TERKINI :

Saturday, July 30, 2011

Najib takut kerajaanya jatuh!

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

http://topnews.in/law/files/Najib-Tun-Razak.jpgPerdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak masih lagi berada dalam sindrom penafian apabila menuduh himpunan aman Bersih 2.0 sebagai jalan untuk menggulingkan kerajaannya.

Hakikatnya kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Najib gusar akan kejatuhan itu adalah kerana kelemahan dan penyelewengan yang semakin parah berlaku dalam pentadbiranya.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib pada 22 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan Najib sebenarnya bimbang jika tuntutan Bersih 2.0 itu ditunaikan, ianya adalah jalan yang sukar buat kerajaannya bertahan.

Umno-BN selama ini bertahan dengan pelbagai manipulasi undi dan penggunaan jentera serta media yang memihak kepada mereka, katanya.

Malah, setiap kali berlakunya pilihan raya, isu utama yang akan dibincangkan ialah terdapatnya penipuan pada daftar undi, undi pos dan rasuah, katanya.

Gelaja inilah yang mahu ditolak dan dibersihkan oleh Bersih 2.0 dalam lapan tuntutannya bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini telus dan adil, katanya.

Namun, terdapat kebimbangan dipihak pemerintah untuk melaksanakannya, malah ditambah lagi dengan sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terlalu memihak, katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan segera bagi memperhalusi isu-isu penyelewengan dalam pilihan raya di negara ini.

Sekembalinya Najib ke Malaysia, beliau ada membuat kenyataan bahawa Bersih 2.0 cuba untuk menggulingkan kerajaannya dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran selain menafikan dakwaan gabungan itu bahawa wujud penipuan dalam sistem pilihan raya.

Perdana Menteri terus mempertahankan bahawa pilihan raya di Malaysia adalah bersih sepanjang masa.

"Kita tidak pernah menipu dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia,” kata beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 22 Julai lalu.

Najib juga menolak dakwaan Bersih 2.0 bahawa BN mempunyai kelebihan tidak adil dengan memiliki ruang besar di media ketika berkempen.

"Kami kata ia adil, mereka (Pakatan Rakyat) kata tidak adil. Mereka berkempen setiap hari, bukan itu tidak adil? Setiap hari ada ceramah di sini di sana... bukan itu tidak adil?” katanya lagi.

Najib berkata perlu ada kesimbangan antara kebebasan bersuara dan ketenteraman awam, tetapi menekankan tiada ruang untuk perselisihan faham di Malaysia.

Arab Saudi tiada kaitan keganasan

YAN 29 Julai - Kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan serta ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebaliknya kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tidak bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.

"Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.

"Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan," katanya selepas merasmikan projek Nadi Kasih di Bukit Besar di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan Felo Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady baru-baru ini yang mengaitkan Arab Saudi dengan keganasan atau fahaman sesat.

Selain itu, dalam taklimat sama, 40 ulama muda termasuk bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin didedahkan sebagai mempunyai kaitan dengan fahaman Wahabi dengan Arab Saudi bertindak sebagai dalang di sebalik jaringan fahaman itu.

Ekoran pandangan itu, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya mencabar Dr. Muhammad Uthman untuk tampil berdialog secara ilmiah dalam tempoh terdekat, terutama dalam Ramadan untuk menjernihkan kekeruhan yang ditimbulkan hasil pandangannya itu.

Menurut Jamil, secara umumnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.

"Seperti Osama Laden (yang berasal dari Arab Saudi), kita tidak boleh kaitkan dia dengan Arab Saudi sebab dia bergerak sendiri dan tidak melibatkan negara tersebut," katanya.

Betulkah ORANG MISKIN Tiada di Malaysia..Yg ada cuma orang Malas..??

Jln-Jln Masuk Kg: Tazkirah Ramadhan

Seminggu dua ini, atas jawatan sebagai pengerusi CSR (Corporate Social Responsibility) di tempat kerja, saya kerap menerima berbagai surat memohon sumbangan Ramadhan daripada berbagai pihak, baik dari rumah anak-anak yatim, tahfiz, pondok mahu pun daripada NGO dan juga syarikat-syarikat persendirian yang berusaha mencari dana untuk menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel/resort dan sebagainya.

