TERKINI :

Friday, August 26, 2011

Dakwat kekal: Jangan peristiwa 2008 berulang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengalukan hasrat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

Bagaimanapun, timbalan ketuanya, Suhaimi Abdul Aziz berkata, hasrat itu jangan hanya sebagai menyedapkan hati rakyat sahaja seperti berlaku pada PRU ke-12 pada tahun 2008 dahulu.

"DPPWP mengingatkan SPR agar jangan peristiwa tahun 2008 dahulu berulang di mana penggunaan dakwat kekal gagal dilaksanakan meskipun ianya telah diwar-warkan akan digunakan pada PRU ke 12.

"Pelbagai helah dan alasan digunakan bagi menutup kelemahan mereka dalam melaksanakan sistem ini. Hakikatnya, dakwat kekal masih gagal dilaksanakan dan sistem pilihanraya di Malaysia menjadi perbualan rakyat Malaysia ketika ini,' katanya.

Beliau mengulas pengakuan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof bahawa sistem biometrik yang dipersetujui kerajaan untuk digunakan pada PRU akan datang lebih banyak masalah berbanding jika menggunakan dakwat kekal.

Sambil menyokong kajian penggunaan dakwat kekal yang dibuat dengan terperinci oleh SPR, biliau berkata tindakan itu walaupun dilihat tradisional dan tidak menggunakan teknologi canggih, tetapi ia mampu menyelesaikan segala persoalan pengundi bertindih atau pengundi yang mengundi berulang.

Menyifatkan ianya sesuai di semua tempat sama ada di bandar atau di ceruk kampung, kos penggunaan dakwat kekal juga jauh lebih murah dari sistem biometrik.

"Bagaimana jika ianya digunakan di kawasan pedalaman yang tidak ada akses internet, sudah pasti biometrik tidak boleh digunakan kerana tidak boleh online dengan sistem." katanya lagi.

Lebih dari itu ujarnya, sistem biometrik tidak mampu menyelesaikan masalah pengundi klon atau bertindih kerana mereka ini masih valid dalam sistem walaupun mengundi berkali-kali.

"Setidak-tidaknya, penggunaan dakwat kekal boleh selesaikan satu daripada beberapa isu terhadap sistem pilihanraya di Malaysia dan boleh meredekan seketika suhu kemarahan rakyat.

Selebihnya, SPR perlu berusaha keras memenuhi semua tuntutan BERSIH bagi memastikan pilihanraya umum ke 13 nanti benar-benar adil dan bersih dari sebarang penipuan," tegasnya.

Dimanakah Che Rosli Sewaktu Trajedi Bukit Merah?

TV3 suku menyiarkan kenyataan seorang MP PAS bernama Che Rosli yg mendakwa kilang yang bakal di bina di Kuantan itu selamat untuk semua orang.

Merujuk kepada biodata Che Rosli di Facebook, tertera:
AHLI JAWATANKUASA PERLINDUNGAN SINARAN.
LEMBAGA PERLESENAN TENAGA ATOM, MALAYSIA, 1984-1999
Ini bererti Dr. Che Rosli adalah antara yang memberi khidmat kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(LPTA) sewaktu berlakunya trajedi keracunan radioaktif di Bukit Merah sekitar 1984 hingga sekarang.

Keracunan radioaktif (antara lain)akibat stor simpanan bahan buangan kilang nadir bumi milik Mitsubishi Chemicals, Tabung Haji serta beberapa syarikat bumiputra yang lain.

Mengapa LPTA disebut? Ini adalah kerana sewaktu berlaku keracunan radioaktif ini, LPTA telah mengeluarkan lesen bagi kilang tersebut untuk beroperasi. Di dalam ombak protes dari penduduk2 tempatan, LPTA terus memberi lesen.

LPTA terus memberi lesen kerana mereka berkata kilang tersebut selamat dan tidak membahayakan kesihatan penduduk setempat.

Dan dari biodata Dr. Che Rosli, beliau berkhidmat dengan LPTA sepanjang skandal/trajedi Bukit Merah yang meragut nyawa itu.

Maka, Tulang Besi tidak boleh menerima jaminan Dr Che Rosli bahawa kilang Lynas itu bakal selamat.

Ini kerana LPTA juga telah memberi jaminan kepada penduduk Bukit Merah bahawa kilang nadir bumi Mitsubishi itu selamat. Malangnya, jaminan LPTA satu masa dahulu adalah pembohongan semata-mata dan 9 penduduk tempatan telah menghadapi penyakit leukemia, anak2 lahir cacat dsbnya.

Dan oleh kerana Dr Che Rosli berkhidmat dengan LPTA sewaktu trajedi Bukit Merah berlaku, maka Tulang Besi beranggapan apa-apa jaminan yang datang dari alumni LPTA tidak boleh dipercayai angkara trajedi Bukit Merah.

Tulang Besi juga rasa, kalau benarlah dakwaan Che Rosli ni, Tulang Besi cadang kilang RARE EARTH ini dibina di sebelah rumah Che Rosli. Tulang Besi nak tengok berani atau tidak?

