TERKINI :

Saturday, July 16, 2011

Larangan: PAS dapatkan penjelasan Kedah esok

KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS akan mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri Kedah esok, berhubung keputusan melarang pusat-pusat hiburan beroperasi semasa Ramadhan sebelum memberi sebarang reaksi berhubung perkara itu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata wakil kepada menteri besar Kedah akan memberi penjelasan berhubung perkara itu kepada jawatankuasa pusat pada mesyuarat esok.

"Ya, esok kita akan mendapatkan penjelasan daripada Kedah. Menteri besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) tidak dapat hadir, tetapi wakil beliau akan hadir," katanya.

Rabu lalu, kerajaan negeri mengumumkan keputusannya menguatkuasakan larangan kepada pusat-pusat hiburan termasuk pusat karaoke dan disko beroperasi sepanjang Ramadan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Keputusan itu turut disokong beberapa NGO islam yang melihat tindakan itu wajar demi menjaga kecusian bulan Ramadhan.

Bagaimanapun, ia juga mendapat bantahan pelbagai pihak terutama parti politik seperti MCA dan Gerakan.

Malah, rakan Pakatan Rakyat, DAP meminta kerajaan Kedah supaya membatalkan pelaksanaan larangan ke atas 13 jenis hiburan semasa bulan Ramadan.

Dalam satu kenyataan, penasihatnya Lim Kit Siang berkata parti itu akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat minggu hadapan.

Pemuda Gerakan Kedah juga mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Kedah jika ia gagal menarik balik larangan ke atas pusat-pusat hiburan untuk beroperasi di negeri itu dalam tempoh seminggu.

PAK SAMAD BOIKOT PROGRAM KERAJAAN

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau "tidak akan melayan" sebarang jemputan rasmi kerajaan termasuk membaca puisi dalam majlis anjuran mereka.

NONE"Sebolehnya sekarang, saya tidak menerima jemputan daripada kerajaan," katanya ketika ditanya reaksi kawan-kawannya dalam kerajaan selepas menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

"Saya tidak fikir, (saya) dipulaukan. Tetapi kalau dijemput sementara ini, saya tidak akan layan. Kalau oposisi menang, saya layan."

A Samad (kiri) sebelum ini banyak dijemput dalam majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ditanya sama ada tindakan beliau sebagai 'mogok seni' kali kedua, sasterawan 76 tahun yang terkenal dengan novel Salina itu menjawab:

"Saya tidak tahulah tu. (Saya) tak tahu," katanya sambil ketawa sinis.

Selalunya kosong

Samad sebelum ini dilaporkan beberapa kali mengadakan 'mogok' secara bersendirian, antaranya mogok seni pada 1990 dan 'mogok sastera' pada 2000.

A Samad dilaporkan pertama kali mengadakan mogok beberapa tahun lalu apabila dikatakan menghadapi masalah kelancaran dalam pembayaran royalti tulisannya dengan DBP.

Beliau juga tidak dapat menjangkakan bagaimana reaksi rakannya yang berada dalam kerajaan, ekoran penyertannya bersama lebih 10,000 orang dalam perhimpunan Sabtu lalu.

NONEKetika ditemuramah Malaysiakini di Bangsar semalam, A Samad berkata, walaupun beliau mencari makan dengan membaca puisi, kali ini beliau akan memilih majlis yang "sesuai".

Beliau juga menegaskan tidak pernah mendapat sebarang projek dengan pihak kerajaan yang menyebabkan beliau terikat.

Bagaimanapun, ditanya sekiranya diberi, sosok kecil berjanggut panjang dan putih itu, berkata akan "bertanya hari nurani" terlebih dahulu.

"Hati nurani saya yang lebih banyak bercakap. Kalau tengok dalam bank saya, ada RM96 sahaja, itupun royalti yang baru masuk.

"Kalau tidak, kosong," kata lelaki berpenampilan sederhana dan sering merendah diri itu.

