TERKINI :

Saturday, September 3, 2011

Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera


Mohamed Hadi al-Majwi

Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/5201-kerajaan-johor-iktiraf-ketokohan-mat-indera

Aduhai Rosmah buat Ucapan Hari Raya mengalahkan PM....!!!

Mesej Aidilfitri: PAS pertikai slot ‘bersejarah’ untuk Rosmah

September 03, 2011

KUALA LUMPUR, 3 Sept — PAS mempertikaikan slot ucapan Aidilfitri istimewa dan berturut-turut untuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi media elektronik sambil menegaskan, perkembangan sedemikian tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, “sebelum ini, tidak ada mana-mana isteri Perdana Menteri yang mendapat slotnya sendiri untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya.”

“Sebelum ini, hanya Perdana Menteri mendapat slot seperti itu,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Pandangan sedemikian juga diketengahkan oleh beberapa pihak termasuk kepimpinan Pakatan Rakyat menerusi ruang media sosial Twitter sejak hari pertama Aidilfitri.

“Rosmah adalah orang pertama dalam sejarah yang mendapat slot khas untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya selain Perdana Menteri,” kata Mahfuz lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, ia adalah paling istimewa untuk seorang isteri Perdana Menteri kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, usaha itu diambil kemungkinan untuk menceriakan kembali tahap penerimaan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang merudum teruk.

Hasil kajian Merdeka Center yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan populariti semasa Najib telah merosot sehingga 59 peratus berbanding 72 peratus Mei 2010.

“Mungkin bila slot ucapan hari raya Najib dan slot yang khusus untuk Rosmah dipaksa berkali-kali kepada mereka yang menonton TV sepanjang Hari Raya, tahap puas hati kepada Najib akan naik 95 peratus,” katanya.

Mahfuz berkata beliau tidak menolak kemungkinan Rosmah sendiri yang memaksa supaya diberikan slot khas untuk dirinya yang disiarkan berturut-turut sejak 1 Syawal.

“Maklumlah kuasanya besar sebagai isteri Perdana Menteri,” kata beliau, dilihat merujuk kepada cakap-cakap bahawa Rosmah lebih berkuasa daripada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno. Najib juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional.

Jika benar Rosmah yang memaksa supaya diberikan slot khas itu kepadanya, Mahfuz tidak menolak kemungkinan isteri Perdana Menteri itu menuntut slot sedemikian untuk memuaskan kehendaknya sendiri.

Dengan sinis, Mahfuz juga dipetik berkata, beliau sangat berharap orang ramai tidak merasa loya apabila tidak henti-henti dipaksa menonton slot-slot ucapan mereka.

Populariti Najib: Merdeka Center pertahan kajian, bukan ‘pendapat peribadi kami’

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Merdeka Center mempertahankan hasil kajian pihaknya mengenai populariti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang diumumkan Isnin lalu, sambil menegaskan reaksi ‘dingin’ pemimpin-pemimpin Umno memang sudah dijangkakan.

Hasil kajian terbaru itu menunjukkan populariti Najib terus merosot, antara lain disebabkan isu inflasi dan cara menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Sehubungan itu Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, “kami sememangnya menjangka akan ada pihak yang akan mempertikai penemuan kajian tersebut, oleh yang demikian kami telah meneliti dan menyemak keputusan tersebut beberapa kali sebelum menyiarkannya.”

Kata beliau, pihaknya reaksi sedemikian sebagai satu proses di mana mutu perdebatan awam dapat dipertingkatkan menerusi penyiaran hasil penjejakkan pendapat umum sebagai suatu input berasaskan penemuan dan bukannya pendapat peribadi semata-mata.

Ibrahim diminta mengulas mengenai pendirian sebahagian pemimpin Umno yang melahirkan rasa tidak senang dan tidak dapat menerima hasil kajian tersebut.

Sebagai contoh, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) berkata, kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri diterima majoriti rakyat di negara ini.

Rais berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Ibrahim berkata, bagi menjawab persoalan berhubung ketepatan dan metodologi kajian, ia merupakan kaedah yang sentiasa Merdeka Centeri gunakan - persampelan strata secara rawak — yang memastikan pemilihan responden dilakukan secara rawak agar dapat mengurangkan bias, tetapi dikawal bagi memastikan ia mencerminkan profil pemilih berasaskan daftar pemilih Disember 2010 menurut kaum, negeri, jantina dan kumpulan umur.

“Ketepatan kajian sebenarnya berasaskan sejauh mana sampel mewakili taburan penduduk yang dikaji dan bukannya jumlah responden.

“Oleh itu kami sangat cermat dalam memastikan para responden yang ditemu bual mewakili taburan pengundi setelah mengambil kira batasan kaedah temu bual (telefon),” kata Ibrahim sambil menambah, ia kaedah yang telah “kami gunakan semenjak tahun 2003 lagi dan merupakan pendekatan yang menemui tahap puas hati kepada perdana menteri (Najib) adalah 72 peratus pada bulan Mei 2010.”