Tidak hairanlah walaupun diberi jaminan berulang-ulang kali oleh LTAP dan beberapa pakar, penduduk Kuantan dan Gebeng tetap menolak kilang Lynas. Mereka belajar dari pengalaman rakyat Bukit Merah.

SABOTAJ TERAKHIR GENG PERPADUANG?

Kalau kita ingat kembali, sejurus selepas kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, Dr Che Rosli adalah satu-satunya kepimpinan Selangor yang menyatakan sokongan Hasan Ali dikekalkan sebagai Pesuruhjaya Selangor.

Hasan Ali telah pun memulakan langkah mensabotaj PAS dalam isu serbuan JAIS. Maka, Tulang Besi pula merasakan kini giliran Dr. Che Rosli pula.

Tulang Besi melihat kesemua tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk sabotaj kepada PAS oleh geng perpaduang yang sudah pun melangkah sebelah kaki keluar dari pintu.

Mungkin juga Tulang Besi salah tapi nampak gayanya begitu. Semuanya seperti mengikut jejak langkah Zul Nordin Al Kazzab.

Tulang Besi

PBT Alor Setar cadang tutup operasi pasar malam 30 minit ketika Maghrib

August 26, 2011

ALOR SETAR, 26 Ogos ─ Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bercadang melaksanakan pemberhentian sementara operasi pasar-pasar malam selama 30 minit ketika solat Maghrib.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berkata cadangan itu melibatkan penutupan selama 15 minit sebelum Maghrib dan 15 minit selepas Maghrib bagi membolehkan peniaga dan pembeli menunaikan solat Maghrib dan menghormati waktu solat.

Beliau berkata untuk permulaan pihaknya akan berjumpa dan berbincang dengan peniaga-peniaga di Pasar Malam Pantai Johor di sini berkaitan dengan cadangan penutupan sementara waktu perniagaan di pasar malam itu.

“Kita akan mulakan di pasar malam itu dahulu memandangkan pasar malam itu berhadapan dengan masjid,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata jika berjaya dilaksanakan, pihaknya akan melaksanakan kaedah itu di pasar malam lain yang berhampiran surau atau masjid.

“Di tempat-tempat lain, kita perlu tengok kelengkapan dan kemudahan yang ada. Mungkin kita akan memasang khemah atau meletakkan tikar secara sementara di samping menyediakan tempah wuduk kepada mereka. Ini cadangan kita,” katanya.

Sementara itu, Mat Noh berkata sebanyak 30 kes melibatkan gerai dan kedai makan Melayu dikenakan tindakan kerana memulakan operasi perniagaan sebelum pukul 3 petang di sepanjang Ramadan ini.

“Mereka bukan sahaja berniaga di kedai dan juga gerai-gerai tepi jalan malah terdapat peniaga yang cuba mengaburi mata kita dengan berniaga di dalam kereta. Kita telah merampas semua barang mereka (peniaga) yang ingkar dan mereka perlu membayar kompaun sebanyak RM300. Selepas membayar kompaun, barulah kita memberi semula barang-barang mereka,” katanya.

Daripada 30 kes, terdapat empat kes berulang dan bagi kesalahan berulang, peniaga yang melanggar arahan perlu membayar kompaun tetapi barang yang dirampas tidak akan diberi semula.

“Ini adalah sebagai pengajaran kepada orang Islam supaya menghormati bulan puasa. Antara tangkapan adalah di kawasan Alor Setar, Kuala Kedah, Pokok Sena, Simpang Empat dan Anak Bukit,” katanya.

Ketua Umno Padang Serai lepas jawatan

Ketua Umno bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud telah melepaskan jawatannya itu baru-baru ini selepas dinasihatkan berbuat demikian.

Pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Abdul Rahman telah melepaskan jawatan itu berikutan nasihat pucuk pimpinan parti atas sebab-sebab kepentingan parti tetapi masih kekal sebagai penyelaras DUN Merbau Pulas.

Ahmad Bashah bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai sebab-sebab yang membawa kepada peletakan jawatan itu.

“Inilah satu keindahan pada pentadbiran Umno, tiada penyisihan sepenuhnya terhadap bekas ketua bahagian itu kerana pucuk pimpinan masih menghargai khidmat dan dedikasi beliau terhadap rakyat dan parti selama ini," katanya.

Beliau memberitahu Bernama demikian selepas majlis Iftar Ramadan dan penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Padang Serai di Masjid Sungai Karangan di Padang Serai malam tadi.

Hampir 500 orang yang terdiri daripada warga emas, orang susah dan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan ibu tunggal dalam Parlimen Padang Serai mendapat bantuan barang-barang keperluan dapur, pakaian dan “duit raya' sempena Aidilfitri.

- Bernama

UUM Arah Pegawai Cari Pelajar Sertai Bersih 2.0


Sintok : Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP UUM) telah mengarahkan beberapa orang pegawainya untuk membuat siasatan ke atas pelajar-pelajar yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu. Arahan ini dikeluarkan sebagai persediaan kemasukkan pelajar pada bulan sepetember selepas bercuti panjang sejak bulan April yang lalu.