Rezeki di tangan Tuhan

Walaupun menghadapi kemungkinan digam oleh akhbar arus perdana, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau kini selesa berkarya di Facebook walaupun ia tidak menjamin pulangan ekonomi.

gmp protest 310108 samad said"Itu (pendapatan) tidak mengapa, untuk satu dua tahun ini. Rezeki di tangan Tuhan, bukan di tangan-tangan orang itu," katanya.

Menurut Sasterawan Negara itu, beliau juga tidak akan menulis di mana-mana medium lain, termasuk di portal berita alternatif bagi mengelakkan daripada dilabel cenderung kepada mana-mana pihak.

"Saya tulis di Facebook. Itu ada (ruangan) mingguan-mingguan, saya tulislah. Nanti saya tulis di Malaysiakini, orang kata saya (menyokong) pembangkang juga," katanya sambil berseloroh.

"Sebab saya saya selalu melihat di dalam akhbar, bukan berita yang disiarkan, (sebaliknya) syarikat orang-orang tertentu yang mempunyai ruangan dalam akhbar.

"Akhbar itu ditentukan oleh itu sebenarnya."

Hiburan: Tindakan Azizan betul, tidak perlu runding

Harakahdaily

BANGI, 15 Julai: Tindakan kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengeluarkan arahan bertulis mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasinya pada Ramadan ini adalah satu tindakan yang betul.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyokong penuh tindakan tersebut kerana ia menguatkuasakan undang-undang yang telah sedia ada iaitu Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang perlu dihormati oleh setiap rakyat tanpa mengira kaum.

“Tindakan Datuk Seri Azizan adalah satu tindakan yang betul kerana ia berdasarkan undang-undang. Oleh itu, Isma menyokong tindakan beliau dan tidak timbul isu ia perlu dirunding semula,” kata presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai menghormati bulan Ramadan yang mulia, pihak pengusaha pusat hiburan perlu mematuhi arahan tersebut walaupun sepatutnya aktiviti maksiat diharamkan bukan sahaja pada bulan Ramadan semata-mata.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam, maka ia perlu dihormati dengan menghentikan aktiviti hiburan dan maksiat. Ia bukan sahaja patut diharamkan pada bulan ini, malah sepanjang tahun,” katanya.

Tambahnya, Isma juga berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri amat sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Mengulas berkenaan tuntutan pihak DAP yang mahu perkara itu dirunding semula, Abdullah menyatakan bahawa tindakan melaksanakan undang-undang dan menegakkan syiar Islam tidak perlu dirunding sebaliknya harus dihormati oleh semua pihak.

Merujuk kepada kenyataan MCA pula, Abdullah mahu MCA menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang merdeka dan memiliki undang-undang sendiri.

“MCA perlu terima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang merdeka dan ada undang-undang sendiri. Jadi, tidak perlu merujuk kepada mana-mana norma asing seperti deklarasi hak asasi manusia atau sebagainya,” jelas beliau.

BERSIH 2.0 membersihkan stigma dan ketakutan masyarakat Cina Malaysia terhadap demonstrasi

9 Julai 2011 membuka satu lembaran baru dalam proses pendewasaaan demokrasi di Malaysia. Puluhan ribu rakyat Malaysia melepasi segala rintangan sekatan polis dan ugutan kekerasan untuk berhimpun dan berarak demi satu matlamat bersama - sistem pilihanraya yang BERSIH. Apa yang lebih signifikan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini ialah ia bukan sahaja berlangsung di Kuala Lumpur malah di berpuluh bandaraya di seluruh dunia di mana rakyat Malaysia menetap.

Pada hari tersebut, yang keluar berarak atau berhimpun tidak melihat dirinya sebagai orang Melayu, India, Dayak, Kadazan atau Cina tetapi sebagai rakyat Malaysia yang mahu memastikan kesuburan sistem demokrasi terjamin untuk generasi yang akan datang. Mereka yang dipancut air dari truk FRU mahupun terkena gas pemedih mata akan menceritakan kepada anak dan cucu mereka dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang bahawa "saya berada di sana!" dengan rasa penuh kebanggaan.