Bila tengok surat-surat itu, teringatlah saya, rupa-rupanya ramai yang nak tabur bakti, nak membantu insan-insan yang memerlukan di bulan ramadhan ini. Baguslah macam itu. Mungkin inilah yang orang alim selalu dok habag kata bulan ramadhan ini bulan yang mulia, bulan yang istimewa yang tak sama dengan bulan-bulan yang lain; bulan untuk kita semua pakat tambah pahala.

Baru-baru ini, bersama dengan kawan-kawan dari NGO Wargakilang, kami sekali lagi diberi masa dan kelapangan untuk masuk ke kg-kg di pedalaman, pi riki dan cari keluarga-keluarga susah yang tinggal jauh ke dalam, yang kami rasakan tak ramai orang yang sedar akan kewujudan mereka, lantas tak adalah pula ada orang atau pun pertubuhan dok pi hantar surat kat jabatan CSR mana-mana syarikat pi kutip dana atau pun anjurkan majlis berbuka posa kat resort atau pun hotel untuk depa-depa ini.

Berikut adalah sebahagian drpd kisah “depa-depa” ini untuk tazkirah dan renungan bersama.

Semua sekali ada 18 keluarga yang kami ziarah.

Rumah dlm gambar di bawah ini adalah yang paling terkesan sekali buat saya; pertamanya sebab rumah itu sendiri walaupun nampak ok tapi kelihatan agak daif sekali.

Keduanya, rumah ini dihuni oleh seorang Ibu Tunggal, Pn Rashidah 35 tahun bersama 2 orang anaknya (5 tahun & 14 tahun) yang baru saja kehilangan suami kira-kira 4 bulan yang lalu – meninggal disebabkan sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Yang saya terasa agak emosi sikitnya, sebab 3 kali saya tanya berapa pendapatan beliau sebulan - nak bagi pasti - tiap kali beliau jawab RM150 sebulan. Tak logik haih, mana ada orang boleh survive dengan pendapatan banyak tu sebulan, tambah-tambah di zaman barang dok naik harga sekarang ini, dan lagi tak logik cuma dapat hanya RM150 sebulan.

Tanya pi tanya mai, Pn Rashidah ini habag setelah kematian suaminya (seorang penoreh getah), beliau terus hilang punca pendapatan. Sekarang ini beliau membantu ibunya menoreh getah di pokok orang, dan hasilnya dibahagi 3 antara beliau, ibunya dan tauke kebun. Patutlah pun dapat RM150 sahaja sebab jumlah pokok getah kat kebun itu cuma sekitar 200 batang sahaja.

Saya tak mampu nak bercakap panjang dengan orang yang sedang diuji dengan kesusahan seperti Pn Rashidah ini, walau pun susah tapi tak menampakkan sangat susahnya itu. Orang macam inilah yang mengingatkan saya kepada kata-kata yang sering dihamburkan kpd saya dan rakan-rakan bila kami bercerita tentang kisah-kisah org miskin dan susah di pedalaman.

Kata sang penghambur itu, MANA ADA ORANG MISKIN DI MALAYSIA INI – orang malas adalah!

Bagi mereka, org-org miskin itu jadi miskin sebab malas, jadi tak payahlah nak susah-susah pi bantu org-org malas ini sebab depa sendiri yang pilih nak jadi malas dan miskin.

Sedangkan mereka yang bercakap itu lupa bahawa KAYA dan MISKIN ini adalah kerja TUHAN. Hari ini TUHAN jadikan kita KAYA, esok lusa dlm sekelip mata saja DIA boleh jadikan kita MISKIN pula.

Lantas itu, sementara kita ini masih kaya ada pendapatan lebih drpd RM150 sebulan, kalau ada rezeki lebih janganlah lupa bahagiannya untuk mereka yang sedang diuji dengan kemiskinan seperti Pn Rashidah ini. Mungkin sebab itulah gamaknya ISLAM wujudkan Fidyah dan Zakat Fitrah, sebab memang ada penerimanya.

