TERKINI :

Saturday, August 27, 2011

Lynas: Kenyataan Dr Che Rusli, Dr Ahmad Termizi di TV3

Zulkefly Mohamad Omar

Saya Saudara Zulkefly Mohamad Omar, AJK PAS Pusat Merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat ingin memberi kenyataan berhubung kait kenyataan Dr Che Rusli Che Mat dan Prof Ahmad Termizi di TV3 semalam dalam Buletin Utama TV3.

Sehubungan dengan saya telah mengamati kenyataan kedua-dua tokoh tersebut dan sama sekali tidak berhasrat untuk mempertikaikan kaliber mereka sebagai Pakar Saintis Nuklear. Apa yang saya utarakan bahawa beberapa pandangan yang berbeza boleh dianggap sebagai medan untuk saya perjelaskan tentang Pendirian Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat dan Badar (Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery) berkaitan Isu Kilang Rare Earth Refinery yang akan beroperasi Gebeng, Kuantan.

Pendedahan mereka yang dipetik dari TV3 berkenaan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS adalah Loji Nuklear disangkal PAS. PAS tidak pernah mengakui bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu adalah Loji Nuklear, malah nama badan yang berjuang untuk menentang LYNAS itu adalah Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) di mana pekataan ‘refinery’ itu sendiri merujuk kepada KILANG.

Memetik kenyataan Prof.Dr.Ahmad Termizi bahawa risiko bukan alasan untuk mengharamkan sesuatu perkara dan risiko itu mesti berpadanan dengan manfaat jelas merupakan satu kenyataan yang tidak berasas malah dilihat seolah-olah cuba memperjudikan nasib penduduk setempat khususnya penduduk di sekitar Balok Kuantan di atas nama kemajuan teknologi dan ekonomi.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan, ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya.

Kami tahu banyak air sisa yang dikatakan ‘telah dirawat’ akan dilepaskan ke Sungai Balok yang diketahui umum sudah tercemar pada tahap 2 dan 3. Malah sehingga hari ini, penduduk setempat masih tidak dilibatkan di dalam menilai perancangan pengurusan sisa buangan milik LYNAS itu.

Risiko dari Kilang LAMP milik LYNAS adalah sesuatu risiko yang tidak boleh dikompromi walaupun jika ada manfaatnya dari aspek ekonomi walaupun PAS ragu-ragu dengan manfaat ekonomi yang dimaksudkan. Pelepasan cukai perolehan selama 12 tahun kepada LYNAS adalah satu tindakan yang tidak menguntungkan Negara.

Risiko itu tidak boleh dikompromi dengan manfaat kerana pencemaran sisa radioaktif kepada alam sekitar tidak mampu dipulihkan dalam tempoh yang singkat malah dikenalpasti akan kekal sehingga tempoh yang lama iaitu puluhan tahun lamanya.

Malah ancaman kepada kesihatan juga boleh berlaku seperti penyakit kanser dan lieukemia jika terdapat kebocoran dan kegagalan fungsi peralatan yang sedia ada sehingga menyebabkan pendedahan bahan-bahan beradioaktif kepada penduduk setempat. Laporan keretakan tangki simpanan serta spesifikasi yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti yang dipaparkan oleh New York Times (NYT) mengukuhkan lagi ketidakyakinan penduduk setempat kepada jaminan keselamatan yang acap kali diwawarkan oleh agensi yang berkenaan termasuk pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS sekali lagi menegaskan tahap dos sinaran yang dimaksudkan Prof Dr Ahmad Termizi hanyalah satu daripada beberapa isu yang dibangkitkan rakyat.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana membangkitkan kegusaran mereka terhadap aspek-aspek keselamatan termasuk potensi ancaman dari kilang LAMP milik LYNAS itu. Lebih-lebih lagi penglibatan pihak awam tidak dialu-alukan dari peringkat awal malah kelemahan aspek ini diakui oleh wakil MITI tempoh hari. Lebih-lebih lagi Kajian Alam Sekitar (PEIA) jelas tidak melibatkan pihak awam ketika itu walaupun Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) boleh digunapakai seolah-olah potensi pelbagai ancaman yang tidak sahaja terhad kepada pancaran radiasi tidak menjadi satu kepentingan dan keutamaan kepada penduduk setempat.

Apakah risiko itu boleh dipadankan dengan manfaatnya? PAS menyangkal kenyataan ini apabila ia melibatkan industri yang berisiko tinggi seperti ini.