Operasi mengesan pelajar-pelajar ini diketuai oleh Ustaz yang menjadi Pegawai Hal Ehwal Islam UUM yang sememangnya dikenali dalam kalangan pelajar sebagai mata-mata universiti.

Pelajar-pelajar yang disenaraikan nama sebagai suspek yang menyertai Bersih, mereka akan disoal siasat dan dikemukakan kepada jawatankuasa tatatertib universiti. Mereka yang didapat bersalah boleh dikenakan hukuman yang berat kerana dianggap melanggar AUKU dan menentang kerajaan Malaysia yang memerintah.

PAS alukan kenyataan SPR guna dakwat kekal

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: PAS menyambut baik jika Pengerusi SPR membayangkan mahu menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang bagi mengelak pengundian berganda.

Bagaimanapun kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, jika benar ia diguna menggantikan biometrik, ianya hanya satu daripada lapan tuntutan reformasi pilihan raya yang dituntut PAS dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) selama ini.

Selain penggunaan dakwat kekal, tujuh lagi tuntutan lain adalah pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam serta menghentikan rasuah dan politik kotor.

"PAS menerima jika SPR bercadang mahu melaksanakan dakwat kekal sebagaimana dinyatakan SPR.

"Bagaimanapun itu hanya satu daripada tuntukan kita dan juga Bersih yang berjumlah lapan kesemuanya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Tambahnya lagi, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

Ianya termasuklah tidak mampu mengesan undi dua kali bagi mereka yang mempunyai dua kad pengenalan dan menyulitkan proses semasa pembuangan undi.

Selain itu, SPR juga turut mengakui bahawa sistem biometrik sangat mahal dan memerlukan masa yang lebih lama untuk dipersiapkan berbanding dakwat kekal yang lebih murah dan cepat.

Sehubungan itu, beliau yang kini berada di tanah suci Mekah berkata, SPR perlu melihat kesemua tuntutan itu bagi menjamin pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil.

Kesemua tuntutan yang dikemukakan katanya, bersifat mendesak dan perlukan pembaharuan segera khususnya dalam aspek pendaftaran pemilih yang kini berdepan pelbagai keraguan yang didedahkan.

Mungkin ada sperma Saiful di dubur sendiri, kata pakar

August 26, 2011

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Seorang pakar Australia tidak menolak kemungkinan sperma Mohd Saiful Bukhari Azlan sendiri ditemui pada dubur si pengadu itu.

Dr Brian McDonald, saksi keempat pihak pembela dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana ahli kimia kerajaan Dr Seah Lay Hong tidak mengasingkan sel-sel sperma dengan betul daripada sel-sel bukan sperma pada spesimen rektal si pengadu.

“Beliau mengandaikan adanya sel-sel ‘epithelial’ pada pecahan (sperma). Beliau tidak melakukan ujiannya dengan rapi,” kata Dr McDonald di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Dr Seah memberitahu bahawa profil DNA Saiful diperoleh daripada ekstrak-ekstrak bukan sperma yang ditemui pada bahagian rektal yang tinggi.

Bagaimanapun dalam keterangannya hari ini, Dr McDonald menolak andaian sedemikian sambil berkata: “Beliau tiada bukti untuk menyokong yang itu.”

PKR: Kenyataan mufti bukti Anwar tak pecah Melayu

Kenyataan mufti Perak bahawa Melayu-Islam berpecah kerana kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah dengan sendirinya menolak dakwaan ia berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat, kata PKR.

NONEKetua penerangannya Dr Muhammad Nur Manuty sebaliknya mendakwa, perpecahan Melayu-Islam pada masa kini berpunca daripada "politik kotor" pemimpin Umno.

Ia didakwa bermula daripada zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad lagi.

"Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim," kata Dr Muhammad Nur (kanan).

"Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.

Murtad juga berlaku akibat daripada menolak hukum dan undang-undang Allah Taala

http://2.bp.blogspot.com/_iakgGJFxFMM/TUPGJDVsuHI/AAAAAAAAAEY/V4G5y8upgh4/s1600/tazkirah.jpg
KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Masyarakat Islam perlu dijelaskan mengenai murtad yang tidak hanya melibatkan pertukaran daripada agama Islam kepada agama lain semata-mata.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan bahawa murtad juga berlaku akibat daripada menolak hukum dan undang-undang Allah Taala.

Jelasnya lagi, perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya juga boleh menyebabkan seseorang Islam murtad.

Justeru, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, masyarakat Islam tidak seharusnya melihat jenayah murtad itu dalam skop yang sempit seperti menganut Kristian sahaja.

“Murtad ini bukan orang Islam masuk Kristian sahaja tetapi mereka yang menolak hukum Allah, menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal dan lain-lain,” jelasnya semasa menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah di sini, pagi ini.

Beliau menambah, undang-undang sahaja tidak mampu untuk mencegah gejala murtad tetapi memerlukan ilmu kerana ia berkait dengan iman seseorang.