Namun, pada hemat saya, kejayaan terbesar pada 9 Julai ialah ia telah menghapuskan satu stigma lama di kalangan masyarakat Cina Malaysia iaitu demonstrasi dalam apa bentuk sekali pun, akan membawa kepada rusuhan kaum dan keadaan huru-hara. Stigma ini sudah lama tertanam dalam minda masyarakat Cina Malaysia hasil daripada propaganda berterusan dari UMNO dan MCA bahawa masyarakat Cina akan menjadi mangsa paling teruk dalam keadaan rusuhan kaum. Kedai-kedai milik orang Cina akan dibakar, orang Cina akan diserang dan dibelasah teruk dan akhirnya masyarakat Cina tidak dapat hidup dalam keadaan aman, kata mereka. Apabila keadaan politik tidak stabil, maka ekonomi negara akan terjejas dan ini tentulah akan menjejaskan kepentingan ekonomi masyarakat Cina yang banyak terlibat dalam sektor perniagaan.

Ini merupakan skrip lama daripada Unit Penerangan UMNO sejak berlakunya peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 dan disokong sepenuhnya oleh budak suruhan mereka, MCA. Sudah tentu MCA menyokong skrip tersebut kerana ia telah berjaya memastikan BN terus berkuasa di Malaysia semenjak 1969 lagi dan mereka bolehlah mendapat sedekah daripada UMNO dalam bentuk jawatan-jawatan kerajaan. Ingat, skrip inilah yang memenangkan BN dan Mahathir pada pilihanraya umum 1999 di ambang kebangkitan penentangan pengundi Melayu terhadap UMNO.

Mereka ingat skrip ini masih laku pada tahun 2011 dan mereka telah mengupah "kontraktor" baru yang bernama PERKASA untuk melaksanakan kerja-kerja ini. Masih ingat apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali beberapa minggu lepas? Beliau "menasihatkan" orang Cina yang duduk di KL supaya membeli lebih banyak stok makanan dan beras sebelum 9 Julai dan sembunyilah di rumah pada hari tersebut kerana akan berlaku pertembungan di antara dua kumpulan orang Melayu dan huru-hara akan tercetus.

9 Julai datang dan lalu. Perarakan dan perhimpunan telah dijalankan secara aman. Yang menyebabkan rakyat yang berhimpun secara aman lari lintang-pukang ialah apabila FRU memancut air dan menembak gas pemedih mata dengan sewenang-wenangnya. Tidak ada dua kumpulan yang bertembung seperti yang digembar-gemburkan oleh PERKASA. Yang ada, hanya sekumpulan kecil dalam lingkungan 300 orang yang menamakan diri mereka sebagai "Patriot" yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO. Tak apa, itu hak mereka berhimpun.

Perarakan dan perhimpunan tersebut berlangsung di beberapa kawasan yang sinonim dengan masyarakat Cina di Kuala Lumpur. Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Petaling adalah kawasan yang padat dengan kedai-kedai peniaga Cina. Perarakan melalui kedai-kedai tersebut dan kaki lima menjadi tempat perlindungan kepada mangsa gas pemedih mata. Adakah kedengaran mana-mana kedai di kawasan tersebut musnah teruk akibat "keganasan" oleh para demonstran? Jawapannya TIDAK! Tak ada satu kedai pun yang dilaporkan mengalami kerosakan teruk. Malah saya berani mengatakan tong sampah pun tak ada yang rosak. Ada pula demonstran yang membersihkan jalan selepas perarakan, atas semangat dan sifat "BERSIH".