Insiden dari loji nuklear Fukushima boleh dirasai oleh beberapa Negara yang beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi kesan ini tidak dirujuk sebagai kesan radiasi sahaja tetapi lebih dirujuk kepada potensi penyebaran radioactive particles atau ‘serbuk/habuk radioaktif’ yang boleh bergerak dan tersebar melalui air dan udara sehingga manusia yang menghidunya atau menelannya berpotensi sebagai ancaman kepada organ dalaman manusia.

External Radiation atau ‘Radiasi Luar’ bukan kerisauan utama penduduk setempat tetapi ‘Internal Radiation’ atau ‘Radiasi Dalaman’ itulah yang menjadi kegusaran utama penduduk setempat. Tahap pencemaran habuk yang sedia dari Kawasan Perindustrian Gebeng (GIE) akan lebih parah dengan kehadiran kilang LAMP milik LYNAS itu. Pendedahan radiasi dalaman berkemungkinan tetap ada.

Kenyataan yang mengatakan bahawa ketakutan orang ramai hanya merujuk kepada tahap radiasi sahaja juga tidak tepat kerana hakikatnya bukan tahap radiasi sahaja yang menjadi pertikaian penduduk setempat selama ini malah tahap radiasi yang dimaksudkan beliau yang mirip hanya kepada external radiation atau ‘radiasi luar’ sahaja sebenarnya lebih menjurus kepada ancaman internal radiation atau ‘radiasi dalaman’ seperti yang dimaksudkan di atas. Radiasi dalaman boleh menyumbang kepada kerosakan organ dalaman manusia.

Kegusaran penduduk dan pandangan umum dari berbagai lapisan masyarakat adalah berdasarkan beberapa tindakan yang di lakukan oleh Lynas terlalu tergopoh-gapah untuk meneruskan operasi pembinaan tanpa mengambil pandangan penduduk dan rakyat khususnya di Kuantan serta kawasan yang berhampiran.

Bagaimanakah keyakinan tinggi di kalangan penduduk setempat terhadap agensi penguatkuasa alam sekitar itu wujud jika pencemaran Sungai Balok sudah ditahap 2 dan 3? Adakah rakyat harus yakin akan kredibiliti agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk memantau kilang LAMP milik LYNAS jika Sungai Balok sendiri sudah gagal dipantau agensi kerajaan yang berkenaan.

Adakah dengan semua ini, rakyat harus tetap yakin dengan kredibiliti agensi kerajaan yang berkaitan?

Rakyatkah yang salah?

PAS juga menyangkal bahawa isu LYNAS ini dibawa oleh PKR. Malah PAS sekali lagi tetap bertegas bahawa isu LYNAS adalah isu yang dibawa oleh PAKATAN RAKYAT dan telah lama disepakati.

Rakyat Kuantan khususnya mempunyai sebab untuk takut akan kewujudan Kilang LAMP milik LYNAS. Kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu selamat bersandarkan laporan IAEA juga tidak tepat kerana penilaian panel pakar IAEA itu hanya bersandarkan tahap pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS yang pada ketika itu hanya ditahap 40 peratus sahaja malah Kilang itu masih belum beroperasi dan pengurusan sisa buangan juga tidak dinilai, bagaimanakah pihak-pihak tertentu boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu SELAMAT?

Malah 11 cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh panel IAEA itu jelas menunjukkan bahawa polisi, piawaian dan prosedur yang sedia ada di Negara ini masih terbelakang berbanding piawaian antarabangsa. Jika Negara ini memenuhi piawaian antarabangsa, kenapa perlu ada 11 penambahbaikan itu?

Hakikatnya kehadiran Kilang LAMP milik LYNAS dibuat tanpa penglibatan pihak awam dan tidak menyeluruh. Malah kelemahan ini diakui panel IAEA itu dan wakil MITI sendiri. Adakah salah rakyat untuk beremosi apabila hanya diberitahu ketika pembinaan infrastruktur kilang sudah mencecah 40 peratus? Dan adakah fakta-fakta yang dibentangkan oleh wakil penduduk adalah semata-mata propaganda dan tidak berdasarkan ilmu? Termasuk tiada rujukan kepada pakar-pakar tertentu? Rakyat tidak pernah beremosi kosong, malah emosi itu disertakan kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat berkenaan ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel IAEA sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak LYNAS dan AELB.

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas meyakinkan kerajaan sedangkan agensi-agensi yang berkenaanlah yang harus menyakinkan pihak kerajaan bahawa pelan pengurusan sisa buangan adalah satu kewajipan yang perlu ada. Bukankah rakyat yang berperanan sebagai majikan kepada agensi-agensi yang berkenaan melalui bayaran cukai pendapatan tahunan?

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar penduduk setempat?

Zulkefly Mohamad Bin Omar

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat

Buat malu budak U jaa Ketua Penerangan UMNO sorang nie..!!