"Undang-undang tak boleh kawal kerana murtad boleh disembunyikan," ujarnya.

Justeru, katanya proses untuk mendapatkan ilmu ke arah itu hendaklah disuburkan di kalangan masyarakat Islam.

Beliau juga menggesa ulama supaya memainkan peranan bagi memberi kefahaman kepada umat Islam mengenai perkara itu.
Ini, ujarnya agar mereka memahami murtad itu dalam skop yang sebenar.

“Kita perlu memahami gejala murtad ini dalam skop yang sebenar, jangan dalam skop yang sempit,” ujarnya.

Begitu juga, katanya ulama juga seharusnya berperanan dalam perkara-perkara yang melibatkan perbuatan yang diharamkan oleh Allah Taala.

“Mufti jangan hanya menyatakan berjudi itu haram tetapi meluluskan lesen judi adalah haram,” ujarnya.

Liwat Fasa 2: Anwar Ibrahim sedang "Perangkap" Najib

Tindakan Anwar Ibrahim mempertahankan diri dari dalam kawasan
tertuduh
sebenarnya memerangkap Najib supaya teruskan
"permainan" yang diatur oleh juak-juaknya sendiri

Ramai juga yang minta komen saya tentang pendirian Anwar memilih untuk membela dirinya melalui keterangan tidak bersumpah.

Saya rasa elok juga saya berkongsi pendapat mengenai pendirian Anwar tersebut.


Saya akui awalnya saya juga agak terkejut dengan pendirian Anwar tersebut.


Namun setelah mengikuti keterangannya tersebut saya harus akui bahawa tindakan Anwar amat amat bijak.


Saya percaya pendirian itu dibuat dengan perkiraan yang mendalam dengan mengambil kira sejak awal lagi perbicaraan Anwar dilihat melanggar norma-norma atau piawaian perbicaraan yang adil.


Memberi keterangan dengan tidak bersumpah sudah tentu merupakan pilihan yang terbaik untuk Anwar dalam kondisi sebegitu.


Musuh Anwar memulakan serangan di atas pendirian Anwar tersebut.


Dengan nada sinis mereka memperli kononnya Anwar takut untuk disoal balas oleh pendakwaraya.


Musuh beliau menyatakan Saiful lebih berani dari Anwar kerana beliau memberikan keterangan dengan bersumpah dan rela disoal balas oleh Karpal Singh.


Ya, ia satu hujah yang menarik tapi malangnya hujah tersebut bertolak dari qiyas atau analogi yang tidak betul atau dalam bahasa arabnya dipanggil qiyas ma'al fariq.


Mengapa?


Isu Saiful berani memberi keterangan bersumpah tidak timbul kerana sebagai saksi pendakwa , undang-undang mewajibkan beliau memberi keterangan bersumpah.


Makna mudahnya Saiful tidak ada pilihan kecuali wajib memberi keterangan bersumpah.


Terpaksa memberi keterangan secara bersumpah bukan indikator keberanian seseorang.


Kedudukan Anwar sebagai pihak yang dituduh berbeza dengan kedudukan Saiful.


Tidak seperti Saiful undang-undang memberi Anwar tiga pilihan yang sah untuk membela diri iaitu sama ada memberi keterangan dengan sumpah ( yang boleh disoal balas ) atau memberi keterangan dengan tidak bersumpah ( yang tidak boleh disoal balas ) atau hanya berdiam diri.


Hatta jika Anwar memilih untuk berdiam diri hakim tidak boleh secara automatik membuat kesimpulan bahawa Anwar bersalah kerana seorang hakim masih perlu meneliti semula keterangan pendakwa sebelum membuat keputusan.


Musuh Anwar juga berhujah bukankah keterangan bersumpah lebih kuat nilainya dan jika Anwar benar-benar tidak bersalah kenapa beliau takut untuk memberi keterangan bersumpah dan boleh disoal balas oleh pendakwa.

Sekali lagi ia hujah yang menarik tetapi malangnya hujah tersebut gagal melihat keseluruhan proses perbicaraan Anwar.

Melihat pendirian Anwar yang memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah secara terpisah dengan keseluruhan proses perbicaraan Anwar bukan sahaja tidak wajar malahan secara jelas ia satu hujah yang dangkal.


Hakikatnya bagi saya kerana kepercayaan bahawa dirinya tidak bersalah mendorong Anwar mengambil pendirian tersebut.


Mana-mana tertuduh yang tidak bersalah dengan mudah dijatuhkan hukuman bersalah dalam perbicaraan yang tidak adil.


Jika perbicaaraan Anwar memang dari awal mengikut piawaian perbicaraan yang adil hujah musuh Anwar itu mungkin ada keabsahannya.


Namun dengan pelbagai perkara pelik dan tidak masuk akal berlaku dalam kes Anwar pendirian Anwar bukan sahaja wajar malahan amat tepat.