Dalam perjalanan antara 18 buah rumah itu, kami singgah di sebuah rumah Ibu Tunggal yang tinggal bersama seorang anak perempuannya. Persinggahan yang seketika ini amat istimewa buat saya, kerana sepulangnya ke rumah, saya download gambar rumah ini ke lab top dan secara kebetulan adik perempuan saya dan suaminya bertandang ke rumah. Saya tunjukkan gambar rumah ini kepada adik saya dan berkata:


“Yah, hang ingat dak lagi rumah kita di kampong waktu-waktu kecik-kecik dulu?”

Adik saya cakap:
“Laaa – pelantar jemuran dan dinding buluh itu sebijik mcm rumah kita dulu, kat pelantar itulah kita ramai-ramai makan nasi dan saki bakinya kita lempar ke bawah bagi ayam dan itik makan”
Ya, sa-buah lagi kisah perjalanan merentas masa buat diri saya. Tak disangka, ada lagi insan yang masih terperangkap dlm suasana kemiskinan yang serupa.

Di rumah seterusnya, kami singgah di sebuah rumah yang begitu agak ke dalam di sebuah kaki bukit berhampiran sebuah kawasan air terjun – rumah sdra Che Ros. Antara ramai-ramai keluarga yang kami pergi itu, saya memilih untuk menulis kisah Che Ros sebagai penutup kisah perjalanan kami ini.

Kenapa? Kerana pintu hati saya bagaikan diketuk-ketuk, rasa terharu semacam melihat ketabahan Che Ros mengharungi hidup nun jauh di pedalaman; membesarkan 4 orang anak-anaknya dengan tiada pendapatan tetap, mencari rezeki dengan berbekalkan sumber hutan – mencari buluh untuk diraut dijual sebagai buluh pancang.

Waktu kami singgah di rumahnya, Che Ros sedang sibuk meraut buluh; bila ditanya kenapa betis keringnya berbalut, Che Ros cakap waktu leka mencari buluh, entah macam mana kakinya tercucuk buluh. Kesian Che Ros.

Yang bagusnya Che Ros ini, walau pun dia sendiri hidup susah, tapi di samping membela isteri dan 4 orang anaknya serta ibunya yang sudah tua, beliau juga ada memelihara seorang wanita tua sebatang kara yang tiada kaitan adik beradik atau pun saudara dengan beliau. Mulianya hati Che Ros.

Yang sedih pasal Che Ros ini, si Amirul anak beliau yang sulung, umur 15 tahun, sepatutnya ambik PMR tahun ini, tapi disebabkan kemiskinan keluarga, cuma sekolah sampai habis darjah enam saja. Entahlah, kami pun tak tau nak kata apa, tapi itulah sebahagian drpd realiti kisah anak-anak bangsa yang masih terperangkap dalam orbit kemiskinan yang tak pernah kunjung reda ini.

Kami pun tak salahkan Che Ros bab anak beliau terkandas dlm perlajaran ini. Ya lah, di zaman Facebook dan Twitter sekarang ini, anak-anak belajar tinggi-tinggi pun kadang-kadang belum tentu boleh diharap untuk menjaga ibu bapa di kala tua.

Sekurang-kurangnya Che Ros ini, dengan ilmu BULUH yang beliau ada, mampulah juga beliau bina sebuah pondok berdinding buluh yang tak seberapa, untuk Ibunya berteduh di tepi rumahnya.


Adalah juga privacy buat ibunya yang sudah tua ini untuk hal-hal peribadi.

Waktu saya menjenguk ibunya di pondok usang ini tanpa pengetahuan Che Ros, bila dengar suara maknya bertanya siapa yang mai ini, dengan segera dalam keadaan kaki terhincut-hincut Che Ros terpa mai, mai explain kat mak dia tujuan kami mai.

Rasa sedih dan sebak pun ada bila tengok wajah Che Ros dan ibunya ini – dalam serba kepayahan yang ada, beliau cuba memberi yang terbaik untuk emaknya. Dinding buluh pun jadilah, janji itu yang selesa untuk mak dia.