Baru-baru ini saya menghadiri sebuah majlis dialog dan berbuka puasa antara wakil-wakil mahasiswa daripada beberapa universiti dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Saya sudah biasa membuat liputan berita yang membabitkan beliau dan faham sangat apabila rakan-rakan media selalu “fobia” nak bertanya soalan pada dia. Selalunya jawapan dia memang jarang boleh pakai.

Tetapi pada majlis dialog itu barulah saya nampak “his true colours”. Terserlah amat sangat bukan sahaja kecetekan PRnya, tetapi juga kejahilannya mengetepikan isu dan kesombongannya sebagai seorang wakil rakyat.


Pertanyaan wakil pelajar yang disampaikan dengan tertib dan berhemah dibalasnya dengan jawapan bangang dalam nada sinis dan tidak sesuai bagi seorang berstatus Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri.

Cara Ahli Parlimen Pontian itu berinteraksi dalam dialog itu bukan sahaja memalukan dirinya, tetapi juga menjatuhkan air muka UMNO. Beberapa kali saya menepuk dahi kerana terkejut dengan cara dia menjawab soalan mahasiswa.


Selain gagal menjawab pertanyaan dengan bijak, Ahmad Maslan juga tidak pandai mengawal emosi. Apabila fikirannya tersangkut mencari jawapan, dia menggunakan pendekatan memperkecilkan mahasiswa dan mendabik dada mengenai kejayaan peribadinya.

Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan dalam Bahasa Malaysia. Tapi yang jelas, Ahmad Maslan had made a fool of himself and UMNO sehinggakan beberapa pelajar mengadu kepada saya, “akak, malunya kami mendapat menteri seperti ini.”


Berikut adalah antara ringkasan beberapa soal jawab antara Ahmad Maslan dengan beberapa pemimpin Mahasiswa yang membuat saya dan suami berdekah-dekah ketawa dan ramai hadirin terpinga-pinga dan ada yang menepuk dahi!

Pemimpin Mahasiswa:
“Bagaimana sebenarnya sistem demokrasi di negara kita berfungsi? Mengapa setelah pelbagai dasar dan agenda dilakukan sejak merdeka hingga sekarang, kaum Melayu masih terkebelakang di segi ekonomi. Bagaimana pemimpin mahu menjelaskan proses demokrasi kepada mahasiswa, remaja dan pelajar sekolah? Mengapa pelajar universiti tak dibenarkan berkempen?”

Ahmad Maslan:
“Saya tak takut dengan sesiapa. Saya hanya takut dengan Allah. Saya langsung tak gementar kerana saya tahu perjuangan kami adalah perjuangan yang benar. Sebab itu di Dewan Rakyat saya minta naikkan soalan saya supaya dapat berdepan dengan Anwar Ibrahim.

“Tahun ini soalan saya naik ke nombor 2 saya dapat berdepan dengan Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat sebab saya tak takut berdepan dengan manusia. Saya hanya takut Allah.

“Mengapa kita tak kuasai ekonomi? Ketika dijajah Inggeris, kalau orang Melayu dan India awal-awal lagi ditempatkan di bandar, kita pasti tak ada pilihan lain, kecuali berniaga sebab kita tak boleh bercucuk tanam di atas jalanraya.

“Tetapi mereka diletak di kampung, nak jadi apa? Mereka jadi penoreh getah, macam mak ayah saya. Mereka jadi peneroka dan nelayan. Itu kesilapan pertama dalam proses demokrasi.

“Kemudian negara ditadbir urus oleh kerajaan mengikut sistem demokrasi berparlimen, demokrasi terpimpin. Semua orang demokratik di negara kita boleh menjadi calon dalam pilihanraya. Siapa saja boleh jadi calon berdasarkan akta-akta yang ada.”

Pemimpin Mahasiswa:
“Tahun lalu beberapa mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikenakan tindakan di bawah AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) kerana didakwa berkempen pada pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor.

“PRU 2008 berat sebelah sehingga membuatkan orang tidak mahu mengundi pihak tertentu kerana meluat. Mengapa pihak pembangkang susah dapat permit dibandingkan kerajaan. Apakah peranan mahasiswa dalam membantu memperbaiki demokrasi dalam negara kita.”

Ahmad Maslan:
“Malaysia adalah satu-satunya negara yang membenarkan berkempen 365 hari 7 kali seminggu 24 jam sehari. Asalkan ada permit, boleh buat ceramah. Pembangkang juga boleh kata apa sahaja dalam internet. Boleh keluarkan suratkhabar tiap-tiap hari. Kenapa kerajaan negeri Selangor tak keluarkan suratkhabar hari-hari dan bagi kepada rakyat Selangor? Kalau mereka nak buat, silakan.”