Mari kita ambil satu contoh kepelikan dari siri-siri kepelikan yang berlaku dalam kes Anwar iaitu isu tawaran saksi saksi pendakwa kepada pasukan peguambela Anwar.


Bukankah pendakwa raya telah menawarkan kepada pihak peguambela Anwar beberapa orang saksi mereka seperti Najib, Rosmah, Musa Hassan dan beberapa orang lain.


Berdasarkan prinsip undang-undang jenayah dan piawaian perbicaraan yang adil saksi-saksi pendakwa ini sewajarnya bersedia dipanggil oleh pihak pembela dan mereka juga wajar menjawab soalan-soalan peguambela apabila dipanggil untuk temubual.


Peliknya dalam kes Anwar ini saksi saksi yang ditawar oleh pendakwa ini boleh memilih untuk tidak ingin menjadi saksi pihak pembela dan tidak mahu menjawab soalan-soalan peguambela Anwar semasa sessi temubual.


Tindakan pelik saksi saksi ini malangnya timbul dari keputusan pelik hakim yang menyatakan bahawa saksi saksi seperti Najib dan Rosmah ini boleh memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan peguambela Anwar.

.
Keputusan Hakim tersebut menyebabkan tawaran saksi-saksi pendakwa seperti Najib dan Rosmah kepada pasukan peguambela Anwar tidak ada apa apa nilai dan hanya sia-sia dan membuang masa.

Apa gunanya pendakwaraya menawar saksi-saksi mereka yang enggan bersuara dan apa gunanya pula untuk peguambela Anwar memanggil saksi-saksi yang enggan bersuara ( baca kecut untuk bersuara ).


Hakikatnya bukan Anwar yang tidak berani memberi keterangan bersumpah sebaliknya Najib, Rosmah , Musa Hassan dan Rodwan yang takut untuk memberi keterangan sama ada secara tidak bersumpah di luar mahkamah iaitu dalam sessi temubual atau secara bersumpah di dalam kandang saksi di mahkamah.


Malangnnya musuh Anwar tidak nampak ironi ini.

Mereka tidak habis habis 'menyalak' supaya perbicaraan disegerakan sedangkan tindakan Najib, Rosmah, Musa Hasan dan Rodwan ini antara penyumbang besar kepada kelengahan perbicaraan
.
Seperkara lagi Anwar sudah punya pengalaman memberi keterangan bersumpah sebanyak dua kali sebelum ini dan beliau amat arif permainan kotor musuhnya.

Memberi keterangan bersumpah akan dikawal oleh mantra 'tidak relevan' yang akan kita dengar berulang-ulang kali seperti dua perbicaraan beliau yang terdahulu.


Bayangkan jika keluar dari mulut Anwar misalnya 'ada konspirasi nak aibkan saya...tidak relevan..' macam mana TV3 boleh ada siri khas tentang Saiful' ..tidak relevan.. begitulah yang saya percaya ada di dalam pemikiran Anwar.


Memberi keterangan secara tidak bersumpah tidak boleh dikawal oleh mantra 'tidak relevan'.


Anwar bebas menentukan rentak dan iramanya tanpa diganggu gendang 'tidak relevan'.


Hakikatnya apa yag Anwar katakan tersebut itulah yang paling ditakuti oleh musuh-musuhnya .


Malang sungguh musuh Anwar kerana penantian mereka bahawa Anwar akan terperangkap dalam jerat mereka tidak berlaku.


Yang berlaku adalah Anwar yang kini menjerat mereka dan sehingga artikel ini ditulis seluruh manusia di seantero alam kini mula menghakimi sistem kehakiman negara ini dan para aktor -aktor yang terlibat dalam perbicaraan Anwar.


Syabas Anwar !


- Hanipa Maidin

‘Nasihat saya jangan pecat Anwar ditolak’

SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri supaya tidak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini katanya, kerana tindakan memecat Anwar hanya akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu diketahui mempunyai ramai penyokong.

“Semasa saya pergi ke pejabat Perdana Menteri, saya jumpa Tun Ahmad Sarji (ketika itu Ketua Setiausaha Negara). Tun Ahmad Sarji kata dia akan beritahu PM (Mahathir). Dan selepas itu, dia kata PM tak mahu jumpa saya,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada September 1998.

Selain itu, kata Harussani, beliau juga melihat tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar tidak bersesuaian.

“Saya mahu ingatkan bahawa tuduhan liwat, jika tak bawa empat saksi, susah. Sebab itu saya mahu cadangkan kepada Dr Mahathir supaya buat rombakan Kabinet saja, turunkan Anwar daripada Timbalan Perdana Menteri kepada menteri biasa. Itu yang lebih baik.

“Sekarang, tengoklah, apa jadi pada bangsa Melayu?” katanya.

Menurutnya, dalam banyak perkara lain, Mahathir banyak memberi pertimbangan dan menerima pandangannya melainkan dalam isu membabitkan Anwar.