Ibrahim juga berkata, pihaknya juga memahami tentang keperluan politik dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat dan hasil kajian ini tidak mencerminkan apa-apa melainkan sentimen rakyat terhadap subjek tersebut sewaktu kajian dilakukan.

“. . . apa yang perlu diambil dari penemuan tersebut adalah merangka kaedah bagaimana keadaan tersebut dapat diubah seperti contoh, meningkatkan tahap puas hati serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” kata Ibrahim lagi.

Malah katanya, secara umum, hasil kajian yang menunjukkan tahap puas hati pada Najib berada pada 59 peratus merupakan kedudukan yang masih positif dan selesa.

“Tetapi adalah agak sukar serta tidak berpatutan untuk memikirkan bahawa tahap puas hati boleh kekal tinggi ketika kadar inflasi, ketidaktentuan ekonomi semasa berserta isu-isu sosiopolitik semasa mengasak pengundi secara berterusan.

“Ini ialah kerana sentimen pengundi sentiasa berubah-ubah terlebih sekali apabila berlakunya sesuatu peristiwa besar yang diberi liputan meluas oleh media,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, jika dilihat pada penemuan Merdeka Center masa lalu, penemuan kajian sememangnya mencerminkan sentimen semasa seperti contoh kajian pada pertengahan 2006, yang telah pun menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina telah beralih pada pembangkan, serta sentimen pengundi sebelum pilihan raya umum 2008.

Nurul Izzah - Kemenangan dan kemerdekaan

oleh NURUL IZZAH

http://2.bp.blogspot.com/_xCW4Jfa-SWE/TLXMWVBRU_I/AAAAAAAAKY8/qi4YJmZufcY/s320/nurul+izzah+4.jpg

Aidilfitri hari kemenangan;

Kejayaan menempuh halangan;

Mengenali erti kekurangan;

Bagi yang tahu kesenangan.

Kepada pembaca budiman, saya ajukan soalan di hari yang mulia ini: Adakah umat Islam di Malaysia sebenarnya sudah menang?

Mungkin ada di antara kita yang, setelah sebulan berpuasa, menang lapar dan dahaga secara peribadi tetapi sebagai masyarakat yang sepatutnya menang di dalam janji kemerdekaan, perjuangan kita jelas masih belum selesai.

Mungkin ada di antara kita yang, setelah berakhirnya Ramadhan, menang dengan sedikit sumbangan di tangan dan wang zakat di saku tetapi sebagai masyarakat yang sepatutnya menang dari segi erti ekonomi rumahtangga yang benar-benar berdikari lagi mencukupi, jelas perjuangan kita memang belum selesai.

Kita belum menang bila kesederhanaan Islam dicela dengan taburan fitnah perpecahan hari demi hari.

Kita belum menang bila ketegasan Islam terhadap rasuah diperlekehkan dengan bercambah dan berakarnya budaya rasuah merata-rata, malah di bulan Ramadhan sekalipun.

Kita belum menang bila keadilan Islam diketepikan untuk keadilan palsu institusi kehakiman yang dinodai untuk matlamat politik sempit lagi menghimpit.

Kita belum menang bila kecaman Islam terhadap penipuan ditolak ketepi dengan kepincangan proses pilihanraya yang nyata penuh manipulasi, kolusi dan dipenuhi dengan warga baru segera.

Kita belum menang bila kewajipan beramanah dalam Islam disanggah dengan salah guna kuasa serta pecah amanah para pemimpin, pemegang jawatan awam dan penjaga keselamatan demi kesenangan sementara sesetengah pihak berkepentingan.

Kita belum menang apabila Islam diperguna untuk kepentingan politik perkauman sempit yang menjadi alasan untuk menjarah ekonomi dan menjajah politik Negara walapun penjajah British telah lama bersilih ganti dengan penjajah baru berwajah kebangsaan bersongkok tinggi.

Tepat saya rasa kita bertanya di Syawal yang mulia ini - lambang kemenangan umat Islam ke atas pancaroba hawa nafsu - bilakah kita akan menang? Bilakah rakyat negara tercinta ini akan menang?

Kita akan menang apabila ekonomi dibuka adil lagi saksama tanpa monopoli harga barang naik dan komisyen tinggi pembelian mahal lagi membazir yang memiskinkan rakyat dan merugikan masyarakat.

Kita akan menang apabila politik bersih lagi mulia memerdekakan jiwa bangsa daripada rasa takut kepada kerajaan menjadi takut kepada Tuhan.

Kita akan menang apabila keadilan dan kehakiman menjadi perisai rakyat daripada kekejaman dan keangkuhan pemegang amanah dan penjawat awam.

Kita akan menang apabila suara akhbar bebas memanggil untuk bersatu dan bukan berpecah akibat hasutan keji penulis berita.

Kita akan menang apabila penjarah ekonomi dan penjajah politik berwajah kebangsaan bersongkok tinggi yang bangga mewarisi peranan dan perundangan penjajahan British seperti ISA, PPPA, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dikalahkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang bersih, telus dan adil.

Oleh itu, marilah kita terus berdoa dan berjihad agar Aidilfitri iaitu Hari Kemenangan menjadi titik perubahan kemerdekaan sebenar umat Islam di bumi bertuah ini.