Mahasiswa:
“Mengikut AUKU pelajar tak boleh jadi calon atau berkempen.”

Ahmad Maslan:
“Akta itu ciptaan manusia. Kenapa kamu mesti takut dengan ciptaan manusia? Langgar ajalah. Jangan takut pada manusia. Terus langgar sajalah. “

Pemimpin Mahasiswa:
Pada PRU 2008 di Kepala Batas mahasiswa cuba menjadi calon menentang Tun Abdullah Badawi tetapi digagalkan oleh SPR.”

Ahmad Maslan:
“ Pada saya kalau rasa nak bertanding, langgar aja. Kemudian kalau dibuang dari universiti, pergilah belajar di universiti luar negara. “

Pemimpin Mahasiswa:
“Tujuan kami adakan dialog dengan pemimpin bukan untuk menakutkan sesiapa. Kami hanya mahu dua perkara. Pertama, suara kami didengari dan kedua, mahasiswa mahu peranan kami diiktiraf. Adakah kerajaan selepas ini bersedia membenarkan mahasiswa bertanding dalam pilihanraya. Adakah Datuk bersedia berdialog dengan Mazlan Aliman?.”

Ahmad Maslan:
“Saya dah berjanji untuk berdialog dengan Mazlan Aliman dan bila masanya, terpulang pada dia. Tetapi untuk berdebat, saya rasa dia tak layak.

“Kalau saudara nak terus adakan dialog dan dapat pandangan orang-orang tertentu, silakan. Yang saya khuatir ialah demonstrasi kerana bila berlaku demonstrasi boleh berlaku orang bakar bangunan dan ketawa selepas membakar bangunan itu. Bila berlaku demonstrasi jalananan dan melihat orang cedera, daripada nak tolong orang cedera, dirompaknya pula.

“Saya tidak khuatir dengan pandangan berbeza. Saya berdebat sejak sekolah menengah. Pada 1983 saya masuk final debat. Pendebat pertama dari Kolej Islam Kelang ialah Idris Ahmad. 27 tahun selepas itu beliau menjadi ketua penerangan PAS dan saya jadi ketua penerangan umno. Perdebatan tak jadi hal bagi saya.

Pemimpin Mahasiswa:
“Semasa PRK Hulu Selangor, ada mahasiswa kena tangkap di bawah AUKU. Mereka ditangkap dengan alasan pelajar universiti tak boleh masuk politik.”

Ahmad Maslan:
“Kalau anda semua nak masuk politik, silakan. Apa nak ditakutkan AUKU. Ia adalah akta-akta di atas kertas. Yang korang takut sangat, kenapa? Masuk ajalah dalam politik. Itu jawapan saya.

Pemimpin Mahasiswa:
“Kita tak takut, tetapi kita fikirkan mak ayah yang susah payah cari duit nak hantar kita belajar.”

Ahmad Maslan:
“Masuklah IPTS dan kemudian bekerja. Saya buat MBA tak ada siapa sponsor pun. Saya bekerja sambil belajar dan jadi pelajar terbaik UKM dan dapat 3.85 CGPA. Saya dapat anugerah emas pelajar. Masa itu pelbagai jawatan politik saya ada.”

Pemimpin Mahasiswa:
“Benar, kami tak takut AUKU, tetapi kami tertakluk kepada undang-undang. Jika langgar, masa depan habis.”

Ahmad Maslan:
“Saya dulu bekerja sambil belajar. Saya pernah sembelih biri-biri di New Zealand untuk cari duit lebih. Itu kat luar negara. Apa hal korang manja sangat.”

Pemimpin Mahasiswa:
“Datuk cakap mengenai kebebasan media, kenapa letak syarat? Kenapa pembangkang susah nak dapat permit buat ceramah. Datuk suruh langgar AUKU, tapi di peringkat kerajaan sendiri, apa kah penyelesaiannya? “

Ahmad Maslan:
“Tunjukkan kepada saya permohonan ceramah dari mana-mana parti pembangkang yang tak dapat kebenaran polis? Bagitau pada saya bila dan tempatnya.

“Saya boleh bagitahu Ketua Polis Negara, apahal tak bagi dia orang ceramah? Nak ceramah siang malam, pagi petang, silakan. Yang tak boleh demonstrasi jalanan. Sebab ia merosakkan ketenteraman awam.

“Ceramah pembangkang jauh lebih banyak dari ceramah kerajaan. Kalau parti pembangkang buat 100, parti kerajaan baru buat satu. Saya tahulah sebab saya Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Kalau pembangkang tak dapat permit buat ceramah, bagi tahu pada saya. Saya akan telefon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya bagi permit.

