
source: http://milosuam.blogspot.com/2011/08/wikileaks-dedah-600000-warga-asing.html#ixzz1VMby3OAV
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekadar untuk mengaburi mata rakyat.
Ini kerana penubuhan jawatankuasa tersebut untuk menambah baik proses pilihan raya, tidak dirunding bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan bersifat berat sebelah, lapor Keadilan Daily.
“Kalau dikatakan ada jawatankuasa khas yang ditubuh, itu hanyalah untuk mengaburi mata kita sebab ini tidak dibincangkan dengan pihak pembangkang di parlimen. Sistem ini juga berat sebelah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 300 pesakit semalam.
Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga membuktikan kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui wujud kepincangan pilihan raya.
“Sebab itu perlunya reformasi dalam pembersihan undi, macam-macam yang telah dilakukan termasuk protes dan perbincangan oleh Badan Bukan Kerajaan, (NGO). Protes ini (Bersih) bukan kali pertama dibuat, tapi masih lagi tidak ada perubahan.
“Apa yang kita tengok makin teruk dan kita perlu dedahkan lebih supaya kerajaan ambil langkah-langkah yang kukuh dan mantap. Kenalah mengambil kira pandangan pembangkang, sekurang-kurangnya Perdana Menteri mengakui memang ada kepincangan dalam sistem pilihanraya,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Azizah menyifatkan kongkongan kebebasan media yang dilakukan Umno-BN, sebagai perkara yang memalukan negara.
Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan mengenai usaha mengurangkan penapisan media namun ia berlaku sebaliknya apabila jurugambar Suara Keadilan, Yuisriah Yusof dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).
“Malaysia jatuh pada tangga bawah kerana kongkongan dalam kebebasan media ini amatlah memalukan negara.
“Kita di Selangor mengadakan kebebasan media (Akta Kebebasan Maklumat). Itu yang kita nak supaya kita dapat sesuatu yang akan sampaikan kepada rakyat. Jadi rakyat boleh mengetahui pemimpin mereka dan boleh membuat pilihan,” kata beliau.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4978-jk-praya-hanya-untuk-kaburi-mata-rakyat
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat kecewa dengan jawapan balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pendedahan mereka bahawa wujudnya penyelewengan dalam daftar pemilih.
Exconya, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, jawapan balas Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria bahawa ramai individu yang mempunyai ejaan nama yang sama adalah perkara biasa ibarat "lain biduk lain digalang".
Menurutnya yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu, apa yang dipertikai oleh pemuda PAS bukanlah soal ramai yang mempunyai ejaan nama sama, namun yang dipertikai adalah corak perbezaan nombor kad pengenalan mereka yang meragukan.
"Kita tak pertikai soal nama sama, kita tahu nama bukan unik. Kalau ikutkan nama (seperti Timbalan Pengerusi SPR) Wan Ahmad Wan Omar pun ada dua, tapi kita tidak pertikai pun.
"Yang kita pertikai, corak perbezaan no IC mereka yang mempunyai nama sama itu," kata Suhaizan ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Kamaruddin semalam yang berkata, nama Azhar bin Ahmad seperti yang didedah pemuda PAS sebelum ini mempunyai 825 nama dengan ejaan serupa.
Beliau juga menafikan dakwaan terdapat penyelewengan kerana mereka semua memiliki nombor kad pengenalan berbeza meskipun ejaan nama sama.
Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS sebelum ini mendedahkan individu bernama Azhar bin Ahmad memiliki ejaan nama sama, namun perbezaan hanya di dua digit terakhir pada nombor kad pengenalan mereka meragukan dan didaftarkan di dua tempat berbeza dalam Daftar Pemilih SPR.
Perbezaan nombor kad pengenalan Azhar bin Ahmad dan maklumat tempat mengundinya adalah seperti berikut:
Azhar bin Ahmad
MyKad pertama: 680713095049
Lokaliti: Batu 13
Daerah mengundi: Tasoh
DUN: Beseri
Parlimen: Padang Besar
MyKad kedua: 680713095057
Lokaliti: Kg Baru Chuping
Daerah mengundi: Sg Buloh
DUN: Chuping
Parlimen: Padang Besar
Mengulas lanjut berhubung perbezaan yang lain, Suhaizan berkata pihaknya mengesan sekurang-kurangnya enam trend perbezaan corak no kad pengenalan.