Ini satu aspek yang membuktikan kematangan pemikiran rakyat Malaysia. Para demonstran yang berarak hari itu tahu mengapa mereka berada di sana, Ia adalah kerana satu tuntutan yang sah untuk menikmati sistem pilihanraya yang adil dan bersih. Mereka ingin membuktikan bahawa "tunjuk perasaan" merupakan satu manifestasi kebangkitan kesedaran hak politik rakyat secara aman. 9 Julai berjaya menghilangkan kebimbangan para peniaga terhadap demonstrasi jalanan.

Malah, yang membuka perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut mendapat "durian runtuh" disebabkan pelanggan yang ramai. Kalau rakan saya, Ng YenYen mengatakan sektor pelancongan kehilangan RM100 juta pada hari tersebut, maka beliau patut menyalahkan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke Kuala Lumpur pada hari tersebut sehingga ratusan ribu lagi "pelancong" dari seluruh negara tak dapat sampai ke ibu kota.

Dalam aspek yang lain pula, 9 Julai menampakkan penglibatan yang ramai dari pemuda-pemudi kaum Cina. Ini satu fenomena yang luar biasa dan cukup menarik. Saya tahu ada yang mengambil cuti dan menaiki bas dari Johor Bahru untuk datang berhimpun. Ada yang telah menulis "surat kepada editor" untuk menceritakan pengalaman mereka pada hari tersebut dan berasa selamat berarak bersama-sama dengan ahli-ahli PAS.

Fenomena inilah yang tidak dapat difahami oleh MCA. Mereka masih menggunakan skrip dan pendekatan generasi "radio dan televisyen hitam putih" era-1969 ke atas generasi "Facebook dan Twitter" era-2011! Pendek kata, mereka telah ketinggalan zaman dalam memahami perubahan sosio-politik masyarakat Malaysia dan pemikiran anak muda. Tak apalah, biarlah Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai terus tidur dalam buaian!

Utusan Malaysia dan propagandis UMNO ingin menyembunyikan fakta bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum. Mereka terus memainkan perang psikologi dan mendakwa kononnya PAS telah diperalatkan oleh DAP. Mereka cuba menggambarkan bahawa yang ditangkap dan terhidu gas pemedih mata hanya orang PAS. DAP dan yang lain hanya memainkan "remote control" untuk memperkudakan ahli-ahli PAS. Ini satu permainan politik yang cukup kotor dan menjijikkan.

Faktanya, DAP memberikan sokongan penuh kepada perhimpunan BERSIH 2.0 malah kepimpinan DAP mengetuai satu kumpulan perarakan seramai 3,000 orang yang berarak dari Pudu Plaza dan bercantum dengan kumpulan lain yang diketuai oleh Hatta Ramli di Puduraya. Lim Kit Siang dan saya pula menyertai kumpulan di Plaza Sentral yang sama-sama diserang gas pemedih mata di terowong Plaza Sentral dengan Tok Guru Hadi Awang, Anwar Ibrahim sekeluarga, Ambiga dan kepimpinan PR dan BERSIH yang lain yang dilarang memasuki Kuala Lumpur oleh pihak polis.

Sebagai seorang pemimpin DAP, saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada pimpinan PAS atas semangat setiakawan dan keprihatinan mereka terhadap kumpulan perarakan kami di Pudu Plaza. Pada malam 8 Julai, saya dan Vincent Wu (Penolong Setiausaha Organisasi Pusat DAP) telah dipanggil untuk perbincangan mengenai isu keselamatan di Pejabat Agung PAS bersama dengan Salahuddin Ayub, Hatta Ramli, Dzukefly Ahmad dan Kamarulzaman dari Pemuda PAS. Tian Chua juga berada dalam perbincangan tersebut.

Salahuddin Ayub menyatakan kebimbangan beliau kepada saya bahawa kemungkinan ada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang akan sabotaj perarakan kami dari Pudu Plaza dan menjadikannya sebagai satu rusuhan kaum. Justeru, beliau menjanjikan bahawa PAS akan memobilisasi 200 anggota Unit Amal untuk berarak dengan kumpulan kami dari Pudu Plaza. Hakikatnya, perarakan dari Pudu Plaza berjaya sampai ke Puduraya tanpa sebarang kekacauan dan provokasi. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada PAS khususnya kepada anggota-anggota Unit Amal yang bersama kumpulan kami pada hari tersebut.

Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai telah melakarkan satu wadah baru dalam lanskap sosio politik Malaysia. Sekiranya rakyat berbilang kaum boleh berarak dan berhimpun bersama-sama untuk satu tujuan dan matlamat yang diidami, maka tidak ada alasan mengapa kepimpinan pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat tidak boleh terus mara memimpin agenda perubahan untuk Malaysia dan mengembumikan Barisan Nasional dalam PRU ke-13 nanti.

Baca: Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS

Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini

*Loke Siew Fook (gambar kanan) ialah Ketua DAPSY merangkap Ahli Parlimen Rasah.

Pusat hiburan: Bekas mufti setuju, Dewan Perhimpunan Cina Kedah bantah

ALOR STAR, 15 Julai — Lebih 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah bakal menanggung kerugian jutaan ringgit ekoran tindakan kerajaan negeri melarang mereka beroperasi sepanjang Ramadan.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kedah Datuk Cheng Lai Hock berkata ini kerana mereka bukan saja kehilangan pendapatan tetapi juga masih perlu membayar gaji pekerja dan sewa premis.

Cheng berkata lebih 6,000 pekerja juga berhadapan kemungkinan diberhentikan kerja jika majikan mereka tidak mampu menanggung kos.

“Rata-rata pengusaha terkejut dengan tindakan yang dibuat kerajaan negeri menyebabkan mereka tidak melakukan sebarang persediaan untuk berhadapan dengan kerugian yang bakal ditanggung.

“Kami akan menghantar satu memorandum dalam masa terdekat kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi memberi kelonggaran kepada mereka untuk menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya dipetik Bernama Online.

Sementara itu, bekas Mufti Kedah Datuk Hasbullah Abdul Halim berkata tindakan kerajaan Kedah mengharamkan pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan merupakan tindakan yang wajar bagi mengekang umat Islam berkunjung ke situ pada bulan puasa.

“Umat Islam tidak perlu ke pusat hiburan bagi menghilangkan rasa tekanan di tempat kerja, sebaliknya mereka boleh mencari sumber hiburan lain bersama keluarga yang tidak menjurus kepada maksiat.

“Tegahan ke atas orang Islam bukan hanya berdasarkan kepada undang-undang sahaja, malah mereka perlu menyedari bahawa perintah Allah sudah jelas melarang umatnya melakukan perkara berbentuk maksiat,” katanya.

Pusat hiburan: PUM mahu semua negeri ikut Kedah

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mahu negeri-negeri lain mengikut langkah Kedah melaksanakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“PUM menyokong penuh usaha kerajaan negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“PUM juga menyarankan semua negeri-negeri lain mencontohi usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah,” kata Setiausaha Agungnya Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Roslan berkata bulan Ramadan hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah, bukannya dengan hiburan-hiburan semata-mata.

PUM kata beliau turut kesal sekiranya ada usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana ia tidak bermaksud buruk dan ia baik untuk semua kaum dan agama.

“Sehubungan itu, wajar usaha seperti ini disokong dan dilaksanakan,” katanya lagi.

Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk melaksanakan sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang digubal masa era Barisan Nasional (BN).

Perkara itu dibantah oleh komponan BN khususnya MCA.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan sudah wujud sejak 1997 dan bukannya dasar baru.

Oleh itu kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Azizan berkata menurut enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Bagaimanapun Ketua Biro Profesional Muda MCA Chua Tee Yong menyelar tindakan itu yang didakwanya sebagai menafikan hak asasi manusia dan hak dalam Perlembagaan terhadap bukan Islam.