“Kita tak takut dengan ceramah. Kita takut orang yang memanupulasi kebenaran. Perkara yang tak betul diadakan-adakan. Fitnah bermaharajalela. Apalah kau orang takut dengan AUKU. Ia adalah kertas-kertas yang ada tulisan. Langgar ajalah kalau kamu anak jantan.”

Pemimpin Mahasiswa:
“Tadi Datuk sarankan kami langgar akta. Ini bukan cara kita. Akta perlu dihormati. Kita sepatutnya perjelaskan akta ini secara betul. Tadi Datuk pun persoal kenapa Kerajaan Negeri Selangor tak terbit akhbar hari-hari. Tahukah Datuk bahawa kita ada akta mesin cetak dan penerbitan? Dalam akta itu, setiap akhbar harian mesti mendapatkan permit daripada menteri.

“Dalam AUKU, seksyen 15 hanya menyebut mahasiswa tak boleh nyatakan pandangan atau simpati kepada mana-mana parti politik. Tetapi sekiranya orang bertanding atas tiket bebas, bolehkan mahasiswa menyokong mereka? Adakah ia bercanggah dengan AUKU?

“Jangan salah tafsir atau seleweng maklumat kepada mahasiswa. Saya yakin mahasiswa berfikiran terbuka dalam isu atau pandangan yang disebutkan oleh parti-parti yang berkempen dalam pilihanraya. Tetapi kenapa UMNO guna RTM untuk berkempen kerana ia hak rakyat Malaysia yang membayar cukai . Mengapa mereka tak buka media kepada semua orang, temasuk mahasiswa?”

Ahmad Maslan:
“Kalau saudara tak suka melihat apa yang ada di TV tutup ajalah TV itu. Tengok internet atau Harakahdaily atau Suara Keadilan. Silakan. Saya tak takut melihat internet sebab tak ada siapa yang boleh mengawal. Silakan. Kalau saudara nak layari blog, saya pun tak takut langsung.”

Pemimpin Mahasiswa: (menyindir, tapi sindiran itu nampaknya tak difahami Ahmad Maslan)
“Saya seronok mendengar penjelasan YB yang suruh kita main langgar aja.”

Ahmad Maslan:
“Ya, boleh langgar saja. Kalau kena saman, bayar sajalah.

Pemimpin Mahasiswa:
“Perdana menteri kata PRU ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tak terikat kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Kenapa tak tunggu dulu penubuhan jawatankuasa itu?”

Ahmad Maslan:
“That is the priviledge of incumbency.”

Mahasiswa 1:
“Maaf, kami kurang faham.

Ahmad Maslan:
“Hai! Belajar Inggeris 13 tahun tak faham lagi?”

Pemimpin Mahasiswa:
“Di Singapura setiap parti politik diberikan ruang nyatakan manifesto di media, berbanding di Malaysia hanya sebelah pihak. “

Ahmad Maslan:
“Utusan Malaysia suratkhabar UMNO, tak kanlah nak masuk cerita pembangkang. 60% UMNO punya. Kalau saudara tak mahu beli Utusan Malaysia, tak ada hal. Orang lain boleh beli

Selesai majlis dialog itu saya sempat bersembang dengan beberapa mahasiswa. Ramai daripada mereka kecewa dengan cara Ahmad Maslan menjawab soalan. Malah mereka terkejut Perdana Menteri boleh melantik menteri yang pada pandangan mereka, kurang pandai.

Lantas saya memberitahunya, tidak semua pemimpin UMNO berfikiran cetek macam Ahmad Maslan. “Lain kali kami akan jemput Menteri yang pandai sikit,” kata mahasiswa itu.

Apa pendapat pembaca pula?

Melayu pecah: Kerajaan enggan dengar input rakyat juga punca, kata pakar


Oleh Syed Mu’az Syed Putra
August 27, 2011

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff menegaskan perpecahan Melayu yang didakwa semakin parah turut disebabkan tindakan kerajaan tidak mahu mendengar pandangan berbeza daripada rakyat.

Selain itu tegas pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perpecahan Melayu juga berpunca daripada tindakan kerajaan mengetepikan hak orang Melayu sepertimana yang berlaku di Kelantan.

“Saya setuju sangat dengan padangan Harussani tapi saya nak tambah lagi dua iaitu perpecahan Melayu juga berpunca dari sikap kerajaan yang tidak mahu buka telinga dan dengar pandangan yang berbeza daripada rakyat... kalau kerajaan tidak mahu orang Melayu berpecah, kerajaan perlu dengar dan terima pandangan yang berbeza sebab itu punca orang Melayu berpecah tapi masalahnya kerajaan takut nak dengar.