Di atas keikhlasan beliau menjaga ibunya ini, didoakan moga ALLAH menggandakan Che Ros dengan balasan pahala yang berkali-kali ganda.

Sekian, antara beberapa paparan yang mampu kami kongsikan di sini sebagai tazkirah Ramadhan untuk kita semua. Sesungguhnya di luar sana, memang tersedia insan-insan lara yang begitu menanti dan mengharapkan sumbangan ramadhan buat mereka. Cerita Che Ros dan Puan Rashidah ini hanya secebis drpd kisah-kisah “depa-depa” ini.

Insyaallah pada 20 Ogos 2011 akan datang, kami akan ke sana lagi.

Selamat Berpuasa, Moga Beroleh Taqwa.
moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com/

Isu Kuin: SMM gesa Kedah contohi Selangor

ALOR SETAR - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggesa Kerajaan Negeri mencontohi pendekatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan kuasa konsultasi terhadap Universiti Selangor (Unisel), untuk menasihati Kolej Universiti Insaniah (Kuin) memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bersuara.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, kuasa konsultasi Kerajaan Negeri seharusnya digunakan sepenuhnya sebagaimana Khalid menasihati Unisel berhubung cara menanggapi aktivisme mahasiswa sehingga membolehkan universiti itu mengumumkan mereka bebas mengamalkan Akta Undang-undang Kolej Universiti (AUKU).

Menurutnya, SMM kesal apabila Kerajaan Negeri dilihat seolah-olah lepas tangan sedangkan masalah berkenaan boleh dipermudahkan menerusi kuasa konsultasi dan budi bicara Kerajaan Negeri dan Kuin sendiri.

“Selain itu, kami juga menyediakan memorandum untuk diserahkan kepada pentadbiran Kuin berhubung masalah yang dihadapi oleh rakan mereka di universiti itu.

“Memorandum Selamatkan Idealisme Mahasiswa itu ditandatangani oleh 2,005 mahasiswa daripada Lembah Klang bertujuan membantah tindakan Kuin mengenakan tindakan tatatertib terhadap enam penuntutnya,” katanya ketika ditemui media selepas perhimpunan aman oleh 300 mahasiswa Kuin selesai dijalankan di pekarangan kampus universiti itu, semalam.

Ahmad Syukri berkata, penyerahan memorandum itu dianggap sebagai langkah terakhir di peringkat mahasiswa dalam menuntut pertimbangan budi bicara Rektor Kuin sebelum langkah lebih drastik diambil termasuk tindakan undang-undang.

“Sekiranya tiada maklum balas diberikan pengurusan Kuin terhadap memorandum dihantar dalam masa terdekat, SMM bercadang untuk bersemuka sendiri dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, SMM memohon pengurusan Kuin mencontohi pengurusan Universiti Malaya (UM) yang menarik balik keputusan menggantung seorang perwakilan mahasiswa universiti itu atas kesalahan hampir serupa dialami keenam-enam mahasiswa Kuin setelah pertimbangan budi bicara diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul ketika dihubungi berkata, tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap enam mahasiswa yang terlibat dengan demonstrasi di institusi itu 1 April lalu termasuk menolak keputusan rayuan mereka adalah mengikut peraturan universiti yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan tatatertib berat terpaksa dijatuhkan ke atas mereka kerana bertindak menjatuhkan imej Kuin kerana mengkritik secara terbuka melalui saluran media.

“Kita tiada masalah sekiranya mereka hendak mengadakan tunjuk perasaan sebagaimana dilakukan mahasiswa Kuin hari ini (semalam), asalkan kenyataan media yang secara terbuka memalukan pengurusan Kuin tidak dibuat.

“Permohonan rayuan mereka juga terpaksa ditolak setelah pengurusan Kuin dapati mereka tidak menunjukkan kekesalan dengan kesalahan peraturan yang dibuat. Mereka perlu sedar, mahasiswa perlu bersikap seperti mahasiswa, kena patuhi peraturan universiti,” katanya.