Pemuda PAS: Di mana UMNO dan PERKASA?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Kedah yang telah mengharamkan operasi pusat-pusat hiburan seperti - karaoke, pub, disko, dan persembahan terbuka di bulan Ramadhan. Bagi DPPM, tindakan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menegah sebarang perbuatan mungkar atau mengundang kemungkaran dilakukan terutama di bulan Ramadhan.

Dalam kenyataan Menteri Besar Kedah (gambar kanan), pusat rekreasi seperti snooker, billiard, cuber cafe, dan bowling dibenarkan termasuk persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam. Dalam hal ini, DPPM mempersoalkan mengapa MCA harus melenting dan menentang larangan ini. Larangan ini sebenarnya bukanlah menyanggah hak asasi manusia khususnya masyarakat bukan Islam, tetapi adalah sebagai langkah mendidik masyarakat untuk mengelakkan diri mereka dari tercebur ke gejala sosial yang semakin menjadi-jadi. Pemimpin MCA harus melihat kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat. Apakah nilai positif yang ingin diambil dengan berleluasanya pusat-pusat hiburan, pub, disko dan kelab-kelab malam selain untuk menambahkan gejala sosial seperti perzinaan, pelacuran, dadah, gangster, pergaulan bebas sehingga membawa kepada kes pembuangan anak. Gejala sosial tidak mengira warna kulit, bangsa atau keturunan. Adakah MCA bangga dengan meningkatnya gejala sosial dan jenayah hasil dari pusat-pusat hiburan pada hari ini.

Selain itu, nilai hak asasi manusia ada batasnya. Segala perkara yang baik dan menjurus kepada kebaikan bolehlah diteruskan. Tetapi, perkara yang boleh memudaratkan atau membawa keburukan tidak boleh dibiarkan. Hiburan dibenarkan tetapi ada batasnya. DPPM menganggap semua agama dan bangsa tidak boleh menerima hiburan yang boleh membaa implikasi buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai ingatan, larangan ini hanya berkuatkuasa di bulan Ramadhan, iaitu bulan suci umat Islam. Bulan Ramadhan dikenali sebagai bulan amal ibadat. Seharusnya MCA menghormati bulan suci umat Islam ini.

Di dalam isu ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak PERKASA dan UMNO sedangkan mereka sebelum ini kononnya lantang membela agama dan bertindak menyelar PAS yang dikatakan bersekongkol dengan BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh Ambiga yang dikatakan membela orang murtad sedangkan mereka lupa Ambiga bertindak atas undang-undang yang diluluskan oleh UMNO/BN sendiri.

Ini adalah akibat apabila UMNO yang merupakan parti tunjang di dalam BN tidak menjelaskan Islam yang sebenar sehinggakan selepas 54 tahun merdeka, MCA masih "terkapai-kapai" dalam hendak memahami Islam. Agama hanya digunakan apabila ada kepentingan politik semata-mata. Islam hanya dibibir mereka bagi mengaburi mata rakyat kononnya merekalah pejuang agama. Ini berbeza dengan DAP yang amat-amat menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.

Akhirnya, DPPM menggesa UMNO agar menasihati MCA untuk menghormati amalan agama umat Islam. Jangan hanya kerana memenuhi kehendak politik sempit UMNO tidak berani menegur rakan komponennya. UMNO perlu jelaskan apakah nilai Islam sebenar serta larangan dalam Islam, jika benar UMNO memperjuangkan agama Islam di negara ini.

*Kenyataan media oleh Mohd Firdaus Jaafar (gambar kanan) selaku Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK

oleh KedahLa


KUALA LUMPUR, 15 Julai: Biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Datuk Seri Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Mereka memakai baju kuning, dan membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya.

Sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu.

Semalam, Ratu Elizabeth memakai gaun berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London.

Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London.

Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang...??

Ghairah bela diri PDRM akui salah guna dana awam. Tahan lebih ramai atau Polis 'curi' wang rakyat ? Ketua Polis sila jawab !