“Berpecah orang Melayu ini juga sebab diskriminasi dan ketidakadilan kepada orang Melayu itu sendiri seperti mana yang berlaku di Kelantan sebab itu perpecahan ini berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti baru-baru ini, Harussani berkata perpecahan di kalangan Melayu berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Tegas Agus, perpecahan Melayu boleh dielakkan sekiranya kerajaan menerima setiap kritikan dan pandangan berbeza yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja termasuk Pakatan Rakyat.

“Sedangkan kerajaan boleh lakukan pelbagai cara dan saya takut perpecahan orang Melayu ini akan meruntuhkan negara, kita ada ramai ahli akademik dan pembangkang yang memberikan pandangan tapi kerajaan tidak mahu dengar.

“Sekarang kita lihat tiada lagi orang Melayu yang berani untuk beri pandangan yang berbeza dengan kerajaan, ini yang menyebabkan kelemahan orang Melayu... kerajaan perlu berani mendengar pendapat yang berbeza,” katanya. Tambah beliau:

“Tiada guna adanya ahli akademik kalau semua jadi pak angguk.”

Agus menambah isu perpecahan Melayu bukan isu politik dan pandangan Harussani perlu diambil berat.

“Ini bukan isu politik, ini pandangan mufti untuk beritahu kenapa orang Melayu lemah dan berpecah.

“Saya setuju dengan pandangan Harusani itu, ia adalah pandangan yang baik tapi kerajaan tidak mahu terima,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu tampil membuat penjelasan sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan Harussani itu.

“Apa yang dikatakan Harussani itu antara sebab mengapa wujud perpecahan, barangkali perdana menteri perlu mengeluarkan kenyataan balas sama ada beliau setuju dengan pandangan mufti Perak itu atau tidak.

“Penjelasan harus diberikan supaya tiada lagi spekulasi lain kerana ia keluar daripada Harussani,” katanya.

Jelas beliau, banyak faktor yang menyebabkan perpecahan orang Melayu berlaku bukan hanya tiga perkara yang dibangkitkan Harussani.

“Bagi saya perpecahan orang Melayu itu mungkin berpunca daripada parti politik macam PAS dan Umno dan saya rasa kalau kedua-dua parti ini duduk bertemu perkara ini boleh diatasi.

“Sebab isunya sekarang adalah Melayu-Islam, utamakan perpaduan dan ketepikan fahaman politik dan titik imbangan itu, ini bukan kerjasama politik tapi untuk perpaduan orang Melayu,” katanya.

Jadi pemandu yang bertimbang rasa - Berhati-hati di Jalan Raya...



KALAU diizinkan Tuhan, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Selasa depan. Selepas sebulan berpuasa, pastinya semua orang mahu menyambut hari penuh bahagia itu bersama mereka yang tersayang di kampung halaman.

Sudah menjadi amalan pada setiap tahun, kebanyakan daripada kita akan pulang ke kampung. Sama ada memandu atau menaiki kenderaan awam, kota-kota besar terutama Kuala Lumpur akan ditinggalkan sepi untuk beberapa ketika.

Sementara bandar-bandar seperti Kota Bharu, Kuantan, Ipoh atau Seremban akan berubah wajah menjadi sangat sesak dengan kenderaan. Jumlah kenderaan bertambah berlipat kali ganda.

Sesaknya tidak ubah seperti di lebuh raya Persekutuan ketika orang ramai hendak pulang untuk berbuka puasa. Maklumlah, ramai yang hendak menayangkan kereta baharu mereka kepada orang kampung.

Baiklah, semua persiapan raya telah dibuat. Baju Melayu dan baju kurung sudah diambil dari kedai jahit. Kuih-kuih raya dan kerepek untuk hidangan tetamu di pagi Syawal pula telah siap dibeli serta diletakkan di dalam kereta.

Tetapi, adakah kenderaan anda sudah bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh dan panjang itu? Bagaimana pula dengan persediaan anda sendiri sebagai seorang pemandu? Sudah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya? Semua ini penting kerana selain masalah kenderaan, sikap pemandu merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan.

Rancang perjalanan

Sebagaimana yang biasa dibuat, kita akan sibuk pergi ke bengkel untuk membolehkan kereta diservis. Bagi mereka yang memang tidak pernah tertinggal membuat penyelenggaraan secara berkala, besar kemungkinan kenderaan berada dalam keadaan yang memuaskan. Namun, ambillah sedikit masa untuk membuat pemeriksaan ringkas.


PIHAK polis akan menjalankan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.


Bagi anda yang bakal berjalan jauh seperti ke negeri Utara atau Pantai Timur, pastikan perjalanan ke kampung dirancang. Ambil perhatian terhadap jadual waktu perjalanan yang diumumkan oleh pengendali lebuh raya seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Jadual waktu itu cukup kritikal dalam memastikan perjalanan di lebuh raya dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.