“Saya sanggup jumpa Perdana Menteri untuk suarakan pandangan. Sebelum itu, kepada Tun (Abdul) Razak (Hussein), tiga kali saya jumpa. Kali pertama berkaitan Thaipusam yang hanya setahun sekali tetapi di Pulau Pinang, disambut tiap-tiap bulan. Bukan itu saja, orang Hindu di Pulau Pinang berarak sampai dalam kampung Melayu walaupun dalam kampung itu hanya ada seorang saja beragama Hindu.:

“Saya jumpa Perdana Menteri, mengadu dan kemudian Tun Razak panggil Menteri Kehakiman waktu itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang terus hubungi Ketua Polis Pulau Pinang arah ambil tindakan,” katanya.

Harussani yang pada masa itu, berjawatan Kadi Besar Pulau Pinang berkata, dalam kes lain, beliau juga pernah mengadu kepada Abdul Razak, mengenai 14 tokong Buddha yang dinamakan sempena nama orang Melayu.

“Saya tunjuk gambar tokong-tokong itu kepada Tun Razak. Yang ketiga kes kongsi raya, saya beritahu dia haram kita sebut kongsi raya kita dengan perayaan agama lain. Esoknya dia buat kenyataan larang guna (istilah) kongsi raya,” katanya.

Mengenai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, Harussani berkata, beliau pernah mengingatkan Perdana Menteri mengenai perpecahan orang Melayu hari ini yang menurutnya berpunca daripada pentadbiran kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Warung Hantu : Jual nasi jam 2 petang


PENDANG – Walaupun ada arahan supaya peniaga Islam hanya memulakan perniagaan menjual makanan selepas jam 3 petang, namun ada sesetengah peniaga termasuk di bazar Ramadan yang beroperasi terlebih awal.

Situasi berkenaan menimbulkan syak orang ramai yang kerap menghubungi Sinar Harian memaklumkan perkara berkenaan.

Seorang penduduk berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Hussin berkata, sebuah gerai di bazar Ramadan di Tanah Merah beroperasi lebih awal daripada masa yang ditetapkan Majlis Daerah Pendang (MDP).

“Ramai pelanggan terutamanya golongan lelaki datang membeli nasi di gerai itu menyebabkan penduduk curiga mengenai perkara itu.

“Gerai itu sepatutnya tidak beroperasi lebih awal daripada masa yang ditetapkan MDP iaitu pada jam 3 petang sepanjang Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Sinar Harian menghubungi Bahagian Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar MDP dan difahamkan bahawa pihak berkenaan belum menerima sebarang aduan mengenai perkara itu menyebabkan mereka sukar mengambil tindakan.

Dimaklumkan pihak berkenaan bahawa MDP memberi kebenaran untuk berniaga di bazar itu pada jam 3 petang namun jika ada peniaga yang berniaga lebih awal, MDP akan memberi amaran terlebih dahulu.

Bahagian itu memaklumkan akan memberi nasihat dan amaran jika mendapati peniaga terbabit tidak mengikut prosedur masa perniagaan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Selain itu, pihak berkenaan memaklumkan bahawa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedai-kedai yang beroperasi sebelum masa yang ditetapkan boleh menghubungi MDP di bahagian terbabit bagi memudahkan MDP menjalankan siasatan dan tindakan segera.

Imam perlu hadiri mesyuarat

PADANG TEMUSU – Imam masjid perlu diberi kesempatan untuk menyertai mesyuarat peringkat komuniti dan kampung supaya masalah yang berlaku dalam kawasan kariah dapat dikenal pasti dan berada dalam pengetahuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Siti Aishah Ghazali berkata, sebagai seorang pemimpin masjid, imam perlu diberi pendedahan berhubung masalah yang dihadapi oleh kariah agar boleh membantu menerusi pendekatan berbeza.

Beliau yang juga merupakan Adun Merbau Pulas berkata, masalah sosial melibatkan penyalahgunaan dadah, kes rogol dan buang anak perlu dimaklumkan kepada pemimpin masjid dalam usaha membendung perkara berkenaan dari terus berleluasa.

“Kita mahukan imam di peringkat kampung dan kawasan perumahan ini diberi kesempatan menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan supaya keadaan yang berlaku di sekitar kariah berada dalam pengetahuan imam,” katanya.

Menurutnya, tugas imam bukan sahaja mendidik agama, namun perlu meluas dalam konteks melahirkan masyarakat bersih dan bebas gejala sosial yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan bukannya tanggungjawab pihak tertentu sahaja.

“Kita nak imam dipanggil dalam mesyuarat kampung, mesyuarat Agensi Antidadah Kebangsaan contohnya, supaya imam mengetahui berapa jumlah anak qariah yang terlibat dengan dadah, berapa kes rogol yang ada di kawasannya dan berapa bilangan anak tidak sah taraf di situ supaya dia juga memainkan peranan mendidik masyarakat.

“Perkara-perkara yang menggusarkan ini sebenarnya tidak boleh dipandang sebelah mata dan perlukan komitmen semua pihak serta imam sendiri,” katanya.

Siti Aishah berkata, sekiranya maklumat berada dalam pengetahuan imam, maka memudahkan urusan membimbing masyarakat, mencegah dan melarang mereka dari terus melakukan perbuatan berkenaan.