Berhubung gesaan SMM meminta Kerajaan Negeri menggunakan kuasa konsultasi untuk mengubah keputusan pengurusan Kuin, Mohamed Taulan meminta kesemua pemimpin mahasiswa terlibat berjumpa dengan Kerajaan Negeri atau Ahli Lembaga Pengarah Kuin untuk dapatkan penjelasan sebenar.

“Jangan dengar penjelasan sebelah pihak kerana pengurusan Kuin tidak akan mengambil sesuatu tindakan tanpa pertimbangan rasional,” katanya.

TV AlHijrah bersiaran 24 jam di bulan Ramadan

KUALA LUMPUR - Stesen TV AlHijrah akan bersiaran selama 24 jam setiap hari pada bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Bukhari Che Muda berkata, penambahan waktu siaran ini adalah bertujuan mengimarahkan lagi bulan yang mulia ini.

“Pada hari Isnin hingga Khamis kami akan bersiaran selama 18 jam bermula jam 12 tengahari hingga 6 pagi.

“Ini bermakna kami bersiaran selama 144 jam seminggu berbanding siaran biasa sebelum ini iaitu 102 jam seminggu,” katanya ketika berucap di majlis tayangan program TV AlHijrah sempena Ramadan.

TV AlHijrah memilih tema Ramadan Satu Perjuangan kerana mahu memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada penonton dalam memahami erti sebenar Ramadan.

Bersempena Ramadhan TV AlHijrah akan menayangkan 17 buah program baru pelbagai genre yang sesuai ditonton seisi keluarga.

Menurut Bukhari, mereka memilih jam 5 hingga 7.30 petang sebagai waktu perdana kerana ketika itu umat Islam sedang menunggu waktu berbuka.

“Banyak slot-slot menarik pada waktu itu, bagi memberi manfaat kepada penonton dalam menjalani ibadah puasa.

“Apa yang lebih penting setiap program yang kami siarkan adalah yang terbaru bukan ulangan.

Bagaimanapun, bagi siri drama Kitab Cinta kami terpaksa membuat ulang tayang berikutan kebanyakan penonton siri ini terlepas episod sebelum ini ketika kami belum bersiaran di Astro,” katanya.

Katanya, penayangan semula drama tersebut adalah atas permintaan penonton.

Beliau berkata, pihaknya dengan produksi drama tersebut telah merancang untuk melanjutkan drama tersebut bagi musim kedua.

Harimau Malaya - Sudah cuba yang terbaik

Sudah cuba yang terbaik

KUALA LUMPUR - Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat berkata, dia dan rakan sepasukan telah memberikan yang terbaik namun akhirnya terpaksa akur tersingkir daripada Kelayakan Piala Dunia kepada Singapura kelmarin.

Menurutnya, semua pemain beraksi dengan semangat juang yang tinggi tanpa sebarang kelemahan ketara.

"Kami tersingkir bukan kerana ramai pemain utama tidak beraksi. Semua pemain dalam skuad ini boleh beraksi baik mungkin, ini adalah barisan terbaik kita.

"Namun ia tidak cukup untuk mengatasi Singapura. Saya meminta maaf kepada peminat dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memenuhi stadium," katanya.

Khairul Fahmi yang dikenali Apek, mendapat pujian kerana memberikan aksi cemerlang ketika Malaysia seri 1-1 dengan Singapura kelmarin, namun akhirnya Harimau Malaya tersingkir dengan agregat 4-6.

Sementara itu, Safiq Rahim lebih kecewa kerana tidak dapat membantu skuad kebangsaan pada aksi kelmarin kerana digantung ekoran kad merah yang diterima pada perlawanan pertama Sabtu lalu.

"Saya sangat kecewa, saya tidak tahu hendak cakap apa selepas kita tersingkir dari Kelayakan Piala Dunia 2014. Lebih sedih saya tidak dapat beraksi bersama rakan-rakan di atas padang," katanya.

Safiq meminta rakan sepasukan supaya bangkit dan perbaiki segala kelemahan.

"Kita buka buku baru, perbaiki kelemahan dan kurangkan kelekaan ketika bermain," katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...