Anda mahu memulakan perjalanan selepas berbuka? Janganlah makan sehingga tidak ingat dunia. Ia hanya akan membuatkan mata berat ketika memegang stereng. Jika mengantuk, ambil masa untuk berehat di R&R. Setelah tubuh kembali segar, mulakan semula perjalanan.

Jangan berhenti di tepi jalan

Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa menempuh kesesakan teruk dalam tempoh yang lama di lebuh raya Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan pada menjelang hari raya tahun lepas.

Situasi ini memang menghairankan kerana lebuh raya Karak jarang sekali menjadi terlalu sesak. Selepas melepasi azab itu, barulah tahu bahawa tiada apa yang berlaku sebenarnya.

Tiada kemalangan atau sebagainya. Tetapi kesesakan itu berlaku kerana banyak kereta berhenti di tepi jalan. Antaranya untuk merokok dan pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku! Ini sememangnya situasi yang tidak perlu ditempuh jika kita semua tidak berhenti sesuka hati di tepi jalan.

Sebagai seorang yang gemar memandu pada waktu malam, saya sentiasa berdepan dengan pemandu-pemandu yang tidak bertimbang rasa.

Memasang lampu tinggi sepanjang perjalanan memang menyakitkan hati orang yang memandu di hadapan dan bertentangan dengan anda. Sakit hati makin bertambah jika lampu itu mengalahkan lampu sorot stadium. Silap-silap, sampai rumah boleh jadi sakit kepala.

Jadi, sila peka dengan persekitaran anda. Rendahkan lampu jika ada kenderaan di hadapan dan di laluan bertentangan. Ini juga merupakan salah satu tanda anda menghormati pengguna jalan raya yang lain.

Pandu di lorong yang betul

Kita mempunyai kecenderungan yang berbeza ketika memandu. Ada yang gemar memandu laju dan ramai juga bersikap sebaliknya. Itu tidak salah jika anda berada di lorong yang betul.


MENERIMA surat saman daripada pihak berkuasa pastinya bukan pengalaman indah ketika balik beraya.

Jangan sekali-kali memandu perlahan di lorong laju. Mungkin perkara ini kedengaran remeh, tetapi tidak sedikit yang bersikap sedemikian. Memandu perlahan di lorong laju bukan sahaja melambatkan perjalanan orang lain, malah tidak mustahil boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu di belakang tidak tahu kelajuan sebenar kenderaan anda.

Pasti ramai antara kita yang akan melalui lebuh raya bertol. Di sini, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesesakan di tol.

Pertama, gunakan kad Touch N Go atau Smart Tag untuk melancarkan perjalanan. Pembayaran tol secara manual hanya melambatkan perjalanan.

Sila pastikan juga anda tidak memotong barisan ketika hendak membayar tol. Perbuatan sebegitu memang tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.

Lorong Kecemasan

Lorong kecemasan adalah untuk hal-hal kecemasan seperti sakit tenat dan sebagainya. Jadi, hal anda untuk bermain mercun dengan anak saudara di kampung atau hendak merasa rendang yang dibuat ibu untuk hari raya esok bukan kecemasan.

Menggunakan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kesesakan apabila kenderaan mula mencelah-celah untuk memasuki ke laluan utama kerana lorong kecemasan itu sudah tiba di penghujungnya.

Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah tahu kemampuan dan kekangan kenderaan anda. Maksudnya, pandulah kereta secara selamat. Jangan pandu Myvi mengalahkan BMW 5 Series lajunya.

Walaupun pihak berkuasa akan melaksanakan operasi sepanjang cuti hari raya ini, ia tidak akan mampu mengurangkan kadar kemalangan jika kita sebagai pemandu tidak mengambil langkah berhati-hati di jalan raya.

Akhir kata, patuhi semua undang-undang lalu lintas. Jadilah pemandu berhemah dan bertimbang rasa. Selamat menyambut hari raya dengan gembira!

Timb Presiden PAS di Surau Perwaja Gurun malam ini

3 Ahli Parlimen dari kawasan Sungai Petani, Merbok dan Jerai berjumpa 3 jam dengan YDP MPSPK

Ahli majlis diminta henti boikot

SUNGAI PETANI – Seramai 17 Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) yang memboikot untuk tidak menghadiri kesemua mesyuarat sejak 29 Mei lalu diminta supaya tidak lagi berbuat demikian setelah perundingan dilakukan bersama Yang Dipertua (YDP) MPSPK, Rozaina Datuk Radzi kelmarin.