Polis sibuk nak bela diri kononya semua peserta himpunan BERSIH 2 diberikan layanan sempurna. Baca kenyataan Polis yang dilaporkan media kononya menyatakan RM25 seorang menjadi peruntukan yang digunakan untuk membiayai makan minum peserta ketika ditahan.

Bila ditanya kepada orang - orang yang ditahan mereka menyatakan mereka makan Ayam Goreng, Sayur, Sambal dan Nasi Kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang.

Pergilah ke mana - mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1000 orang makan secara buffet... rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan.

Makanya PDRM keluar buget (wang rakyat) RM25. Mana pergi lagi RM20 ? Ini melibatkan salah guna kuasa... SPRM digesa masuk dan menyiasat perkara ini ....

Sebenarnya perkara ini sememang berlaku lama .... makanan dalam lokap siapa pernah periksa berapa harga diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan dan siapa yang meraih keuntungan 'rasuah' tersebut ?

Satu lagi teori menurut orang - orang yang ditahan, menurut mereka yang ditahan sebenarnya menjangkau lebih dari 3500 orang, tetapi sebaliknya yang diistiharkan hanya 1000 lebih. Mungkin saja kalau jumlah wang dibelanja untuk makanan kalau jumlah tahanan lebih ramai mungkin membawa ke jumlah harga munasabah...

Sekarang ini PDRM kena jawab mereka tahan lebih tapi tak istihar atau ada kegiatan 'rasuah' dalam membelanjakan wang rakyat dalam menyediakan makanan orang yang ditahan.

CheguBard...

Hishammuddin, Berapa Kos Hang Tibai Untuk Operasi BERSIH??

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendedahkan perbelanjaan yang dikeluarkan sepanjang operasi membanteras perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu di sekitar ibu negara.

Khalid berkata, beliau difahamkan perbelanjaan tersebut yang meliputi kerahan anggota polis dari Sabah dan Sarawak, logistik dan makanan melebihi jutaan ringgit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas terkena kanister gas pemedih mata semasa menyertai perhimpunan yang disifatkannya perhimpunan aman.

"Tetapi saya kena mengambil giliran untuk memfailkan saman tersebut kerana ramai lagi yang dah kena tangkap sebelum hari perhimpunan itu," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau juga menambah, tindakan undang-undang perlu diambil untuk dijadikan sebagai peringatan kepada kerajaan bahawa mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara yang menjamin kebebasan individu untuk bersuara di bawah Perlembagaan Persekutan.-mStar

KULIM - Penduduk dedah kisah misteri

Penduduk dedah kisah misteri

KULIM - Beberapa hari lalu penduduk di Taman Sri Kulim dikejutkan dengan berita jelmaan wanita berselendang hitam yang berjalan sambil mendukung batu nisan.

Selain itu, beberapa kejadian aneh turut dilaporkan berlaku di sekitar kawasan berkenaan. Walaupun ia tidak dihebahkan tetapi ia diakui oleh penduduk.

Bekas Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman itu, Ahmad Jusoh berkata, sebelum ini beberapa penduduk pernah terserempak dengan jelmaan itu tetapi ia tidak diendahkan.

Walaupun ia mengerikan tetapi mereka yang mengalaminya tidak menceritakan kepada penduduk lain sehinggalah Sinar Harian mengupas kisah misteri itu.

“Kejadian pernah berlaku pada seorang penduduk di taman ini. Kira-kira jam 12.30 pagi, dia terdengar suara wanita memberi salam di luar rumahnya.

“Dia didatangi seorang wanita yang sangat cantik. Wanita itu memaklumkan bahawa dia datang dari Pahang dan ingin ke rumah saudaranya di taman itu.

“Penduduk berkenaan kemudiannya menunjukkan arah tetapi wanita itu meminta supaya menghantarnya,” katanya.

Menurutnya, atas dasar simpati, penduduk itu kemudiannya akur kehendak wanita terbabit.