Marilah kita teruskan semangat jihad Ramadan untuk kemenangan Syawal dan seterusnya berkorban Zulhijjah buat Malaysia yang lebih baik untuk semua.

Rumah Terbuka MB Ahad ini

ALOR SETAR - Jamuan Rakyat sempena sambutan Aidilfitri akan diadakan pada Ahad, 4 September ini di pekarangan Seri Mentaloon untuk meraikan rakyat Kedah dalam majlis Rumah Terbuka Menteri Besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, acara tahunan itu dijangka dihadiri lebih 30,000 orang, termasuk Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

“Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati juadah yang disediakan bermula 12 tengah hari hingga 5 petang. Antara menu istimewa yang dihidangkan termasuk sate, nasi dagang, laksa dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, pada 3 September pula, diadakan Rumah Terbuka Pas Kawasan Jerai di pejabat Pas Jerai, Sungai Limau bermula 12 tengah hari hingga 4 petang.

Ditanya mengenai sambutan Raya kali ini, Azizan berkata, beliau bersyukur dapat beraya bersama anak-anak sekeluarga di rumah mereka, walaupun sejak kebelakangan ini, dirinya asyik berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Alhamdulillah saya sihat menyambut raya tahun ini. Dapat juga menjamah ketupat dan lemang bersama keluarga dan saya juga rasa semakin sihat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Terbuka, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, setiap tahun majlis rumah terbuka di Seri Mentaloon mendapat sambutan amat menggalakkan, dan orang ramai sudah mula menunggu di hadapan pagar sejak 11 pagi.

“Saya harap majlis meriah seperti tahun-tahun sebelumnya, makanan yang disediakan juga mencukupi dan pihak pengurusan akan memastikan kesemua persediaan berjalan lancar,” katanya.

Ir Amiruddin turut menjemput orang ramai memeriahkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya, hari ini di Kampung Tradisional, Gunung Keriang bermula 2 petang.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9486411.asp

MB Kedah diberhentikan.. Apa agenda Star dan pihak dibelakangnya....?

Star Tertinggal Keretapi...

Apa agenda Star dan pihak dibelakangnya....?

Laporan muka depan Star hari ini pelik dan tersasul. Ia membawa satu agenda. Tiada sebarang isu yang sepadan dengan laporan itu telah atau pernah dibangkitkan di peringkat kerajaan maupun di peringkat parti. Ia hanya ramalan dan bayangan yang tidak tepat dengan peraturan dan prosedur, malah ia sebenarnya tidak berbangkit!

Penggantian atau pemangku mungkin perlu untuk pemimpin yang tidak sihat, malah satu kemestian bila keupayaan memimpin sudah hilang, tetapi amat pelik dan luar biasa untuk membangkitkannya bagi pemimpin yang sudah pulih dan mulai menjalankan tugasan seperti sebelumnya.

Keadaan sebenar sekarang menjadikan laporan star itu tidak releven lagi, dan tentu mengecewakan pihak-pihak dibelakangnya.

Selepas bercuti atas nasihat doktor sehingga 29 Ogos dan bersambung dengan cuti hari raya aidilfitri sehingga semalam, Dato' Seri Menteri Besar Kedah sudah mula berugas hari ini. Dalam tempoh cuti sebelum ini, beliau tetap menjalankan beberapa tugasan penting seperti mempengerusikan mesyuarat Exco.

Setelah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), beliau mendapat rawatan susulan di KMC dan Hospital Sulatanah Bahiyah mengikut prosedur perubatan yang dinasihatkan oleh Doktor. Prosedur itu selesai pada 29 September 2011seperti yang dijadualkan oleh Doktor pakar yang merawatnya.

Dalam tempoh itu juga Beliau juga sempat menghadiri beberapa majlis berbuka puasa, menyampaikan tazkirah dan menyampaikan sumbangan kepada guru quran dan bidan sukarela. MB juga ke pejabat menyelesaikan tugasan rutin, selain melakukan tugasan menyemak dokumen-dokumen untuk ditandatangani di rumah.

Hari ini beliau mula bertugas seperti biasa. Pagi tadi, beliau menziarahi jenazah Dato' Abdul Rahman Ahmad, Pegawai Daerah Kota Setar yang meinggal dunia semalam di Alor Belat, Pendang. Ketibaan beliau disamut oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri dan keluarga Allayarham.

Pada 3 September 2011 (esok) beliau akan mengadakan rumah terbuka di Markaz PAS Jerai seterusnya Rumah Terbuka Menteri Besar di Mentaloon pada 4 September.

Beliau melahirkan kesyukuran kehadrat Allah swt dan berterima kasih kepada seluruh pemimpin dan rakyat Kedah kerana sepanjang tempoh mendapatkan rawatan itu, tiada perkara yang negatif berlaku dan proses pentadbiran kerajaan berjalan lancar...

Tiba-tiba Star bangkitkan skrip pemangku MB Kedah...ada masalah apa dengan depa ni???

Muhammad Sanusi Md Nor,
SETPOL MB KEDAH




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...