Ianya seperti berbeza pada tahun lahir iaitu dua digit paling awal, bulan lahir, tarikh lahir, kod negeri dan pada dua digit paling akhir.
"SPR jangan cepat melatah, kita bukan nak malukan SPR. Kita bangkit soal ini sejak 2007 lagi namun tiada sebarang tindakan proaktif yang dibuat SPR.
"Jadi kita tidak ada pilihan, kita dedah kepada rakyat supaya rakyat pula dapat menilai," katanya lagi sebagai menjawab gesaan SPR agar perkara itu dirujuk kepada mereka dan bukan didedah kepada umum.
Dari sudut lain katanya, persoalan itu sebenarnya bukan sahaja harus dijawab oleh SPR, tetapi juga oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara JPN kerana data dalam daftar pemilih SPR tersebut adalah dari data JPN sendiri.
Bagaimanapun SPR sepatutnya boleh bertindak proaktif jika benar mahu membersihkan daftar pemilih dan bukannya hanya menerima data dari JPN bulat-bulat dan tidak mengendahkan pula pendedahan penyelewengan yang dibuat oleh rakyat.
"Sebab itu saya cadang SPR proaktif. Senaraihitamkan nama yang meragukan itu dan semak semula dengan JPN kenapa berlaku seperti itu," katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4973-daftar-pemilih-lain-ditanya-lain-spr-jawab
Kabinet memutuskan keanggotaan jawatankuasa itu semalam.
Pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu The Malaysian Insider bahawa pentadbiran Najib meneruskan pendekatan mengadakan jawatankuasa itu tanpa berbincang dengan parti-parti lain.
“Sebenarnya, kami tidak tahu apa terma-terma rujukan (jawatankuasa pilihan khas),” kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang khuatir skopnya kemungkinan terlalu cetek dan tidak melibatkan perbincangan yang mendalam.
Ahli Parlimen Gombak ini menambah, perikatan pembangkang akan membuat keputusan sama ada pihaknya wajar mengambil bahagian atau tidak berdasarkan terma rujukan.
Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang juga berkata kenyataan Najib malam tadi hanya membawa lebih banyak keraguan berhubung kewibawaan jawatankuasa tersebut, yang mempunyai lima wakil dari Barisan Nasional (BN).
Jawatankuasa itu pada umumnya mempunyai sembilan anggota iaitu lima dari BN, tiga mewakili pembangkang dan seorang Bebas.
“Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa dakwaan mengenai pengundi kalangan warga asing akan dijawab di PSC menunjukkan kerajaan tidak sanggup berhadapan dengan jawatankuasa pilihan khas ini, tetapi akan mengalihkan beban kepadanya kelak,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.
Lim merujuk kepada kenyataan Hishammuddin semalam bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara akan bekerjasama untuk meneliti dakwaan PAS mengenai daftar pemilih.
“Tiada perundingan dengan Pakatan Rakyat mengenai apa yang dipanggil jawatankuasa dwipartisan,” kata Lim sambil menyifatkannya lebih bersifat “helah” politik.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-mungkin-pulau-panel-khas-parlimen-kaji-pilihan-raya/
KETIKA umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, lain pula halnya dengan golongan kaki ponteng puasa yang tidak segan-silu melakukan dosa.Keberanian si kaki ponteng puasa semakin terserlah, seolah-olah tidak gentar langsung dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara berdasarkan Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan jika disabitkan bersalah.
Malah, semakin ramai di kalangan mereka tergamak ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari yang lazat di khalayak umum.
Hinggakan ada di antara mereka memilih untuk berbuka secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai mahupun restoran-restoran.
Yang menimbulkan tanda tanya ialah operasi penguatkuasaan seolah-olah gagal berperanan untuk membendung gejala yang memalukan umat Islam tersebut.
Ikuti pendedahan oleh wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ROSALINDA MD. SAID dan NORAZRIN MARZUKI serta jurugambar, ZAINI HUSIN, RIDUAN RIZAL dan SAFIYANA SALIM mengenai trend terbaru kaki ponteng puasa melepaskan lapar dan dahaga di gerai-gerai dan restoran sekitar ibu negara.
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tanpa sekelumit rasa berdosa atau malu, golongan kaki ponteng puasa kini semakin berani ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari di depan khalayak umum.