“Ketika berjalan, wanita itu memaklumkan bahawa tapak asrama berdekatan taman itu dulunya merupakan kawasan hutan. Bertambah pelik lagi, dia tiba-tiba sahaja bercerita mengenai kewujudan syaitan, jin dan iblis.

“Apabila sampai di satu selekoh, penduduk itu dengan tiba-tiba tercium bau busuk dan apabila menoleh belakang dia mendapati wanita tadi sudah tidak ada di belakangnya lagi,” katanya.

Ahmad Jusoh berkata, dalam keadaan tergamam, penduduk itu kemudiannya terkejut apabila dia ternampak wanita terbabit terbang lalu menuju ke arah hutan berdekatan.

Selain daripada kisah tadi, penduduk lain juga pernah terserempak dengan jelmaan wanita berkenaan yang sering bertenggek di tepi jalan atau di atas pokok.

Sinar Harian kemudiannya berjumpa seorang pengamal perubatan tradisional yang tinggal di Kampung Padang Tembak dan tidak mahu namanya disiarkan bagi mendapatkan penjelasan tentang kemunculan jelmaan itu.

Menurutnya, sebelum pembangunan dijalankan di taman itu, tapak pembinaan asrama yang sedia hari ini merupakan kawasan kampung. Wanita jelmaan itu tinggal di hujung kampung kerana dipulaukan oleh penduduk. Dia sangat cantik dan menjadi kegilaan ramai lelaki di kampung itu.

“Memandangkan dia terlalu cantik, ramai dalam kalangan penduduk kampung terutama wanita membenci dirinya selain menuduhnya membela jembalang dan pelesit.

“Ketika hamil dua bulan, suaminya meninggal dunia. Wanita malang itu duduk di rumah dan tidak berani keluar pada waktu siang kerana dikhuatiri dicerca oleh penduduk kampung,” katanya.

Malangnya, wanita itu meninggal dunia bersama anaknya ketika dia bersalin.

“Apa yang lebih menyedihkan tidak ada siapa mempedulikan tentang kematian dua beranak itu dan mayatnya tidak diurus dan dikebumikan.

“Walaupun penduduk kampung terhidu bau busuk dari rumah wanita itu tetapi mereka tidak mengendahkannya sehinggalah rumah mereka reput dan akhirnya menyembah bumi,” katanya.

Jangan Lupa... Hari ini HARI KUNING..!!!

Kuningkan ibu negara esok
Harakahdaily

http://2.bp.blogspot.com/-QERUvb8bb9w/Tgdlu8O1i4I/AAAAAAAAONM/GcYJZWMAbE8/s400/najib-pakai%2Bkuning.jpg
Tengok Saya Pakai Kuning...!!![Gambar Hiasan]

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Besok 16 Julai adalah Sabtu pertama selepas perhimpunan Bersih 2.0 – yang juga genap seminggu perhimpunan aman 50,000 rakyat Malaysia yang bermandi air asid dan berair mata gas pemedih tanpa sebarang maaf daripada pihak polis mahupun kerajaan Barisan Nasional.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya hari ini berkata besok juga adalah ujian pertama kepada ribuan rakyat Malaysia dalam desakan mereka ke arah satu pilihan raya yang bersih dan adil dilaksanakan.

“Pemakaian warna kuning esok akan menyemarakkan lagi hasrat rakyat itu. Walaupun masih ada tangkapan ke atas pemakaian baju logo Bersih atas alasan tidak berdaftar; namun mereka tidak boleh menghalang pemakaian baju, seluar, kopiah, topi atau rambut warna kuning.

"Bahkan sehingga kini, trafik light kuning masih berfungsi dengan baik,” seru Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kepada seluruh warga yang cintakan sebuah sistem politik yang adil dan bersih, PAS katanya berharap mereka dapat mengenakan pemakaian kuning sepanjang hari besok sebagai tanda sokongan.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...