Katanya, setakat ini difahamkan, kes rogol di kawasannya meningkat setiap bulan sebanyak lima peratus manakala 95 peratus difahamkan terdiri daripada golongan Melayu dan Islam.

“Mendidik dan memelihara masyarakat dari terlibat dengan gejala berkenaan harus menjadi tanggungjawab semua khalifah.

“Kita mahukan perkara ini mendapat perhatian sewajarnya tanpa dibiarkan terus berlarutan sebegitu sahaja,” katanya.

Jabatan Zakat berjaya kutip RM62 juta

images/stories/OGOS2011/gambar 1.jpgALOR SETAR - Sehingga kini, Jabatan Zakat Negeri Kedah telah berjaya mengutip sejumlah lebih kurang RM62 juta untuk kesemua jenis zakat dan ia meningkat sebanyak 30 peratus daripada tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli Basir, pihaknya mensasarkan kutipan zakat melebihi RM83 juta untuk tahun ini.

“Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya menyeru kepada semua umat Islam khususnya di negeri Kedah ini untuk menunaikan zakat fitrah kepada amil-amil yang telah dilantik oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Haemodialisis Zakat, Pusat Kemahiran Jahitan Jabatan Zakat Negeri Kedah dan Agihan Zakat Kepada Asnaf Miskin di Pekarangan Jabatan Zakat Negeri Kedah, di sini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Dato’ Wira Haji Rasli memberitahu, pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah juga ada menyediakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS (Celcom dan Maxis) bagi memudahkan lagi urusan pembayaran.

“Pusat Haemodialisis Zakat telah berjaya ditubuhkan pada Julai 2011 yang menelan belanja hampir RM1.5 juta dan pusat haemodialisis ini telah beroperasi dengan sempurna yang boleh memuatkan 18 mesin dialysis dengan kapasiti rawatan yang melibatkan sejumlah 70 pesakit non-hepatitis pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau menjelaskan, haemodialisis merupakan salah satu cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit buah pinggang.

“Dianggarkan jumlah pesakit ini semakin bertambah setiap tahun dan pada tahun 2010 sahaja, jumlah kes yang menjalani rawatan haemodialisis di seluruh negara sudah mencecah lebih 20,000 kes,” ujarnya.

Tambahnya, antara objektif utama Pusat Haemodialisis Zakat ialah memberikan rawatan secara percuma kepada golongan asnaf miskin khususnya dalam Negeri Kedah. Selain itu, ianya membantu untuk memperbaiki kesihatan asnaf untuk menempuh hidup yang lebih bermakna.

“Manakala Pusat Kemahiran Jahitan telah ditubuhkan pada 15 Oktober 2010 dengan kos permulaan hampir RM300,000 dan ianya bermula sebagai Bengkel Jahitan yang memberikan kursus selama tiga bulan kepada asnaf terpilih berkaitan jahitan,” jelasnya.

Kemudian, katanya, operasi jahitan dimulakan pada 17 Januari 2011 dan nama Bengkel Jahitan ditukarkan kepada Pusat Kemahiran Jahitan, Jabatan Zakat Negeri Kedah.

“Seramai 11 orang peserta telah dipilih daripada kalangan ibu tunggal miskin dan anak-anak asnaf miskin. Pusat Kemahiran Jahitan ini dibimbing oleh seorang guru jahitan yang dilantik khas oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah,” ujarnya.

Selain itu, katanya, agihan zakat kepada asnaf miskin pada tahun ini ialah seramai hampir 25,000 orang dan setiap seorang akan menerima sebanyak RM600 yang mana kos keseluruhan lebih kurang RM14 juta.

“Pengagihan ini adalah merangkumi seluruh negeri Kedah dan agihan bantuan pada hari ini adalah sebahagian daripada jumlah tersebut. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban golongan fakir miskin untuk sama bergembira menyambut ketibaan Syawal yang bakal menjelma,” jelasnya.

Berangkat sama dalam majlis itu ialah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid dan Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob.

MADA bagi 'duit raya' kepada petani mangsa banjir Mac lalu...

363 pesawah MADA dapat 'duit raya'


Mohd. Johari Baharum (dua dari kanan) menyampaikan cek bantuan banjir kepada wakil PPK Bahagia MADA C-1 Kangar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang, Jerlun, semalam.


JERLUN 25 Ogos - Seramai 363 pesawah di kawasan utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditimpa musibah banjir Mac lalu, bakal menyambut 1 Syawal dengan ceria apabila mendapat bantuan wang ihsan berjumlah RM726,000 hari ini.

Kerajaan Persekutuan yang prihatin dengan nasib mereka meluluskan bantuan tersebut pada kadar RM1,800 sehektar memandangkan tanaman padi yang musnah akibat kejadian itu adalah di peringkat masak dan sedia dituai.

Ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan dari 28 hingga 30 Mac lalu mengakibatkan tanaman padi bagi musim 2/2010 seluas 403.38 hektar ditengelami air dan rosak.

