabkan masalah itu mereka terpaksa mencari tapak alternatif di kawasan berhampiran iaitu di Kompleks Perniagaan Taman Berjaya, pekan Kodiang untuk memastikan perjalanan program yang dirancang tidak tergendala.

“Kami amat kesal kerana orang ramai dihalang memanfaatkan kemudahan dewan sedangkan sebagai orang awam mereka berhak menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk mereka.

“Perancangan menggunakan dewan itu sudah dipersetujui penganjur program semenjak tiga bulan lalu. Walaupun permohonan untuk menyewa dewan daripada pemegang kuncinya dibuat dengan baik sebelum ini mereka tetap tidak membenarkannya,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis, Nordin Ahmad, berkata, antara aktiviti yang bakal diadakan sepanjang program seperti penyampaian geran tanah, pengagihan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Skim Kafalah.

“Dalam majlis itu juga akan diadakan jamuan rakyat serta sesi ramah mesra rakyat bertemu Menteri Besar.

“Walaupun sudah membuat keputusan akan mengadakannya di lokasi lain namun kami tetap berdepan dengan masalah apabila tapak kawasan yang dipilih itu lebih sempit serta tempat letak kereta lebih terhad,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, satu laman blog turut mendedahkan belum sempat Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan dewan itu kepada MDKP pada 2008, kerajaan bertukar tangan dan tiba-tiba pemilikan bangunan itu dirampas oleh parti politik.

Isu Teksi Siam - Sampai bila kami nak tunggu?

CHANGLUN - Sampai bila kami harus tunggu? Begitulah luahan rasa kira-kira 150 pemandu teksi di sekitar kawasan ini yang berhadapan dengan kegiatan pemandu van Thailand yang membawa penumpang dari negara itu masuk ke negara ini dengan sewenang-wenangnya.

Semua pemandu teksi di sini, kecewa kerana masalah yang sudah lama berlarutan itu masih belum diatasi biarpun setiap hari penumpang tetap mereka juga ‘disapu’ kenderaan dari negara jiran itu.

Kegiatan yang sudah berlarutan sejak enam tahun itu begitu menjejaskan pendapatan pemandu teksi di pintu sempadan negara yang sebelum ini mampu memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari. Namun, pendapatan merosot sehingga RM16 sehari pada masa kini.

Pengerusi Persatuan Kereta Sewa/Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Badaruddin Mustaffa berkata, enam tahun lalu kenderaan negara jiran itu hanya menurunkan penumpang dari negara mereka di kawasan zon bebas sebelum menaiki teksi tempatan untuk ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, lama-kelamaan situasi itu berubah apabila van negara jiran itu tidak lagi menurunkan penumpang mereka di situ, tetapi terus masuk ke negara ini dan menghantar penumpang di sekitar negeri ini.

“Keadaan ini semakin hari semakin membimbangkan kerana mereka sesuka hati memasuki kawasan di mana tempat kami mencari rezeki.

“Bukan itu sahaja malah ada juga pemandu van dari negara itu mengambil penumpang di kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) iaitu tempat teksi di negara ini menunggu penumpang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, masalah itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan mereka malah tidak adil apabila van Thailand boleh memasuki ke negara ini dengan sesuka hati membawa penumpang namun, sebaliknya pemandu teksi negara ini tidak dibenarkan memasuki negara mereka.

Menurutnya, masalah ini sudah beberapa kali diutarakan kepada pihak berkenaan termasuk pertemuan terakhir pada Jun lalu bersama wakil dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Alor Setar namun, masih tiada sebarang tindakan diambil.

“Masalah ini sudah lama berlarutan tetapi kegiatan van negara jiran yang membawa penumpang masuk ke negara ini semakin berleluasa kerana tidak ada penguatkuasaan yang ketat,” katanya.

Sementara itu, setiausaha persatuan itu, Mohd Nadzrin Ibrahim berkata, pihak berkenaan harus mengetatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan terbabit.

Menurutnya, masalah itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana sesetengah daripada mereka hanya bergantung kepada pendapatan yang diperoleh daripada kerja membawa teksi sahaja.

“Tindakan segera perlu diambil demi kepentingan pemandu teksi di sini,” katanya.

Pemandu teksi, Mohd Zainuddin Makul, 49, yang sudah 10 tahun membawa teksi itu berkata, pendapatannya kini semakin terjejas malah hendak memperoleh RM50 sehari pun sukar.

Menurutnya, jika dahulu hampir setiap hari kami menghantar penumpang sehingga ke Setiawan, Perak namun, sekarang sebulan sekali pun sukar.

“Malah penumpang sekitar negeri ini pun kami sukar dapat dan hanya hantar penumpang di kawasan terdekat sahaja,” katanya.

Pemandu teksi, Ghazali Salleh, 45, pula berkata, dia terpaksa membelanjakan kos yang tinggi sehingga RM8,000 setahun untuk menyelenggarakan kenderaan selain bayaran insurans dan cukai jalan.

Menurutnya, dengan pendapatan yang terhad ia amat menyusahkan mereka untuk menampung kos penyelenggaraan selain kos minyak kenderaan yang semakin meningkat.

“Saya bimbang lama-kelamaan kami hilang punca pendapatan begitu sahaja jika kegiatan pemandu van Thailand ini tidak dibanteras pihak berkuasa dengan sebaiknya,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...