Keputusan itu diambil berkuat kuasa pada 25 Ogos setelah tiga Ahli Parlimen dari kawasan Sungai Petani, Merbok dan Jerai melakukan perbincangan khas bersama YDP petang kelmarin di sini, sebelum mempersetujui supaya masalah yang berlaku boleh diselesaikan secara baik sekiranya kedua-dua pihak bertoleransi.

Tiga Ahli Parlimen berkenaan termasuk Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), Datuk Rashid Din (Merbok) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai) membuat arahan berkenaan setelah kata putus dicapai menerusi perbincangan yang dilakukan selama dua jam.

Johari berkata, YDP bersedia berhadapan dengan permasalahan yang berlaku dan bersetuju akan memberikan perhatian terhadap apa yang diluahkan ahli majlis menerusi memorandum yang sudah diserahkan kepada beliau.

“YDP bersedia ingin memulihkan keadaan dan berharap ahli majlis juga bersedia untuk berbincang dan masuk semula mesyuarat supaya tugasan yang tergendala berjalan lancar.

“Kita juga tidak mahu ada rungutan daripada rakyat bahawa tiada tempat mahu mengadu masalah setelah 17 ahli majlis boikot untuk tidak mahu masuk mesyuarat,” katanya semasa sidang media diadakan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar tidak dapat bersama media kerana ada urusan lain di kawasannya.

Johari berkata, tindakan ahli majlis juga dijadikan alasan kepada kakitangan lain dengan menyatakan mereka tidak boleh buat kerja apabila ahli majlis tiada.

Katanya, mana-mana ahli majlis yang tidak dapat mengikut arahan berkenaan akan dikenakan tindakan.

“Kami akan memantau pergerakan mesyuarat bagi memastikan kelancaran yang baik selain mahu tugasan berjalan seperti biasa kerana tidak mahu hak rakyat yang menjelaskan cukai terabai,” katanya.

Selain itu, apabila ditanya beliau menafikan keputusan yang dibuat menyebabkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu berpihak kepada YDP tetapi lebih memikirkan kepentingan rakyat yang menanggung kesan akibat pergolakan itu.

Sinar Harian pada 30 Mei lalu menyiarkan laporan berhubung tindakan 17 ahli majlis yang memboikot dari menghadiri kesemua mesyuarat setelah tidak berpuas hati dengan pentadbiran YDP.

Sementara itu, usaha wartawan menghubungi Ketua Whip Ahli Majlis Ishak Man, enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Kita tunggu masa lain, saya sendiri akan panggil media berhubung perkara ini,” katanya.

Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan segelintir pengusaha pusat hiburan yang enggan menunaikan janji

Tarik balik lesen hiburan

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan segelintir pengusaha pusat hiburan di sekitar daerah Alor Setar yang enggan menunaikan janji tidak membenarkan umat Islam memasuki premis itu sepanjang bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menegaskan perkara itu akan diserahkan kepada Pejabat Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut dan pengusaha terbabit bakal berdepan kemungkinan lesen operasi khas sempena bulan Ramadan ditarik balik.


Pusat karaoke fokus orang Islam

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dilakukan, pihaknya mendapati ada dua kategori pusat hiburan dikenal pasti menumpukan kaum iaitu pusat hiburan karaoke memfokuskan orang Melayu Islam, manakala satu lagi pusat hiburan menjurus kepada bukan Islam.

“Berdasarkan pemantauan, kita mengenal pasti tiga pusat karaoke memfokuskan orang Islam gagal mematuhi keseluruhan syarat lesen operasi khas bulan Ramadan seperti gagal meletakkan papan tanda amaran tidak membenarkan umat Islam memasuki premis selain gagal mempamerkan sijil lesen khas itu untuk tatapan pengunjung.

“Bagaimanapun, perkara berbeza berlaku di pusat hiburan memfokuskan bukan Islam apabila papan tanda amaran diletakkan, manakala mana-mana umat Islam yang memasuki premis mereka tidak dibenarkan masuk oleh pekerja yang bertugas.

“Kita serah perkara ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pusat Hiburan (pegawai daerah) untuk menentukan bentuk hukuman termasuklah mengenakan hukuman maksimum menarik semula lesen operasi pusat hiburan yang diberikan,” katanya kepada Sinar Harian selepas menjalankan tinjauan terhadap kira-kira lapan premis pusat hiburan meliputi pusat karaoke dan disko di sekitar daerah Kota Setar, awal pagi semalam.

Turut menyertai tinjauan selama dua jam itu ialah Exco Kesihatan, Dr Ismail Salleh, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Zulkifli Yahya dan Setiausaha Pas kawasan Alor Setar, Adnan Saad.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9465737.asp




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...