Bantuan wang ihsan tersebut masing-masing melibatkan seramai 99 petani di Wilayah I MADA di Perlis dan 264 orang di Wilayah II di Jitra.

Ia merupakan bantuan kali kedua yang diterima para pesawah terbabit selepas mendapat bantuan ihsan penanaman semula padi sebanyak RM876 sehektar apabila tanaman mereka yang baru tumbuh musnah akibat banjir besar yang melanda negeri ini, November tahun lalu.

Seorang petani, Mohammad Amri Salleh, 39, berkata, sebelum ini dia agak risau memikirkan perbelanjaan menyambut Aidilfitri kerana gagal mengutip hasil tanaman padi bagi musim lalu setelah lebih satu hektar sawah yang diusahakannya di Kampung Gobir, Perlis musnah akibat banjir.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan perancangan perbelanjaan bulanan terjejas dan terpaksa menggunakan sumber kewangan lain bagi menampung perbelanjaan harian.

''Keadaan bertambah rumit kerana hasil padi bagi musim ini pula belum dituai.

''Mujurlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani prihatin dengan nasib kami yang memerlukan wang apatah lagi menjelang Aidilfitri minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menerima wang ihsan sebanyak RM2,278.80 daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang di sini hari ini.

Seorang lagi petani, Hashim Choh, 69, berkata, dia bersyukur dengan bantuan wang ihsan tersebut yang bukan sahaja dapat membantu menyediakan kelengkapan Aidilfitri tetapi membolehkannya membaiki jentera yang rosak.

"Bantuan ini sudah pasti dapat meringankan beban saya untuk menyambut Hari Raya dan membuat persiapan bagi musim penanaman berikutnya," katanya yang menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM13,053.

Seorang penerima dari Tambun Tulang, Perlis, Lias Salim, 44, pula mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan meluluskan bantuan wang ihsan kepada para peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akibat bencana alam berkenaan.

Kerajaan Negeri tidak lupa tunai tanggungjawab sosial


ALOR SETAR,– Seramai kira-kira 940 orang ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf telah diraikan dalam majlis berbuka puasa di Dewan Seri Mentaloon di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi, dalam ucapannya mewakili Menteri Besar berkata, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan peruntukan untuk golongan kurang berada dan kurang bernasib baik.

“Selain dari bantuan Kafalah yang disasarkan kepada golongan kurang berada, sumbangan-sumbangan seperti untuk menyambut hari raya, persekolahan, bina atau baiki rumah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah demi mempastikan semua rakyat mendapat hak di atas kemakmuran negeri,” katanya lagi.

Tambah beliau, golongan kurang berada sebenarnya bukan bebanan kepada negeri atau negara, malah mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya dengan adanya golongan yang kurang berada ini, memberi ruang kepada yang berada untuk membuat kebajikan.

“Allah menjadikan manusia ini dalam pelbagai golongan. Ada yang miskin, sederhana dan kaya. Ini merupakan struktur masyarakat yang telah diatur oleh Allah kerana setiap yang dijadikan ada sebab musababnya.

“Oleh sebab itu memang mustahil kita boleh hapuskan kemiskinan secara keseluruhannya,walau bagaimana pun, kerajaan sentiasa berusaha menurunkan kadar kemiskinan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian dalam bidang-bidang tertentu,” tegasnya lagi.

Phahrolrazi mengingatkan hadirin, kemulian seseorang bukan terletak kepada kekayaan harta benda yang dimilikinya tetapi mulia di sisi Allah di atas ketaqwaannya . Walau bagaimana pun, Allah mengingatkan kita, kemiskinan juga kadang kala boleh mendekatkan diri seseorang itu dengan kekufuran.

“Kadang kala kerana desakan hidup, ditambah dengan ilmu agama yang cetek, tidak mustahil pendekatan negatif akan diambil, seperti mencuri, menipu atau melakukan jenayah yang lain.

“Tetapi perlu juga diingat, golongan kurang berada ini sebenarnya mempunyai banyak peluang beribadah kepada Allah kalau hendak dibandingkan dengan orang yang berada,” celah beliau lagi.

Tambahnya lagi, setiap yang Allah anugerahkan kepada kita mempunyai cabaran tersendiri.Kalau yang kurang berada cabarannya kemiskinan, manakala yang berada cabarannya tanggungjawab, amanah dan keadilan.

Dikesempatan itu, beliau juga mengingatkan hadirin agar jangan lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah dan mengucapkan selamat hari raya serta berharap dipanjangkan usia agar dapat menyelesaikan ibadah puasa untuk tahun ini.

Majlis sumbangan dan berbuka puasa bersama ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf itu merupakan acara tahunan dan diselenggara sepenuhnya oleh pejabat Menteri Besar sendiri. Selain memberi sedikit sumbangan, mereka juga berpeluang berbuka puasa bersama-sama pimpinan kerajaan negeri.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Speaker DUN, ADUN-ADUN dan kakitangan pejabat Menteri Besar.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...