Mereka tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk itu secara ‘sorok-sorok’, sebaliknya, memilih untuk ‘berbuka’ secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai-gerai atau restoran.
Hal ini jauh berbeza dengan siasatan yang pernah dijalankan Unit Khas Utusan Malaysia pada tahun lepas apabila taktik penyediaan ‘tempat makan khas’ di bahagian belakang atau dapur, telah tidak lagi menjadi kegemaran si kaki ponteng puasa.
Demi nafsu, golongan kaki ponteng puasa seolah-olah tidak lagi kisah dan merelakan wajah serta aksi ‘makan’ mereka ditonton orang ramai.
Malah, ada yang sanggup duduk dan makan secara terbuka walaupun hakikatnya ruang disediakan tersebut dipenuhi oleh orang bukan Islam yang sedang makan tengah hari.
Strategi mereka yang makan, sama ada secara berseorangan ataupun berdua bagi mempercepatkan urusan ‘berbuka’, mungkin sukar dikesan oleh pihak penguat kuasa.
Trend terbaru ini adalah hasil tinjauan oleh Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa gerai dan restoran makanan di sekitar ibu kota sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.
Apa yang menarik, golongan ini gemar memilih lokasi gerai atau restoran yang terletak betul-betul di tepi atau bahu jalan.
Pilihan itu mungkin untuk memudahkan mereka memerhati atau melihat sesiapa sahaja yang lalu-lalang, khususnya anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, sikap makan secara terbuka tersebut dilihat sering dilakukan oleh golongan lelaki muda manakala mereka yang telah berusia pula memilih membeli makanan secara bungkus.
Bagi yang membeli secara bungkus, tiada lagi istilah malu untuk menutup muka dengan topi keledar ataupun berkaca mata hitam.
Apa dikesalkan ialah sepanjang siasatan dilakukan, tiada sebarang operasi penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Malah sumber dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi turut mengesahkan mereka hanya melakukan pemantauan biasa dalam tempoh tersebut.
Gambar-gambar yang disiarkan ini adalah hasil tinjauan di gerai-gerai serta restoran mamak yang beroperasi seperti biasa di sekitar ibu negara.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_01.htm
Siapa dalang?
Ini termasuklah kertas soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan JAIS yang sepatutnya dipersembahkan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu.
“Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini.
“Dengan ledakan sedemikian di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini. Kenapa perkara ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?” soal Tuan Ibrahim.
Selain itu, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata lebih mencurigakan lagi ialah kepantasan media arus perdana milik Umno dan BN yang terus melonjakkan isu itu dengan membuat serangan ke atas menteri besar Selangor dan kerajaan negeri.
Begitu juga demonstrasi yang dilakukan oleh Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor yang diadakan di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk membawa penyapu tandas, mangkuk tandas untuk dihantar ke pejabat menteri besar.
“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses Kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal Tuan Ibrahim lagi.
http://www.malaysiakini.com/news/173347
Dilaporkan NGO bernama WARISAN dan GEMPAK telah berdeminstrasi dengan membawa mangkuk tandas sebagai protes kepada MB Selangor. Tujuan di bawa mangkuk tandas adalah sebagai satu bentuk penghinaan kepada MB Selangor kerana mereka mendakwa MB Selangor telah menyokong usaha memurtadkan umat Islam.
Pertama sekali, kes serbuan DUMC itu masih di peringkat siasatan. Ertinya, MB Selangor tidak boleh mengambil keputusan sebelum siasatan selesai dan tamat.
Apa hak NGO2 ini menghina MB Selangor sebegitu sekali dalam keadaan kes DUMC ini masih dalam siasatan?
Di manakah nilai-nilai ketimuran para demonstran dengan aksi sebegini. Adakah ini melambangkan sikap seorang Islam? Adakah ini melambangkan sikap seorang berbangsa Melayu yang kaya dengan adab dan tatasusila?
Saya beranggapan mereka terpaksa bertindak dengan sebegitu exstrem kerana bilangan yang hadir dalam demonstrasi itu amat kecil. Dilaporkan tidak sampai 20 orang yang menyertainya.
Maka, terpaksalah mereka melakukan aksi-aksi biadap sebegitu untuk menarik perhatian ramai.
Berhentilah berbuat tindakan yang ekstem dan tidak bijak sebegini. Ia tidak membantu Islam ataupun membantu usaha membenteras murtad